Get Even More Visitors To Your Blog, Upgrade To A Business Listing >>

#RENCANA ~ Ancaman ‘Wabak’ Pedofilia


"SAYA adalah seorang kanak-kanak perempuan. Saya berumur tujuh tahun. Saya tinggal di Kasur. Saya suka makan mangga," tulis Zainab Ansari ketika menyiapkan kerja rumah terakhirnya pada 3 Januari lalu.

Keesokan harinya, budak yang mempunyai senyuman manis itu dilaporkan hilang ketika dalam perjalanan ke kelas mengaji al-Quran.

Lima hari kemudian, mayatnya ditemui dalam keadaan berlumuran darah dan najis di tempat pembuangan sampah terletak kira-kira 100 meter dari rumah keluarganya.

Laporan autopsi menunjukkan budak malang itu didera secara seksual termasuk diliwat dan dicekik hingga mati selain rahang bawahnya retak serta lidahnya hampir putus.

Kejadian itu menggemparkan seluruh Pakistan dengan media sosial dibanjiri mesej solidariti kepada keluarga Zainab selain upacara memperingati mangsa diadakan di seluruh Islamabad.

Zainab menjadi budak kelapan yang diperkosa dan dibunuh dengan kejam di Kasur, wilayah Punjab sejak tahun lalu.

Sebelum penemuan mayat mangsa, satu pertempuran ganas yang meragut dua nyawa tercetus antara polis dan kumpulan penunjuk perasaan yang membantah sikap sambil lewa pihak berkuasa dalam mencari individu bertanggungjawab menculik, merogol dan membunuh Zainab.

Insiden yang berlaku ketika ibu bapanya sedang menunaikan umrah di Makkah telah mencetuskan perdebatan nasional yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

Ini kerana, penderaan seksual ke atas golongan budak dianggap sebagai perkara biasa di negara konservatif itu dan jarang dilaporkan selain pendidikan seks di sekolah kononnya terlalu kontroversi.

Situasi berbeza di Islamabad yang mana mangsa rogol pula menerima hukuman yang diputuskan oleh majlis suku di bawah sistem keadilan tradisional.

Dalam kebanyakan kes, pihak berkuasa negeri tidak campur tangan melainkan ia disifatkan luar biasa dan mendapat liputan meluas.

Kejadian menyayat hati yang menimpa Zainab berlaku ketika kempen antiserangan seksual, #MeToo dilancarkan di Amerika Syarikat dan hashtag #JusticeforZainab mula menjadi tular di seluruh dunia.

Sejak beberapa minggu lalu, keluarga Amin Ansari menerima tumpuan kebanyakan ibu bapa di seluruh Pakistan.

Mereka turut menyuarakan kebimbangan terhadap peningkatan 'wabak' penderaan seksual ke atas kanak-kanak atau pedofilia di negara Asia Selatan itu yang telah mencetuskan gelombang kejutan dan kemarahan banyak pihak termasuk selebriti secara lantang mengecam perbuatan tidak berperikemanusiaan itu.

Doa orang ramai dan campur tangan ketua tentera yang menubuhkan pasukan siasatan bersama melibatkan agensi risikan dan jabatan polis wilayah akhirnya membawa kepada penangkapan suspek dikenali sebagai Mohammad Imran, 24, pada minggu lalu.

Lelaki tidak berperikemanusiaan yang mengaku membunuh tujuh budak lain itu kini disiasat selepas dia dipercayai ada kaitan dengan rangkaian pedofilia antarabangsa berdasarkan pemeriksaan ke atas 37 akaun bank miliknya.

Selepas penahanan suspek, ibu Zainab menggesa agar pelaku dihukum dihukum secara terbuka.

"Dia wajar direjam di tengah orang ramai di kejiranan ini. Dunia patut melihat hukuman itu. Jadi, tiada lelaki berani untuk melakukan perbuatan seperti ini," katanya.

Perdebatan di Pakistan kini memberi tumpuan terhadap ketidakcekapan kerajaan untuk bertindak terhadap pelaku jenayah selepas insiden penderaan seksual ke atas kanak-kanak semakin berleluasa.

Di Islamabad, kekebalan pelaku menyebabkan kanak-kanak dua kali ganda terdedah kepada perlakuan itu selain kelemahan keseluruhan sistem keadilan dan kurang diberi keutamaan pihak berkuasa.

Walaupun kes rogol dan pembunuhan kejam kanak-kanak sering mendapat perhatian banyak pihak, isu tersebut masih dianggap sebagai topik taboo di negara konservatif terbabit.

Maklumat perlindungan kanak-kanak dengan pendidikan seksual yang mengelirukan menyebabkan mereka terdedah dengan manusia berhati binatang.

Masalah lebih besar, rumit

Ahli psikologi dan aktivis hak asasi manusia berpusat di Islamabad, Maria Rashid berkata, tidak ada satu penyelesaian terhadap isu penderaan seksual kanak-kanak.

"Sebarang tindak balas berkesan perlu mempunyai beberapa elemen dan aspek berbeza termasuk campur tangan undang-undang yang khusus serta lebih efektif terhadap perkara itu.

"Pelaksanaan undang-undang adalah sama penting.

Ia melibatkan peruntukan sumber dan latihan agensi penguatkuasaan undang-undang, kesihatan serta maklumat perlindungan kanak-kanak kepada ibu bapa, sekolah dan kanak-kanak itu sendiri. Golongan budak di seluruh dunia sememangnya terdedah kepada penderaan seksual," jelasnya.

Menurutnya lagi, jumlah mangsa yang terselamat terpaksa menanggung derita dalam diam kerana mereka tidak tahu bagaimana untuk menceritakan apa yang berlaku kepada mereka.

Kes Zainab dianggap sebagai masalah yang lebih besar atau lebih rumit.

Pada Ogos 2015, Kasur mendapat perhatian dunia selepas skandal penderaan melibatkan 280 kanak-kanak didera secara seksual sekumpulan lelaki.

Pelaku kemudiannya memeras ugut ibu bapa budak terbabit dengan mengancam untuk mendedahkan video tersebut.

Namun, perbuatan itu terbongkar selepas salah seorang mangsa nekad tampilkan diri, namun kebanyakan ibu bapa mengambil pendekatan berdiam diri kerana tidak mahu keluarga menanggung malu.

"Sebelum 2015, polis enggan menerima aduan tentang kes rogol dan sering menyalahkan keluarga mangsa," kata Ketua Eksekutif kumpulan hak asasi kanak-kanak, Alpha Foundation di Kasur, Jawad Bukhari.

Skandal penderaan itu membantu membawa tumpuan orang ramai di Pakistan terhadap eksploitasi seksual budak, namun kerajaan hanya mengambil langkah sambil lewa.

Keluarga mangsa di Kasur mendakwa kadangkala polis menolak untuk menerima aduan mereka atau meminta sejumlah wang untuk laporan awal.

"Penderaan seksual ke atas budak berlaku di kebanyakan tempat di Pakistan. Kasur menjadi tumpuan kerana kebanyakan kes sama dilaporkan sebelum ini. Bandar tersebut terdedah kepada jenayah seumpama itu kerana buruh kanak-kanak berleluasa.

"Pelaku rasa mereka boleh terlepas daripada perbuatan itu," menurut Pengarah NGO Sahil, Manizeh Bano.

Sementara itu, aktivis hak asasi wanita, Mumtaz Mughal berkata, kerajaan hanya bertindak secara sementara apabila kes berkenaan dilaporkan di media, namun tidak melakukan apa-apa untuk memperkenalkan undang-undang dan mekanisme bagi menghalang perbuatan itu.

Kisah Kainat, Ayesha, Sajida dan Asma

Dua bulan sebelum pembunuhan kejam Zainab, seorang budak perempuan dikenali sebagai Kainat diserang sebelum dicampakkan di tapak pembuangan sampah di Kasur.

Dia adalah seorang daripada 12 kanak-kanak yang terselamat, namun kesan daripada serangan itu, dia tidak mengenali keluarganya malah tidak boleh bercakap.

Kainat ditawarkan rawatan percuma selepas kes Zainab mendapat perhatian ramai.

Dalam satu kejadian lain, Mohammad Asif yang bekerja sebagai penjual buah memberitahu dia hanya menerima laporan forensik kejadian rogol dan bunuh anaknya, Ayesha, 5, yang diculik dalam satu majlis perkahwinan pada Januari 2017.

"Selama setahun, saya terpaksa berulang alik ke balai polis, namun mereka hanya menyuruh saya mencari pelaku. Ayesha mungkin terselamat jika polis melakukan tugas mereka dalam kes sebelum ini.

"Jika mereka menjalankan tugas dalam kes Ayesha, Zainab mungkin dapat diselamatkan," katanya.

Sehari selepas insiden menimpa Zainab menggemparkan masyarakat antarabangsa, mayat Sajida berusia 15 tahun yang dirogol sebelum dibunuh pula ditemui di sebuah kawasan pertanian di pinggir Sargodha.

Beberapa hari kemudian, masyarakat digemparkan lagi dengan penemuan mayat seorang kanak-kanak berumur empat tahun diperkosa sebelum dicekik hingga mati di barat laut Pakistan.

Mayat Asma yang berasal daripada keluarga miskin ditemui di ladang tebu di daerah Jandarpar Gujjar Garhi di bandar Mardan sehari selepas dia dilaporkan hilang ketika bermain di luar rumahnya.

Laporan autopsi menunjukkan budak itu dirogol, namun sebaliknya polis mendakwa kematiannya berpunca asfiksia iaitu mengalami kesukaran bernafas kerana kekurangan oksigen dalam darah.

Pendidikan seks jalan penyelesaian?

Kebimbangan yang semakin meningkat menyebabkan kerajaan di Punjab mengumumkan rancangan untuk memperkenalkan 'Kesedaran Penderaan Kanak-kanak' di dalam kurikulum di wilayah paling ramai penduduk di Pakistan itu.

"Pendidikan seumpama itu adalah perlu, namun ia perlu bersesuaian dengan etika serta agama," kata jurucakap parti Islam terbesar di Pakistan, Jamaat-e-Islami, Farid Piracha.

Kerajaan pula menegaskan pendidikan seksual tersebut tidak mengikut Barat.

"Kami akan mengajar tentang bentuk perbuatan yang perlu dihalang. Secara jelasnya ia bukan pendidikan seks. Ia adalah lebih kepada pengajaran tentang jenis sentuhan dibenarkan dan sebaliknya," ujar jurucakap kerajaan Punjab, Malik Ahmed Khan.

Kerajaan di wilayah Sindh juga mengumumkan pelan untuk melaksanakan pendidikan dan 'program kesedaran penderaan kanak-kanak'.

Program itu yang pertama kali dilancarkan sebagai projek perintis dengan kerjasama sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Aahung akan menjadi kurikulum sekolah di seluruh Sindh menjelang April depan.

Bagaimanapun, beberapa pihak masih ragu-ragu dengan sistem pendidikan di negara itu yang meletakkan jurang besar antara jantina yang mana masyarakat didominasi oleh golongan lelaki.[SH]

Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner


This post first appeared on Blog Sensasi, please read the originial post: here

Share the post

#RENCANA ~ Ancaman ‘Wabak’ Pedofilia

×

Subscribe to Blog Sensasi

Get updates delivered right to your inbox!

Thank you for your subscription

×