Get Even More Visitors To Your Blog, Upgrade To A Business Listing >>

#COVID19 ~ Potensi bom jangka dalam penjarakan sosial

Oleh: DR KAMARUDIN MUSA

Negara sudahpun telah melepasi fasa pertama Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 18 Mac hingga 31 Mac dan fasa kedua bermula 1 April hingga 14 April sedang dalam menuju kepda pengakhirannya. Fasa ketiga PKP akan bermula pada 15 April 2020 hingga 28 April 2020.

Persoalannya apakah apabila tamatnya fasa ketiga nanti, maka tiada lagi fasa keempat? Negara akan kembali kepada keadaan asal dengan aktiviti normal? Sukar untuk diberikan jawapan, memandangkan Covid-19, merupakan isu global, merentasi sempadan negara.

Mungkin juga Covid-19 ini adalah antara kesan globalisasi yang mengubah fenomena hubungan dunia dalam segala aspek yang tentunya memberikan kesan yang kuat terhadap ekonomi dan kehidupan sosial manusia.

Sebagai pandemik global, Covid-19 telah menyebabkan lebih daripada 1,780,312 orang telah dijangkiti Covid-19 melibatkan lebih daripada 108,827 kematian, manakala jangkitan aktif seramai 1,267,456 sehingga 12 April 2020 diseluruh dunia.

Keadaan ini menunjukkan isu wabak Covid-19, melibatkan hampir semua destinasi tumpuan manusia, melampaui corak kehidupan.


Keadaan ini tentunya menimbulkan sedikit kesukaran untuk proses pengawalan, memandangkan Covid-19 bukan merupakan isu yang bersifat lokaliti, sebaliknya merentasi sempadan benua. Keadaan ini telah menyebabkan beberapa negara mula bertindak untuk menutup pintu sempadan masing-masing serta membataskan kemasukan orang luar (warga asing).

China, India, Singapura, Taiwan, Vietnam, New Zealand dan Australia umpamanya telah menyekat kemasukan penduduk luar daripada memasuki negara masing-masing. Bermakna negara-negara dunia akan mengambil tindakan drastik untuk menyekat kemasukan rakyat asing, sebagai sebahagian daripada tindakan pencegahan. Bermakna Covid-19 ini secara tidak langsung menjadi punca kepada proses pengasingan antara negara yang bertentangan sekali dengan agenda globalisasi.

Berdasarkan hakikat ini, susunan tata hubungan antara negara mungkin akan terbentuk dalam wajah baru, dunia bukan lagi kampung yang mesra sempadan, sebaliknya tertakluk kepada sekatan serta halangan fizikal, sekurang-kurangnya untuk 5 tahun akan datang. Prinsip globalisasi, kelonggaran prosedur dan peraturan lintasan negara akan menjadi semakin ketat serta penuh keterbatasan.

Menghentikan aliran keluar masuk pergerakan manusia antara negara, menjadikan perpindahan serta pergerakan hubungan manusia terbatas, perjalanan udara semakin mengecil, sekurang-kurangnya untuk beberapa tempoh waktu ini. Apa yang jelas Covid-19, menjadikan hubungan global manusia sudah terpinggir secara fizikal, meskipun masih beroperasi melalui alam maya namun Covid-19 telah menjadi pencetus kepada pengasingan hubungan fizikal antara individu. “Stay at home” telah menjadi fenomena sejagat, manakala “work from home” mula menjadi realiti meski pun sebagai pilihan terakhir.

Ledakan teknologi maklumat mungkin menjadi alternatif kepada konteks hubungan fizikal, namun sudah tentu tidak akan memberikan nilai signifikan kepada definisi perhubungan antara manusia serta untuk membina nilai sentimental dalam konteks perhubungan emosi antara individu, apa lagi dalam mempertaruhkan nilai empati secara lebih signifikan, penjarakan sosial itu sendiri sudah menunjukkan unsur terasing serta penghindaran dalam hubungan.

“Stay at home” itu sendiri sudah menjadi petunjuk kepada kerenggangan sosial, itulah salah satu serangan Covind-19 dalam realiti hubungan sosial, bagaimanapun dalam aspek lain Covid-19 membawa kepada kepedulian keluarga, hanya kerana semua anggota berkumpul dan berinteraksi dalam ruang rumah, tiada lagi kesibukan mengejar urusan di luar rumah.

Kunci kata yang dicetuskan oleh Covid-19 adalah penjarakan sosial, sebagai tindakan pencegahan untuk mengelak daripada berlakunya penyebaran penyakit secara drastik dan tidak terkawal. Mungkin konsep penjarakan sosial boleh dijadikan mekanisme yang konkrit sebagai “detterent” bagi menghalang berlakunya interaksi sosial.

Sehingga kini praktis utama negara-negara yang terlibat dengan Covid-19, adalah menguatkuasakan undang-undang darurat atau melaksanakan Perintah Sekatan Pergerakan (PKP). Mengambil contoh China yang telah bertindak melaksanakan penguncian “lockdown” Wuhan, secara drastik dapat membendung kes-kes baru Covid-19 daripada merebak.

Pendekatan membina jarak sosial, dikatakan antara kaedah berkesan dalam mengekang virus Covid-19 daripada terus menjangkiti manusia, tindakan memutuskan rangkaian atau rantaian penyebaran, secara tidak langsung merupakan salah satu aspek teknikal dalam proses pencegahan. Dalam konteks Malaysia, rakyat umumnya sedang dalam fasa kedua dan menganjak kepada fasa ketiga dalam menjalani PKP, namun sehingga kini masih lagi belum memperlihatkan potensi sebenar dalam usaha untuk membendung penularan Covid-19.

Kes-kes penularan baru masih berlaku, 3 April 2020 (217 kes), 4 April 2020 (150 kes), 5 April 2020 (179 kes), 6 April 2020 (131 kes), 7 April 2020 (170 kes), 8 April 2020 (156 kes) dan sehingga 9 April 2020 (109 kes). Secara keseluruhan jumlah kumulatif sebanyak 4,228 kes, kes yang pulih keseluruhan secara kumulatif 1,608.

Ternyata kewujudan kes-kes baru tidak konsisten daripada segi jumlah yang kelihatan menurun dan menaik, bilang kes tertinggi direkodkan pada 3 April 2020, menurun pada 6 April 2020, namun secara keseluruhan kes-kes harian dicatatkan tidak memperlihatkan gambaran menghala kepada sifar kes. Meskipun keluk sedikit melandai, namun tidak menjamin akan penularan wabak Covid-19 akan terputus.

Keadaan ini menggambarkan pandemik Covind-19, akan terus menjadi bom jangka yang akan menghantui kesejahteraan hidup rakyat, sekali gus mengganggu akan gerak kerja ekonomi. Hakikatnya untuk melandaikan keluk, maka perlu diturunkan angka di garisan menegak, bermakna merendahkan kes berdasarkan hari di garisan mendatar. Namun berdasarkan kedudukam semasa, garisan menegak tidak memperlihat penurunan yang sekata, sebaliknya dalam realisasi gelombang turun-naik, ini tentunya memberi risiko terhadap peningkatan kes Covid-19, khususnya sekiranya PKP ditamatkan pada 28 April 2020 nanti.

Situasi kes kelihatannya masih tidak stabil dan memperlihatkan ruang yang agak besar untuk menjadi gelombang tsunami, sekiranya proses pembendungan tidak dipandang secara serius oleh semua pihak. Situasi yang wujud, memperlihatkan penamatan PKP akan memecahkan empangan pembendungan, sudah tentunya kes Covid-19 akan terus bergentayangan. Realitinya Covid-19 adalah isu yang merentasi sempadan ini hakikat yang perlu diberikan penekanan.

Formula untuk menghentikan jangkitan adalah jarak sosial, penjarakan sosial dan jaga jarak.Kaedahnya adalah melalui Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), meminimumkan interaksi sosial dan mewujudkan pemisahan sosial atau dalam situasi ekstrem menuntut pelaksanaan penguncian (lockdown). Sekiranya PKP ditamatkan pada 28 April 2020, persoalannya apakah jaminan bahawa penjarakan sosial ini dapat dilaksanakan dan terus menjadi amalan dalam kalangan Masyarakat?

Perkara ini menjadi isu yang amat kritikal, memandangkan kes-kes baru Covid-19 masih berterusan wujud dan tidak pula menampakkan angka yang menurun secara drastik selang antara minggu, umpamanya di antara 3 April 2020 hingga 9 April 2020, purata jangkitan baru adalah sebanyak 158.8 kes, masih berada pada paras yang agak tinggi, iaitu paras yang berada dalam lingkungan sukar untuk diurus.

Penyumbang terbesar adalah kes jangkitan yang berlaku pada 3 April 2020 (217 kes). Meski pun berlaku penurunan kes, namun tidak membawa kepada penurunan yang bersifat signifikan mengarah kepada pelandaian keluk. Berdasarkan konsep “Zero Defects” atau Kecacatan Sifar Phillips Crosby, sesuatu kecacatan perlu diminimumkan kepada tahap yang paling rendah bersepadanan dengan keupayaan untuk mengurus, berdasarkan kekuatan fasiliti dan sumber manusia.


Asas kepada prinsip pencegahan adalah berlandaskan kepada keupayaan untuk melaksanakan tindakan pengekangan, menentukan kecacatan tidak kembali kepada senario asal atau berkembang kembali kepada jumlah yang lebih besar sehingga menghilangkan keupayaan untuk mengawal serta mengurus. Berdasarkan purata kes penularan jangkitan baru untuk selama 7 hari tersebut, maka potensi jangkitan tersebut untuk berterusan menular merupakan sesuatu yang sukar untuk dinafikan.

Maka adalah lebih praktikal pihak berkuasa meletakkan sasaran piawai kes yang boleh dijadikan ukuran kemampuan pengendalian, bukan sahaja dalam aspek rawatan, sebaliknya juga dalam pengendalian ujian potensi penularan kes. Bermakna, mewujudkan satu standard ukuran yang boleh dijadikan perbandingan prestasi bagi menentukan piawai mutlak jumlah minimum kes, bagi mendefiniskan nilai kejayaan dalam konteks pengawalan dan pengekangan jangkitan Covid-19, maka dengan itu negara boleh dibebaskan daripada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Kegaagalan dalam meletakkan piawai ukuran pengandalian serta pengurusan kes, akan menyebabkan negara akan terus berdepan dengan kesulitan untuk mengendali penularan Covid-19, keadaan ini secara tidak langsung akan menjadikan ketidakstabilan sosial, ekonomi serta tekanan psikologi rakyat.

Realitinya, usaha untuk melandaikan keluk akan menimbulkan kesukaran, memandangkan bukan sahaja bergantung kepada aspek pengesanan kes, sebaliknya bergantung juga kepada aspek kes yang berada di luar kawalan. Di sinilah sebenarnya menuntut pihak kerajaan menentukan peta strategi yang jelas dan kompetatif serta beorientasikan pelaksananaan dalam konteks mengimplementasi reka bentuk perubahan budaya sosial. Apa yang jelas, berdasarkam penemuan faktor utama perebakan wabak Covid-19 adalah melalui perhubungan sosial yang terjalin daripada perhimpunan dan aktiviti berkumpulan, sebagaimana kes penularan di Malaysia terbentuk hasil daripada perhimpunan jemaah tabligh, gereja dan majlis kenduri perkahkahwinan yang membuka ruang ke arah konteks sosial secara langsung.

* Dr. Kamarudin Musa adalah pensyarah Fakulti Pengurusan dan Ekonomi Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

source

Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner



This post first appeared on Blog Sensasi, please read the originial post: here

Share the post

#COVID19 ~ Potensi bom jangka dalam penjarakan sosial

×

Subscribe to Blog Sensasi

Get updates delivered right to your inbox!

Thank you for your subscription

×