Get Even More Visitors To Your Blog, Upgrade To A Business Listing >>

Ulasan Samsung Galaxy A52 – Peranti Kelas Pertengahan Paling Lengkap

Bergerak ke tahun 2021, kita boleh nampak Samsung membawakan satu identiti baharu untuk siri Galaxy A mereka. Terdapat sehingga empat model berbeza yang diperkenalkan iaitu Samsung Galaxy A32, Samsung Galaxy A32 5G, Samsung Galaxy A52 dan Samsung Galaxy A72.

Namun begitu, fokus kita untuk artikel ini adalah Samsung Galaxy A52. Tidak seperti sebelum ini, Samsung telah mengambil satu pendekatan lebih menarik pada koleksi kali ini. Setiap elemen yang disertakan pada kali ini mempunyai nilai yang menarik. Bukan itu sahaja, setiap satu daripadanya juga dirancang dengan teliti oleh pihak pereka Samsung.

Seperti yang anda lihat, penampilan setiap satu daripadanya nampak lebih santai, dinamik dan juga menarik. Bukan itu sahaja, bahkan ia juga sudah tentunya tidak mengecewakan kita sebagai pengguna. Walaupun panel belakang untuk kali ini masih lagi plastik tetapi ia bukanlah binaan plastik yang licin dan berkilat seperti sebelum ini. Sebaliknya, Samsung menggunaka sejenis material daripada matte dengan empat pilihan variasi warna menarik – seperti Awesome Blue, Awesome Violet Awesome Black dan Awesome White. Untuk ketahui lebih lanjut? Teruskan membaca artikel ulasan ini sehingga ke penghujungnya.

Spesifikasi Ringkas Peranti Pintar

Samsung Galaxy A52
Skrin6.5” Super AMOLED FHD+ (1080 x 2400), Infinity-O Display, 407 PPI, 90 Hz
PemprosesSnapdragon 720G (8nm)
CipDual 2.3GHz + Hexa 1.8GHz
Cip GrafikAdreno 618
RAM8GB
Muatan Dalaman256GB (microSD 1TB)
Kamera Utama64MP (f/1.8) – (Utama)
12MP (f/2.2) – (Ultra-Lebar)
5MP (f/2.4) – (Kedalaman)
5MP (f/2.4) – (Makro)

*Zum Digital sehingga 10X
Kamera Depan32MP (f/2.0)
Bateri4,500mAh + Pengecasan Pantas 25W
SIM/TelefoniNano SIM + Nano SIM / MicroSD
NFCTiada
Infra MerahTiada
Kalis AirIP67
Sistem ImbasanImbasan Cap Jari & Wajah
Harga JualanRM1499

Rekaan

Anda sendiri boleh nampak bukan? Bagaimana persembahan untuk rekaan Samsung pada koleksi peranti mereka kali ini? Jika sebelum ini, antara jenama yang sering dikaitkan dengan persembahan rekaan menarik pada peranti adalah Vivo dan Oppo. Kali ini, Samsung juga tidak mahu ketinggalan untuk turut bersaing dalam memberikan sesuatu yang istimewa buat pengguna setia. Tidak dinafikan, mereka kini agak bijak dalam memilih bahan kemasan rekaan untuk koleksi kali ini. Melaluinya, ia bukan sahaja sedap untuk dipegang tetapi langsung tidak terasa licin.

Pada masa sama, kemasan sebegini juga dapat mengatasi kebimbangan yang sering menghantui semua pengguna – iaitu kesan kotoran yang mudah melekat pada panel belakang peranti. Lebih-lebih lagi kotoran cap jari yang melampau. Pada kali ini, kami memberi jaminan tiada lagi masalah berhubung perkara berkenaan. Sebaliknya, anda boleh menggunakannya dengan cukup selesa dan baik.

Bukan itu sahaja, rekaannya yang nipis dan ringan juga membolehkan ia mudah untuk dibawa ke mana sahaja tanpa rasa terbeban. Selain daripada itu, saiznya yang kompak dan mesra poket juga menjadikannya sesuai untuk mereka yang lebih menyukai peranti bersaiz ideal. Senang cerita, masuk ke dalam beg kecil mahupun pegang di tangan semuanya selesa sahaja.

Satu lagi pendekatan model yang digunakan oleh Samsung di sini adalah sokongan skrin berlubang di tengah untuk memuatkan kamera hadapan dengan lensa tunggal. Sebagai pengguna, anda tidak perlu risau mengenai kewujudan lubang ini sebab saiznya kecil sahaja dan langsung tidak menggangu penggunaan peranti pintar ini secara menyeluruh. Jadi, tidak kira sama ada anda menggunakannya untuk melayari laman web, mahupun bermain permua. Semuanya baik-baik sahaja.

Untuk rekaan bahagian sisi peranti, ia menempatkan butang kuasa dan laras suara pada bahagian sisi kanan. Seterusnya, ia menempatkan ruangan untuk SIM pada bahagian atas. Bercakap lanjut mengenainya, ruang ini hanya menyokong slot dwi-sim namun ia direka berasaskan hibrid melalui slot Nano-SIM (SIM1) + Nano-SIM/microSD (SIM2). Ia secara tidak langsung akan menyukarkan sesetengah pihak pengguna untuk memanfaatkan kedua-dua SIM secara serentak apabila kad microSD sedang digunakan.

Untuk sambungan, Samsung Galaxy A52 menggunakan port berasaskan USB-C untuk tujuan pengecasan dan pemindahan data. Lebih menariknya, Samsung turut masih mengekalkan bicu audio 3.5mm yang diletakkan pada bahagian bawah bersama pembesar suara dan port USB-C tadi. Ini merupakan perkhabaran yang cukup baik buat mana-mana pihak yang masih belum bersedia untuk menggunakan TWS atau fon telinga nirwayar. Di sini, Samsung berikan apa yang anda perlukan.

Apa yang menjadikan peranti ini lebih menarik adalah sokongan untuk pembesar suaranya adalah sejenis stereo dengan sokongan Dolby Atmos. Dari segi prestasi audio, ia mampu menyajikan satu pengalaman yang baik. Bunyi yang dihasilkan kedengaran agak lantang pada tetapan tertinggi. Menggunakannya untuk panggilan telefon juga adalah memuaskan.

Paparan

Bergerak ke skrin, saiz yang digunakan adalah 6.5-inci Super AMOLED dengan resolusi FHD+. Lebih menariknya, paparan ini juga menawarkan sokongan kadar segar semula 90Hz. Seterusnya, paparan hadapan ini turut dilitupi dengan sokongan Corning Gorilla Glass 5 – yang mana, boleh dianggap satu peningkatan menarik jika nak dibandingkan dengan pendahulunya yang menggunakan Corning Gorilla Glass 3.

Sebelum saya bercakap lebih lanjut mengenai prestasi pada skrin ini, saya ada perasan beberapa komen di video dan juga artikel pandang pertama sebelum ini. Ada segelintir pihak yang bertanya, bukankah Samsung Galaxy A52 juga tersedia dalam versi? Skrinnya pula adalah 120Hz? Baiklah, jawapannya adalah benar. Samsung Galaxy A52 sememangnya hadir dalam dua penawaran variasi berbeza iaitu 4G dan 5G. Tapi sayang, Samsung Galaxy A52 versi 5G sama sekali tidak ditawarkan untuk pengguna di Malaysia. Sebaliknya, hanya versi 4G sahaja yang tersedia. Jadinya di sini, saya berharap agar penerangan ini menjawab persoalan anda sebelum ini.

Dari segi pengalaman peribadi, saya akui menyukai akan skrin pada telefon pintar ini. Sebabnya, skrin AMOLED ini nampak cantik sekali. Bukan itu sahaja, lihat sahaja di sini kualiti skrin juga nampak tajam dan terang. Olahan warna pada paparan ini juga cukup baik – di mana kandungan visual atau video yang dipaparkan pada muka hadapan peranti nampak baik sekali. Semuanya, boleh ditonton dengan jelas tanpa masalah – termasuk penggunaan secara outdoor.

Melaluinya juga, warna-warna yang terhasil kelihatan lebih ranggi, di samping warna hitam yang kelihatan benar-benar gelap. Sokongan kadar segar semula 90Hz pada peranti ini juga boleh dipuji dari segi prestasinya. Skrin 90Hz ini berfungsi dengan baik dan setiap gerakan jadi dapat dikesan dengan tepat. Dalam erti kata mudah, ianya memuaskan dan tatalan sememangnya terasa baik sahaja sepanjang ulasan ini dibuat.

Prestasi :

Untuk antaramuka, Samsung Galaxy A52 menggunakan OneUI 3.1 yang dibina berasaskan Android 11 terkini. Melaluinya, pelbagai ciri mesra pengguna yang boleh ditemui. Bukan itu sahaja, cubaan awal kami mendapati pengalaman penggunaannya juga memudahkan ramai pihak. Dalam erti kata lain, antaramukanya mudah sahaja untuk difahami dan dipelajari. Rekaan juga masih minimalis dengan pilihan warna ikon yang tidak menyakitkan mata. Kalau perasan, trend di platform Android sejak kebelakangan ini juga dilihat untuk kelihatan seperti Android asli.

Bercakap lebih lanjut mengenai spesifikasi dalaman, Samsung Galaxy A52 menggunakan pemproses yang sama seperti Realme 6 Pro dan Redmi Note 9S sebelum ini – menerusi janaan cip snapdragon 720G. Ia menggunakan cip dwi-teras Kyro 465 (berasaskan Cortex A76) dan 6 teras Kyro 465 (berasaskan Cortex A55) bersama penggunaan GPU Adreno 618. Menerusi ujian penanda aras Geekbench 5, peranti ini mencatatkan 536 markah dalam ujian satu teras dan 1578 markah dalam ujian multi teras. Dalam ujian Antutu 3D pula, 259,408 markah berjaya dicatatkan.

Dari segi prestasi, telefon ini berfungsi dengan baik sepanjang tempoh ulasan ini dibuat. Seperti yang saya katakan dalam beberapa perenggan di atas, sokongan kadar segar semulanya juga berfungsi dengan baik. Pengalaman tatalan dapat dilakukan dengan lancar tidak kira sama ada saya menggunakannya untuk media sosial atau lain-lain lagi. Dengan gabungan RAM sebesar 8GB RAM dan storan dalaman 256GB, saya tidak menemui sebarang masalah untuk melancarkan aplikasi dengan pantas.

Melaluinya, kesemua aplikasi juga dapat dijalankan tanpa masalah. Di samping itu, proses muat-turun aplikasi juga terasa baik dan penawaran storan yang disediakan ini juga sudah cukup memadai untuk kegunaan segenap pengguna. Namun seandainya anda masih memerlukan ruangan untuk storan tambahan. Usah risau kerana peranti pintar ini menyokong slot untuk microSD sehingga 1TB. Akan tetapi syaratnya, anda perlu mengeluarkan wang tambahan untuk membelinya.

Untuk prestasi permainan, kami sempat menguji peranti pintar ini dengan beberapa permainan mudah alih – ia termasuklah Genshin Impact dan Asphalts 9. Melaluinya, kami mendapati Samsung Galaxy A52 boleh memainkan permainan Genshin Impact. Akan tetapi, anda disarankan untuk bermain pada tetapan grafik terendah pada 30 fps untuk merasai pengalaman permainan yang baik dan memuaskan. Namun begitu, ia tidak bermakna ia tidak boleh dimainkan pada grafik lebih tinggi. Jawapanya, masih boleh tetapi pengalaman penggunaan itu akan berubah. Di mana, anda akan mula perasan permainan akan agak terganggu dan tersangkut-sangkut. Berbeza pula untuk Asphalts 9, ianya boleh sahaja dimainkan pada tetapan grafik tertinggi dengan baik tanpa sebarang isu panas yang melampau.

Kamera

Bercakap soal kamera, Samsung Galaxy A52 menggunakan sistem kuad-kamera di belakang dengan 64-Megapixel bersama sokongan OIS (optical image stabilization) untuk mengurangkan kesan gegaran. Sistem kamera ini kemudiannya diikuti pula dengan 12-Megapixel untuk sensor sudut-lebar dan dua lagi sensor 5-Megapixel untuk kedalaman serta makro. Tidak ketinggalan, kamera pada Samsung Galaxy A52 turut menyokong zum digital sehingga 10X. Untuk tangkapan gambar swafoto pula, peranti pintar ini menggunakan sensor sebesar 32-Megapixel.

Dari segi kualiti, kemampuan fotografi untuk kali ini nampak jauh lebih baik berbanding generasi sebelumnya. Kualiti gambar diambil pada keadaan pencahayan cukup menampakkan hasil yang baik untuk sebuah peranti kelas pertengahan. Bahkan, kita sendiri juga boleh lihat warnanya di sini kelihatan tepu dan setiap gambar yang diambil kelihatan tajam dengan fokus yang baik. Boleh dikatakan, ianya juga sesuai sahaja untuk dikongsi terus ke media sosial tanpa perlu bersusah payah untuk disunting dahulu.

Seterusnya, hasil tangkapan pada pencahayaan rendah juga baik-baik sahaja. Meskipun masih menampakkan kesan hingar, namun butiran pada imej masih ada. Akan tetapi, untuk mendapatkan hasil yang lebih baik anda disaran untuk mengaktifkan mod malam terbina pada aplikasi kamera. Melaluinya, ia akan sedikit sebanyak membantu dalam memberikan penghasilan gambar dengan warna lebih terang dan menonjol.

Lensa sudut lebar pada Samsung Galaxy A52 boleh memperluaskan perspektif pandangan sehingga 123 darjah. Penghasilan semula untuk lensa ini masih menampakkan kesan herotan dengan butiran yang sedikit lari. Tapi rasanya, ia boleh dianggap sebagai salah satu perkara biasa yang akan berlaku untuk sensor ultra-lebar. Seterusnya, tidak banyak yang boleh dikomen mengenai lensa makro pada peranti ini – hasilnya agak kurang memuaskan dengan penghasilan semula warna pada imej yang nampak tidak bermaya dan butiran juga kelihatan tidak terperinci.

Seperkara lagi, Samsung Galaxy A52 turut didatangkan dengan satu mod baharu yang dinamakan sebagai Fun. Mod ini boleh ditemui menerusi aplikasi kamera dan sambungan internet diperlukan untuk menggunakannya. Apa yang membuatkannya menarik adalah terdapat beberapa penuras (filter) comel yang disediakan oleh pihak Snapchat. Kesemua filter ini sememangnya terbina secara terus di dalam aplikasi kamera pada Samsung Galaxy A52. Dari segi kualiti, hasil gambar dilihat lebih baik berbanding gambar yang diambil menggunakan lensa pada aplikasi Snapchat.

Bateri:

Samsung Galaxy A52 mempunyai kapasiti bateri sebesar 4500mAh. Melaluinya, ia menunjukkan peningkatakan sebanyak 500mAh berbanding penawaran pada Samsung Galaxy A51 sebelum ini. Lebih menariknya di sini, Samsung turut menyertakan kepala pengecas yang didatangkan secara terus di dalam kotak pembelian. Meskipun peranti pintar ini menyokong pengecasan pantas sehingga 25W.

Tapi sayangnya, pengecas yang diberikan oleh pihak Samsung hanya menyokong sehingga 15W sahaja. Ini bermakna anda perlu membeli pengecas 25W secara berasingan. Dengan bateri 4,500mAh ini, Samsung Galaxy A52 mampu mencatatkan masa nyalaan skrin yang baik dengan bacaan sekitar 8 – 10 jam untuk penggunaan sepanjang hari. Seperti biasa, perkara ini bagaimanapun akan berubah bergantung pada penggunaan masing-masing.

Peranti Pesaing

Peranti Pesaing
Samsung Galaxy A52Xiaomi Mi 11 LiteRealme 8 Pro
6.5” Super AMOLED FHD+ (1080 x 2400), 407 PPI, 90 Hz6.55” AMOLED FHD+ (1080 x 2400), 402 PPI, 90 Hz6.4″ Super AMOLED FHD+ (1080 x 2400), 411 PPI
Snapdragon 720G (8nm)
Dual 2.3GHz + Hexa 1.8GHz
Snapdragon 732G (8nm)
2 x 2.3 GHz Kryo 470 Gold
6 x 1.8 GHz Kryo 470 Silver
Snapdragon 720G (8 nm)
2 x 2.3 GHz Kryo 465 Gold
6 x 1.8 GHz Kryo 465 Silver
Adreno 618Adreno 618Adreno 618
8 Gigabyte8 Gigabyte6/8 Gigabyte
256 Gigabyte128 Gigabyte128 Gigabyte
64MP (f/1.8) – (Utama)
12MP (f/2.2) – (Ultra-Lebar)
5MP (f/2.4) – (Kedalaman)
5MP (f/2.4) – (Makro)
64MP (f/1.8) – (Utama)
8MP (f/2.2) – (Ultra-Lebar)
5MP (f/2.4) – (Kedalaman)
108MP (f/1.8) – (Utama)
8MP (f/2.2) – (Ultra-Lebar)
2MP (f/2.4) – (Kedalaman)
2MP (f/2.4) – (Makro)
32MP (f/2.0)20MP (f/2.5)16MP (f/2.5)
IP67Tidak Kalis AirTidak Kalis Air
4,500mAh (Pengecasan Pantas 25W)4,250mAh (Pengecasan Pantas 33W)4500mAh (Pengecasan Pantas 50W)
RM1,499RM1,199RM1,025*
RM1,139*

* (Ditukar dari mata wang asing)

Kesimpulan

Jadi bagaimana? Adakah anda rasa berbaloi atau tidak? Secara peribadi, saya boleh katakan apa yang ditawarkan oleh pihak Samsung untuk kali ini sebenarnya agak menarik. Terdapat banyak penambahbaikan yang diberikan – ia termasuklah rekaan lebih kreatif, spesifikasi dalaman nampak segar dan banyak lagi.

Dengan skrin yang cantik, ia membolehkan pengguna menikmati pengalaman tontonan video yang amat memuaskan. Ditambah lagi, sokongan RAM yang tinggi juga mampu memastikan pengalaman penggunaan yang memadai turut boleh dinikmati.

Dalam pada itu, kekuatan lain pada Samsung Galaxy A52 juga terletak pada sokongan kemaskini OS selama 3 tahun. Bukan itu sahaja, kemaskini sekuriti minimum selama empat tahun turut diberikan bersama-sama dengannya. Bagi yang berminat, Samsung Galaxy A52 kini sudah mula ditawarkan untuk pengguna di Malaysia pada harga RM1499 untuk sebuah.

Pro

  • Rekaan yang selesa di dalam tangan.
  • Paparan skrin yang cantik, lubang langsung tidak menganggu.
  • One UI memudahkan penggunaan peranti walaupun peranti bersaiz besar.
  • Pemproses kelas pertengahan yang baik untuk penggunaan harian.
  • Tahap ketahanan bateri yang baik.

Kontra

  • Prestasi pengimbas cap jari yang agak perlahan.
  • Pengecas tersedia dalam kotak hanya menyokong output 15W sahaja.


This post first appeared on Amanz, please read the originial post: here

Share the post

Ulasan Samsung Galaxy A52 – Peranti Kelas Pertengahan Paling Lengkap

×

Subscribe to Amanz

Get updates delivered right to your inbox!

Thank you for your subscription

×