Get Even More Visitors To Your Blog, Upgrade To A Business Listing >>

Dua Hari Satu Malam Menginap Di Ombak Kapas Island Resort Pulau Kapas

Terengganu memang terkenal dengan pulau yang cantik dan mudah untuk dikunjungi. Kali pertama Penulis menikmati keindahan dan bayu Laut China Selatan di Terengganu adalah Pulau Kapas.

Review Ombak Kapas Resort Pulau Kapas Terengganu


Pulau Kapas adalah pulau yang agak dekat dengan tanah besar semenanjung Malaysia. Hanya sekitar 40 minit sahaja dengan menaiki bot atau feri. Amat sesuai untuk mereka yang kali pertama ingin merasai pengalaman pulau di Terengganu.


Keluasan Pulau Kapas yang agak kecil memudahkan penulis dalam mencari chalet atau resort untuk penginapan. Tidak begitu rambang mata dalam membuat 'survey' harga dan penilaian pengalaman orang lain.

BACA JUGA : BAYARAN DAN FI MASUK KE PULAU KAPAS

Dua Hari dan Satu Malam Di Ombak Kapas Resort

Ombak Kapas Resort menjadi pilihan penulis kali ini untuk menginap selama dua hari dan satu malam. Penulis memilih Ombak Kapas memandangkan ia lengkap dengan pakej bot dari Jeti Marang terus ke Ombak Kapas Resort.

View Laut Dari Ombak Kapas Gerbang


Lokasi Ombak Kapas adalah menghadap semenanjung Malaysia. Maknya terlindung dari redahan ombak dan angin dari Laut China Selatan. Cukup mudah untuk sampai tidak memerlukan bot mengelilingi pulau.

Chalet Standard Ringkas Tema Kayu

Di Ombak Kapas Resort penulis diberikan sebuat chalet dengan asas binaan kayu yang telah dicat dengan warna koko gelap seperti kayu balak di dalam hutan. Berbentuk segi empat dengan kehadiran satu pintu utama dan satu tingkap.

Chalet Ombak Kapas Resort


Rekabentuk sebegini lebih kepada sebuah rumah kos rendah yang cukup asas dengan paip air diluar dan terdapat satu tempat menanam tanaman seperti 'plant bed' disediakan. 

Memandangkan penulis hanya menginap untuk satu malam, penulis beranggapan untuk menanam taugeh pun tidak cukup masanya untuk bercambah. Jadi, plant bed itu tidak efisien.

Deretan Chalet Ombak Kapas


Memandangkan 90% adalah berasaskan kayu, terdapat beberapa serpihan kayu pecah pada dinding dan keriuk keriuk gegar seperti Pak Samad berlari di rumah lantai kayu itu ada.

Ruangan Antara Chalet


Kehadiran Pendingin Hawa 

Nampak sahaja binaannya seumpama sebuah rumah kos rendah, namun dalamnya diletakkan pendingin hawa dengan kapasiti 1.0 kuasa kuda. 

Pendingin Hawa Dalam Chalet


Kehadiran dua botol air mineral menambahkan lagi rasa kondonya memandangkan air mineral di pulau dengan harga air mineral di tanah besar cukup berbeza.

Ruang Laluan Dalam Chalet


Perihal Katil Ombak Kapas Resort

Katil Queen yang cukup marhaen dan kesederhaan disediakan di bahagian kanan pintu masuk. Dengan warna putihnya melambangkan kesucian hati dan nurani pemilik dalam menyambut kedatangan penginap. 

Katil Dalam Chalet


Walaupun tidak begitu besar untuk bermain 'roll over song' sebagaimana lagu dalam video kanak-kanak moden seperti Bebefinn dan Hogi, ia masih boleh memuatkan dua pasangan dan seorang anak kecil berumur setahun di atasnya.

Nampak ringkas, namun cukup lembut dan berdenyut apabila penulis berjaya menerbangkan dan menjatuhkan badan ke atas katil tersebut.

Saiz Katil Dalam Chalet


Nampak agak kusam, bukan ? Tiada hal selagi tidak menjadi habitat pepijat dan segala makhluk halus yang mengigit ketika tidur. Apalagi tiada kesan tompokan peta dunia atau Asgardian sebagaimana iklan cecair pencuci di kaca televisyen.

Tuala Mandi Disediakan

Usah khuatir atau risau akan tuala, bergulung-gulung seperti kuih ketayap disediakan dua helai tuala mandi untuk penginap. yang menyamai ketebalan alas kaki berbulu disediakan. 

Penulis sarankan bawa tuala lebihan sendiri untuk lebih keselesaan atau jadikan tuala yang diberikan untuk kegunaan lain-lain.

Perihal Bilik Air dan Tandas Chalet

Bahagian bilik airnya pula memang cukup-cukup makan. Oleh kerana ia sekadar untuk membilas lebihan air laut dan kesan dari pasir pantai, cukupkan disediakan satu pancuran mandi yang agak laju airnya dan satu paip rendah dengan kabel disediakan.

Bilik Air Dalam Chalet


Mungkin nampak agak tidak semewah tandas pempengaruh di rumah mereka namun untuk harga dan kegunaan biasa-biasa apalagi dengan penginap yang tidak begitu cerewet seperti penulis dan keluarga ia masih baik. 

Sinki


Janji airnya keluar dan tandas boleh digunakan. Sudah cukup.

Kelengkapan Lain Chalet

Kelengkapan asas lain seperti almari dua pintu tanpa pintu dan satu cermin serta satu meja kecil disediakan untuk simpanan dan penyediaan pakaian yang dibawa. 

Sejadah juga disediakan dan itulah yang utama walaupun berada di ceruk atau pulau mana ingatkan Allah itu yang utama. Sejadah bukan sahaja disediakan, rajinkanlah dongak ke atas siling inshaAllah akan kelihatan anak panah arah kiblat.

'Port' BBQ dan Aktiviti Berkumpulan

Bagi yang datang dalam populasi yang ramai boleh sahaja melakukan aktiviti dalam kumpulan yang ramai. Telah disediakan satu ruangan di bahagian tengah kawasan resort satu kawasan luas untuk aktiviti ala-ala parti.

Ruang Makan Beramai Ramai


Dengan 'pit barbecue' dan bangsal serta bilik air beserta tandas, akan menjayakan lagi aktiviti sosial yang tidak melanggar hukum syariat dari Allah disini.

Bilik AIr dan Tandas Luar Resort


Ulasan Penulis

Chaletnya cukup ringkas. Bagi penulis ia sudah memadai dengan harga memandangkan penulis hanya inginkan sebuah tempat untuk simpanan pakaian dan barangan apalagi tempat untuk berteduh dan tidur.

Ombak Kapas Resort View Tengah


Kadang kadang terasa terkongkong sedikit apabila berada di dalamnya, tapi bagi penulis tiada hal kerana kebanyakan masa apabila berada di Pulau Kapas penulis akan berada di luar (outdoor) menikmati keindahan Pulau Kapas dan aktiviti luar yang boleh dilakukan.

Namun, remote pendingin hawa gagal ditemui dibilik, kegagalan tersebut telah menyebabkan suasana kesejukan yang agak 'Society of The Snow' dalam Netflix. Penulis cuba untuk mendapatkan remote namun tiada personel yang ada di bahagian kaunter hadapan.

Ketidakhadiran cerek di dalam bilik agak menyukarkan. Alternatifnya pihak chalet menyediakan satu tong air panas untuk bancuhan susu anak atau kudapan mi segera di malam hari. 

Sebagai seorang 'backpacker' B40, cafe yang disediakan tidak menepati kriteria kandungan populasi wang dalam poket penulis memandangkan nasi goreng kampung gaya perencah pasaraya berharga RM15 sepinggan. 

Kedai Sebaneka Restoran Pada Waktu Malam


Namun, penulis faham ini adalah pulau, jadi penulis alternatifkan dengan mi segera, akan tetapi..mahu rebus air, cerek tiada.

Lain-lain adalah okay. Airnya laju, mantap untuk membilas.

Tanda Hadir ke Ombak Kapas


Informasi Pengunjung

Lokasi Homestay

Berkunjunglah ke Jeti Marang, dapatkan pakej dari kiosk yang ada mengenai Ombak Kapas Island Resort. Dapatkan lokasi dengan Google Maps atau Waze untuk ke Jeti Marang. 

Waze untuk ke Pulau Kapas, biarlah pemandu bot yang fikirkan.

Ombak Kapas Island Resort,

Pulau Kapas, 

21600 Marang, 

Terengganu

Harga Penginapan

RM250/malam

Bilik Tidur

Katil Bersaiz Queen dengan selimut

Bilik Air

Pancuran mandi

Sinki

Tandas duduk

Kemudahan Lain

Almari

Meja

Cermin

Kelengkapan

Sejadah

Dua botol air mineral

Liputan Data Internet/Telefon/Telekomunikasi

Umobile - 4G

Celcom - 4G

Polisi/Peraturan

Check In : 3.00 p.m 

Check Out : 12.00 p.m

 Hubungi

09-618 4500



This post first appeared on Snapbackpacker Travelogue, please read the originial post: here

Share the post

Dua Hari Satu Malam Menginap Di Ombak Kapas Island Resort Pulau Kapas

×

Subscribe to Snapbackpacker Travelogue

Get updates delivered right to your inbox!

Thank you for your subscription

×