Get Even More Visitors To Your Blog, Upgrade To A Business Listing >>

30 Makanan Tradisional Melayu Paling Popular di Malaysia

Di Malaysia, terdapat pelbagai jenis makanan tradisional Melayu warisan zaman berzaman yang begitu popular dan diminati ramai.

Masyarakat Melayu zaman dahulu sering menggunakan bahan masakan yang bersumberkan alam semulajadi seperti tumbuh-tumbuhan, daun-daun kayu, pucuk sayuran dan sebagainya.

Tanpa disedari, daripada bahan-bahan tersebut terciptalah Makanan Tradisional Melayu yang kini menjadi kegemaran kita semua.

Tahukah anda, inilah makanan yang asalnya menjadi makanan asas atau ruji bagi masyarakat Melayu terdahulu.

Adakalanya, ia juga diterapkan di dalam adat istiadat dimana makanan ini akan dihidangkan khas hanya pada musim perayaan atau majlis tertentu sahaja.

Jom kita lihat apakah makanan Tradisional Melayu yang paling popular di Malaysia.

1. Lemang

Credit: OneShop

Makanan tradisional Melayu yang sangat popular dan paling mendapat sambutan ramai adalah lemang.

Ya, Lemang adalah salah satu makanan kegemaran masyarakat Melayu yang terkenal sejak zaman dahulu lagi.

Bahan-bahan asas lemang adalah beras pulut, santan dan garam.

Bahan-bahan ini akan dimasak perlahan-lahan di dalam buluh yang di dalamnya sudah dibalut dengan daun pisang.

Bukan sahaja musim perayaan, lemang juga seringkali dijual di pasar malam, pasar pagi dan pasar tani pada setiap minggu.

Lemang enak dimakan bersama serunding dan juga aneka rendang.

2. Ketupat

Credit: Wikipedia @MeutiaChaerani

Ketupat adalah ikon makanan tradisional Melayu yang kebiasaannya sangat popular ketika Hari Raya Aidilfitri.

Manakan tidak, ketupat cukup sedap dimakan bersama rendang ayam atau daging ketika Hari Raya. Rasanya tidak lengkap berhari raya tanpa ketupat.

Ada dua jenis ketupat yang terkenal di Malaysia iaitu ketupat nasi dan ketupat palas.

Ketupat nasi diperbuat daripada daun kelapa dan beras nasi manakala ketupat palas pula daripada daun palas dan beras pulut.

3. Rendang

Credit: maggi.com.my

Salah satu makanan tradisional Melayu yang menjadi kegemaran ramai tak kira kaum dan bangsa di Malaysia adalah rendang.

Terdapat pelbagai jenis rendang di Malaysia dan tidak terhad kepada rendang ayam dan daging sahaja.

Ada rendang kerang, rendang paru, rendang siput, rendang pucuk-pucuk kayu dan sebagainya.

Boleh dikatakan di setiap negeri pasti ada resepi dan keunikan rendangnya yang tersendiri. Contohnya di Perak terkenal dengan rendang Tok dan di Negeri Sembilan pula sangat sinonim dengan rendang itik dan rendang kerbau.

Lebih istimewa lagi di Negeri Sembilan dan Melaka, ada beberapa jenis rendang yang berasaskan pucuk-pucuk kayu dan cukup digemari penduduk di sini seperti rendang pucuk ubi dan rendang maman.

Cara memasak rendang jenis ini agak berbeza dan mengambil masa yang agak lama membuatkan tak ramai yang sanggup menyediakannya.

Namun begitu, ia sangat sedap dan berkhasiat kerana diperbuat daripada daun pucuk ubi dan daun-daun kayu.

4. Dodol

Credit: asianinspirations.com.au

Dodol juga ada bermacam-macam variasi dan masing-masing mempunyai resepi dan keunikannya yang tersendiri.

Dodol cair atau penganan cair adalah salah satu jenis dodol yang hanya boleh didapati di beberapa kawasan di sekitar Melaka dan Negeri Sembilan.

Dodol mengambil masa lebih kurang 2 hingga 4 jam untuk siap dimasak.

Walau agak lama, tetapi sangat berbaloi kerana dodol diminati ramai dan sangat enak. Jika cukup peralatan dan bahan-bahannya, anda juga boleh mengacau dodol sendiri di rumah.

Dodol bukan hanya disediakan pada musim perayaan sahaja, malah ia juga amat popular sebagai produk jualan dan cenderahati di kawasan tumpuan pelancong.

5. Kuih Bahulu

Credit: Tourism Malaysia

Dikategorikan sebagai salah satu kuih lama atau kuih tradisi, kuih bahulu asalnya bewarna coklat kuning-kekuningan.

Setelah zaman berganti zaman, terdapat pelbagai jenis kuih bahulu yang dimodenkan seperti bahulu pandan, bahulu coklat dan sebagainya.

Walaupun mengikut peredaran masa, kuih bahulu tradisional tetap menjadi kegemaran ramai. Kanak-kanak juga meminati kuih ini kerana ianya sangat lembut dan sedap.

6. Wajik

Credit: guide.michelin.com

Wajik adalah sejenis makanan tradisional Melayu yang boleh dikategorikan sebagai manisan.

Terdapat beberapa jenis wajik yang popular di Malaysia seperti wajik sirat dan wajik durian.

Wajik yang diperbuat daripada bahan asasnya iaitu pulut, gula dan santan ini sering dijadikan sebagai hidangan pemanis mulut ketika perayaan, majlis dan kenduri-kendara.

7. Serunding

Credit: Kuali.com

Sama seperti rendang, serunding juga adalah hidangan lauk yang menyelerakan jika dimakan bersama ketupat mahupun lemang.

Antara serunding yang menjadi pilihan ramai adalah serunding ayam dan daging.

Rempah ratus yang ditambah dalam serunding ini menjadikan baunya harum dan rasanya amat sedap.

Sudah tentulah makanan tradisional Melayu ini menjadi pilihan ramai terutamanya jika ada majlis-majlis atau perayaan.

8. Laksa

Credit: Cap Bunga Ros

Laksa pun tidak kurang hebatnya. Bahkan laksa mempunyai peminat yang tegar khususnya di kawasan utara semenanjung Malaysia.

Terdapat pelbagai jenis laksa yang berbeza-beza mengikut lokasi dan negeri.

Antara versi laksa yang terkenal ialah seperti Laksa Penang, Asam Laksa, Laksa Johor, Laksa Pulas Kuala Kangsar, Laksa Terengganu, Laksa Kuala Perlis, Laksa Kedah, Laksa Sarawak, Laksa Gebok Pahang dan Laksam.

9. Satay

Credit: Unilever Food Solutions

Satay atau sate ialah sajian daging yang telah diperap dengan rempah dan kemudiannya dipanggang di atas api arang sehingga garing.

Satay selalunya dihidang bersama timun, bawang, nasi impit dan kuah kacang.

Selain popular di kalangan penduduk setempat, satay juga amat digemari pelancong luar dan rata-rata akan repeat makan satay sekiranya berkunjung lagi ke Malaysia.

10.Tapai

Credit: Wikipedia @CyberTroopers

Ramai yang gemarkan tapai terutamanya tapai pulut. Selain itu, terdapat juga tapai ubi kayu. Namun yang lebih popular adalah tapai pulut kerana keenakan dan keunikan rasanya yang tersendiri.

Cara penyediaannya tidak sukar dimana ia menggunakan pulut beras atau ubi kayu, sedikit gula dan ragi.

Bahan-bahan tersebut akan dicampur bersama dan kemudiannya dibungkus menggunakan daun tapai.

Selepas 3 hari diperam, ia sudah boleh dimakan. Cara penyediaannya adalah semulajadi, menarik bukan?

11. Acar Buah

Credit: Cap Bunga Ros

Acar buah adalah salah satu pembuka selera yang selalu menjadi pilihan ramai terutamanya pada bulan Ramadhan.

Ramai yang suka menikmati acar buah bersama nasi panas ketika bersahur dan berbuka puasa. Buat yang tak ada selera, boleh cuba acar buah.

Acar buah diperbuat daripada cili kering, bawang merah, bawang putih, halia, buah jeruk seperti ceri, mangga dan lain-lain lagi.

Selain itu, terdapat juga beberapa perisa tambahan yang digunakan seperti jintan dan bijan sangai.

12. Asam Pedas

Credit: Facebook @aidaniarestaurant

Asam pedas merupakan antara makanan tradisional Melayu yang terkenal di seluruh Malaysia terutamanya di Melaka dan Johor.

Hidangan yang popular ini menggunakan ikan kembung, ikan terubuk, ikan merah, ikan tenggiri dan lain-lain sebagai bahan utama asam pedas mengikut kesesuaian.

Tahukah anda, dengan sedikit tambahan belacan boleh menjadikan asam pedas sangat sedap dan berbau harum.

13. Ikan Pekasam

Credit: Shopee Malaysia

Dikategorikan di dalam kumpulan ikan masin, ikan pekasam adalah satu hidangan lauk pembuka selera yang sangat sedap dimakan bersama nasi panas, sambal belacan dan ulam-ulaman.

Ikan pekasam diperbuat daripada beras yang dikisar seterusnya digaul dan diperam bersama aneka ikan-ikan seperti ikan sepat, ikan kembung, ikan lampan, ikan tilapia, ikan puyu dan sebagainya.

Jika tahu caranya, anda pun boleh menghasilkannya ikan pekasam sendiri di rumah. Cuma kena ada minat dan sedikit kerajinan.

14. Lempeng

Credit: Facebook @ktrcekmekmolek

Sewaktu kita masih kecil, ibu pasti pernah menyajikan lempeng untuk kita bukan? Ia adalah makanan yang paling mudah untuk disediakan.

Lempeng terbahagi kepada lempeng biasa dan juga lempeng kelapa. Adakalanya lempeng dimakan bersama sambal atau gula dan sesuai dihidang untuk sarapan.

15. Otak-otak

Credit: Facebook @OtakOtakKempasOnline

Siapa sangka otak-otak yang diperbuat daripada ikan dan isi kelapa boleh menjadi satu hidangan yang begitu sedap dan menyelerakan.

Pada asalnya, masyarakat perkampungan nelayan yang memulakan legasi ini dan akhirnya ia menjadi terkenal sebagai salah satu makanan yang begitu popular di Malaysia terutamanya di kawasan pantai timur.

16. Nasi Ulam

Credit: herinspirasi.com

Kalau tinggal di kampung, pasti nenek akan sajikan nasi ulam berasaskan ulam-ulaman yang kita sendiri tidak tahu namanya.

Nasi ulam bukan sahaja sangat berkhasiat, tetapi sangat sedap jika dimakan bersama sambal atau begitu sahaja. Baunya pula amat harum sekali.

17. Nasi Lemak

Credit: Tourism Malaysia

Makanan tradisional Melayu ini biasanya tidak lengkap jika tidak dihidangkan bersama telur rebus, ikan bilis goreng, timun dan sambal.

Nasi lemak rasanya sudah tidak perlu diperkenalkan lagi. Sudah terkenal di seluruh dunia.

Pelancong asing yang berkunjung di Malaysia juga selalunya akan memilih nasi lemak sebagai sarapan pagi untuk dicuba.

Nasi lemak tidak akan lengkap tanpa adanya sambal ikan bilis yang sangat lazat dan menjadi kegilaan ramai.

Namun, ia juga boleh dimakan bersama lauk-lauk lain seperti rendang ayam, sambal ayam dan macam-macam lagi.

18. Nasi Kerabu

Credit: Pinterest @sabaheats

Nasi kerabu mempunyai banyak versinya yang tersendiri dan makanan tradisional Melayu ini masih lagi popular dan digemari ramai.

Makanan ini bermula daripada Malaysia dan seterusnya berkembang ke Brunei yang juga merupakan gugusan kepulauan Melayu dahulunya.

Nasi kerabu cukup popular di pantai timur semenanjung Malaysia terutamanya Kelantan dan Terengganu.

19. Nasi Dagang

Credit: Tourism Malaysia

Selain nasi kerabu, nasi dagang juga cukup terkenal di pantai timur khususnya Terengganu dan begitu digemari penduduk setempat.

Nasi dagang biasanya di makan bersama kuah seakan gulai yang dimasak menggunakan rempah khas.

Lauknya pula haruslah ikan tongkol atau dikenali sebagai ikan aye serta acar timun.

20. Ubi Rebus

Credit: Facebook @KitaKitaMY

Ubi rebus pernah menjadi makanan ruji bagi masyarakat Melayu pada zaman Jepun dahulu.

Akibat susah mendapatkan beras, ubi rebus mampu mengenyangkan dan memberi manfaat kesihatan terbaik.

Ia sering dimakan begitu sahaja ataupun dimakan bersama dengan kelapa parut.

Sesekali memang teringin nak makan ubi rebus tetapi jarang-jarang ada kedai yang menjualnya setiap masa mungkin kerana sukar untuk mendapatkan bekalan ubi kayu secara konsisten.

Apa kata kita kembalikan zaman nostalgia makanan tradisional Melayu ini, jom buat untuk anak-anak dirumah!

21. Pisang Rebus

Credit: Wikipedia @yosri

Salah satu sajian sarapan pagi adalah pisang rebus. Pisang akan direbus terlebih dahulu sebelum dimakan bersama dengan kelapa parut.

Sangat berkhasiat, kerana ia tidak mengandungi kolestrol, gula dan tidak berminyak.

Antara pisang yang boleh dijadikan sebagai pisang rebus adalah pisang lang, pisang nipah, pisang abu dan pisang nangka.

Menarik kan? Makanan tradisional Melayu ini juga sesuai dijadikan makanan untuk individu yang berdiet.

22. Kuih Kapit

Credit: Facebook @officialkapit

Sangat ringan dan crunchy, kuih kapit terkenal di Malaysia sebagai kudapan yang sangat sedap.

Kini, ramai yang inovasikan kuih kapit dengan menambahkan perisa jem atau coklat di bahagian tengah kuih kapit.

Ia tidak setebal kerepek dan marukku, tetapi sangat nipis dan mudah digigit.

Oleh itu, ia sering mendapat permintaan di kalangan ibu bapa khasnya untuk kanak-kanak dan warga emas.

23. Kuih Siput

Credit: Facebook @kuihsiputsegamat

Teskturnya yang rangup dan sedikit pedas sering menjadi idaman ramai.

Dahulunya, kuih siput adalah antara kuih yang paling laris tidak kira pada hari raya mahupun bukan musim perayaan.

Namun, masih ada lagi yang menjual kuih siput terutamanya ketika musim perayaan.

Boleh juga dibuat sendiri di rumah kerana ia tidak susah, hanya menggunakan tepung, rempah kari dan daun kari sahaja.

24. Kuih Bangkit

Credit: Facebook @KuihBangkitWanNaemah

Jika tahu cara dan adunannya, amat mudah untuk kita hasilkan kuih tradisional ini. Rasanya lemak-lemak dan sangat sedap.

Ia juga merupakan salah satu kuih raya yang boleh dilabelkan sebagai kuih tradisi dalam masyarakat Melayu.

25. Kuih Batang Buruk

Credit: Facebook @MakYamKuihBatangBuruk

Kuih batang buruk juga merupakan salah satu kuih tradisional yang popular dan tersohor di Malaysia.

Kuih yang berbentuk silinder ini diperbuat daripada adunan tepung gandum, tepung beras dan tepung kelapa.

Kebiasaannya, kuih batang buruk ini berintikan serbuk kacang hijau yang  digoreng.

Namanya agak unik mungkin dek kerana mengenangkan bentuk fizikal kuih ini yang kelihatan seakan-akan seperti batang kayu yang buruk.

26. Kuih Karas

Credit: Facebook @AnekaResepiKuihMuih

Kuih karas yang selalunya berbentuk bulatan separuh atau segi tiga ini cukup terkenal di negeri Kedah terutamanya daerah Kota Setar dan Jitra.

Kuih karas ini kelihatan seperti bihun-bihun halus secara fizikal. Rasanya sangat sedap dan rangup sekali.

Walaupun bahan-bahan asasnya hanyalah tepung beras dan gula tetapi rasanya cukup enak dan sesuai dimakan sebagai snek ringan ketika minum petang.

27. Pulut Panggang

Credit: TheStar.com.my

Pulut Panggang diperbuat daripada pulut yang diisi dengan inti, dibalut dengan daun pisang dan kemudiannya dipanggang di atas api.

Pulut panggang yang juga dikenali sebagai pulut udang di sebelah utara semenanjung adalah satu hidangan ringan yang cukup mengenyangkan.

Intinya berbeza-beza mengikut lokasi. Lazimnya di kawasan pantai timur menggunakan inti isi ikan ataupun serunding manakala di kawasan utara pula kebanyakkannya menggunakan inti udang kering dan kelapa.

28. Putu Piring

Credit: Facebook @GebuPutuPiring

Sering kita temui putu piring ini di pasar malam. Putu piring diberi nama sedemikian dek kerana keadaan kuihnya yang diletak di atas alas putih seperti piring sebelum ia dikukus.

Putu piring diperbuat daripada tepung ubi dan tepung beras serta inti gula Melaka. Ia juga boleh dimakan bersama dengan inti kelapa parut muda.

29. Belacan

Credit: Facebook @BelacanAsli

Belacan adalah pelengkap makanan bagi masyarakat Melayu. Walaupun berbau agak kuat, tetapi rasanya sangat sedap apabila ia digunakan dalam masakan yang tertentu. Masyarakat Melayu gemar memasak dengan meletakkan belacan dalam masakan mereka.

Tahukah anda, belacan diperbuat daripada udang geragau dan udang kering yang dikisar halus?

Sebab itulah apabila belacan dibakar, rasa masakan lebih ‘ummmp’ lagi!

Antara masakan tradisional Melayu yang menjadi kegilaan zaman berzaman adalah sambal belacan.

30. Cencaluk

Credit: Facebook @PesanBonda

Cencaluk ialah makanan tradisional Melayu yang rasanya tidak akan luput ditelan zaman kerana peminatnya masih ramai terutamanya di negeri pantai timur.

Cencaluk asalnya adalah perasa makanan yang diperbuat dari udang halus yang lebih dikenali sebagai udang geragau.

Terkenal di Melaka, cencaluk amat sedap dinikmati bersama nasi putih yang masih panas apatah lagi dimakan bersama ulam-ulaman.

Kesimpulan

Makanan Tradisional Melayu yang semakin dilupakan

Walaupun kebanyakkan Makanan Tradisional Melayu yang kami senaraikan di atas masih popular dan sentiasa dikeluarkan secara komersial tetapi ianya semakin dilupakan.

Apa yang menyedihkan ialah generasi baru kini kurang mengenali makanan-makanan tradisi ini dan lebih gemarkan yang moden.

Justeru itu, amatlah diharapkan kita dapat mengembangkan kembali pengaruh tradisi kita agar dapat dipanjangkan hayatnya untuk tatapan generasi akan datang.

Ramai yang tidak sedar bahawa mereka masih dikelilingi dengan pelbagai jenis makanan tradisional Melayu.

Cuba amalkan semula makanan tradisional kerana ia mempunyai kebaikan dan khasiatnya yang tersendiri disamping dapat mengembalikan kenangan makanan lama suatu zaman dahulu.

Hidangan makanan tradisional Melayu yang kami senaraikan di atas mudah untuk disediakan, sangat sedap dan menepati citarasa ramai. Jika ada masa terluang, boleh cuba sendiri resepi-resipi makanan ini bersama keluarga dan rakan-rakan.

Kita harus sama-sama pelihara makanan-makanan tradisional Melayu warisan nenek moyang yang terdahulu supaya hidangan tradisi ini tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas.



Sumber Rujukan:

1. Malaysia Truly Asia
2. Ministry of Tourism, Arts and Culture Malaysia



Cover image credit to Tourism Malaysia Blog

The post 30 Makanan Tradisional Melayu Paling Popular di Malaysia appeared first on cariblogger.com.



This post first appeared on Cariblogger.com, please read the originial post: here

Share the post

30 Makanan Tradisional Melayu Paling Popular di Malaysia

×

Subscribe to Cariblogger.com

Get updates delivered right to your inbox!

Thank you for your subscription

×