Get Even More Visitors To Your Blog, Upgrade To A Business Listing >>

Temubual Bersama AMD – Dari Alternatif Ke Arus Utama

Advanced Micro Devices, ataupun AMD sepertimana ia dikenali ialah sebuah syarikat pembuat cip komputer yang cukup terkenal dari Amerika Syarikat. Sekitar 1990-an dan awal 2000, AMD dan Intel cukup terkenal kerana persaingan sengit mereka di arena komputer pengguna dan juga perniagaan.

Sayang sekali, pihak Intel dilihat memperbaiki teknologi mereka dengan pesat sekali untuk pasaran pengguna, manakala pihak AMD pula mengambil masa terlalu lama untuk mengeluarkan produk baru untuk mengekang pengambil-alihan pasaran oleh Intel.

Masalah ini terus membelenggu AMD untuk beberapa tahun, dan walaupun mereka mengambil alih syarikat Radeon untuk mencipta barisan kad grafik mereka sendiri, bahagian CPU syarikat tersebut terus merudum. Ini berlaku walaupun AMD hadir dengan teknologi-teknologi yang menarik seperti APU (Accelerated Processing Unit) yang menggabungkan prestasi CPU dan GPU AMD di dalam satu unit.

Tetapi semua itu berubah tahun ini apabila AMD mengumumkan kehadiran CPU terbaru mereka, AMD Ryzen untuk tontonan dunia. Dengan CPU ini, AMD dilihat mengambil satu langkah yang besar untuk mengembalikan diri mereka di arena pembuatan cip pemproses komputer untuk kegunaan pengguna komputer tanpa mengira latar belakang minat dan keperluan mereka.

Baru-baru ini, kami berkesempatan untuk menemuramah Ryan Sim, Pengarah Jualan AMD ASEAN mengenai kebangkitan AMD di rantau Asia Tenggara dan juga di serata dunia. Kami juga berbincang sedikit mengenai pelan AMD pada tahun 2018 kelak beserta apa yang boleh dijangkakan pengguna tidak lama lagi.

Zaman Kegelapan AMD

Sebagai seorang pengguna PC dengan cip pemprosesan AMD sebelum ini (AMD Phenom II X4), AMD dikenali sebagai sebuah jenama CPU yang dikatakan mempunyai prestasi yang cukup baik, pada tanda harga yang lebih mampu milik berbanding Intel.

Semua itu berubah apabila siri CPU AMD Bulldozer diumumkan pada tanda harga yang cukup mahal, tetapi tidak mampu mencapai apa yang mampu dilakukan oleh CPU Intel. Ini berterusan untuk beberapa tahun, dan walaupun pihak AMD hadir dengan siri CPU dan APU yang baru, para pengguna masih kekal menggunakan Intel sehinggalah ketibaan CPU AMD Ryzen pada pertengahan tahun ini.

“Beberapa tahun sebelum ketibaan CPU AMD Ryzen, cukup sukar sekali untuk kami dari AMD untuk menjual barangan kami. Tidak kira bagaimana sekalipun kami meletakkan harga untuk CPU dan APU kami, produk-produk tersebut cukup sukar untuk dijual oleh kedai-kedai tempatan.”, ujar Ryan.

“Bahagian kad grafik kami bergerak seperti biasa, tetapi kami masih perlu bersaing dengan pihak NVIDIA juga, yang sering hadir dengan jumlah produk yang banyak setiap tahun.”

Siri CPU AMD yang dinamakan berdasarkan mesin-mesin berat seperti Bulldozer, Excavator dan sebagainya boleh dikatakan umpama menggali kubur mereka sendiri sehinggalah awal tahun 2017, di mana Dr. Lisa Su, CEO AMD hadir dengan pengumuman mengenai CPU AMD Ryzen.

Kebangkitan Ryzen

Kebangkitan AMD pada tahun ini boleh dikaitkan kepada beberapa faktor. Pertama ialah kehadiran CPU AMD Ryzen yang menjanjikan prestasi yang cukup hebat pada tanda harga mampu milik dibantu oleh keengganan pihak Intel untuk berinovasi melalui produk CPU Intel Core series mereka.

Tanda harga CPU Intel yang semakin mahal juga memastikan bahawa AMD mempunyai peluang untuk sekurang-kurangnya mengambil sebahagian daripada pasaran yang dikuasai Intel tanpa tandingan untuk pertama kalinya dalam masa lebih kurang satu dekad.

Apabila CPU AMD Ryzen hadir di pasaran dunia, penerimaannya di seluruh dunia adalah sangat baik . Permintaan untuk CPU-CPU ini cukup tinggi sehinggakan pihak AMD menghadapi kesukaran untuk memenuhinya sehingga terdapat laporan bahawa AMD menggunakan CPU Threadripper untuk memenuhkan kehendak untuk CPU Ryzen.

Malah, Ryan turut berkata bahawa AMD kini sedang melihat pertumbuhan jualan dan bahagian pasaran yang cukup mendadak sekali buat pertama kalinya dalam satu jangka masa yang cukup panjang.

“Di negara-negara seperti Singapura, Thailand dan juga Filipina, AMD telah mencatatkan pertumbuhan dari segi jualan. Kini, kami berasa yakin untuk menyatakan bahawa kami sedang berdiri sama tinggi dengan Intel di dalam pasaran CPU pengguna.”

Menarik sekali, boleh dikatakan bahawa dengan Ryzen, AMD bukan sahaja mempunyai CPU yang mampu bertanding dengan siri CPU Intel Core dari segi harga, malah dari segi prestasi dan juga ciri-ciri yang mampu dilakukan.

Sama seperti siri CPU Core dengan penanda K (seperti Intel Core i7-7700K) yang menandakan kebolehan CPU Intel tersebut untuk dilewah jam, AMD juga mempunyai penanda X (seperti AMD Ryzen 7 1400X) yang menandakan bahawa ia hadir dengan teknologi lewah jam XFR (Extended Frequency Range) yang membolehkan CPU ini berfungsi pada kelajuan lebih pantas.

Satu lagi kelebihan CPU AMD Ryzen yang terbaru ini berbanding dengan CPU Intel ialah kebolehan kesemua CPU Ryzen, dari Ryzen 3 sehinggalah Ryzen 7 untuk dilewah jam. Ini bermakna tidak kira prestasi CPU Ryzen yang dibeli, ia boleh diperbaiki untuk menjadikan komputer anda lebih pantas pada harga yang lebih murah.

Ryan juga berkata bahawa di rantau Asia Tenggara, kebanyakan pengguna-pengguna komputer tegar di Thailand dan Singapura membeli CPU berkuasa tinggi Ryzen 7 serta Ryzen 5. Pengguna-pengguna di Malaysia dan Indonesia pula lebih mengutamakan binaan bajet rendah dan membeli CPU Ryzen 3 serta Ryzen 5.

Bagi pihak AMD, jumlah penjualan CPU-CPU ini di rantau ini cukup memberangsangkan, dan Ryan juga menyatakan bahawa syarikat tersebut sedang bekerjasama dengan ramai penjual barangan komputer bagi memastikan bahawa bakal pembeli sentiasa boleh mendapatkan tawaran terbaik apabila membina PC dengan CPU AMD Ryzen.

“Selain daripada AMD Ryzen, terdapat juga beberapa kedai di Malaysia dan rantau Asia Tenggara dimana mereka juga menjual CPU HEDT (High End Desktop) AMD Threadripper untuk pembina-pembina komputer berkuasa tinggi yang tegar” ujar beliau.

RX Vega Terlajak Laris

AMD juga hadir dengan kad grafik terbaru mereka, AMD Radeon RX Vega yang sehingga hari ini adalah salah sebuah kad grafik yang paling sukar sekali untuk dibeli.

Kewujudan kad RX Vega mula diketahui pada waktu yang sama AMD Ryzen diperkenalkan, dan kad grafik tersebut diumumkan secara rasminya di acara Siggraph 2017 di Amerika Syarikat. Sebelum acara tersebut, boleh dikatakan RX Vega ini merupakan salah sebuah komponen yang cukup dinanti-nantikan oleh ramai pengguna komputer.

Seperti yang disangka, kad grafik RX Vega ini sangat cepat terlajak laris di di seluruh pelosok dunia. Ura-ura kebolehan kad grafik ini untuk melombong kriptowang adalah antara faktor yang menyumbang kepada jualan yang tinggi.  Jualan tidak terjejas walaupun harga  dinaikkan beberapa kali ganda untuk penjual mengaut keuntungan.

Rantau Asia pada awalnya juga terkesan dengan kekurangan stok ini, kerana pihak pembina kad grafik seperti ASUS, MSI, Sapphire, dan PowerColor masih belum lagi hadir dengan kad grafik RX Vega rekaan mereka sendiri.

“Ya, kad grafik RX Vega memang cukup sukar sekali untuk dibeli oleh pembina PC kerana bekalan yang tidak mencukupi. Tetapi, kebelakangan ini kami mendapati bahawa stok untuk kad-kad ini, termasuklah model 56 dan 64 teras di negara-negara Asia Tenggara sudahpun stabil, dan syarikat-syarikat seperti ASUS, MSI dan sebagainya akhirnya akan hadir dengan kad grafik RX Vega, jadi kami tidak terlalu risau mengenainya buat masa terdekat ini.”

Pemergian Raja Koduri Dan Kerjasama Bersama Intel

Baru-baru ini kami laporankan pihak Intel dan AMD bekerjasama untuk mengintegtrasikan sebuah CPU Intel dengan GPU Radeon – sekaligus membolehkan penghasilan komputer riba menggunakan cip Intel Core dan sokongan grafik yang baik.

Berita ini hadir tidak lama sebelum berita mengejutkan Raja Koduri, ketua Radeon Technologies Group AMD berpindah ke Intel. Mengejutkan kerana Intel dan AMD selama ini dilihat sebagai pesaing yang cukup sengit di arena pembuatan cip ini.

Ryan mengatakan bahawa AMD tidak risau mengenai perkara ini kerana ini bukanlah kali pertama Raja Koduri meninggalkan AMD, dan beliau sudahpun menyiapkan peta jalan untuk diikuti oleh jurutera-jurutera AMD.

Walaupun pihak AMD cukup teruja dengan kerjasama terbaru bersama pihak Intel, mereka juga ada menyatakan bahawa mereka tidak akan teragak-agak untuk mempertahankan paten-paten mereka sekiranya Intel dilihat menggunakan teknologi AMD tanpa pengetahuan mereka.

Apabila ditanya mengenai bilakah kita dapat melihat produk yang akan menggunakan gabungan ini, beliau tidak dapat memberikan jangka masa yang khusus. Sebarang pengumuman mengenai projek ini akan dikeluarkan secepat yang mungkin.

Pelan AMD 2018

Bagi Ryan, 2018 dilihat sebagai tahun di mana AMD akan bergerak ke hadapan dengan produk-produk yang dikatakan akan mengejutkan ramai orang. Salah satu produk tersebut ialah APU Ryzen Mobile.

“Seperti yang anda tahu, kami sudahpun mengumumkan kehadiran APU (Accelerated Processing Unit) Raven Ridge yang menggabungkan teknologi Ryzen dan Vega di dalam satu pakej yang membolehkan pembuat-pembuat komputer riba hadir dengan rekaan yang cukup menarik. Pengumuman besar mengenai Ryzen Mobile dan peranti-peranti yang akan menggunakannya akan dibuat di acara Consumer Electronics Show pada tahun hadapan, jadi kami berharap anda akan menantikannya.”.

Beberapa jenama pembuat komputer riba seperti Acer, ASUS dan Dell sudahpun mengumumkan bahawa mereka akan hadir dengan peranti-peranti yang menggunakannya pada tahun 2018 kelak, dan sudahpun hadir dengan nama model untuk laptop-laptop tersebut.

Apabila ditanya mengenai APU Ryzen Mobile untuk komputer desktop pula, jawapan yang diberikan oleh Ryan hanyalah bahawa APU ini akan hadir untuk pelbagai jenis peranti, bukan sahaja komputer riba.

Dari segi memperbaiki bahagian pasaran pula, jawapan beliau hanyalah bahawa pada tahun 2018 kelak, AMD akan hadir di pasaran tempatan dan rantau Asia Tenggara dengan pelbagai jenis peranti yang hadir dengan teknologi CPU Ryzen dan juga RX Vega.



This post first appeared on Amanz, please read the originial post: here

Share the post

Temubual Bersama AMD – Dari Alternatif Ke Arus Utama

×

Subscribe to Amanz

Get updates delivered right to your inbox!

Thank you for your subscription

×