Get Even More Visitors To Your Blog, Upgrade To A Business Listing >>

#TERKINI ~ Ucapan penuh perutusan khas PM

Tags: telah atau juga
Muhyiddin ketika menyampaikan perutusan khas

BERIKUT adalah ucapan penuh perutusan khas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 10 Mei 2020 di Putrajaya

"Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum wa rahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.

Apa khabar semua? Saya harap saudara-saudari sihat wal afiat.

Hari ini 17 Ramadan adalah hari umat Islam memperingati peristiwa Nuzul al-Quran, iaitu hari di mana al-Quran diturunkan kepada umat manusia.

Jadi di awal ucapan saya ini, saya nak mengucapkan selamat menyambut Nuzul al-Quran kepada semua umat Islam. Mudah-mudahan peristiwa Nuzul Al-Quran yang disambut pada hari ini mengingatkan kita supaya sentiasa menjadikan Al-Quran sebagai panduan hidup.

Saya juga mendoakan semoga umat Islam di negara ini dapat menjalani ibadah puasa dengan sempurna.

Hari ini, saya ingin memaklumkan kepada saudara-saudari semua mengenai perkembangan terkini pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat atau PKPB yang bermula pada 4 Mei yang lalu.

Alhamdulillah, saya lihat pelaksanaan PKPB telah berjalan dengan lancar dan teratur. Tidak berlaku kesesakan luar jangka di stesen-stesen pengangkutan awam, di dalam LRT, MRT, bas, restoran dan lain-lain.

Nampaknya, rata-rata rakyat mematuhi SOP yang ditetapkan.

Sektor-sektor ekonomi juga telah mula dibuka. Mereka yang terkandas di kampung halaman atau di tempat-tempat lain telah mula balik ke rumah masing-masing. Pelajar-pelajar universiti yang terkandas di kampus juga telah pulang ke pangkuan keluarga masing-masing. Alhamdulillah.

Ramai dalam kalangan saudara-saudari juga telah mula bekerja.

Sehingga hari ini dianggarkan seramai 6.64 juta atau 43.6 peratus pekerja telah kembali bekerja. Saya jangkakan jumlah ini akan meningkat dalam tempoh beberapa minggu yang akan datang.


InsyaAllah, dengan peningkatan jumlah pekerja yang kembali bekerja dalam pelbagai sektor industri dan perniagaan, kegiatan ekonomi di negara kita akan dapat digerakkan semula.

Yang bekerja akan dapat gaji.

Yang berniaga akan beroleh pendapatan dan keuntungan.

Hasil pendapatan ini boleh dibelanjakan dalam sistem ekonomi kita yang akhirnya menjana pertumbuhan ekonomi negara.

Saya nak mengucapkan terima kasih kepada kerajaan-kerajaan negeri yang telah memberikan kerjasama kepada kerajaan persekutuan dalam usaha membuka semula sektor-sektor ekonomi di negeri masing-masing.

Saya juga bersyukur kerana kes-kes baharu Covid-19 kekal rendah dan terkawal. Kadar kesembuhan juga tinggi. Sehingga 9 haribulan Mei, seramai 4,929 atau 74.8 peratus pesakit telah sembuh. Saya nak mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua doktor, jururawat dan semua petugas kesihatan yang telah bersama-sama membantu merawat kesemua pesakit ini sehingga mereka sembuh.

Saya juga nak berkongsi satu berita baik dengan saudara-saudari. Dalam satu kajian yang dilakukan oleh sebuah agensi penyelidikan yang berpangkalan di Singapura, Malaysia berada di tangga ke empat daripada 105 buah negara dari segi tahap kepuasan hati rakyat terhadap usaha yang dilakukan oleh kerajaan dalam menangani wabak Covid-19.

Jadi, sekali lagi saya nak mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada semua petugas barisan hadapan kita yang telah banyak berkorban sepanjang tempoh dua tiga bulan ini untuk memastikan semua rakyat Malaysia terselamat daripada wabak COVID 19. Saya juga nak merakamkan ucapan terima kasih kepada saudara-saudari sekalian seluruh rakyat Malaysia dari Perlis hingga ke Sabah yang sentiasa berdisiplin mematuhi arahan PKP dan PKPB sehingga memudahkan para petugas barisan hadapan kita menangani krisis ini.

Hasil daripada usaha bersungguh-sungguh yang dilakukan oleh para petugas barisan hadapan dan disiplin saudara-saudari sepanjang tempoh PKP dan PKPB dilaksanakan, kita telah berjaya menjadikan hampir seluruh mukim atau zon di negara kita berstatus hijau. Kawasan-kawasan ini tidak mencatatkan sebarang kes positif COVID 19 baharu dalam tempoh dua minggu yang lalu.

Daripada 1,178 mukim, bahagian, zon, sub-zon dan presint di seluruh negara, sebanyak 1,112 atau 94.4 peratus telah dikategorikan sebagai hijau, manakala 62 atau 5.2 peratus dikategorikan sebagai kuning dan hanya 4 atau 0.34 peratus yang masih berstatus merah. Yang dimaksudkan dengan status merah ialah kawasan-kawasan yang mencatatkan lebih 40 kes positif Covid-19.

Untuk makluman saudara-saudari, terdapat 4 kawasan setakat ini yang masih berstatus merah iaitu: Mukim Batu, Gombak, Selangor; Zon Batu, Mukim Batu, Kuala Lumpur; Zon Kampung Baharu, Mukim Bandar, Kuala Lumpur; dan Mukim Pedas, Daerah Rembau, Negeri Sembilan.

Bagi penduduk di kawasan-kawasan ini, saya nasihatkan supaya lebih berhati-hati apabila keluar rumah. Amalkan penjarakan sosial. Pakai penutup mulut dan hidung. Sentiasa bersihkan tangan. Kalau boleh kurangkan aktiviti di luar rumah.

Bagi penduduk di luar kawasan ini, nasihat saya pertamanya jangan berkunjung ke kawasan ini buat masa ini. Itu lebih baik supaya kita tidak terdedah kepada jangkitan wabak Covid-19.

Keduanya, bagi penduduk di kawasan hijau, jangan ingat anda semua telah selamat dan boleh bergerak ke sana sini dengan bebas. Saudara saudari mungkin beranggapan yang saudara-saudari tidak akan dijangkiti wabak ini kerana berada di kawasan hijau. Tetapi saya nak ingatkan selalu yang virus COVID 19 ini adalah musuh senyap yang kita tak nampak. Ia boleh menyerang kita pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja.

Jadi, berhati-hatilah. Penjarakan sosial, memakai topeng mulut dan hidung, dan membersih tangan mestilah terus diamalkan sehinggalah kita berjaya menemui vaksin untuk virus ini.

Menurut pandangan pakar perubatan, proses menghasilkan vaksin biasanya mengambil masa yang agak lama iaitu antara 12 hingga 18 bulan. Saya telah berhubung dengan beberapa pemimpin negara luar dan dimaklumkan ujian-ujian klinikal sedang giat dilaksanakan untuk menghasilkan vaksin bagi virus ini. Saya berharap vaksin dapat dihasilkan seberapa segera supaya kita boleh bebas daripada ancaman Covid-19 dengan secepat mungkin.

Saudara-saudari yang saya kasihi sekalian,

Walaupun kita telah mencapai banyak perkembangan positif dalam usaha memerangi wabak Covid-19, usaha kita masih belum berjaya sepenuhnya. Langkah-langkah masih perlu diambil untuk memerangi wabak ini. Dari segi pandangan umum juga saya dapati rata-rata rakyat mahukan supaya kerajaan terus mengambil langkah-langkah yang wajar untuk memerangi wabak ini.

Justeru, atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia dan Majlis Keselamatan Negara, saya ingin mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat atau PKPB yang berkuatkuasa sehingga 12 Mei 2020, akan disambung lagi sehingga 9 Jun 2020, iaitu selama 4 minggu lagi.

Ini bermakna, semua peraturan dan SOP yang dilaksanakan sepanjang tempoh PKPB pada masa ini akan kekal berkuatkuasa sehingga 9 Jun 2020. Sebarang perubahan mengenai peraturan, SOP atau senarai sektor yang dibenarkan beroperasi akan dimaklumkan dari masa ke semasa.

Dalam tempoh ini, ada beberapa perayaan utama yang lazimnya akan melibatkan pergerakan orang ramai, iaitu Hari Raya Aidilfitri, Pesta Kaamatan dan Hari Gawai. Jadi saya nak mengingatkan saudara-saudari tentang larangan pergerakan antara negeri yang masih berkuatkuasa dalam tempoh ini. Ini bermakna, minta maaf banyak-banyak, saya mohon ampun, demi menjaga keselamatan dan kesihatan kita semua, perjalanan balik kampung merentas sempadan negeri untuk tujuan berhari raya tidak dibenarkan.

Saya tahu ramai yang sedih tak dapat balik berhari raya di kampung bersama keluarga. Bersabarlah. Bila keadaan kembali pulih sedikit masa lagi, saudara-saudari bolehlah balik ke kampung halaman menziarahi ibu bapa dan sanak saudara.

Stesen-stesen TV dan Radio bolehlah mainkan lagu Dendang Perantau sekali-sekala. Kalau dimainkan selalu saya pun berasa sayu juga.

Mainkanlah lagu-lagu Hari Raya yang boleh menceriakan suasana. Saya tengok dalam YouTube ada lagu "Jange Kelik La Weii". Lagu ni pun OK lah.

Tetapi ini tak bermakna kita tak boleh menyambut perayaan Aidilfitri, Pesta Kaamatan atau Hari Gawai. Ziarah-menziarahi dibenarkan dalam kalangan jiran terdekat dan keluarga yang tinggal dalam negeri yang sama dengan had maksimum 20 orang pada satu-satu masa. Jadi tak perlulah buat jamuan besar-besaran atau rumah terbuka.

Setiap keluarga hendaklah mematuhi SOP kesihatan seperti penjarakan sosial, pemakaian penutup mulut dan hidung, dan amalan kebersihan kendiri seperti penggunaan hand sanitizer sepanjang sambutan perayaan ini. Pastikan rumah sentiasa bersih. Basuh pinggan mangkuk, sudu garpu, periuk belanga dan lain-lain selepas digunakan untuk menjamu tetamu yang hadir.

Kementerian Kesihatan juga menyarankan agar saudara-saudari elakkan daripada berada di tempat yang sesak atau tempat yang tertutup. Kalau nak bersembang dengan tetamu pun, jarak-jarakkan sedikit. Tidak perlulah duduk terlalu rapat.

Mengenai solat berjemaah di masjid, termasuk solat Jumaat, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia sedang memperhalusi tatacara atau SOP tertentu yang boleh diamalkan oleh para jemaah. InsyaAllah, selepas SOP ini dimuktamadkan dan dipersembahkan kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong dan Raja-Raja selaku Ketua Agama Islam persekutuan dan negeri-negeri untuk diperkenankan, kerajaan akan mengumumkan kebenaran untuk bersolat jemaah di masjid.

Saya tahu ramai umat Islam rindu untuk ke masjid, terutamanya untuk mendirikan solat Jumaat, solat terawih dan solat lima waktu. InsyaAllah, kita doakan keadaan akan bertambah baik. Tambahan pula telah banyak kawasan-kawasan hijau di seluruh negara. Dengan pelaksanaan SOP yang teratur, saya percaya masjid-masjid di kawasan ini telah bersedia untuk dibuka kepada ahli-ahli kariah. Berikan sedikit masa kepada pihak berkuasa agama Islam untuk memperhalusi SOP yang berkaitan.

InsyaAllah, dalam masa terdekat ini kita boleh menunaikan ibadat kita dengan lebih sempurna dan syiar Islam akan bersinar semula.

Begitu juga dengan gereja dan rumah-rumah ibadat bagi penganut agama Kristian, Buddha, Hindu, Sikh dan lain-lain. Kerajaan akan mengumumkan SOP tertentu untuk membolehkan saudara-saudari yang beragama bukan Islam mengerjakan ibadat di rumah ibadat masingmasing.

Mengenai perjalanan rentas negeri, saya diberitahu ada pasangan suami isteri yang tinggal berjauhan atas urusan kerja. Misalnya, suami bekerja di Perlis, isteri di Johor. Oleh kerana larangan perjalanan rentas sempadan negeri, ada suami yang dah tak berjumpa anak dan isteri selama dua bulan. Jadi saya nak mengumumkan kita berikan kelonggaran kepada pasangan suami atau isteri ini untuk melakukan perjalanan entas sempadan negeri bagi tujuan berjumpa dengan keluarga. Bagi yang melibatkan perjalanan rentas negeri Sabah dan Sarawak, saya mohon supaya kerajaan negeri Sabah dan Sarawak juga memberikan kelonggaran yang sama. Permohonan boleh dibuat melalui aplikasi Gerak Malaysia atau hadir sendiri ke balai polis yang berdekatan.

Mengenai isu bayaran Bantuan Prihatin Nasional, saya dengar ada rungutan daripada orang ramai yang gagal menerima bayaran ini atas pelbagai sebab. Antaranya kerana maklumat yang diisi tidak lengkap. Ada juga yang permohonannya ditolak kerana dalam rekod menunjukkan pendapatan melebihi syarat kelayakan. Tetapi mereka sebenarnya telah hilang pekerjaan dan hilang sumber pendapatan. Ada juga antara yang memohon adalah pelajar yang telah menerima bantuan BPN bagi kategori pelajar. Jadi permohonan mereka untuk mendapatkan bayaran BPN bagi kategori bujang ditolak.


Ini antara sebab-sebab permohonan ditolak. Mengambil kira semua perkara ini, YB Menteri Kewangan telah bersetuju untuk melanjutkan tempoh rayuan permohonan BPN sehingga 31 Mei 2020.

Selain menghantar emel, para pemohon yang mana permohonan mereka tidak diluluskan boleh hadir sendiri ke kaunter-kaunter LHDN untuk membuat rayuan bermula hari Isnin 11 Mei 2020. Bagi negeri-negeri yang bercuti esok, bolehlah pergi ke kaunter LHDN pada hari Selasa 12 Mei 2020. Saya tak berjanji semua rayuan boleh diluluskan. Tetapi manamana rayuan yang memenuhi syarat dan munasabah, insyaAllah boleh diluluskan.

Saya juga nak maklumkan, semalam kerajaan telah meluluskan 2.3 juta permohonan BPN, termasuk permohonan baharu dan rayuan, yang melibatkan jumlah perbelanjaan sebanyak RM1.7 billion. Dengan kelulusan tersebut, jumlah penerima BPN setakat ini ialah 10.6 juta orang yang melibatkan bayaran berjumlah RM11 billion.

Saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian, Kita telah cuba melakukan yang terbaik dalam usaha memerangi wabak COVID 19. Usaha kita ini telah menunjukkan petanda kejayaan.

Tetapi saya nak nasihatkan supaya kita jangan alpa. Kita masih di peringkat awal pelaksanaan PKPB. Dengan jumlah orang ramai yang mula keluar dari rumah untuk bekerja semakin meningkat, risiko jangkitan juga turut meningkat.

Jadi, beberapa minggu ke hadapan ini agak kritikal bagi kita. Hasil pelaksanaan PKPB hanya dapat dilihat dalan tempoh beberapa minggu lagi. Jika berlaku peningkatan kes yang ketara dalam tempoh ini, kerajaan akan terpaksa melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan atau PKPD bagi kawasan-kawasan yang terjejas.

Kita nak elakkan perkara ini daripada berlaku. Oleh sebab itu, saya nak merayu kepada saudara saudari semua supaya patuhilah SOP yang ditetapkan oleh kerajaan. Bukan susah. Mudah sahaja. Elakkan tempat yang sesak. Amalkan penjarakan sosial. Pakai penutup mulut dan hidung.

Sentiasa basuh tangan atau gunakan hand sanitizer. Selain itu, keluar rumah hanya jika perlu sahaja. InsyaAllah, kita berdoa mudah-mudahan kita akan berjaya memerangi wabak Covid-19 bersama-sama.

Kepada semua umat Islam saya ucapkan selamat menjalani ibadah puasa. Juga kepada para ibu, selamat menyambut Hari Ibu pada hari ini.

Wabillahi al-taufiq wal hidayah wassalamu 'alaikum wa rahmatullahi wa

barakatuh."


-myMetro
Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner


This post first appeared on Blog Sensasi, please read the originial post: here

Share the post

#TERKINI ~ Ucapan penuh perutusan khas PM

×

Subscribe to Blog Sensasi

Get updates delivered right to your inbox!

Thank you for your subscription

×