Get Even More Visitors To Your Blog, Upgrade To A Business Listing >>

Ulasan Samsung Galaxy A72 – Peranti Yang Cukup Sifatnya

Jika sebelum ini saya telah berkongsi artikel ulasan untuk Samsung Galaxy A52. Kali ini, izinkan saya untuk berkongsi ulasan penuh untuk Samsung Galaxy A72 pula. Ia merupakan salah satu peranti yang menarik perhatian ramai sejak pengenalannya sekitar pertengahan bulan lalu. Antara faktor yang menjadikan ia diminati ramai adalah penawaran pada spesifikasi dan fungsi yang kini dipelbagaikan mengikut keperluan ramai. Ditambah pula dengan kemasannya yang kini tampil lebih santai – di sini jelas menunjukkan Samsung juga sentiasa mengambil kira cara hidup pengguna masa ini yang sentiasa dahagakan sesuatu yang menarik.

Secara kasarnya, penawaran pada Samsung Galaxy A72 sebenarnya tidak jauh berbeza dengan Samsung Galaxy A52. Konsep rekaan luaran yang sama turut digunakan pada bahagian hadapan dan belakang. Kemudian, kemasan dan pilihan variasi warna juga masih sama. Meskipun begitu sudah semestinya, masih ada juga beberapa perubahan yang menjadikan Samsung Galaxy A72 ini nampak lain. Jika tidak, mengapa sehingga adanya perbezaan sekitar RM400 untuk penawaran harganya bukan?

Antara perubahan ketara adalah pada bahagian saiz skrin. Di mana, skrin yang digunakan pada Samsung Galaxy A72 lebih besar iaitu bersaiz 6.7-inci. Panelnya bagaimanapun, masih lagi sejenis Super AMOLED FHD+ denga kadar segar semula 90Hz. Satu lagi perubahan lain terletak pada kapasiti bateri. Di mana, bateri 4,500mAh pada Galaxy A52 kini dipertingkatkan kepada 5,000mAh pada Samsung Galaxy A72. Jadi, apakah lagi perubahan lain yang ada pada Samsung Galaxy A72 ini? Teruskan membaca artikel ulasan ini sehingga ke penghujungnya.


Spesifikasi Ringkas Peranti

Samsung Galaxy A72
Skrin6.7” Super AMOLED FHD+ (1080 x 2400), Infinity-O Display, 394 PPI, 90 Hz
PemprosesSnapdragon 720G (8nm)
CipDual 2.3GHz + Hexa 1.8GHz
Cip GrafikAdreno 618
RAM8GB
Muatan Dalaman256GB (microSD 1TB)
Kamera Utama64MP (f/1.8) – (Utama)
12MP (f/2.2) – (Ultra-Lebar)
8MP (f/2.4) – (Telefoto)
5MP (f/2.4) – (Makro)

*Zum Digital sehingga 30X 
* Zum Optikal 3X
Kamera Depan32MP (f/2.0)
Bateri5,000mAh + Pengecasan Pantas 25W
SIM/TelefoniNano SIM + Nano SIM / MicroSD
NFCTiada
Infra MerahTiada
Kalis AirIP67
Sistem ImbasanImbasan Cap Jari & Wajah
Harga JualanRM1899

Rekaan

Seperti biasa, kami akan mulakan ulasan dengan sentuh mengenai rekaan terlebih dahulu. Sama seperti Samsung Galaxy A52, Samsung Galaxy A72 juga tidak lagi menggunakan panel belakang dengan rekaan ala-ala prism, licin atau berkilat. Rekaan padanya kekal ringkas, minimalis dan serba baharu.

Sekali imbas, ia seakan mengambil sedikit inspirasi daripada siri Samsung Galaxy S21 tetapi tidak secara menyeluruh. Lebih menariknya lagi, keseluruhan panel belakang pada Samsung Galaxy A72 diperbuat daripada kemasan matte yang menarik dan cantik. Bukan itu sahaja, kemasan seperti ini juga tidak mudah memerangkap kotoran cap jari dan juga kesan calar.

Bercakap mengenai port sambungan penting pada Samsung Galaxy A72 ini, ia menggunakan port sambungan USB-C. Bukan itu sahaja, telefon pintar ini juga masih lagi mengekalkan bicu audio 3.5mm yang dirasakan sesuai sangat untuk pengguna yang masih belum bersedia untuk bertukar angin kepada penggunaan TWS. Sekali lagi saya katakan, anda tidak perlu risau kerana Samsung berikan apa yang anda perlu.

Bergerak ke rekaan sisi, ianya sama sahaja seperti Samsung Galaxy A52. Ia menempatkan butang kuasa dan laras suara pada bahagian sisi kanan. Seterusnya, ia menempatkan ruangan untuk SIM pada bahagian atas. Bercakap lanjut mengenainya, ruang ini hanya menyokong slot dwi-sim namun ia direka berasaskan hibrid melalui slot Nano-SIM (SIM1) + Nano-SIM/microSD (SIM2). Ia secara tidak langsung akan menyukarkan sesetengah pihak pengguna untuk memanfaatkan kedua-dua SIM secara serentak apabila kad microSD sedang digunakan.


Paparan

Samsung Galaxy A72 menggunakan skrin bersaiz 6.7-inci Super AMOLED dengan rekaan Infinity-O. Selain itu, ia juga dilengkapi resolusi FHD+ (1080 x 2400 piksel), kepadatan piksel 407 ppi dan pelindungan Corning Gorilla Glass 5. Sama seperti generasi sebelumnya, lubang kamera hadapan masih berada di tengah-tengah. Mungkin ada diantara atau kebanyakan kita yang kurang menyukai rekaan skrin sebegini.

Sebenarnya, ia tidak seburuk yang disangka. Sebaliknya, lubangnya di sini kecil sahaja dan rekaan sebegini juga mampu menyajikan nisbah skrin-ke-badan lebih tinggi. Secara tidak langsung, perkara ini akan dapat memberi kepuasan tontonan ketika menggunakan peranti pintar ini. Ditambah pula dengan skrinnya yang besar, lebih banyak kandungan dapat dilihat dalam satu paparan sahaja.

Meskipun pada dasarnya saiz pada Samsung Galaxy A72 boleh dikatakan agak besar untuk sesebuah peranti pintar. Tetapi, binaannya yang baik membuatkan peranti pintar ini selesa sahaja untuk dipegang atau dipegang untuk suatu jangka masa yang panjang. Untuk makluman, saya merupakan salah seorang pengguna Samsung Galaxy Note 10+. Oleh itu, saya langsung tidak menghadapi sebarang masalah untuk membiasakan diri dengan peranti yang sebesar ini.

Tapi, turut boleh dikatakan, anda sebagai pengguna atau pembeli mempunyai beberapa pilihan yang baik. Maksudnya di sini, kalau anda lebih menyukai peranti dengan saiz skrin yang besar – Samsung Galaxy A72 adalah antara pilihan yang saya rasakan bersesuaian. Jika sebaliknya, anda boleh sahaja memilih Samsung Galaxy A52 yang memiliki saiz skrin 6.5-inci yang lebih ideal dan mudah untuk dibawa kemana-mana sahaja.

Bercakap mengenai kualiti, tidak dinafikan ia merupakan skrin yang cantik. Segala ikon dan imej yang terpapar kelihatan cukup tajam dan tidak pecah. Dalam erti kata mudah, selesa sahaja untuk memandang. Namun begitu, saya mula perasan satu isu apabila menggunakannya di luar – misalnya di bawah cahaya matahari terik.

Sejujurnya, ia menimbulkan rasa sedikit kurang selesa. Saya mendapati skrinnya akan terus menjadi malap – walaupun tetapan kecerahan yang digunakan berada di tahap maksima. Ini secara tidak langsung menyukarkan saya untuk melihat atau membaca apa yang dipaparkan pada muka skrin.  

Sebagai perbandingannya, saya tidak pula alami isu ini ketika menguji Samsung Galaxy A52 sebelum ini. Skrinnya terang sahaja dan boleh digunakan tanpa sebarang masalah. Segala kandungan terpapar boleh sahaja dibaca dengan baik pada skrin Samsung Galaxy A52. Jadi, jelas di disini bahawa prestasi pada Samsung Galaxy A72 amat berbeza dengan Samsung Galaxy A52.


Prestasi

Samsung Galaxy A72 menggunakan cip yang sama seperti Samsung Galaxy A52. Ia dijana oleh cip Snapdragon 720G dengan paduan GPU Adreno 618, memori 8GB RAM dan storan dalaman 256GB. Beberapa ujian penanda aras juga sempat kami lakukan pada telefon pintar ini. Di mana, Samsung Galaxy A72 berjaya mencatatkan skor sebanyak 288,922 mata untuk ujian Antutu. Sementara, 550 mata untuk ujian satu teras dan 1,655 mata untuk ujian pelbagai teras pula menerusi penanda aras Geekbench.

Mesra dikatakan, saya tidak mengalami sebarang iau berkaitan prestasi. Secara keseluruhannya, ia dilihat mampu menawarkan pengalaman penggunaan harian cukup baik. Segala proses membuka aplikasi harian dan laman web mampu untuk dilakukan dalam masa yang singkat. Bukan itu sahaja, penggunaan untuk multi-tugasan juga terasa lancar sahaja.

Dari segi permainan pula, terdapat beberapa jenis permainan yang sempat sahaja uji. Misalnya Alphats 9, permainan ini boleh sahaja dimainkan pada tetapan grafik tertinggi tanpa sebarang masalah melampau. Kemudian, Samsung Galaxy A72 juga boleh memainkan permainan Genshin Impact sama seperti Samsung Galaxy A52 sebelum ini. Namun begitu, anda disarankan untuk bermain dengan tetapan grafik terendah pada 30fps. Ia bagaimanapun, masih boleh dimainkan pada tetapan lebih tinggi Cumanya, pengalaman permainan kelak tidak akan sama.

Untuk sokongan antaramukanya pula, ia turut menggunakan sistem operasi OneUI 3.1 yang dibina berasaskan Android 11 – sama seperti boleh ditemui pada Samsung Galaxy A52. Seperti biasa, pelbagai ciri mesra pengguna yang boleh ditemui padanya. Selain itu, pengalaman peribadi saya mendapati penggunaan amat memudahkan pengguna. Antaramuka ini juga dilihat mudah untuk difahami dan rekaan serta ikonnya dilihat masih kekal minimalis.


Kamera

Meskipun Samsung Galaxy A52 dan Samsung Galaxy A72 mempunyai sokongan sistem kuad-kamera utama. Tetapi, kedua-dua model ini sebenarnya mempunyai penawaran sensor yang berbeza. Di mana, Samsung Galaxy A72 mempunyai sensor telefoto 8-Megapixel bersama sokongan 3X zoom optikal dan zum digital Space Zoom sehingga 30X.

Jadinya, tetapan kamera pada Samsung Galaxy A72 terdiri dengan gabungan 64-Megapixel (Utama) + 12-Megapixel (Ultra-Lebar) + 8-Megapixel (Telefoto) + 5-Megapixel (Makro). Boleh dikatakan, penawarannya di sini agak menarik kerana ini merupakan antara ciri yang terdapat pada sejumlah peranti utama Samsung sebelum ini. Untuk hasil gambar swafoto pula, pengguna boleh menggunakan sensor 32-Megapixel yang diletakkan di dalam lubang skrin yang kecil.

Bila bercakap soal kemampuan kamera, gambar yang diambil pada peranti Samsung pastinya mempunyai cirinya yang tersendiri. Begitu juga dengan Samsung Galaxy A72, ia memperlihatkan keupayaan yang lebih baik berbanding generasi sebelumnya. Di sini, ia mampu menangkap gambar dengan penghasilan semula warna yang menarik, neutral dan ketajaman agak baik.

Seperti yang boleh dilihat pada sejumlah contoh disertakan di bawah. Gambar pada pencahayaan cukup mampu diambil dengan tajam dan tidak ada langsung masalah. Selain itu, gambar pada waktu malam juga agak baik dengan hasil memuaskan. Tetapi, penghasilan gambar yang lebih menonjol boleh dinikmati dengan mengaktifkan mod malam terbina pada aplikasi kamera.

Bergerak ke hasil gambar ultra-lebar, ianya masih menunjukkan kesan herotan. Pada masa sama, butiran juga sedikit lari untuk sesetengah keadaan – sekaligus, menjadikan imej terhasil kelihatan kurang tajam. Seperti biasa, tiada apa yang boleh diharapkan dengan sensor makro 5-Megapixel padanya – hasilnya amat tidak memuaskan dengan warna yang tidak cantik dan butiran tidak memuaskan.

Tidak seperti Samsung Galaxy A52, Samsung Galaxy A72 menjadi lebih menarik dengan adanya sokongan 3X zum optikal dan 30X zum digital. Kualitinya nampak baik pada pencahayaan terang, tetapi agak mengecewakan apabila digunakan pada waktu malam.

Seperkara lagi, kamera Samsung Galaxy A72 turut dilengkapi mod menarik dikenali sebagai Fun Mode seperti yang terdapat pada Samsung Galaxy A52. Melaluinya, pengguna boleh temui bermacam-macam jenis penuras comel yang disediakan oleh pihak Snapchat. Penuras ini bagaimanapun sememangnya terbina terus pada aplikasi kamera peranti pintar ini. Untuk makluman, pengguna memerlukan sambungan internet untuk mengaksesnya. Bercakap mengenai kualitinya, penghasilan semula gambarnya lebih berkualiti jika nak dibandingkan dengan hasil yang diambil menggunakan lensa aplikasi Snapchat.


Bateri

Bateri berkapasiti 5,000mAh digunakan pada Samsung Galaxy A72. Pada masa sama, ia turut menyokong pengecasan pantas mencecah 25W dan lebih pentingnya, Samsung turut menyediakan kepala pengecas di dalam kotak bersama-sama dengannya. Melalui bateri ini, ia mampu memberikan ketahanan yang baik menerusi bacaan SOT sekitar 7 – 8 jam untuk penggunaan sepanjang hari. Seperti kebiasaannya, ketahanan ini sudah tentunya akan berubah mengikut penggunaan masing-masing. Untuk pengecasan semula, ia boleh dibuat menerusi port sambungan USB-C dan kabel yang disertakan adalah jenis USB-C ke USB-C. Tidak seperti Samsung Galaxy A52, ia menyertakan kabel jenis USB-A ke USB-C.

Sebagai tambahan, meskipun Samsung Galaxy A72 merupakan sebuah peranti kelas pertengahan. Tetapi, ia dilengkapi dengan kemampuan menarik yang sering dijumpai pada peranti utama – seperti penarafan kalis air IP67. Secara terorinya, menurut Samsung telefon pintar ini boleh ditenggelamkan ke dalam air sehingga 1-meter dalam masa sekitar 30 minit. Akan tetapi, ia tidak disarankan untuk penggunaan di pantai, kolam renang dan air sabun. Selain daripada itu, ia juga mempunyai pembesar suara sejenis stereo dengan sokongan Dolby Atmos.


Peranti Pesaing

Peranti Pesaing
Samsung Galaxy A72Redmi Note 10 ProOppo Reno5 5G
6.7” Super AMOLED, 90Hz, FHD+, (~394PPI)6.67″ AMOLED
FHD+, 120Hz, HDR10, 8-bit
6.4″ AMOLED, FHD+, 90Hz, (~443 PPI)
Snapdragon 720G (8nm)
Dual 2.3GHz + Hexa 1.8GHz
Snapdragon 732G (8 nm)
2 x 2.3 GHz Kryo 470 Gold
6 x 1.8 GHz Kryo 470 Silver
Snapdragon 765G (7nm)
1 x 2.4 GHz Kryo 475 Prime
1 x 2.2 GHz Kryo 475 Gold
6 x 1.8 GHz Kryo 475 Silver
Adreno 618Adreno 618Adreno 620
8 Gigabyte6/8 Gigabyte8 Gigabyte
256 Gigabyte128 Gigabyte128 Gigabyte
64MP (f/1.8) – (Utama)
12MP (f/2.2) – (Ultra-Lebar)
8MP (f/2.4) – (Telefoto)
5MP (f/2.4) – (Makro)
108MP (f/1.9) – (Utama)
8MP (f/2.2) –
5MP (f/2.4) –
2MP (f/2.4) –
64 MP ( f/1.7 ) – (Utama)
8 MP ( f/2.2 ) – (Sudut-Lebar)
2 MP ( f/2.4 ) – (Makro)
2 MP ( f/2.4 ) – (Mono)
32MP (f/2.0)16MP (f/2.45)32MP
IP67Tidak Kalis AirTidak Kalis Air
5,000mAh + Pengecasan Pantas 25W5020mAh + Pengecasan Pantas 33W4300mAh + Pengecasan Pantas 65W
RM1,899Bermula RM999RM1,899

Kesimpulan

Bagi saya, penambahbaikan yang dibawakan oleh Samsung pada peranti-peranri terkini mereka sebenarnya agak besar. Untuk siapa agaknya peranti ini? Ia lebih disarankan untuk golongan pengguna yang mahukan peranti dengan binaan premium, sistem fotografi menarik, kalis air dan juga pembesar suara stereo. Saya juga merasakan tidak banyak peranti pintar dalam kelas yang sama mampu menawarkan pakej selengkap ini dalam peranti pintar.

Penawaran harganya adalah RM1,899 untuk sebuah. Saya akui, penawaran ini mungkin agak mahal bagi sesetengah pihak. Namun begitu, anda perlu ketahui bahawa – untuk mendapatkan sesuatu yang terbaik. Sudah tentunya, anda perlu berbelanja lebih dan ia tidak menjadi satu kesalahan sekiranya dilakukan pada keadaan yang sepatutnya. Malahan, saya turut berpendapat rekaan padanya lebih premium berbanding sejumlah peranti lain di pasaran masa kini. Akan tetapi jika mahukan yang lebih murah, usah khuatir kerana anda masih mempunyai pilihan lain iaitu Samsung Galaxy A52 yang dijual pada tanda harga RM1499 sahaja. Seperti biasa, bagi yang berminat anda sudah boleh mendapatkannya hari ini juga!

Pro

  • Rekaan yang selesa di dalam tangan.
  • Paparan skrin yang cantik, lubang langsung tidak menganggu.
  • Pemproses kelas pertengahan yang baik untuk penggunaan harian.
  • Tahap ketahanan bateri yang baik dengan pengecas 25W di dalam kotak.

Kontra

  • Prestasi pengimbas cap jari yang agak perlahan.
  • Kualiti zum agak mengecewakan apabila digunakan pada waktu malam.


This post first appeared on Amanz, please read the originial post: here

Share the post

Ulasan Samsung Galaxy A72 – Peranti Yang Cukup Sifatnya

×

Subscribe to Amanz

Get updates delivered right to your inbox!

Thank you for your subscription

×