Get Even More Visitors To Your Blog, Upgrade To A Business Listing >>

Mulakan Era 5G Anda Bersama Siri OPPO Reno5 Yang Turut Dilengkapi Dengan Pelbagai Kamera AI Menarik

Bermula pada tahun 2019, arena teknologi dihebahkan dengan persediaan setiap negara untuk menerima teknologi 5G. Kini, hampir kesemua jenama pengeluar peranti berlumba-lumba untuk mengeluarkan peranti pintar dengan sokongan 5G bagi mengikuti arus pemodenan dunia. Oppo juga tidak ketinggalan dalam melancarkan beberapa peranti dengan teknologi 5G. Malah tahun ini juga mereka telah mulakan tahun 2021 ini dengan pelancaran telefon pintar terbaru mereka dengan sokongan 5G iaitu siri OPPO Reno5. Bukan sekadar sokongan 5G, OPPO juga menyertakan pelbagai fungsi kamera AI yang dapat membantu untuk menonjolkan bakat fotografi dan videografi anda.

Siri Reno kali ini masih lagi memfokuskan kepada kamera, namun menurut OPPO penawaran pada siri Reno5 kali ini adalah lebih baik dengan menyertakan perisian yang baru bagi menyerlahkan lagi bakat fotografi dan videografi anda. Sebelum kita mengulas lebih lanjut, adalah lebih baik untuk saya ulas spesifikasi bagi siri Reno5 ini secara ringkas.

OPPO Reno5 hadir dengan rekaan skrin OLED seluas 6.4 inci dengan nisbah 20:9. Paparannya menyokong resolusi FHD+ dengan kadar segar semula 90Hz. Telefon pintar ini dijana dengan cip pemproses Snapdragon 765G yang telah diintegrasikan dengan teknologi 5G. Dari segi pengecasan, OPPO menyertakan bateri berkapasiti 4300mAh bersama pengecas 65W SuperVOOC 2.0 yang dikatakan boleh dicas penuh dalam masa 35 minit sahaja. Bercakap mengenai kamera pula, telefon pintar ini dilengkapi dengan kamera utama gabungan 64MP+8MP+2MP+2MP, manakala kamera hadapannya adalah 32MP. Mesti anda tertanya-tanya, apa kelebihan sokongan 5G ini pada sebuah telefon pintar yang memfokuskan kepada penggambaran? Oleh itu, mari kita lihat apa yang dimaksudkan 5G.

5G adalah terma yang digunakan untuk generasi baru bagi teknologi rangkaian. 5G ini diwujudkan untuk mengurangkan segala isu dan halangan yang berlaku pada rangkaian 4G sedia ada. Dalam bahasa mudah, rangkaian internet ini sepatutnya lebih stabil, laju dan mampu untuk menyelesaikan tugasan berat dalam masa yang singkat. Walaupun bagi kita rangkaian sedia ada ini sudah memadai, namun ia masih belum memenuhi keperluan teknologi baru masa sekarang. Jadi apa pentingnya 5G ini pada siri OPPO Reno5?

Memandangkan siri OPPO Reno5 adalah sebuah telefon yang memfokuskan kepada kamera, jelas sekali bahawa teknologi 5G ini mampu memberi kepuasan kepada anda sebagai pengguna telefon pintar yang aktif di media sosial. Proses memuat naik gambar dan video ke media sosial akan menjadi lebih laju, begitu juga untuk proses muat turun. Jika anda seorang pengkarya video (vloggers) juga, ia akan memberikan kelainan kepada cara kerja anda. Hal ini semestinya kerana rangkaian 5G ini membolehkan anda untuk memuat naik dan memuat turun video beresolusi 4K dengan lebih pantas.

Sistem kuad-kamera utama digunakan pada siri OPPO Reno5 ini. Melaluinya, sensor utama yang digunakan adalah sebesar 64MP, kemudian diikuti oleh tiga lagi sensor berasingan yang terdiri daripada 8MP untuk rakaman sudut ultra lebar, 2MP untuk rakaman makro, dan satu lagi sensor 2MP untuk rakaman mono. Teknologi AI turut digunakan pada lensa kamera untuk mengesan subjek secara automatik. Dibantu pula dengan fungsi Image Clear Engine (ICE), ia membolehkan anda untuk mendapatkan rakaman gambar yang jelas dan berkualiti walaupun subjek sedang bergerak.

Ternyata pada siri Reno5 kali ini, OPPO lebih mengutamakan pada fungsi rakaman video kerana banyak fungsi baru untuk penghasilan video disertakan pada telefon pintar ini. Pertamanya adalah fungsi AI Highlight Video. Melalui fungsi ini, anda boleh menghasilkan rakaman video pada waktu malam tanpa perlu risaukan jumlah pencahayaan di sekeliling subjek. Walaupun fungsi ini membantu untuk menghasilkan rakaman yang lebih cerah pada persekitaran gelap, kesan hingar juga dapat dikurangkan. Malah kecantikan semula jadi subjek di dalam video juga dapat dikekalkan tanpa perlu mencantikkan lagi subjek dengan pencahayaan tambahan.

Seterusnya adalah fungsi Dual View Video yang membolehkan anda untuk menghasilkan rakaman daripada kamera hadapan dan belakang dalam masa yang sama. Jadi sekiranya anda seorang pengkarya video dan sering membuat video yang memerlukan rakaman hadapan dan belakang, kini anda tidak lagi memerlukan dua kamera berbeza, kerana siri OPPO Reno5 ini ada jalan penyelesaiannya. Malah fungsi ini juga menyertakan pelbagai mod untuk anda pilih berdasarkan kesesuaian dan kehendak anda.

Jika sebelum ini fungsi kecantikkan hanya terdapat untuk rakaman gambar sahaja, kali ini OPPO telah menaik tarafkan fungsi ini untuk digunakan bagi rakaman video juga. Fungsi yang dinamakan sebagai Portraits Beautification Video ini telah diintegrasikan dengan sistem Smart AI yang mudah untuk digunakan. Fungsi ini akan membuat pengecaman berdasarkan umur subjek di dalam gambar dan maklumat-maklumat lain. Namun anda tidak perlu risau kerana menurut OPPO, kecantikan semulajadi subjek masih dapat dikekalkan termasuklah tona kulit dan solekan yang ada di wajah anda.

Selain itu, OPPO juga menyertakan teknologi penstabilan daripada mereka sendiri, iaitu Ultra Steady Video 3.0. Jika anda seorang pengkarya video dan sering bergerak untuk merakam video, fungsi ini sangat sesuai untuk digunakan. Ini kerana telefon pintar ini akan menstabilkan rakaman tanpa memerlukan sebarang alat penstabilan tambahan. Dibawah fungsi ini ada beberapa mod penstabilan. Antaranya adalah mod Ultra Steady Video untuk rakaman kamera utama dan Ultra Steady Video Pro yang diletakkan pada kamera sudut ultra lebar. Kini, rakaman ketika berjalan bukan lagi satu masalah dengan siri OPPO Reno5.

Sebagai seorang pengkarya video, setelah selesai merekod video, tentunya anda akan membuat suntingan video untuk menjadi lebih menarik. Kebiasannya, kita akan pindahkan rakaman daripada telefon pintar ke dalam komputer riba untuk membuat suntingan. Tetapi OPPO menjadikan kerja anda lebih mudah dengan menawarkan aplikasi SOLOOP yang membolehkan anda membuat suntingan video terus di telefon pintar anda. Sangat memudahkan.

Secara kesimpulannya, siri OPPO Reno5 ini sangat sesuai untuk anda jika anda seorang yang gemar mengambil video dan inginkan kepantasan serta kemudahan dalam menghasilkan video yang menarik. Pelbagai fungsi video disertakan dan aplikasi suntingan video juga turut ditawarkan. Malah, dengan bantuan sokongan 5G pada peranti ini, ia dapat mempercepatkan lagi proses memuat naik video ke media sosial. Jadi sekiranya anda berminat, boleh dapatkan siri OPPO Reno5 ini pada harga bermula RM1899 melalui pengedar-pengedar rasmi OPPO di seluruh Malaysia.

Layari: Laman Rasmi OPPO Untuk Maklumat Lanjut

Penafian: Advertorial daripada OPPO Malaysia



This post first appeared on Amanz, please read the originial post: here

Share the post

Mulakan Era 5G Anda Bersama Siri OPPO Reno5 Yang Turut Dilengkapi Dengan Pelbagai Kamera AI Menarik

×

Subscribe to Amanz

Get updates delivered right to your inbox!

Thank you for your subscription

×