Get Even More Visitors To Your Blog, Upgrade To A Business Listing >>

Ulasan Oppo Reno5 Pro – Keseimbangan Antara Fungsi, Rekaan Dan Kreativiti

Oppo Reno5 Pro – peranti pintar ini merupakan salah satu model yang dilancarkan oleh Oppo di bawah siri Oppo Reno5. Memiliki ciri yang hampir sama dengan versi standard, tetapi sebenarnya masih ada perbezaan yang nyata. Peranti pintar ini berharga RM2,599 di Malaysia dan ditawarkan dalam dua pilihan warna yang anggun dan ekskusif – seperti Galactic Silver dan Starry Black.

Apa kami Boleh katakan di sini, kedua-duanya tampil cantik dan bergaya. Pilihan kemasan yang unik bersama gabungan unsur moden menjadikan peranti pintar ini cukup mudah untuk digayakan. Pilih sahaja mana-mana warna yang anda gemari, ia tetap nampak sesuai sahaja untuk digayakan oleh mereka yang menginginkan kelainan dalam gaya harian.

Jika sebelum ini, kami telah berkongsi mengenai pandang pertama untuk peranti ini. Maka, kini rasanya sudah tibalah masanya pula untuk kami berkongsi lebih lanjut mengenai prestasinya secara menyuluruh dalam artikel ulasan pula.


Spesifikasi Ringkas Peranti:

Oppo Reno5 Pro
JenisPeranti Pintar
Paparan6.5-inci FHD+ Super AMOLED, 90Hz
PemprosesMediaTek Dimensity 1000+ (7nm)
Cip4 x 2.6 GHz Cortex-A77
4 x 2.0 GHz Cortex-A55
Cip GrafikMali-G77 MC9
RAM12GB
Muatan Dalaman256GB (UFS2.1)
Kamera Utama64 MP ( f/1.7 ) – (Utama)
8 MP ( f/2.2 ) – (Sudut-Lebar)
2 MP ( f/2.4 ) – (Makro)
2 MP ( f/2.4 ) – (Mono)
Kamera Depan32 MP (f/2.4)
Bateri4,350mAh + 65W SuperVOOC2.0
Sim / TelefoniNano SIM + Nano SIM
Ketahanan Kalis AirTiada
Sistem ImbasanPengimbas Cap Jari + Imbasan Wajah
Harga JualanRM2,599

Paparan

Seperti Reno5, versi pro turut hadir dengan sokongan skrin jenis berlubang pada panel hadapan. Ia kelihatan baik dengan panel sejenis Super AMOLED yang cukup cantik. Saiz skrin Oppo Reno5 Pro ialah 6.5-inci dengan resolusi FHD+ bersama kadar segar semula tinggi 90Hz untuk pengalaman penggunaan lebih baik. Seterusnya, ia melengkung pada bahagian sisi kiri dan kanan bagi membolehkannya kelihatan seakan mempunyai bezel yang kecil. Bukan itu sahaja, malah bahagian dagu dan dahi juga kelihatan kecil.

Bagaimanapun, skrin 3D yang digunakan padanya sebenarnya sama seperti Oppo Reno4 Pro tahun lalu. Pada masa sama, skrin ini juga sedikit lebih besar berbanding 6.4-inci yang digunakan pada Oppo Reno5. Seperti kami katakan di atas, terdapatnya lubang pada bahagian atas skrin yag menempatkan kamera swafoto dengan lensa tunggal. Kamera swafoto yang digunakan di sini adalah sebesar 32-Megapixel dan kami akan bercerita lebih lanjut mengenai prestasinya kemudian.

Secara keseluruhan, apa kami boleh katakan kualiti paparan adalah baik. Skrin dilihat mempunyai kecerahan memuaskan bersama warna yang tajam. Kemudian, butiran pada setiap kandungan juga baik dengan kualiti di tahap memuaskan. Dalam erti kata mudah, setiap kandungan yang dipaparkan kelihatan cantik. Selain itu, tidak kira di mana sahaja anda berada – sama ada di luar atau dalam bangunan, paparan pada peranti pintar ini masih tetap jelas kelihatan.


Rekaan

Menyentuh soal rekaan pula, salah satu keunikan peranti ini terletak pada jenis kemasan yang digunakan. Penggunaan warna cerun serba baharu menjadikannya memiliki keistimewaandan stail yang tersendiri. Terutamanya bagi model Oppo Reno5 Pro dalam kemasan warna Galactic Silver – di mana warna panel belakng ini berubah mengikut sudut pandangan pengguna. Namun begitu, model ulasan yang kami terima berwarna Starry Black. Rona warna hitam yang ringkas tetapi nampak elegan. Pada hemat kami, apa yang dipersembahkan oleh Oppo pada model kali ini cukup berbeza berbanding sebelum ini.

Bagaimanapun, perlu kami akui di sini panel belakang ini terasa sedikit licin dan agak mudah memerangkap kotoran cap jari. Pada masa sama, ia juga mudah terdedah kepada risiko calar-calar halus. Oleh itu, anda disarankan untuk menggunakan kerangka plastik yang disediakan secara percuma oleh Oppo di dalam kotak pembelian. 

Seterusnya, panel belakang ini turut menempatkan modul kamera berbentuk segi empat tepat – bersama tiga bonggol kamera berbeza untuk setiap satu lensa. Turut kelihatan, terdapatnya satu lagi lensa tambahan yang ditempatkan secara bersebelahan dan kelihatan rata. Panel hadapan pula tidak menerima sebarang perubahan – masih seperti Oppo Reno5 sebelum ini.

Untuk rekaan bahagian sisi pula, ia menempatkan butang kuasa di bahagian kanan. Manakala, butang laras suara pula pada sisi bertentangan. Kemudian, tiada sebarang butang dan port sambungan pada bahagian atas. Tetapi, anda boleh temui satu lubang mikrofon bersama tulisan – “Design for Reno” – yang memberi gambaran konsep hiasan digunakan adalah ekslusif untuk peranti di bawah siri Reno sahaja. Akhir sekali, ruang talam SIM diletakkan pada bahagian bawah bersama-sama port sambugan USB-C dan pembesar suara. Perasan atau tidak, kekurangan di sini adalah ketiadaannya bicu audio 3.5mm.


Antaramuka & Penggunaan

Seterusnya, antaramuka yang digunakan adalah ColorOS 11.1 yang dibina berasaskan Android 11 terkini. Papan antaramukanya dilihat sangat mesra pengguna dengan susunan yang kemas dan dihiasi ikon cukup ceria. Setakat yang kami gunakan, ia menawarkan pengalaman yang lancar. Tiada sebarang masalah yang berlaku dan terasa seronok sahaja untuk digunakan. Di samping itu, terdapat juga pelbagai ciri menarik lain yang diketengahkan. Antaranya seperti :-

1) Customizable Always-On Display – Fungsi yang membolehkan anda untuk menyesuaikan tetapan Always-On Display mengikut kreativiti sendiri. Ia hanya memerlukan beberapa tatalan ringkas untuk anda mencipta reka bentuk baharu atau menambah beberapa gaya teks serta susun atur pada template tersedia.

2) Customizable Ringtone – Anda boleh menetapkan atau menukar nada dering mengikut keinginan sendiri. Pada masa sama, anda juga boleh mengeksport nada dering sebagai fail MP3 dan menggunakannya sebagai muzik latar belakang ketika membuat Vlog.

3) Customizable Dark Mode – Terdapat 3 jenis mod tema gelap yang digabungkan dengan ciri Auto Brightness untuk memberikan anda pengalaman tontonan yang selesa – tidak kira sama ada pada waktu siang mahupun malam.

4) Three-Finger Translate Instant Translation – Fungsi yang membolehkan anda membuat terjemahan dengan pantas. Melaluinya, terjemahan boleh dibuat secara terus daripada tangkapan layar.

5) Perkongsian Fail Tanpa Data – Ketiadaan data mudah alih dan rangkaian kini bukan lagi satu masalah. Anda kini boleh berkongsi pelbagai bentuk kandungan termasuk imej, video dan fail dengan telefon pintar Android berhampiran tanpa menggunakan data.

6) Super Power Saving Mode – Fungsi yang mengehadkan penggunaan aplikasi latar untuk ketahanan bateri lebih lama. Melalui fungsi ini, pengguna boleh memilih sehingga 6 aplikasi penting untuk digunakan ketika fungsi ini diaktifkan.


Prestasi :

Oppo Reno5 Pro dijana cip pemproses MediaTek 1000+ dan ia merupakan antara peranti terawal di Malaysia yang menggunakan cip berkenaan. Cip ini hadir dengan binaan berasaskan proses 7nm dan membawakan rekaan lapan-teras menerusi 4 x 2.6 GHz Cortex-A77 dan 4 x 2.0 GHz Cortex-A55. Selain itu, ia turut dibantu oleh GPU Mali-G77 MC9 bersama memori 12GB RAM dan ruang storan 256GB (UFS2.1).

Tetapi agak mengecewakan di sini apabila peranti ini tidak pula menawarkan slot untuk microSD. Perkara ini secara tidak langsung memberikan sedikit kesukaran buat mereka yang mahukan peranti untuk penggunaan dwi-SIM secara serentak dan ruang storan tambahan.

Kami juga menjalankan beberapa ujian penanda aras seperti Antutu dan Geekbench sebagai rujukan semua. Dalam ujian Antutu, Oppo Reno5 Pro mencatatkan skor sebanyak 318,182 mata. Beralih pada ujian Geekbench 5, peranti ini memperoleh skor 522 untuk ujian tunggal, manakala 2,479 mata untuk ujian pelbagai-teras.

Untuk prestasinya di dunia nyata. Setakat ini, ia dilihat berada di tahap yang memuaskan. Telefon ini mampu berfungsi dengan baik dan responsif sepanjang ulasan dilakukan. Terutamanya, ketika membuka dan membuat penukaran aplikasi. Hampir kesemua tugasan harian boleh dilakukan tanpa sebarang masalah. Ditambah pula dengan fungsi kadar semula 90Hz – sekaligus membuatkan pengalaman penggunaan terasa lebih baik.

Bercakap mengenai prestasi permua pula, permainan intensif seperti Alphats 9 boleh dimainkan pada tetapan grafik tinggi tanpa sebarang masalah. Kemudian, permua lain seperti PUBG Mobile dan Call of Duty: Mobile juga boleh dimainkan dengan sejumlah tetapan berbeza. Melaluinya, permainan COD dapat dimainkan pada grafik tertinggi Very High dengan kadar bingkai tertinggi Max.

Namun begitu, tetapan kadar bingkai Max hanya boleh diakses apabila anda bermain pada grafik High. Sementara itu, seandainya anda memainkannya pada grafik Very High pula. Tetapan kadar bingkai secara akan secara automatik terhad pada Very High sahaja. Berbeza pula ceritanya dengan permainan PUBG. Dimana, ia boleh dimainkan pada grafik tertinggi HDR dengan kadar bingkai Ultra.

Jadi, boleh dikatakan peranti ini adalah memadai untuk tugasan harian dan juga permua. Tetapi, apa yang menjadi masalah utama di sini adalah – isu mudah panas pada panel belakang. Lebih mengecewakan, isu panas ini sering menimbulkan rasa kurang selesa untuk memegang peranti apabila ianya berlaku. Boleh dikatakan sekitar 10 – 15 minit permainan masalah panas pada peranti sudah boleh dirasai.


Kamera

Oppo Reno5 Pro menggunakan sistem kuad-kamera utama dengan konfigurasi 64-Megapixel untuk sensor utama. Seterusnya, diikuti dengan 8-Megapixel untuk Ultra-Lebar serta dua lagi lensa sebesar 2-Megapixel untuk sensor makro dan juga mono. Kemudian, gambar swafoto pula boleh diambil menerusi kamera hadapan 32-Megapixel. Antaramuka kamera juga mudah difahami dan tiada langsung masalah untuk mengakses setiap mod kamera yang tersedia.

Oppo Reno5 Pro mempunyai kemampuan untuk merakam video dengan tetapan tertinggi sehingga 4K (30fps). Bukan itu sahaja, malah terdapat pelbagai fungsi utama terbina pada kamera yang boleh ditemui – bertujuan untuk penambahbaikan fungsi pada rakaman sewaktu penggambaran. Antaranya adalah seperti berikut :-

1) Monochrome Video  Ciri ini hadir dengan tiga penuras (filter) berbeza yang boleh diakses menerusi fungsi video. Ia akan memfokuskan kepada 3 warna utama seperti – merah, hijau dan biru. Kemudiannya, latar video akan menjadi hitam dan putih.


2) AI Highlight Video  Ia menggunakan algoritma yang disesuaikan secara automatik berdasarkan keadaan sekeliling. Kemudiannya, tingkatkan kualiti rakaman video menjadi lebih baik untuk hasil memuaskan.


3 ) AI Color Portrait Membolehkan latar belakang sesuatu gambar menjadi hitam dan putih. Tetapi, subjek akan dikekalkan pada warna asal. Ia boleh dikatakan fungsi yang menarik untuk menghasilkan gambar yang nampak berbeza. Fungsi ini boleh digunakan pada kamera belakang dan hadapan.


4)  Ultra Steady Video 3.0 – Membolehkan pengguna membuat rakaman video dengan stabil – seakan dirakam menggunakan gimbal. Mod ini terbahagi kepada tiga iaitu – a) Front Steady Video (kamera hadapan), b) Ultra Steady Video (kamera utama), c) Ultra Steady Video Pro (kamera ultra-lebar).


5) Dual-View Video (Video Dwi-Pandangan) – Ciri yang membolehkan video dirakam menggunakan kamera hadapan dan kamera belakang secara serentak. Terdapat tiga jenis template berbeza yang boleh dipilih iaitu – Split, Round dan Rectangle.


6) AI Scene Enchancement – Kamera pada Oppo Reno5 juga membolehkan pengguna untuk membuat pengecaman subjek pada gambar sehingga 22 kategori berbeza termasuk – manusia, haiwan, tumbuhan, makanan dan banyak lagi.

7) Ultra-Clear 108MP Image – Ciri yang memastikan setiap gambar diambil adalah berkualiti tinggi. Pada masa sama, gambar tersebut juga tidak akan pecah meskipun ketika dizum.

8) Portrait Beautification Video Ciri yang membolehkan pengguna menghasilkan rakaman dengan efek bokeh lebih baik. Turut kelihatan, ia dilengkapi mod kecantikan terbina yang membolehkan pipi dikuruskan, kedut diratakan, kulit diputihkan, solekan dikenakan dan mata dibesarkan.

9) Ultra Night Selfie Mode, Ultra Dark Mode & Night Flare Portrait – Ketiga-tiga fungsi ini bersesuaian untuk hasil penggambaran malam. Ia akan menjadikan gambar menjadi lebih terang walaupun diambil dalam keadaan malap. Kemudian, Night Flare Portrait pula mampu menjadikan subjek di dalam gambar menyerlah bersama kesan bokeh di belakang.

Penggambaran Malam

Menyentuh soal prestasi, kamera mampu memberikan hasil gambar yang baik. Setiap tangkapan terhasil kelihatan baik dengan perincian butiran pada subjek memuaskan dan warna yang terang. Ditambah pula apabila fungsi AI Scene Enchancement diaktifkan, hasil tangkapan gambar kelihatan lebih cerah dan cantik – dengan warna yang lebih menonjol.

Foto Standard
Foto Standard
Foto Makro
Foto Standard
Foto Standard
Foto 64MP
Foto Ultra-Lebar

Seterusnya, hasil sudut-lebar juga tidak mengecewakan. Ia dilihat mampu memberikan keperincian yang baik – meskipun kesan herotan rasanya mungkin sudah menjadi perkara biasa. Akhir sekali, hasil untuk lensa makro pula bagaimanapun tidak memuaskan. Gambar terhasil dilihat tidak mempunyai keperincian butiran yang baik. Ia bagaimanapun, sudah boleh dijangka untuk hasil gambar daripada sensor 2-Megapixel.


Bateri

Menyentuh soal bateri pula, Oppo Reno 5 Pro dibekalkan bateri berkapasiti 4,350mAh menerusi port sambungan USB-C – di mana sedikit lebih besar berbanding Oppo Reno 5 yang dilengkapi bateri 4,300mAh. Namun begitu, sistem pengecasan yang digunakan masih sama iaitu 65W SuperVOOC 2.0.

Menurut Oppo, ia menjanjikan sekitar 15 minit untuk pengecasan mencapai 60% dan serendah 35 minit pula untuk 100%. Bagaimanapun, cubaan mereka mendapati sekitar 15 minit telefon ini dilihat mampu mengecas mencapai 50%. Sementara itu, pengecasan penuh pula mengambil masa sekitar 40 minit.

Bercakap mengenai prestasi pula, ketahanan bateri pada Oppo Reno5 Pro boleh dikatakan baik. Ia dilihat mencatatkan bacaan Screen-On-Time (SOT) yang baik iaitu sekitar 7 – 8 jam dengan skrin terpasang sepanjang hari. Walau bagaimanapun, anda masih boleh mendapatkan ketahanan sehingga sehari suntuk atau lebih dengan penggunaan yang ringan.


Perbandingan Pesaing Peranti

Oppo Reno5 ProRealme X7 ProXiaomi Mi 10T Pro
6.5″ Super AMOLED, 90Hz, FHD+, ~402 ppi6.55″ Super AMOLED, 120Hz, FHD+, ~402 ppi6.67″ IPS LCD,FHD+, 144Hz, ~395 ppi
MediaTek Dimensity 1000+ (7nm)
4×2.6 GHz Cortex-A77

4×2.0 GHz Cortex-A55
MediaTek Dimensity 1000+ (7nm)
4 x 2.6 GHz Cortex-A77
4 x 2.0 GHz Cortex-A55
Snapdragon 865G (7 nm)
1 x 2.84 GHz Kryo 585
3 x 2.42 GHz Kryo 585
4 x 1.80 GHz Kryo 585
Mali-G77 MC9Mali-G77 MC9Adreno 650
12 Gigabyte8 Gigabyte8 Gigabyte
256 Gigabyte UFS 2.1256 Gigabyte UFS 2.1256 Gigabyte UFS 3.1
Kamera Utama
64+8+2+2 Megapixel,
(f/1.7+f/2.2+f/2.4+f/2.4)
Kamera Utama
64+8+2+2 Megapixel
(f/1.8+f/2.3+f/2.4+f/2.4)
Kamera Utama
108+13+5 Megapixel
(f/1.7+f/2.4+f/2.4)
Kamera Hadapan
32-Megapixel,
(f/2.4)
Kamera Hadapan
32-Megapixel,
(f/2.5)
Kamera Hadapan
20 Megapixel,
(f/2.2)
Tiada Kemampuan Kalis AirTiada Kemampuan Kalis AirTiada Kemampuan Kalis Air
Tiada Bicu audio 3.5mmTiada Bicu audio 3.5mmTiada bicu audio 3.5mm
Tiada Pemancar infra merahTiada Pemancar infra merahTiada Pemancar infra merah
43500 mAh (Berwayar 65W)4500 mAh (Berwayar 65W)5000mAh (Berwayar 33W)
RM2,599RM1,999RM1,999

Kesimpulan

Kesimpulannya di sini, Oppo Reno5 Pro boleh dikatakan tarikan terkini untuk penggemar fotografi. Pelbagai fungsi kamera menarik yang ada juga memberi kelebihan kepada kita sebagai pengguna untuk menyerlahkan lagi gaya kreativiti dan imaginasi yang lebih luas. Bukan itu sahaja, skrin yang cantik, rekaan premium dan keseimbangan prestasi menjadikan peranti pintar ini ada kelas yang tersendiri.

Namun, masih terdapat beberapa perkara yang dilihat kurang di sini – seperti ketiadaan slot microSD, bicu audio 3.5mm dan juga isu peranti mudah panas. Jadi adakah anda akan membelinya seunit? Kongsikan dengan kami di ruangan komen di bawah.


Pro

  • Skrin cukup cantik dengan keupayaan 90Hz yang memuaskan.
  • Kemampuan kamera cukup baik dengan kepelbagaian fungsi fotografi.
  • Fungsi dalaman yang seimbang.
  • Sokongan pengecasan pantas 65W.

Kontra

  • Pembesar suara mono.
  • Ketiadaan sokongan untuk slot memori tambahan.
  • Ketiadaan sokongan untuk bicu audio 3.5mm.
  • Isu mudah panas yang menimbulkan tidak keselesaan.
  • Harga jualan terlalu tinggi berbanding pesaing setara.


This post first appeared on Amanz, please read the originial post: here

Share the post

Ulasan Oppo Reno5 Pro – Keseimbangan Antara Fungsi, Rekaan Dan Kreativiti

×

Subscribe to Amanz

Get updates delivered right to your inbox!

Thank you for your subscription

×