Get Even More Visitors To Your Blog, Upgrade To A Business Listing >>

Iman Zulkarnain Rezeki terjun dunia seni

ADA cerita di sebalik pembabitan Nur Iman Zulkarnain atau Iman Zulkarnain Sebagai pelakon.

Iman, 30, asalnya memiliki kerjaya sebagai jurugambar, selain pengusaha kafe, kantin dan studio fotografi.

Bagaimanapun, ditakdirkan dia ditikam dari belakang oleh rakan kongsi yang menipunya dan membawa lari hasil keuntungan perniagaan yang dijalankan.

"Saya silap kenal orang. Apabila perniagaan lingkup saya pun mula berlakon sejak 26 September 2016. Sebenarnya emak dah suruh saya berlakon sejak kecil, tapi saya tak nak sebab tak yakin.

"Lagipun saya lebih selesa berada di belakang tabir seperti seorang jurugambar, tapi itu yang dikatakan rezeki kerana selepas melangkah masuk dalam bidang seni, tawaran demi tawaran diterima.

"Saya berlakon drama Gerak Khas dalam episod Pedofilia. Selepas itu, drama Ana Kleopatrena dan seterusnya dapat tawaran lagi untuk drama Cinta Koko Coklat sebagai watak jahat," katanya.

Pelakon yang kini dikenali dengan watak Rizman menerusi drama bersiri Cik Ayu Mee Sanggul mengakui awalnya hanya ditawarkan watak sebagai pelakon tambahan dan selepas itu baru meningkat sebagai pelakon pembantu.

"Tak dinafikan menerusi Cik Ayu Mee Sanggul, saya dapat perhatian peminat. Namun, saya mula dikenali sejak berlakon drama Nur 2.

"Peluang ini diperoleh selepas saya berlakon dengan YouTuber menerusi drama Lagenda Budak Malang dan Dorm Puaka terbitan ASA Production. Saya banyak sertai YouTube dan penyedia kandungan digital lain untuk memantapkan lakonan," katanya.

Iman berkata, dia juga sudah berlakon sebagai hero untuk filem pertamanya berjudul Bisikan yang turut membariskan Azhan Rani, Vanida Imran, Fatin Afeefa dan Altimet.

"Syukur peluang dan rezeki sentiasa ada. Kita kena usaha dan jangan putus asa. Allah itu adil bagi peluang sama rata dan rezeki tak salah alamat. Alhamdulillah peluang untuk terus aktif memang ada.

"Selepas ini saya akan terbabit dengan drama 30 episod berjudul Alamak Lagi Lagi Dia arahan Amor Rizan.

"Saya akan bawa watak sebagai pemain piano. Saya boleh main piano dan sekarang baru belajar main gitar," katanya.

Drama lain lakonan Iman ialah Nota Buat Cempaka, Cinta Bukan Kristal, Suamiku Mr Blind, Tuan Danial, Aku Dia Dan Pinky Promise, Adellea Sofea, Cinta Sekali Lagi dan Perempuan Tanpa Dosa.

Sementara itu, telefilem ialah Cinta Semanis Bubble Tea, Rumah Raya dan Kad Raya Kampung Sepakat, Remuk dan Airmata Pendosa.

Filem pula ialah Coastguard dan Exit 25 (Stage Left).

Masih belajar

Sudah lima tahun bergelar pelakon, Iman masih menganggap dirinya orang baharu dan masih perlu belajar.

"Pengalaman saya masih kurang. Saya tak pandai sangat bergaul dan lebih fikir soal kerja. Bahkan saya ada Instagram pun atas saranan seorang pengarah. Kalau tidak memang saya tiada media sosial. Di lokasi, saya perhatikan cara kerja pelakon lain, kru belakang tabir dan pengarah.

"Saya juga sertai kelas lakonan Fauziah Ahmad Daud, Jumal dan ibu Fauziah Nawi untuk cari ilmu," katanya.

Iman berkata, sekiranya tidak dapat peluang untuk memegang watak yang penting di televisyen, dia mencubanya di platform YouTube.

"Apa yang saya belajar dan nak cuba, saya akan praktikkan di saluran YouTube. Saya 'apply' apa yang dipelajari sehingga orang lain nampak dan kongsi sampai saya dapat peluang pegang watak yang penting di TV," katanya yang menjadikan Aqasha dan Brad Pitt sebagai idola.



This post first appeared on Buletin Malaysia, please read the originial post: here

Share the post

Iman Zulkarnain Rezeki terjun dunia seni

×

Subscribe to Buletin Malaysia

Get updates delivered right to your inbox!

Thank you for your subscription

×