Get Even More Visitors To Your Blog, Upgrade To A Business Listing >>

10 Perkara Membanggakan Dunia Teknologi 2020

Alhamdulillah kita tiba juga ke penghujung 2020 – Tahun yang boleh dikategorikan sebagai tong sampah yang terbakar. Pelbagai perancangan terpaksa ditangguhkan bagi mengharungi norma baharu dunia yang menentang wabak Covid-19. Tetapi tidak kesemuanya suram. Dalam timbunan berita buruk masih terdapat sinar di sebalik awan dengan pelangi menanti untuk mewarnai alam. Bagi yang lupa tentang berita menarik yang berlaku sepanjang tahun, ini ialah senarai 10 perkara membanggakan dunia Teknologi 2020.


Vaksin Covid-19 Berjaya Ditemui

Pembangunan vaksin Covid-19 dalam masa kurang setahun ialah antara pencapaian sains terhebat dalam sejarah peradaban manusia. Kami katakan begini kerana sebelum ini vaksin mengambil masa bertahun lamanya sebelum boleh digunakan. Contoh terbaik ialah vaksin polio yang mengambil masa 20 tahun. Ramai mungkin tidak menyedari calon vaksin Covid-19 telah ditemui sejak bulan Mac 2020. Ketika artikel ditulis, lebih dari 320 calon vaksin telah ditemui dengan 30 lagi sedang menjalani proses ujian ke atas manusia bagi memastikan keselamatan.

Ini juga kali pertama dalam sejarah dunia berpuluh vaksin dibangunkan serentak di seluruh dunia untuk menentang satu wabak. Antara vaksin yang telah terbukti keberkesanannya ialah Pfizer BioNTech, Moderna, dan AstraZeneca-Oxford.

Proses vaksinasi telahpun dimulakan di Singapura, UK, Israel, UAE dan Amerika Syarikat. Malaysia pula akan memulakan proses vaksinasi seawal Februari 2021 kelak dengan sasaran 70% warga Malaysia menerimanya sebelum akhir tahun. Perang wabak Covid-19 masih belum tamat tetapi serangan balas untuk menewaskan virus ini sudah bermula.

Aplikasi Pengesanan Kontak

Kemana sahaja anda pergi anda akan mengimbas kod MySejahtera atau SELangkah. Ini telahpun menjadi norma baharu rakyat Malaysia sejak penggunanya diwajibkan pada bulan April 2020. Proses mengesan kontak rapat pesakit Covid-19 menjadi lebih mudah dan bagi orang ramai pula mereka tidak perlu menulis nama secara manual. Sehingga November 2020, Aplikasi telah dipasang pada 23 juta peranti.

Aplikasi pengesanan kontak juga telah dibangunkan oleh hampir kesemua negara dunia. Antara yang paling mengejutkan tentang pembangunan aplikasi pengesanan kontak ialah Apple dan Google bekerjasama untuk membangunkan API yang berfungsi pada sistem operasi peranti mudah alih mereka. Covid-19 berjaya memaksa dua seteru teknologi untuk menggembleng tenaga demi kebaikan sarwajagat. Bagi negara yang tidak mampu membangunkan aplikasi sendiri, WHO tampil ke hadapan dengan aplikasi sumber terbuka mereka.

Cip Apple M1 – Anjakan Ke ARM

Apple M1 ialah cip pertama di bawah keluarga Apple Silicon. Dengan pengenalan M1, Apple sekali lagi mengubah pengguna cip pada komputer mereka kepada yang dibangunkan sendiri. Setelah sekian lama bergantung kepada infrastruktur X86, Apple memulakan langkah berani berpindah kepada ARM seterusnya. Dengan sekali langah mereka menyeragamkan pembangunan untuk macOS, iPadOS dan iOS.

Tetapi yang membuatkan Apple M1 antara berita terbesar 2020 ialah prestasi cip generasi pertama ini. Ia melangkaui kemampuan cip Intel yang digunakan MacBook terdahulu tetapi pada harga jualan yang jauh lebih murah. Prestasi pemproses meningkat dengan menghapuskan masalah pemanasan dan hayat bateri yang berkali ganda lebih baik. Kemampuan cip Apple M1 mengejutkan golongan yang skeptis pada awalnya.

Kejayaan Apple berpindah ke ARM menyalakan semula minat pembangunan Windows on ARM yang selama ini kurang mendapat sambutan. Aplikasi yang selama ini tidak natif pada ARM kini dapat dipindahkan dengan pantas. Impaknya ke atas dunia pengkomputeran akan dilihat dalam jangka masa pendek walaupun anda tidak menggunakan macOS.

Bermulanya Era Cip 5nm

Era cip 5nm bermula pada tahun ini dengan pelancaran Apple A14 Bionic, Kirin 9000 dan Snapdragon 888. Ketiga-tiganya menjanjikan peningkatan prestasi berbanding teknologi 7nm tetapi dengan pengurangan penggunaan kuasa. Dengan skrin semakin besar, pemproses yang lebih berkuasa tetapi teknologi bateri yang tidak berkembang seperti yang diharapkan, pemproses yang lebih menjimatkan kuasa adalah perlu.

Teknologi 5nm ini turut digunakan pada cip Apple M1 sekaligus membawakan kelebihan teknologi cip peranti mudah alih kepada komputer riba yang sekian lain dilihat tidak lagi relevan. Tahun ini kita melihat peningkatan penggunaan komputer riba untuk kerja dari rumah, kini ialah masa yang paling sesuai untuk membawakan kesemua kelebihan peranti mudah alih ke komputer riba.

Kamera Bawah Skrin

Dahi, takuk dan lubang – tiga cara yang paling popular digunakan oleh pengeluar peranti untuk meningkatkan saiz skrin telefon pintar sejak bertahun lamanya. Kesemuanya mempunyai kelebihan serta kekurangan masing-masing. Takuk terlalu besar sehingga menghalang pemandangan. Lubang ialah penyelesaian yang lebih eksotik tetapi masih tiak membenarkan keseluruhan skrin digunakan tanpa halangan.

ZTE Axon 20 5G akhirnya menjadi peranti pertama dunia dengan teknologi kamera bawah skrin yang menyelesaikan kesemua isu kamera swafoto terdahulu. Langkah ZTE kemudiannya akan diikuti pula oleh Oppo yang selama ini hanya menunjukkan prototaip. Dalam masa yang singkat, teknologi yang dianggap mustahil telahpun menjadi realiti. Tahun 2021 akan melihat peranti dengan rekaan yang semakin cantik tanpa perlu mengorbankan skrin.

Konsol Generasi Ke-Sembilan Dilancarkan

Konsol generasi kesembilan PlayStation 5 dan Xbox Series X telah dilancarkan tahun ini – tujuh tahun selepas PlayStation 4 dan Xbox One dipasarkan. Setiap generasi membawakan pembaharuan tetapi generasi ke-sembilan membawakan perubahan yang terbesar setakat ini. Akhirnya peningkatan ke resolusi 4K, storan SSD yang mempercepatkan proses muatan, integrasi media yang lebih menyeluruh dan versi tanpa pemacu cakera fizikal wujud.

Sebagai peminat konsol, antara kelebihannya ialah perkakasan tidak perlu dikemaskini dengan kerap dan proses mengemaskini perisian yang lebih mudah. Melihat evolusi konsol sejak 1972 adalah amat mengejutkan. Dari sebuah permainan yang dilihat untuk kanak-kanak, konsol kini menjadi simbol status golongan bapak-bapak yang masih belum bersedia untuk bersara dari menjadi seorang gamer. Walaupun kita sudahpun di generasi kesembilan, satu masalah generasi lama masih berterusan iaitu jumlah unit yang amat terhad. Semoga generasi kesepuluh nanti perkara yang sama tidak berulang.

Permintaan Perkhidmatan Penghantaran Makanan, E-dagang Dan Nirtunai Meningkat

Tahun ini buat pertama kalinya kami membeli barangan dapur menggunakan aplikasi. Jumlah pembelian barangan lain pula meningkat sehingga lima kali ganda. Aplikasi dompet digital yang selama ini sekadar memakan ruang storan dibuka hampir setiap hari. Kerana Covid-19 perkhidmatan penghantaran barangan menjadi jambatan yang menyambungkan rakyat dunia yang berkurung di rumah dengan dunia luar. Penghantar makanan dianggap sebagai pekerja baris hadapan dan pekerjaan ini tidak lagi dianggap jijik.

Permintaan untuk e-dagang sangatlah tinggi sehingga berlaku lambakan parcel di beberapa ibu pejabat syarikat penghantaran. Insan yang kehilangan kerja kerana penangan Covid-19 pula meneruskan kelangsungan hidup dengan menjadi ejen penghantar. Penggunaan dompet digital juga menerima impak positif Covid-19 selepas tular berita virus boleh hidup pada permukaan duit kertas selama beberapa hari.

Perang Perdagangan China-A.S Semakin Panas

Tembakan pertama dilepaskan oleh Amerika Syarikat apabila sekatan dikenakan ke atas ZTE pada tahun 2018 kerana penjualan teknologi kepada Iran. ZTE akur dengan pelbagai syarat yang dikenakan oleh Jabatan Perdagangan A.S untuk meneruskan perniagaan yang terjejas teruk. Kemudian pada tahun 2019 sekatan dikenakan pula ke atas Huawei kerana dituduh merisik bagi pihak kerajaan China. Tidak seperti ZTE, Huawei tidak diberikan peluang untuk menyelesaikan isu ini. Pertemuan di antara Presiden Trump dan Xi juga tidak menyelesaikan kemelut. Oleh itu pada tahun 2020, tekanan yang lebih ketak dikenakan bukan sahaja ke atas Huawei tetapi juga kepada DJI, SMIC, dan Bytedance.

Ancaman pengharaman TikTok paling mendapat perhatian ramai kerana ia adalah aplikasi media sosial paling popular sepanjang 2020. Selepas pelbagai perbincangan dilakukan, TikTok Global akan dibentuk dengan saham dikongsi di antara Bytedance, Oracle dan Wallmart. Tetapi dengan kegagalan Trump untuk memenangi pilihanraya presiden November lalu tiada berita baru didengari mengenai pembentukan TikTok Global.

Perang perdagangan yang biasanya menjejaskan ekonomi negara-negara yang bertelagah tetapi dalam kes ini ia meninggalkan impak yang besar kepada dunia. Paling ketara ialah pengharaman kelengkapan 5G Huawei di beberapa negara Eropah dan Asia. Terdapat ramalan bahawa kesemua isu ini akan selesai selepas Biden mengambil alih tetapi Trump masih enggan mengaku kalah. Maka tidaklah mengejutkan Huawei terus mengambil langkah drastik berhenti menggunakan Android dan berpindah kepada Harmony OS tahun hadapan dan terpaksa menjual Honor.

Teknologi Telesidang

Teknologi telesidang adalah teknologi yang menghubungkan sanak-saudara, rakan taulan dan perniagaan ketika dunia ditutup pada separuh tahun pertama 2020. Secara sekelip mata aplikasi Zoom yang ramai kami yakin tidak pernah gunakan menjadi aplikasi perlu dimuat turun. Kami sendiri di Amanz menggunakan Zoom untuk meneruskan kelangsungan perniagaan semasa tempoh PKP seluruh negara.

Covid-19 dengan pantas mendedahkan kelemahan yang wujud pada sistem telesidang sedia ada seperti tidak mampu menampung jumlah peserta yang ramai, latar belakang yang tidak boleh disorokkan dan sistem memudahkan soalan ditanya. Sekiranya tahun ini melihat semua aplikasi mempunyai Stories, semua aplikasi telesidang turut meniru ciri unik yang ditawarkan oleh Zoom.

Aplikasi telesidang kini sudah biasa digunakan untuk bapa melihat anak yang baru dilahirkan di hospital, pembelajaran atas talian, melakukan konsert atas talian, menyambut hari perayaan bersama insan berjauhan dan menjadi peluang terakhir mengucapkan selamat tinggal kepada pesakit tenat di hospital.

Kerja Dari Rumah

Masih terdapat ramai yang bekerja dari rumah walaupun kita sudah hampir sembilan bulan hidup di bawah bayangan PKP. Beberapa syarikat teknologi besar seperti Google mula membenarkan kakitangan untuk bekerja dari rumah walaupun selepas wabak Covid-19 berjaya dihapuskan. Dengan pantas kesemua syarikat terpaksa mengubah definisi “pejabat”. Apa yang menarik ialah bekerja dari rumah yang selama ini dilihat sebagai mustahil sebenarnya tidak. Hanya pada peringkat awal produktiviti menurun sebelum kakitangan membiasakan diri dan dapat bekerja seperti biasa.

Ramalan Sir Arthur Conan Doyle bahawa tiada lagi keperluan ke pejabat menjadi realiti pada beberapa industri. Yang menjadi penghalang ialah teknologi tetapi seperti yang telah kami tulis di atas, teknologi telesidang berevolusi dengan cukup pantas untuk berubah mengikut keperluan. Perubahan yang selama ini mengambil masa bertahun-tahun dapat dilakukan dalam masa beberapa bulan sahaja. Bukti bahawa anjakan paradigma pekerjaan boleh dilakukan cuma selama ini ditentang oleh majikan yang enggan berubah.



This post first appeared on Amanz, please read the originial post: here

Share the post

10 Perkara Membanggakan Dunia Teknologi 2020

×

Subscribe to Amanz

Get updates delivered right to your inbox!

Thank you for your subscription

×