Get Even More Visitors To Your Blog, Upgrade To A Business Listing >>

Ulasan Oppo A15 – Sebuah Lagi Peranti Pintar Asas Harga Bawah RM500

Oppo A15, sebuah lagi Peranti pintar terkini daripada Oppo yang dilancarkan di bawah harga RM500. Murah bukan? Tapi anda perlu tahu, murah pada harga pasti ada sebabnya. Oppo A15 juga hanya menawarkan spesifikasi yang biasa-biasa sahaja. Antara beberapa titik jualan utama yang cuba diketengahkan oleh Oppo untuk model ini adalah skrin yang besar dan sistem tri-kamera utama dengan fungsi AI.

Kalau anda perasan juga, Oppo A15 berkongsi pemproses yang sama seperti Oppo A31 dan Vivo Y20 (2021) menerusi janaan cip MediaTek Helio P35. Bukan itu sahaja, bahkan sejumlah spesifikasinya juga dilihat meminjam daripada Oppo A31. Kami katakan di sini, sejumlah sahaja dan bukan secara menyeluruh. Hasil semakan kami menerusi laman web rasmi Oppo Malaysia mendapati – Oppo A31 kini tidak lagi tersenarai di laman berkenaan. Namun begitu, anda masih boleh mendapatkan Oppo A31 menerusi sejumlah platform lain seperti Lazada dan Shopee.

Sama seperti Vivo Y20s sebelum ini, Oppo A15 turut menerima tempias kritikan hebat sesetengah pihak berhubung penawaran harga. Sokongan dua lensa 2-Megapixel untuk sensor kedalaman dan makro juga membuatkan ramai pihak mempersoalkan tindakan Oppo. Rasanya, jikalau Oppo menggunakan sensor sudut-lebar pastinya Peranti Ini akan menjadi lebih menarik. Sebabnya, kami pasti tidak ramai di antara kita yang menggunakan sensor kedalaman dan makro.

Meskipun begitu, setiap peranti pintar yang dijual pastinya mempunyai nilai tersendiri. Begitu juga dengan Oppo A15 sendiri. Untuk ketahui lebih lanjut mengenai prestasi Oppo A15 dalam dunia nyata? Teruskan membaca hingga ke akhir artikel :

Spesifikasi Ringkas Peranti

Oppo A15
Skrin6.52″ IPS LCD, HD+, 60Hz
PemprosesMediaTek Helio P35 (12nm)
Cip4 x 2.35 GHz Cortex-A53
4 x 1.8 GHz Cortex-A53
Cip GrafikIMG PowerVR GE8320
RAM3GB RAM (LPDDR4x)
Muatan Dalaman32GB (microSD 256GB)
Kamera Utama13 + 2 + 2 Megapixel
(f/2.2 + f/2.4 + f/2.4)
Kamera Hadapan8-Megapixel (f/2.0)
Bateri4,230mAh
Pengecasan Pantas 10W
SIM/TelefoniDwi SIM Nano + MicroSD
NFCTiada
Infra MerahTiada
Kalis AirTiada
Sistem ImbasanPengimbas Cap Jari & Imbasan Wajah
Harga JualanRM499

Paparan

Apa boleh kami katakan di sini. Secara umumnya, tidak banyak komen yang boleh diberikan mengenai paparan pada Oppo A15. Sebabnya, ia ringkas sahaja. Kita boleh lihat paparan bertakuk kecil menjadi pilihan Oppo. Menerusinya, Oppo menempatkan kamera swa-foto tunggal sebesar 8-Megapixel.

Seterusnya, paparan skrin yang digunakan adalah bersaiz 6.52-inci. Panel pula sejenis IPS LCD dengan penawaran resolusi HD+ (1600 × 720). Sama seperti sejumlah peranti pintar dalam kelas yang sama. Oppo A15 juga mempunyai bahagian dagu yang besar. Namun begitu, bezel pada bahagian sisi dan atas tetap kelihatan seimbang.

Dari segi kualiti skrin, kami mendapati prestasinya berada di tahap sederhana. Pengalaman yang baik boleh dirasai apabila kami menggunakan peranti ini ketika indoor. Misalnya, ketika berada di pejabat, rumah atau mana-mana kawasan yang tidak terdedah kepada cahaya matahari terang. Melaluinya, segala kandungan pada skrin boleh dibaca dan dilihat dengan mudah.

Namun begitu, berbeza pula ceritanya apabila kami menggunakan peranti ini ketika outdoor. Misalnya, berada di bawah cahaya matahari terang. Baiklah di sini, pengalaman penggunaan akan mula rasa terjejas. Kandungan pada skrin menjadi agak sukar untuk dibaca meskipun tetapan kecerahan digunakan pada tahap yang maksima.

Kemudian, perkara lain yang kami perasan mengenai peranti ini adalah panel skrin memaparkan warna yang agak pudar & kusam – bergantung juga dengan jenis kandungan. Tetapi ini tidak bermakna peranti ini tidak boleh digunakan langsung. Jangan risau, ia masih cukup memadai untuk penggunaan harian majoriti pengguna. Terutamanya untuk mereka tidak mementingkan peranti dengan resolusi yang tinggi.

Rekaan

Menyentuh soal rekaan. Oppo A15 mempunyai binaan yang seimbang. Pada pandangan kami, binaannya di sini boleh dikatakan cukup baik untuk sebuah peranti dengan harga jualan di bawah RM500. Sisi telefon yang melengkung membuatkannya sedap di dalam genggaman. Kemudian, dipadankan dengan panel belakang berkilat – menambah lagi elemen gaya premium pada peranti ini.

Apabila menyentuh bab kemasan, Oppo boleh dikatakan sama seperti Vivo. Di mana, mereka bijak dalam mempertaruhkan jenis hiasan yang ingin diketengahkan pada sesebuah model. Lihat sahaja pada Oppo A15 sendiri. Meskipun, ia hanya menggunakan panel berasaskan plastik. Kemudian, kemasan ringkas dengan satu warna yang menyeluruh. Ia langsung tidak terasa murah, bahkan masih dilihat menarik.

Dalam erti kata mudah, santai sahaja. Terdapat dua pilihan warna yang boleh anda pilih iaitu Fancy White dan Dynamic Black. Ia bagaimanapun, bergantung juga kepada cita rasa masing-masing. Mungkin ada juga di antara pembaca yang tidak bersetuju dengan cita rasa kami. Lain orang, lain pendapatnya.

Jika sebentar tadi kami telah memuji mengenai kemasannya. Tapi, anda juga perlu tahu bahawasanya tidak ada peranti yang sempurna. Walaupun kecil pasti ada celanya. Seperkara yang perlu kami akui apabila panel seperti ini digunakan adalah akan terdapatnya beberapa masalah yang akan berlaku.

Pertama, panel belakang begini kebiasaannya adalah licin dan sangat mudah memerangkap kotoran cap jari. Masalah kedua adalah mudah calar. Kebiasaannya, calar halus yang berpunca daripada kunci atau sebagainya. Kemudian, ia menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan pengguna kerana panel belakang ini akan kelihatan tidak cantik.

Bagi mengelakkan masalah ini daripada berlaku. Mudah sahaja. Anda boleh menggunakan kerangka plastik yang disediakan secara percuma oleh Oppo di dalam kotak pembelian. Akan tetapi, jikalau anda mahukan jenis kerangka yang berhias lebih cantik atau comel. Ia perlu dibeli sendiri.

Bergerak ke rekaan sisi peranti. Butang laras suara dan kuasa boleh ditemui pada sisi kanan. Sementara, slot untuk talam SIM pula ditempatkan pada sisi kiri. Melaluinya, ia juga hadir dengan sokongan slot untuk kad microSD – di mana, sangat praktikal bagi pengguna yang memiliki dua kad SIM. Seterusnya, bicu audio 3.5mm, lubang kecil untuk mikrofon, port pengecasan microUSB dan pembesar suara mono pula diselitkan pada bahagian bawah peranti.

Prestasi

Seperti yang kami katakan di awal artikel, Oppo A15 menggunakan cip MediaTek Helio P35. Ia merupakan cip lapan teras yang menggunakan binaan teknologi berasaskan 12nm. Ia juga menggunakan GPU yang sama seperti cip MediaTek Helio G25 iaitu IMG PowerVR GE8320. Tiada pilihan untuk variasi RAM dan storan dalaman. Sebabnya, hanya satu varian sahaja yang dijual di Malaysia iaitu 3GB RAM (LPDDR4x) dan storan dalaman 32GB. Bagi anda yang memerlukan storan tambahan, kad MikroSD sehingga 256GB boleh digunakan. Perisian yang digunakan pula adalah sama seperti Oppo A53 iaitu sistem operasi Android 10 dengan antaramuka ColorOS 7.2.

Kini tibalah bahagian untuk kami berkongsi mengenai pengalaman penggunaan peranti ini dalam dunia nyata. Oppo A15 dilihat mampu menggalas sejumlah tugasan harian pada peranti dengan memuaskan. Misalnya, membuka & menukar aplikasi harian. Kemudian, membuat navigasi umum juga peranti ini dilihat mampu beroperasi dengan baik.

Melainkan, apabila terdapatnya banyak aplikasi dibuka dalam satu masa. Di sini,masalah lengah masa yang ketara mula berlaku. Tatalan menjadi kurang lancar dan peralihan animasi mula menimbulkan rasa yang kurang memuaskan. Tetapi, tidaklah sehingga berlakunya masalah yang menyebabkan gangguan pada peranti.

Untuk prestasi permua, sejumlah permainan kasual dapat dimainkan dengan lancar tanpa masalah. Tetapi, ia tidak disyorkan untuk permainan yang memerlukan tetapan grafik tinggi. Sebabnya, pengalaman permainan yang baik hanya boleh dirasai pada tetapan grafik asas. Jika tidak, pengalaman bermain akan menjadi tidak menyeronokkan atas sebab prestasi yang tidak memuaskan.

Kamera

Untuk kamera, Oppo A15 didatangkan sokongan tri-kamera utama. Konfigurasi kamera terdiri dengan 13-Megapixel untuk sensor utama dan 2 lagi lensa 2-Megapixel untuk sensor kedalaman dan makro. Pada hemat kami, ketiadaan sensor untuk sudut-lebar membuatkan peranti ini sedikit kurang menarik. Sebabnya, tidak ramai antara kita yang kerap menggunakan sensor makro dan kedalaman.

Dengan fungsi AI, prestasi kamera pada peranti ini kelihatan agak baik. Terutamanya, pada situasi yang mempunyai sumber cahaya mencukupi. Hasil warna pada imej dilihat hampir tepat – terutamanya untuk hasil gambar yang diambil pada waktu siang. Hasilnya seperti contoh gambar yang kami sertakan – nampak baik untuk kebanyakan situasi. Begitu juga dari segi keperincian objek dalam gambar. Ia kelihatan memuaskan. Mungkin bukan yang sempurna, tetapi keperincian yang cuba dihasilkan oleh peranti ini masih boleh dikategorikan baik untuk sebuah telefon dalam segmen bajet.

Berbeza pula untuk hasil gambar pada pencahayaan rendah. Penggambaran pada waktu malam misalnya. Secara keseluruhan, prestasi kamera berada di tahap yang kurang memuaskan. Ia dilihat menghasilkan gambar yang agak lembut (soft). Kemudian, penggambaran pada situasi ini juga memberikan masalah hingar yang ketara dan butiran pada imej juga langsung tidak memuaskan.

Bateri

Oppo A15 dibekalkan kapasiti bateri yang sama seperti Oppo A31 iaitu sebesar 4,230mAh. Kami mendapati prestasinya boleh dikatakan memuaskan. Melaluinya, ia dilihat mencatatkan bacaan SOT hampir 7- 8 jam untuk penggunaan sepanjang hari. Ini termasuklah penggunaan untuk bermain permua, melayari web, penggunaan peta, menangkap gambar dan banyak lagi. Jika anda tergolong dalam pengguna yang cermat, bateri pada peranti ini mampu bertahan lebih daripada sehari.

Tapi, apa yang membuatkan peranti ini nampak ketinggalan adalah pada penggunaan port sambungan. Ia adalah sejenis microUSB. Kemudian, pengecasan pula hanyalah 10W sahaja. Ini adalah pengecasan yang sangat perlahan buat masa sekarang. Disebabkan itu, proses untuk mengecas penuh peranti ini memakan masa lebih daripada 2 jam.

Perbandingan Pesaing Peranti

Oppo A15Realme C15Poco M3
6.52″ IPS LCD, HD+, 60Hz (269 PPI)6.5″ IPS LCD, 720 x 1600, 60Hz (270 PPI)6.53″ IPS LCD, 1080 x 2340, 60Hz (395 PPI)
MediaTek Helio P35 (12nm)
4 x 2.35 GHz Cortex-A53
4 x 1.8 GHz Cortex-A53
Snapdragon 460 (11 nm)
4 x 1.8 GHz Kryo 240
4 x 1.6 GHz Kryo 240
Snapdragon 662 (11 nm)
4 x 2.0 GHz Kryo 260 Gold
4 x 1.8 GHz Kryo 260 Silver
IMG PowerVR GE8320Adreno 610Adreno 610
3 Gigabyte4 Gigabyte4 Gigabyte
32 Gigabyte64 / 128 Gigabyte64 / 128 Gigabyte
Kamera Utama :
13MP (f/2.2) – (Utama)
2MP (f/2.4) – (Kedalaman)
2MP (f/2.4) – (Makro)
Kamera Utama :
13MP (f/2.2) – (Utama)
8MP (f/2.25) – (Ultra Lebar)
2MP (f/2.4) – (B&W)
2MP (f/2.4) – (Retro)
Kamera Utama :
48 MP (f/1.8) – (Lebar)
2 MP (f/2.4) – (Makro)
2 MP (f/2.4) – (Kedalaman)
Kamera Hadapan
8-Megapixel (f/2.0)
Kamera Hadapan
8-Megapixel (f/2.0)
Kamera Hadapan
8-Megapixel f/2.1
Tiada Kemampuan Kalis AirTiada Kemampuan Kalis AirTiada Kemampuan Kalis Air
Bicu Audio 3.5mmBicu audio 3.5mmBicu audio 3.5mm
Fancy White, Dynamic BlackSeagull Silver, Marine BlueCool Blue, Poco Yellow, Power Black
4,230mAh (Pengecasan 10W)6,000mAh (Pengecasan 18W)6,000mAh (Pengecasan 18W)
RM499Bermula RM599Bermula RM599

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, Oppo A15 hadir dengan spesifikasi yang bersesuaian untuk kegunaan harian. Tetapi, bukan untuk penggunaan peranti secara kerap. Siapa agaknya yang patut membeli? Pertama, jika anda mempunyai anak-anak atau adik-beradik, peranti ini boleh dijadikan kemudahan untuk proses pembelajaran mereka. Ditambah pula dengan keadaan sekarang, sesi pembelajaran daripada rumah telah diubah menjadi teknik pembelajaran utama. Jadinya, memiliki peranti pintar boleh dikatakan satu keperluan. Seterusnya, Oppo A15 juga sesuai dijadikan hadiah buat orang tua. Kebiasaannya, golongan sebegini lebih memfokuskan kepada penggunaan media sosial sahaja. Atau, membelinya untuk kegunaan sendiri. Lebih-lebih lagi mereka yang mencari peranti sandaran.

Pro :

  • Binaan kukuh, kemasan menarik
  • Kamera baik pada pencahayaan cukup
  • Sekadar baik untuk kegunaan harian, bukan permua
  • Ketahanan bateri memuaskan

Kontra :

  • Resolusi skrin hanya HD+, Warna pada skrin sedikit pudar
  • Peranti mudah memerangkap cap jari
  • Port sambungan MikroUSB
  • Mod penggambaran malam yang mengecewakan


This post first appeared on Amanz, please read the originial post: here

Share the post

Ulasan Oppo A15 – Sebuah Lagi Peranti Pintar Asas Harga Bawah RM500

×

Subscribe to Amanz

Get updates delivered right to your inbox!

Thank you for your subscription

×