Get Even More Visitors To Your Blog, Upgrade To A Business Listing >>

Solat Sunat Tahiyatul Masjid (Solat Menghormati Masjid)



Solat sunat Tahiyyatul Masjid merupakan ibadat yang dilakukan di tempat yang sama iaitu masjid.Pengertian Tahiyat bermaksud penghormatan. Oleh itu, tahiyatul masjid ertinya penghormatan kepada masjid.

Solat sunat tahiyatul masjid adalah bagi menghormati masjid. Ini salah satu antara adab yang mesti kita lakukan apabila memasuki masjid. Beberapa permasalahan berkaitan solat tahiyatul masjid:

Jika seseorang itu masuk masjid dan terus duduk dengan sengaja, maka tiada lagi solat tahiyatul masjid baginya.

Jika duduk itu kerana terlupa ada dua keadaan;
  • Terlupa yang sekejap kemudian ingat kembali, maka dibolehkan bangun dan terus solat.
  • Jika terlupa yang panjang waktunya, kemudian teringat, luputlah sudah tuntutan solat.

Waktu Pelaksaan Solat Tahiyatul Masjid


Solat sunat Tahiyyatul Masjid menurut syara‘ ialah solat dua rakaat yang didirikan sebelum duduk apabila seseorang masuk ke dalam masjid sebagai menghormati masjid. solat ini sunat dilakukan berulang kali apabila seseorang itu berulang masuk ke dalam masjid. Solat tahiyatul Masjid ini juga sunat dilakukan bagi seseorang yang masuk ke dalam masjid walaupun dia tidak bermaksud untuk duduk di dalamnya.

Diriwayatkan daripada Abu Qatadah Radhiallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

إِذَا دَخَلَ أَحَدُكُمُ الْمَسْجِدَ فَلاَ يَجْلِسْ حَتَّى يُصَلِّيَ رَكْعَتَيْنِ
(رواه البخاري)

Maksudnya: “Apabila seseorang daripada kamu masuk ke dalam masjid, maka janganlah dia duduk sehinggalah dia mendirikan solat dua rakaat (tahiyyat) terlebih dahulu.”
(Hadits riwayat al-Bukhari)

Waktu Lupus Solat Tahiyatul Masjid


Solat sunat Tahiyyatul Masjid ini berakhir atau luput waktunya apabila seseorang itu telah masuk ke dalam masjid dan telah duduk di dalamnya.

Makruh Jika Ditinggalkan


Adapun meninggalkan solat sunat Tahiyyatul Masjid ini dihukumkan makruh bagi sesiapa yang tiada halangan untuk melakukannya kecuali jika waktu solat Jumaat atau solat lainnya sudah dekat untuk didirikan dan dia bimbang akan tertinggal atau terluput takbiratul ihram imam.

Bagi yang meninggalkannya disebabkan oleh perkara yang tidak memungkinkannya untuk melakukan solat ini seperti disebabkan dia berhadats, maka disunatkan untuk mengucapkan zikir ini sebanyak 4 kali:

سُبْحَانَ الله وَالْحَمْدُ لِلَّه، وَلاَ إِلهَ إِلاَّ الله وَاللهُ أَكْبَرُ، وَلاَ حَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ إِلاَّ بِاللهِ الْعَلِيِّ الْعَظِيمِ

Maksud: Maha Suci Allah, segala puji bagi Allah, tiada Tuhan selain Allah, Allah Maha Besar. Dan tiada upaya serta kekuatan kecuali dengan pertolongan Allah Yang Maha Tinggi, Yang Maha Agung.”

Selain solat sunat tahiyatul Masjid,solat-solat sunat lain yang boleh dilakukan sebaik memasuki masjid sebelum duduk adalah solat sunat dhuha dan solat sunat wudhuk.Solat-solat sunat tersebut mencukupi bagi menghormati masjid.

Niat solat sunat tahiyatul masjid adalah seperti berikut:

Lafaz niat sembahyang sunat Tahiyyat Masjid:

أُُصَلِّيْ سُنَّةَ تَحِيَّةِ الْمَسْجِدِ رَكْعَتَيْنِ لِلَّهِ تَعَالَى.

Ertinya: “Sahaja aku sembahyang sunat Tahiyyat Masjid dua rakaat kerana Allah Ta‘ala.”

Tempat niat adalah didalam hati.

Niat ialah mengingati tujuan sesuatu perbuatan ketika mula melakukannya. Tempat niat ialah di dalam hati. Hal ini berdasarkan hadith, sabda Nabi SAW:

إِنَّمَا الأَعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ

Maksudnya: “Sesungguhnya amalan itu adalah dengan niat.”
Riwayat al-Bukhari (1) dan Muslim (1907)

Untuk menjadikan solat sah, seseorang hendaklah menyertakan niat di dalam hati ketika bertakbiratul Ihram dan sedar akan tujuannya untuk bersolat semasa melafazkan takbir tersebut serta mengingati jenis solat dan fardhunya. Sementara niat untuk bersolat pula tidak disyaratkan melafazkannya.

Dalam kitab Taqrirat al-Sadidah (1/210), Syeikh Hasan al-Kaf menyebut:
“Tidak wajib berniat dengan mengidafahkan (yakni mengkeranakan) Allah SWT, niat menentukan rakaat, niat menghadap kiblat, niat ada’an (tunai) dan qadha’an (solat ganti), bahkan kesemua yang tadi itu adalah disunatkan (sahaja).”
Ini hanya melibatkan solat bersendirian, tetapi solat berjemaah memerlukan niat menjadi makmum, berjemaah atau mengikut imam.

Mengantikan Solat Sunat Tahiyatul Masjid


Jika seseorang itu meninggalkan Solat Sunat Tahiyatul Masjid tetapi terus menunaikan solat sunat Qabliyyah atau solat Wudhuk, maka ia juga memadai kerana hadits di atas berbentuk umum, iaitu ‘mendirikan solat dua rakaat’.Terdapat kesepakatan beberapa ulama-ulama dalam menghuraikan solat sunat wudhuk atau solat-solat sunat lain dan solat sunat tahiyatul masjid.Keduanya menghampiri maksud solat sunat dua rakaat sebelum duduk.

Dr Wahbah al-Zuhaili mengatakan:
"Mengerjakan solat fardu atau lainnya (solat sunat), dapat menggantikan solat Tahiyatul Masjid. Dan, tak perlu niat Tahiyatul Masjid."

Tahiyyatul Masjid terhasil dengan sendirinya apabila melakukan solat fardhu atau solat-solat sunat yang lain. Tujuannya ialah supaya seseorang itu tidak harus duduk di dalam masjid tanpa bersolat terlebih dahulu kerana menghormati masjid.
Rujuk Fiqh al-Manhaji (1/215)

Solat ini tidak gugur hukumnya sekiranya seseorang itu masuk dalam masjid dan berdiri, sekalipun dalam masa yang lama. Fakta ini ada disebutkan dalam kitab Sabilul Muhtadin (2/15) karangan Syeikh Arsyad al-Banjari (w.1227H). Kata beliau:
“Demikian lagi tiada gugur sunatnya dengan berdiri dan jika lama masanya sekalipun.”

Solat Tahiyatul Masjid Ketika Khatib Sedang Khutbah

Solat sunat tahiyatul masjid tidak gugur walaupun sewaktu memasuki masjid,mendapati khatib telah mulai berkhutbah jumaat.Ini berdasarkan penjelasan berikut:

Jika seseorang itu masuk ke dalam masjid sedangkan imam sudah naik ke mimbar atau sudah berkhutbah, sunat baginya untuk melakukan tahiyyatul masjid tetapi meringkaskannya. Berkata Imam al-Syarwani (w.1301H) dalam Hawasyi beliau terhadap Tuhfah al-Muhtaj (2/455) karangan Imam Ibn Hajar al-Haitami (w.973):

Dan bermula makruh tahrim secara ijma’ bagi seseorang yang menghadiri solat Jumaat melakukan solat sunat selepas khatib sudah naik ke atas mimbar dan duduk di atasnya, sekalipun dia tidak dapat mendengar khutbah (kerana jauh, dll). Pengecualian ialah bagi solat solat sunat tahiyyatul masjid bagi orang yang baru masuk masjid sedangkan khatib sudah berada di atas mimbar. Maka sunat baginya untuk melaksanakan solat sunat tahiyatul masjid dan wajib meringkaskannya. Ini sekiranya dia sudah melakukan solat sunat qabliah Jumaat. Jika belum, maka memadai dia solat dua rakaat sahaja, dan ini sudah memperolehi sunat tahiyyatul masjid tanpa dia perlu menambah lebih daripada dua rakaat.”

Hal ini berdasarkan hadith, daripada Jabir RA, katanya bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا جَاءَ أَحَدُكُمْ يَوْمَ الْجُمُعَةِ وَالإِمَامُ يَخْطُبُ فَلْيَرْكَعْ رَكْعَتَيْنِ وَلْيَتَجَوَّزْ فِيهِمَا

Maksudnya: “Apabila seseorang daripada kamu sampai ke masjid pada hari Jumaat dan imam sedang berkhutbah dia hendaklah mendirikan solat dua rakaat yang ringkas dan sempurna.”
Riwayat Muslim (875)

Sekiranya khatib masih belum mengakhiri khutbahnya. Jika demikian, dia hendaklah menunggu solat fardhu didirikan. Apabila dia terus duduk maka solat sunat dua rakaat tersebut terluput dan tidak sah jika dia melakukannya semula. Malah dia wajib terus duduk mendengar khutbah sehingga solat Jumaat didirikan. Rujuk Fiqh al-Manhaji (2/210)

Sungguh hari jumaat adalah hari istimewa,dalam mencari ibadah yang afdal dan lebih utama apabila berlaku pertembungan antara solat sunat dan ketika azan sedang berkumandang,disini mencari perkara yang afdal adalah lebih utama sebagai memenuhi adab dan ibadat.

Dalam menghuraikan perkara ini,harus memperhatikan dahulu akan maksud yang hendak disampaikan.

Kaedah mengatakan:

إِعْمَالُ الدَّلِيلَينِ أَولَى مِن إِهْمَالِ أَحَدِهِمَا

Maksudnya: Mengamalkan kedua-dua dalil itu lebih utama daripada menggugurkan salah satu daripadanya.

Justeru, apabila dua perkara itu dilihat bertembung, maka perkara yang utama dibuat ialah mengharmonikan antara dua perkara itu.

Dalam soalan di atas, perlu difahami terlebih dahulu hukum hakam yang berkaitan.
Pertama, menunggu selesai azan dalam keadaan berdiri bagi orang yang baru masuk masjid pada Jumaat tujuannya adalah untuk mendapatkan pahala fadilat menjawab azan. Justeru, hukumnya adalah sunat untuk diam bagi orang yang mendengar azan dan menjawabnya sebagaimana yang diucapkan oleh muazzin. Rujuk Fiqh al-Manhaji (1/117)
Ini berdasarkan hadith, sabda Rasulullah SAW:

إِذَا سَمِعْتُمُ النِّدَاءَ فَقُولُوا مِثْلَ ما يَقُولُ الْمُؤَذِّنُ

Maksudnya: “Apabila kamu mendengar azan ucaplah sebagaimana yang diucapkan oleh muazzin.”
Riwayat al-Bukhari (586) dan Muslim (383)

Sementara jawapan selepas (حَىَّ عَلَى الصَّلاَةِ) dan حَىَّ عَلَى الْفَلاَحِ pula ialah:

لاَحَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ إِلاَّ بِاللَّهِ

Maksudnya: “Tiada daya dan tiada upaya melainkan dengan izin Allah.”

Ini berdasarkan hadith:

وَإِذَا قَالَ حَىَّ عَلَى الصَّلاَةِ. قَالَ لاَ حَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ إِلاَّ بِاللَّهِ. ثُمَّ قَالَ حَىَّ عَلَى الْفَلاَحِ. قَالَ لاَ حَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ إِلاَّ بِاللَّهِ. وَجَاءَ فِي آخِرِ الحَدِيْثِ أَنَّ: مَنْ قَالَ ذَلِكَ مِنْ قَلْبِهِ دَخَلَ الْجَنَّةَ

Maksudnya: “Apabila muazzin berkata (حَىَّ عَلَى الصَّلاَةِ) jawablah dengan berkata (لاَحَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ إِلاَّ بِاللَّهِ), dan apabila dia berkata (حَى عَلَى الْفَلاَحِ) jawablah dengan berkata (لاَحَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ إِلاَّ بِاللَّهِ). Pada akhir hadith dinyatakan bahawa sesiapa yang menjawab begitu dengan ikhlas hatinya dia akan masuk syurga.”
Riwayat Muslim (385)

Menunggu azan pertama selesai tidak mengugurkan solat sunat tahiyatul masjid,juga tidak gugur solat sunat tahiyatul masjid walau khutbah sedang berlangsung.Akan tetapi hendaklak meringkaskan solatnya bagi mendapatkan khutbah dan solat fardhu.

Azan Kedua Dan Solat Tahiyatul Masjid

Terdapat juga pendapat bahawa sekiranya seseorang itu masuk ke dalam masjid ketika azan kedua sedang berkumandang, keadaan tersebut tidak sama dengan masuk ketika imam sedang berkhutbah. Kami cenderung untuk mengatakan bahawa lebih afdal dia terus solat Tahiyyatul Masjid dan meninggalkan fadhilat menjawab azan yang kedua. Ini bagi meraikan fadhilat mendengar khutbah secara sempurna yang lebih utama berbanding menjawab azan.[Lihat perbahasan lengkapnya AL-KAFI #698

Allahualam.



This post first appeared on Islam Syariah Info, please read the originial post: here

Share the post

Solat Sunat Tahiyatul Masjid (Solat Menghormati Masjid)

×

Subscribe to Islam Syariah Info

Get updates delivered right to your inbox!

Thank you for your subscription

×