Get Even More Visitors To Your Blog, Upgrade To A Business Listing >>

15 Peranti Paling Unik Pernah Dihasilkan LG

LG dilaporkan akan mengundurkan diri dari perniagaan Telefon mudah alih pada minggu hadapan. Ini akan menjadikan mereka sebuah lagi syarikat ternama (Nokia, HTC, Ericsson) yang pernah gah tetapi tersungkur kerana gagal memenuhi keperluan semasa dan mencabar syarikat baharu dari China yang lebih berinovasi.

Kami yakin sejak mereka menarik diri dari pasaran Malaysia, ramai terlupa bahawa syarikat ini pernah menghasilkan pelbagai Peranti unik dan berinovasi. Berikut ialah senarai 15 peranti paling unik pernah mereka hasilkan. Kami hanya menyenaraikan peranti yang dilancarkan tidak termasuk peranti konsep seperti LG Rollable.


1.LG AKA (2014) – Peranti Ada Mata

Mulakan dahulu dengan peranti yang paling aneh sehingga membuatkan kami menggaru kepala. LG AKA ialah telefon pintar yang mempunyai kerangka yang menutup sebahagian Skrin hadapan. Hanya bahagian atas terdedah dan menunjukkan mata yang mengikut pergerakan pengguna. Pengguna juga boleh mengubah mata dan kemana ia akan memandang. Gimik aneh ini memerlukan kerangka dibuka setiap kali peranti ingin digunakan sehingga melecehkan. Setahu kami LG AKA hanya ditawarkan di Korea Selatan,Hong Kong, Taiwan, China, Singapura dan Turki sahaja dimana kecomelannya mungkin dilihat menarik tetapi dianggap terlalu aneh untuk pasaran lebih global.

2.LG K7i (2017) – Peranti Halau Nyamuk

Peranti ada mata ialah gimik yang sebenarnya tidak begitu berguna. Kita teruskan pula dengan LG K7i yang mempunyai ciri sehingga kini tidak dapat ditemui pada peranti lain. Kekisi besar di belakang peranti bukan pembesar suara biasa tetapi memancarkan bunyi ultrasonik yang dikatakan boleh menghalau nyamuk. Sistem Mosquito Away yang pada asalnya digunakan LG pada pendingin hawa keluaran mereka digunapakai pada K7i. Seperti ARA, K7i turut hanya dijual di pasaran tertentu sahaja.


3.LG G7100 (2003) – Telefon Berubah Menjadi Kamera Video

Ramai menyangka Nokia N90 ialah telefon pertama dengan skrin berpusing yang membolehkan ia dipegang seperti sebuah camcorder kompak. Nokia N90 ialah telefon selular pertama dengan lensa Carl Zeiss tetapi status telefon selular pertama dengan rekaan seakan kamera video dipegang oleh LG G7100 yang dilancarkan dua tahun lebih awal. Sungguhpun begitu kamera dengan sensor VGA tidak boleh merakam video. Ciri ini hanya diperkenalkan pada G7200 yang dilancarkan kemudian. Yang pasti ramai mungkin tidak tahu rekaan ikonik ini diperkenalkan oleh LG tetapi Nokia yang lebih diingati ramai.

4.LG VX9400 (2007) – Telefon Berpusing Tony Stark

LG VX9400 ialah telefon yang memberikan inspirasi kepada LG Wing yang dilancarkan tahun lalu. Ia mula dikenali ramai selepas digunakan oleh Tony Stark di dalam filem Iron Man. Skrin berputar digunakan kerana ia mempunyai fungsi sekunder sebagai televisyen mudah alih. Pada tahun 2007, sokongan penstriman menggunakan aplikasi dan Internet pantas masih belum wujud makan peranti seperti VX9400 dihasilkan untuk memenuhi keperluan pengguna. Selain itu ia turut mempunyai kemampuan melakukan panggilan video. Ini ialah ciri yang amat penting sekiranya anda sedang diserang pengganas selepas menguji peluru berpandu Jericho.

5.LG G5 (2016) – Peranti Modular Komersial Pertama

Masihkah anda ingin trend menghasilkan peranti dengan aksesori modular setengah dekad lalu? Selepas Project Ara diumumkan pada tahun 2013, pengeluar Android lain berpusu-pusu untuk melancarkan produk sebenar ke pasaran. LG G5 diperlihatkan di MWC sebagai peranti modular komersial pertama dengan aksesori untuk pemegang seakan kamera dan HiFi DAC Bang & Olufsen untuk peminat audio. Modul dijual berasingan dan oleh sebab itu ia gagal menarik minat majoriti pengguna. Akibat LG G6 yang dilancarkan pada tahun 2017 kembali menggunakan rekaan konvensional.

6.LG G Flex (2013) – Skrin Dengan Lenturan Skrin Aneh Tetapi Ok

Adakah peranti terlalu rata sehingga sukar digunakan untuk melakukan panggilan telefon? Ya pembaca sekali pernah suatu ketika keselesaan ketika menggunakan telefon pintar sebagai telefon ialah ciri yang penting. Penyelesaian LG ialah peranti dengan tubuh dan skrin melengkung LG G Flex yang mengikut kontur wajah manusia. Lenturan yang aneh tetapi ok ini diteruskan sehingga dua generasi sebelum tidak lagi disambung. Di tahun 2021, tiada seorangpun manusia yang ingin peranti skrin melengkung kerana ia akan menyukarkan proses menonton video pada skrin.

7.LG G2 (2013) – Butang Kuasa Dan Laras Suara Di Belakang

Sehingga ke hari ini kami merasakan penggunaan pengimbas cap jari pada bahagian belakang adalah lebih mesra pengguna berbanding rekaan semasa. Ini dibuktikan oleh LG G2 yang mempelopori rekaan butang kuasa dan suara pada panel belakang. Amat mudah menukar kelantangan bunyi dan mematikan peranti dengan sebelah tangan. Bermula dari rekaan ini, pengimbas cap jari kemudiannya diperkenalkan sebelum ciri tatalan skrin dengan gestur disokong.

8.LG Optimus Vu (2012)- Telefon Skrin Empat Segi Sama

Sebelum wujudnya telefon pintar, kesemua telefon mudah alih mempunyai skrin empat segi sama. Pada tahun 2012, LG Optimus Vu dilancarkan sebagai telefon pintar pertama yang kembali kepada rekaan skrin yang sama Skrin yang sama turut menyokong stylus bagi memudahkan pengguna profesional yang baru berpindah dari PDA menggunakannya. Hanya tiga peranti siri Vu dilancarkan iaitu Vu, Vu II, dan Vu 3 sebelum digantikan oleh siri V10. Ini tidak bermakna trend skrin empat segi sama terkubur. Blackberry Passport dilancarkan dengan papan kekunci fizikal pada 2014. Seperti Vu, Passport dan kemudiannya Blackberry KEY2 juga gagal mendapat perhatian sehingga menjadi telefon terakhir dilancarkan Blackberry.

9.LG V10(2015) – Peranti Dengan Dua Skrin Hadapan

Optimus Vu dengan skrin empat segi sama tidak mendapat perhatian pengguna maka LG perlu mengubah taktik dengan satu lagi gimik unik. LG V10 dilancarkan pada tahun 2015. dengan dua skrin pada bahagian hadapan. Skrin sekunder ini akan sentiasa hidup untuk mempamerkan notifikasi dan digunakan untuk singkatan kepada aplikasi lain. Kenapa perlukan dua skrin? Kerana LG masih menggunakan skrin IPS LCD pada waktu ini. Bagi menyaingi ciri Always on Display pada skrin OLED Samsung, skrin sekunder kecil dianggap sebagai penyelesaian terbaik. Seperti kita semua tahu ia sebenarnya tidak.

10.LG V50 ThinQ (2019) – Peranti Dengan Aksesori Skrin Sekunder

Sedang Samsung sibuk membangunkan telefon dengan skrin boleh-lipat, LG menghasilkan peranti dwi-skrin mereka. LG V50 ThinQ ditawarkan dengan aksesori skrin sekunder yang membolehkan peranti berubah menjadi peranti dwi-skrin. LG meneruskan eksperimen ini dengan beberapa lagi model selepas V50 ThinQ. Kami tidak boleh memberikan komen sama ada ianya keputusan yang baik ataupun tidak kerana tidak pernah ditawarkan di Malaysia. Apa yang kami tahu selepas menggunakan Kyocera Echo, rekaan dwi-skrin bukan untuk kami kerana menyusahkan sahaja.

11.LG Optimus 3D (2011) – Peranti Dengan Skrin 3D Dan Rakaman Video Juga 3D

Ah kembali kita kepada LG Optimus 3D yang jika anda ingin tahu ialah antara peranti paling awal diulas di laman Amanz hampir 10 tahun lalu. Ia muncul ketika kegilaan gimik telefon dengan skrin dan kemampuan rakaman video secara tiga dimensi. Skrin boleh memaparkan kandungan 3D tanpa pengguna memakai cermin mata khas (seperti pada TV 3D pada waktu tersebut). Semasa dilancarkan ia bersaing dengan HTC Evo 3D di Malaysia. Kedua-duanya sama mahal tetapi sama juga bermasalah. Sehingga kini pengaman mengulas Optimus 3D mendatangkan PTSD kepada kami kerana antara yang paling teruk pernah kami gunakan.

12.LG G4 (2015) – Telefon Dengan Panel Kulit Asli

Vegan Leather ialah kemasan yang kerap digunakan pada versi paling premium keluaran Huawei dan Oppo. Tetapi ia masih lagi bukan kulit sebenar dan terasa sedikit licin. Bahan ini digunakan kerana ianya dilihat tidak kejam kepada haiwan. Tetapi sebenarnya kulit sebenar tidak tahan lasak menyebabkan penggunaan bahan sintetik adalah lebih baik. LG G4 ialah telefon komersial pertama (telefon Vertu dikeluarkan dalam jumlah yang kecik) dengan panel belakang diperbuat daripada kulit asli. Kami sempat mengulasnya selama seminggu dalam waktu yang singkat kulit sudah mula terkopak dan apabila basah mengeluarkan aroma yang “menarik”.

13.LG FX0 (2014) – Peranti Dengan Firefox OS Dan Tubuh Lutsinar

Firefox OS pernah cuba mencabar dominasi sistem operasi Symbian, Android dan iOS. Pada tahun 2014, LG FX0 dilancarkan dengan rekaan tubuh lutsinar yang amatlah menarik. Sekali lagi LG memulakan trend yang kemudiannya dipinjam Xiaomi Mi 8 Explorer. Seperti kesemua peranti yang ada dalam artikel ini, sekali lagi gimik yang digunakan LG untuk menarik pembeli gagal pada FX0.

14. LG BL40 Chocolate (2009) – Peranti Dengan Skrin 21:9

LG BL40 Chocolate yang memegang status sebagai telefon pertama dengan nisbah skrin 21:9. Kenapa 21:9? Kerana ia direka untuk dilihat seperti sebuah bongkah coklat yang enak dimakan. Dengan skrin memanjang, ia lebih awal menawarkan pengalaman menonton filem secara sinematik sebelum Xperia 1. Selain skrin AMOLED yang cantik, BL40 Chocolate juga dilengkapi kamera dengan lensa Schneider-Kreuznach  dengan sokongan rakaman video 480P yang amatlah beresolusi tinggi pada tahun 2009.

15. LG Rolly – Papan Kekunci Boleh Bergulung

Ini mungkin mengelat tetapi LG Rolly ialah aksesori untuk telefon pintar yang sebenarnya genius tetapi sekali lagi tidak mendapat perhatian ramai. Papan kekunci bluetooth ini boleh dilipat seperti tikar bagi mengelakkan kekunci dari mengalami sebarang kerosakan apabila disimpan dalam poket atau beg. Ia lengkap dengan butang Windows dan Function yang membolehkan ia turut ditambat kepada komputer tablet yang mungkin dimiliki. Setahu kami ia tidak pernah ditawarkan secara rasmi di Malaysia.

Jadi seperti yang dapat anda lihat, LG sebenarnya sebuah syarikat yang berani berinovasi tetapi tidak bernasib baik kerana hampir kesemuanya tidak diendahkan atau dilupakan? Apakah peranti LG kegemaran anda dan adakah anda akan merindui mereka jika benar-benar menarik diri dari dunia telefon pintar?



This post first appeared on Amanz, please read the originial post: here

Share the post

15 Peranti Paling Unik Pernah Dihasilkan LG

×

Subscribe to Amanz

Get updates delivered right to your inbox!

Thank you for your subscription

×