Get Even More Visitors To Your Blog, Upgrade To A Business Listing >>

#PTPTN ~ Salah siapa peminjam enggan bayar balik?

KENYATAAN MEDIA

1. Saya setuju kalau usaha dibuat supaya penerima pinjaman PTPTN membayar hutang pinjaman mereka. Ini kerana itulah yang dilakukan oleh PTPTN sewaktu dibawah Kerajaan BN dahulu. Walaupun usaha kita dulunya ditentang dan kononnya kita zalim serta tidak menjaga anak muda, namun itu dibuat untuk pastikan aliran pusingan kewangan kita berjalan dengan baik demi kelestarian PTPTN serta memastikan keupayaan PTPTN menyediakan dana secukupnya untuk hampir 200,000 pelajar baharu dan sekitar 600,000 pelajar sedia ada yang sedang belajar di universiti. Ini kerana setiap tahun PTPTN mesti sediakan dana antara RM3 bilion - RM4 bilion untuk keperluan pembiayaan pendidikan. Ini kita lakukan dalam usaha mengurangkan kebergantungan PTPTN kepada institusi kewangan bagi mendapatkan dana untuk pembiayaan pelajar. Kita mahu gunakan kutipan balik itu untuk diberikan pula kepada pelajar baharu.

2. Namun jika melabelkan keseluruhan mereka sebagai " tidak amanah" ia rasanya adalah tidak berapa sesuai. Ini kerana kerajaan atau Wan Saiful selaku Pengerusi PTPTN perlu memahami bahawa banyak sebab kenapa mereka yang telah dapat pembiayaan ini tidak membayar balik pinjaman. Saya akui ada sebahagiannya memang sengaja tidak mahu membayarnya walaupun mereka sudah punyai pendapatan tetap. Bagaimanapun, ada juga faktor lain yang menyebabkan mereka tidak bayar misalnya masih lagi tidak bekerja, ada yang bekerja tetapi pekerjaan mereka masih di bawah tahap kelulusan yang mereka miliki. Kalau hendak diteliti banyak lagi faktor lain, tetapi juga ramai yang tidak bayar hutang sebenarnya kerana terpengaruh dengan janji pembangkang dahulu yang menjadi kerajaan sekarang.

3. Saya ingin kongsi pengalaman bahawa, pernah suatu ketika aliran pusingan kewangan PTPTN berada dalam keadaan tidak baik dan jauh merosot. Ramai yang tidak membayar pinjaman. Kenapa mereka tidak mahu bayar ? Ini kerana terpengaruh dengan mainan politik dan janji populis pembangkang ketika itu. Di mana menjelang PRU13, ramai terpedaya kononnya “ hutang PTPTN akan dihapuskan “. Kesannya aliran kewangan PTPTN begitu teruk akibat ramai tidak membayar pinjaman kerana terpengaruh dengan janji pembangkang untuk hapuskan hutang dan PTPTN.

4. Apabila ramai tidak membayarnya menyebab dana tidak cukup maka potongam terpaksa dibuat sebanyak 5% kepada pelajar ke IPTA dan 15% pinjaman pelajar ke IPTS. Ini satu daripada “ jasa “ pembangkang ketika itu kepada rakyat. Potongan terpaksa dibuat kerana kutipan jatuh hanya sekitar RM50 juta sebulan dan hanya sekitar RM700 juta setahun ketika itu. Sedangkan PTPTN mesti mengutip semula pinjamannya paling kurang RM900 juta setahun. Inilah kesannya jika ramai tidak membayar hutang pinjaman.

5. Pada saya apa yang penting Kerajaan PH melalui Pengerusi PTPTN mesti lakukan usaha secara bersungguh. Ketika ini belum nampak sesuatu pendekatan terbaharu kerajaan lakukan melainkan hanya kenyataan media sahaja atau menyambung apa yang PTPTN lakukan sejak dulu. Walaupun melepaskan sekatan imigresen dilakukan, pada saya itulah antara punca jumlah kutipan merosot dan menyebabkan bilangan mereka tidak membayar hutang sukar dikurangkan. Ini kerana polisi itu mengalakkan mereka tidak membayar hutang.

6. Suka saya nyatakan, Kerajaan BN dahulu sedar tentang semua ini. Kita faham masalah yang mereka hadapi. Jadi kita melakukan pelbagai usaha mengalakkan pembayaran dilakukan, antaranya ialah memberikan diskaun 10% kepada yang membayar sekurangnya 50% pinjamannya atau kepada mereka membuat potong gaji dan 20% yang membayar penuh baki hutangnya. Ini yang kita lakukan. Malah saya ingat PTPTN di zaman Kerajaan BN telah mempermudahkan segala urusan di mana mengurangkan urusan di kaunter dan hanya berurusan dihujung jari melalui pelbagai kaedah setanding, malah ada diantaranya melebihi apa yang dilakukan oleh institusi kewangan dalam negara ini.

7. Kemudian, di Sambutan Ulang Tahun Ke 20 Tahun PTPTN pada awal 2018 lalu, PTPTN melancarkan program “Jobmatching” iaitu program Nasional Blue Ocean Strategy ( NBOS ) atau kolobrasi dengan sektor swasta di mana antara lain ia adalah usaha menyediakan peluang pekerjaan kepada peminjam kita yang tidak mampu membayar pinjaman. Ini bermakna PTPTN sewaktu Kerajaan BN terdahulu mempelbagaikan usaha untuk mendapatkan semula pinjaman PTPTN. Kita lakukan pelbagai usaha dan tidak menyalah atau memaksa mereka membayar saja malah melaksanakan konsep mesra pelanggan atau#bolehbincang.

8. Semua langkah ini, berjaya membuahkan hasil iaitu mengikut rekod menjelang 2018 kita telah berjaya kurangkan jumlah peminjam yang langsung tidak pernah membayar balik pinjamam mereka. Iaitu mereka yang di kumpulan langsung tidak pernah membayar balik pinjaman.

9. Malah kutipan balik pinjaman PTPTN meningkat 2016 kepada sekitar RM3.4 bilion setahun dan lebih RM3.9 bilion diperolehi pada 2017 bersama dengan Simpanan SSPNi PTPTN. Kerana itu juga PTPTN sejak beberapa tahun telah menukar imejnya kepada Tabung Pendidikan PTPTN. Ini sebagai usaha kerajaan ketika itu mengalak rakyat menabung agar kebergantungan kepada pinjaman dikurangkan dan rakyat beralih untuk melanjutkan pelajaran dengan menggunakan duit simpanan mereka. Budaya ini kita terapkan di kalangan rakyat.

10. Justeru, kalau Kerajaan PH hanya melabelkan peminjam dengan pelbagai gelaran ianya adalah tidak wajar sebaliknya usaha sebagaimana kerajaan terdahulu lakukan hendaklah dibuat. Sebab itu jugalah,

kalau ditanya siapa sebenarnya yang tidak amanah tentulah kerajaan hari ini.

Kenapa saya berkata begitu sebab rakyat khususnya anak muda menggundi mereka kerana termakan janji manis Pakatan Harapan sewaktu kempen menjelang PRU14. Apabila janji tidak ditunai itu sebenarnya tidak amanah.

11. Justeru, sebagai bekas Pengerusi PTPTN, saya memang tidak setuju jika bayaran balik dimulai di tangga gaji RM4000. Walaupun alasan Wan Saiful Pengerusi PTPTN kononnya data PTPTN tidak lengkap yang menjadi punca ia tidak dilaksana. Pada saya ianya adalah alasan beliau untuk mengelak melaksanakannya kerana mungkin apabila sudah menjadi Pengerusi PTPTN baharu dia sedar bahawa kesan besar pada kewangan PTPTN akan berlaku jika ia dilaksana.

12. Dan satu lagi ingin saya nyatakan adalah tidak tepat jika mengatakan bahawa bekas Perdana Menteri telah mendidik peminjam agar tidak bayar hutang PTPTN. Kerana lihatlah siapa yang tidak bayarnya. Ada antara mereka adalah daripada kumpulan pertama atau terawal mendapat pinjaman yakni sebelum Dato Sri Najib Razak menjadi Perdana Menteri lagi .

*YB DATO’ DR SHAMSUL ANUAR HJ NASARAH*
Ahli Parlimen Lenggong
TARIKH : 23 SEPTEMBER 2018

sumber

p/s:Pendapat penulis tidak semestinya menjadi pendapat Blog Sensasi

Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner


This post first appeared on Blog Sensasi, please read the originial post: here

Share the post

#PTPTN ~ Salah siapa peminjam enggan bayar balik?

×

Subscribe to Blog Sensasi

Get updates delivered right to your inbox!

Thank you for your subscription

×