Get Even More Visitors To Your Blog, Upgrade To A Business Listing >>

Ulasan Poco F2 Pro – Peranti Mercu Dengan Nilai Terbaik 2020

Enam minggu yang lalu saya menimbulkan kemarahan pengguna Android apabila mengatakan dengan pelancaran iPhone SE 2020, Peranti kelas pertengahan Android sudah boleh gulung tikar, balik kampung dan tanam jagung sahaja kerana tidak mampu menandingi nilai yang ditawarkan oleh Apple. Dalam pasaran pec4ranti mercu dijual pada harga lebih RM2000, iPhone muncul dengan peranti yang mampu milik tetapi dijana cip yang sama seperti iPhone 11 Pro Max yang hampir mencecah RM7000 sebuah.

Selepas lebih sebulan saya ingin menarik semula ciapan tersebut kerana kini terbukti menyimpang, sesat, mencapah dan terkesamping dari realiti sebenar. Peranti mercu dengan nilai terbaik 2020 bukanlah iPhone SE 2020 tetapi Adalah Poco F2 Pro. Adalah jarang sekali saya memberikan konklusi di awal ulasan tetapi di dalam kes F2 Pro, ulasan di bawah akan memberikan justifikasi mengapa telefon ini saya nobatkan sebagai peranti nilai terbaik tahun ini.

Spesifikasi Dan Rekabentuk

Poco F2 Pro
Skrin 6.67″ SAMOLED, FHD+,
HDR10+, 60Hz
Pemproses Snapdragon S65
Cip 1 X 2.84 GHz Kryo 585
3 X 2.42 GHz Kryo 585
4 X 1.8 GHz Kryo 585
Cip Grafik Adreno 650
RAM 6/8 Gigabyte LPDDR4X/LPDDR5
Muatan Dalaman 128/256 GB UFS 3.1
Kamera Utama 64+13+5+2 Megapixel.
f/1.9+f/2.2+f/2.4+f/2.4, OIS
Kamera Depan 20 Megapixel f/2.2
Bateri 4700
(Pengecasan pantas 30W)
SIM/Telefoni Dwi SIM Nano (Talam Hibrid)
NFC Ya
Infra Merah Ya
Kalis Air Tiada
Sistem Imbasan Cap jari terbina dalam skrin
Harga Jualan RM 2199 – 2599

Skrin sebesar 6.67″ dari keluarga SAMOLED adalah amat besar dengan sokongan kadar segar semula 60Hz dan paparan HDR10+. Sebagai sebuah peranti mercu mampu milik, tiada sokongan kadar segar semula 90Hz dan 120Hz. Kami tahu ramai merasakan skrin sekurang-kurangnya 90Hz adalah perlu pada tahun 2020. Kami faham apa yang cuba disampaikan kerana apabila menatal skrin F2 Pro, memang terasa perlahan jika dibandingkan dengan skrin S20 Ultra 5G dan Find X2 Pro yang kami ulas tahun ini.

Tetapi kami harus tekankan hanya mereka yang pernah menggunakan peranti dengan skrin kadar segar semula yang tinggi akan menyedarinya. Kami juga percaya bagi pengguna kebanyakan ia tidak mendatangkan kesan pada pengalaman penggunaan.

Apa yang kami paling suka mengenai skrin F2 Pro ialah ianya rata, tidak mempunyai sebarang takuk dan tiada lubang skrin. Menonton video dan memainkan permua terasa lebih menyeronokkan kerana kesemua permukaan skrin boleh digunakan. Dengan skrin yang rata juga tiada masalah video kelihatan aneh dalam tontonan skrin penuh dan juga ketika menggunakan aplikasi kamera.  Ia adalah penambahbaikan rekana yang amat dialu-alukan kerana kami cukup tidak gemar dengan takuk bersaiz besar pada Poco F1 dua tahun yang lalu.

Skrin juga memaparkan warna yang baik dan terang. Perbezaan yang dapat kami lihat jika dibandingkan dengan panel skrin S20 Ultra hanyalah keterangan maksimum. Peranti mercu Samsung adalah nyata lebih terang tetapi pada waktu yang sama harus diingatkan ini bukanlah perbandingan yang adil kerana harga jualan S20 Ultra adalah hampir dua kali ganda lebih tinggi. Pengalaman penggunaan skrin adalah memuaskan asalkan anda tidak berubah dari sebuah peranti berskrin 90Hz atau menyokong resolusi yang lebih tinggi.

Pemproses Snapdragon 865 dipadankan dengan memori sehingga 8GB dan storan sehingga 256GB. Tiada sokongan kad mikro SD pada peranti dan anda harus bijak memilih saiz storan yang anda mahukan sejak dari awal. Seperkara lagi pada versi 6GB, memori yang digunakan adalah dari keluarga LPDDR4X yang lebih perlahan berbanding LPDDR5 pada versi 8GB. Storan pada kedua-dua model walau bagaimanapun adalah dar keluarga UFS 3.1 yang sebenarnya lebih pantas berbanding S20 Ultra.

Ketika artikel ditulis masih tiada ura-ura model dengan pilihan RAM lebih besar akan ditawarkan. Pada hemat Poco, 8GB adalah cukup memuaskan walaupun peranti 12GB sudah ditawarkan sejak tahun lalu dan Red Magic 5G hadir dengan 16GB RAM.

Pada spesifikasi kamera, F2 Pro sekali lagi melawan arus. Tiada bonggol kamera bersaiz gergasi dan mengejutkan lagi tiada sokongan sistem zum optikal. Lensa sudut lebar dengan sensor 64MP dipadankan dengan ultra lebar 13MP, telemakro 5MP dan pengesan kedalaman 2MP.  Walaupun tidak kelihatan menakjubkan di atas kertas, ia adalah lebih baik berbanding Poco F1 yang sekadar dilengkapi sensor 12+5 MP sahaja. Kesemua ini diletakkan di dalam bonggol kamera berbentuk bulat.

Untuk swafoto pula kamera sebesar 20-MP diletakkan di dalam mekanisme pop naik. Pilihan berani oleh Poco untuk meneruskan trend yang semakin pupus tahun ini. Tetapi untuk memberikan skrin yang besar tanpa lubang dan takuk, inilah satu-satunya pilihan kerana  kamera bawah skrin masih belum ditawarkan secara meluas ketika peranti diumumkan. Pada kamera ini terdapat sistem lampu LED yang menyala setiap kali ia keluar dari tubuh. Ia juga merangkap sistem notifikasi LED yang seperti sistem periskop semakin jarang kita lihat di pasaran.

Menguasai peranti dengan spesifikasi yang tinggi ini ialah bateri yang tidak kurang besarnya iaitu 4700 mAh. Bateri boleh dicas semula menggunakan pengecas 30W menerusi port USB-C. Berita baik bagi mereka yang ingin membeli F2 Pro ialah pengecas ini disertakan dengan setiap pembelian. Berita buruknya ialah tiada sokongan pengecasan nirwayar atau mengecas peranti lain secara nirwayar diberikan.

Kesemua komponen-komponen dimasukkan ke dalam tubuh berukuran 163.3 x 75.4 x 8.9 mm. Ia adalah peranti yang besar dan tebal. Akibatnya penggunaan sebelah tangan sepenuhnya adalah hampir mustahil sekiranya anda tidak mempunyai jari sepanjang kuntilanak.

Memegang peranti di dalam tangan juga sedikit sukar kerana tubuh yang agak berisi dan panel kaca yang licin. Poco memberikan sebuah kerangka lutcahaya yang bertekstur kasar. Selepas kerangka ini digunakan barulah kami berasa lebih selesa memegang peranti kerana tiada kerisauan ia akan tergelincir dari tangan.

Peranti besar yang licin adalah masalah yang telah berlarutan sejak empat tahun yang lalu kerana penggunaan panel kaca serta skrin gergasi. Kami yakin di tahun 2020, ramai di kalangan anda sudah tidak lagi menggunakan peranti tanpa kerangka kerana ia langsung tidak masuk akal.

Tetapi tidak semuanya negatif. Walaupun dipasarkan sebagai peranti mercu mampu milik. F2 Pro masih dilengkapi sokongan NFC, bluetooth 5.1, bicu audio 3.5mm dan pemancar infra merah. Yang tiada ialah kemampuan kali air yang kami kategorikan sebagai seharusnya perlu pada kesemua peranti mercu tetapi kamera periskop membuatkan ini menjadi mustahil.

Antaramuka Dan Pengalaman Penggunaan

 Sistem operasi Android 10 dengan pelancar Poco Launcher berasaskan MIUI 11. Antaramuka peranti adalah kemas, minimalis dan tidak terasa berat walaupun skrin sekadar 60Hz sahaja. MIUI 11 kini dapat melarikan diri dari imej sebagai peniru iOS kerana mempunyai lebih banyak ciri yang akan hanya diperkenalkan pada iOS 14 kelak. Terdapat sokongan Dual App yang membolehkan dua akaun WhatsApp digunakan pada satu peranti dan juga Game Turbo untuk pengalaman permua yang lebih lancar. Gestur Android asli boleh digunakan atau sekiranya anda “orang lama”, sistem navigasi 3 butang juga boleh diaktifkan.

Melancarkan peranti adalah sepantas kilat dan proses segar semula hanya berlaku selepas 10 aplikasi dilancarkan serentak. Prestasi yang memenuhi piawaian kami di Amanz dan tidaklah memalukan untuk tahun 2020. Kombinasi Snapdragon 865, memori serta storan yang pantas memastikan proses menjalankan aplikasi sentiasa lancar.

Satu ciri paling menarik pada Poco Launcher ialah talam aplikasi yang secara automatik menyusun aplikasi ke dalam kategorinya tersendiri. Ini ialah ciri yang dipinjam oleh Apple pada iOS 14. Berbeza dengan iOS 14, Poco memberikan kebebasan kepada pengguna untuk menggunakan susunan ini atau susunan mengikut abjad. Kebebasan memilih adalah sinonim dengan Android.

Ketika artikel ini ditulis, Xiaomi telah mengesahkan F2 Pro adalah antara peranti awal yang akan menerima MIUI 12 dengan pelbagai lagi penambahbaikan serta ciri-ciri baharu yang menarik. Tidak berakhir di situ F2 Pro juga antara peranti terawal yang boleh mengakses Android 11 Beta. Peranti akan menerima kemas kini perisian yang baik dari pengeluar untuk jangka masa terdekat. Ini ialah sesuatu yang penting memandangkan peranti yang tidak dikemaskini akan mengalami pelbagai masalah kerentanan serta pepijat yang boleh mendatangkan masalah yang serius.

Secara lalai kesemua peranti Xiaomi akan memaparkan iklan setiap kali aplikasi dimuat turun dan menggunakan aplikasi Security yang terbina. Bagi mereka yang tidak pernah menggunakan MIUI, ini ialah sesuatu yang amat menjengkelkan. Kami antara mereka yang jatuh ke dalam kategori ini dan terima kasih kepada pembaca yang memberikan komen bahawa iklan boleh dimatikan.

Masalahnya ialah mencari tetapi berbeza untuk mematikan kesemua iklan. Kami berharap pada MIUI 12 kelak, proses menyahaktifkan iklan yang disorokkan di bawah tetapan “app recomendation” akan diletakkan semasa peranti ditetapkan buat pertama kali. Kami faham harga peranti yang murah ingin disubsidi dengan paparan iklan tetapi proses menyahaktifkannya sepatutnya lebih mesra pengguna dan tidak tersorok.

Kamera

Jika ada kelemahan pada spesifikasi F2 Pro, kami meletakkannya pada kamera. Tiada sokongan zum digital walau 2X sekalipun adalah sedikit sukar untuk dimaafkan lebih-lebih di dalam pasaran yang kini sesak dengan peranti berkamera 10X zum hibrid. Di atas kertas F2 Pro langsung tidak boleh bersaing dengan raja kamera Huawei P30 Pro tahun lalu apatah lagi dengan peranti mercu 2020. Sebelum kita membincangkan prestasi kamera mari kita bincangkan tentang perisian terlebih dahulu.

Aplikasi kamera juga mempunyai sokongan kecerdasan buatan yang diperkenalkan oleh Xiaomi beberapa tahun yang lalu. Ini ialah ciri standard yang diberikan kepada kesemua peranti termasuklah Mi Note 10 Lite yang kami ulas sebelum ini. Perisian kamera yang digunakan adalah mudah digunakan serta difahami dengan pelbagai fungsi dengan panta boleh diakses pengguna. Terdapat integrasi Google Lens yang memudahkan proses mengimbas kod QR MySejahtera misalnya tanpa perlu memuat turun aplikasi tambahan.

Terdapat mod video, gerak perlahan, potret, panorama, resolusi besar 64MP dan mod malam. Ini semuanya sekali lagi adalah ciri-ciri terbina asas yang perlu ada pada aplikasi kamera. Poco tidak memasukkan ciri gimik seperti realiti gabungan dan sebangainya.

Dengan cip Snapdragon 865, proses mengambil gambar adalah pantas walaupun dengan sistem kecerdasan pintar diaktifkan. Peranti kemudiannya akan menjadi sedikit suam kerana keperluan memproses kesemua imej yang telah diambil.

Kualiti Gambar

Kemampuan fotografi adalah seperti yang anda lihat di bawah. Dari segi penghasilan semula warna, kami menyedari gambar yang diambil adalah lebih gelap berbanding situasi sebenar. Imej yang dihasilkan adalah terang dan tajam dalam situasi pencahayaan yang baik. Apabila di dalam situasi yang agak gelap, imej yang terhasil adalah baik sekiranya sistem kecerdasan buatan diaktifkan oleh pengguna. Tanpanya gambar adalah terlalu gelap terutamanya jika mod malam tidak digunakan.

Tanpa sistem zum optikal, kemampua zum terhad kepada sistem digital semata-mata. Pada tetapan zum tertinggi, gambar yang dihasilkan mempunyai hingar yang ketara seperti pada huruf “E” dalam imej di bawah. Warna pada imej juga lari dari warna asal. Sungguhpun begitu harus kami katakan kualiti imej yang dihasilkan sebenarnya memuaskan untuk perkongsian pada media sosial.

Kemampuan kamera yang paling kami suka pada F2 Pro sebenarnya ialah lensa makro yang disertakan. Imej yang makro yang tajam dapat dihasilkan walaupun dengan kedudukan objek yang hampir kepada lensa kamera. Tidak banyak peranti di pasaran mempunyai kemampuan makro sebaik yang kami nikmati pada F2 Pro. Bagi penggemar fotografi makro, ini adalah peranti untuk anda.

Kami ingin komen sedikit mengenai mod lama F2 Pro yang kami rasakan aneh. Gambar pertama di bawah diambil tanpa mod malam tetapi dengan kecerdasan buatan diaktifkan. Gambar kedua diambil mengguanakan mod malam. Dapat dilihat gambar tanpa mod malam kelihatan lebih baik. Mod malam pada F2 Pro sekadar menerangkan kawasan yang telah memang terang tetapi kawasan yang gelap masih kekal gelap. Lihat sahaja bakul plastik pada gambar kedua. Ia tidak berbegza langsung dengan imej pertama. Mod malam F2 Pro adalah mengecewaakan apabila dibandingkan dengan peranti-peranti lain yang pernah diulas.

Audio

Sekali pandang F2 Pro tampak seperti dilengkapi pembesar suara stereo tetapi sebenarnya tidak. Hanya satu pembesar suara diletakkan pada bahagian bawah. Akibatnya audio stereo tidak dapat dinikmati. Kualiti audio dari pembesar suara adalah sekadar sederhana. Ianya adalah amat lantang pada tetapan tertinggi. Menggunakannya di dalam kenderaan untuk menjawab panggilan telefon adalah memuaskan. Tetapi pada tetapan audio tertinggi bunyi mula sedikit pecah dan berkecamuk. Tanpa bantuan sistem Dolby Atmos, kami turut merasakan audio menerusi pembesar suara adalah sedikit rata.

Kualiti audio menjadi berkali ganda lebih baik apabila dipadankan dengan sistem audio yang lebih baik. Kami menguji menggunakan fon telinga dengan sokongan LDAC dan pembesar suara SONOS. Dalam kedua-dua situasi kualiti audio yang mampu dihasilkan adalah setaraf dengan kami nikmati pada peranti mercu lain di pasaran.

Kelebihan F2 Pro ialah masih terdapat bicu audio bagi mereka yang masih belum bersedia untuk memotong wayar atau inginkan audio tanpa masa pendam ketika sesi permua.

Pengalaman audio pada F2 Pro amat bergantung kepada situasi ia digunakan. Pembesar suaranya sekadar mono membuatkan sesi perminan video FPS menjadi mustahil kerana audio musuh dari kiri tidak dapat didengari. Kedudukan pembesar suara juga membuatkan ia mudah ditutup dengan tangan ketika menjalankan permua.

Penanda Aras

Penanda aras yang kami gunakan ialah Geekbench 5 dan Antutu 3D untuk menguji kemampuan Snapdragon 730G. Dalam Geekbench 5, 923 markah dicatatkan dalam ujian satu teras dan 3178 markah dalam ujian multi teras. Sementara itu 567351 markah dicatatkan dalam ujian Antutu 3D. Ini adalah markah yang tinggi untuk peranti tahun 2020. Ia lebih tinggi berbanding yang dicatatkan oleh Exynos 990 (Galaxy S20 Ultra) dan Kirin 990 5G (Huawei P40 Pro+) tetapi sedikit sahaja di belakang Apple A13 Bionic.

Ujian penanda aras menunjukkan prestasi yang mengagumkan tetapi bagaimana dengan penggunaan di dunia sebenar? Peranti berfungsi di dunia sebenar sebaik di dalam ujian penanda aras sintetik. Aplikasi dilancarkan dengan amat pantas dan berfungsi dengan lancar walaupun skrin sekadar menyokong 60Hz. Kesemua aplikasi dapat dijalankan tanpa masalah.

Permua dengan keperluan grafik yang tinggi boleh dimainkan pada tetapan paling tinggi tanpa masalah. COD Mobile misalnya kekal pada kada 60FPS selepas tetapan grafik tertinggi dipilih. Selepas beberapa sesi permainan yang agak panjang, kami menyedari peranti hanya terasa suam. In berbeza dengan pengalaman menggunakan S20 Ultra dan iPhone 11 Pro yang pada penggunaan yang sama akan menjadi lebih panas. Sistem peyejukan kebuk wasap yang lebih besar digunakan pada F2 Pro dan hasilnya ialah peranti yang lebih sejuk. Sebagai peranti untuk permua, prestasi sistem penyejuk F2 Pro adalah amat baik walaupun masih lagi pasif.

Bateri

Waktu terbaik penggunaan peranti yang kami nikmati ialah hampir 24 jam dengan skrin terpasang selama 13.5 jam. Ini ialah penggunaan dengan WiFi hampir sepanjang masa. Kami kategorikan ini sebagai penggunaan sederhana di rumah atau pejabat. Dalam penggunaan yang lebih berat dan LTE sepenuhnya, hayat penggunaan menjunam ke sekitar 14 jam dengan skrin terpasang sekitar 11 jam. Bateri 4700 mah yang disertakan mampu memberikan hayat penggunaan hampir sepanjang hari jika anda menolak waktu tidur 8 jam. Kami tidak pernah perlu mengecas F2 Pro dua kali sehari sepanjang tempoh ulasan.

Pesaing

Peranti Pesaing
Poco F2 Pro Apple iPhone SE 2020 Xiaomi Mi 10 5G
6.67″ SAMOLED, FHD+, HDR10+, 60Hz (395 PPI) 4.7″ IPS LCD, Retina (326 PPI), 60Hz 6.67″ SAMOLED, FHD+, HDR10+, 90Hz (386 PPI)
Snapdragon 865
1 X 2.84 GHz Kryo 585
3 X 2.42 GHz Kryo 585
1 X 1.80 GHz Kryo 585
Apple 13 Bionic
2 X 2.65 GHz Lightning
4 X 1.8 GHz Thunder
Snapdragon 865
1 X 2.84 GHz Kryo 585
3 X 2.42 GHz Kryo 585
1 X 1.80 GHz Kryo 585
Adreno 650 Apple GPU Adreno 650
6/8 Gigabyte 3 Gigabyte 8 Gigabyte
128/256 GB UFS 3.1 64/128/256 Gigabyte nVMe 128/256 Gigabyte UFS 3.0
Kamera Utama 64+13+5+2 Megapixel (f/1.9+f/2..4+f/2.2+f/2.4) Kamera Utama 12 Megapixel (f/1.8), OIS Kamera Utama 108+13+2+2 Megapixel, (f/1.7+f/2.7+f/2.4+f/2.4)
Kamera Hadapan 20-Megapixel f/2.2 Kamera Hadapan 7-Megapixel f/2.2 Kamera Hadapan 20 Megapixel f/2.0
Tiada Kemampuan Kalis Air IP67 Tiada Kemampuan Kalis Air
Bicu audio 3.5mm Tiada bicu audio 3,5mm Tiada bicu audio 3.5mm
Pemancar infra merah Tiada pemancar infra merah Pemancar infra merah
4700 mAh (Berwayar 30W) 1821 mAh (Berwayar 18W) 4780 mAh (Berwayar 30W/ Nirwayar 30W)
Bermula RM 2199
Bermula RM1999 Bermula RM2799

Kesimpulan

Ramai melihat iPhone SE 2020 sebagai peranti mercu paling mampu milik dan berbaloi untuk tahun 2020. Tetapi selepas menggunakan kedua-dua peranti kami dengan yakin mengatakan takhta ini sebenarnya milik Poco F2 Pro. Apabila dibandingkan epal dengan epal kerana kedua-dua peranti dijual pada harga yang sama (RM 2199 untuk storan 128GB), amat ketara F2 Pro adalah lebih berbaloi

Skrin yang lebih besar, kepadatan pixel lebih tinggi, SAMOLED dan bukannya LCD, kemampuan kamera yang lebih memuaskan, bicu audio terbina, pengimbas cap jari terbina dalam skrin, bateri yang bertahan lebih lama dan sistem pengecasan yang jauh lebih pantas. Dua kelebihan iPhone SE 2020 ialah ekosistem iOS yang lebih meluas dan kemampuan kalis air. Malah boleh dikatakan pada waktu ini sebenar Android 10 adalah sistem operasi yang lebih baik kerana terdapat ciri yang masih tiada pada iOS 13 dan hanya wujud pada iOS 14 kelak.

Dua sebab untuk memiliki iPhone SE 2020 pada waktu ini ialah sekiranya anda memang inginkan peranti iOS 13 pada harga mampu milik dan memerlukan peranti mercu bersaiz kompak yang boleh digunakan sebelah tangan.

Selain daripada itu tidak ada sebab lain mengapa anda perlu memilih iPhone SE 2020 berbanding Poco F2 Pro. Untuk setiap wang ringgit yang dibelanjakan, anda mendapat lebih banyak nilai apabila dibandingkan dengan peranti lain di pasaran.

Kami menyarankan Poco F2 Pro bagi mereka yang inginkan peranti mercu Android 2020 yang paling mampu milik dan dengan nilai terbaik. #BaikBeliPoco kembali semula selepas dua tahun dan Pro F2 Pro memang tidak mengecewakan.

KELEBIHAN KEKURANGAN
  • Pemproses yang amat berkuasa dipadankan dengan kombinasi RAM dan storan yang baik.
  • Skrin yang tidak bertakuk atau berlubang. Nikmat menonton video sebenar.
  • Sistem penyejukan yang memastikan peranti sejuk walaupun pasca sesi permua yang panjang.
  • Ketahanan bateri yang amat baik dengan pengecasan pantas.
  • Masih mempunyai bicu audio 3.5mm dan pemancar infra merah.
  • Kemampuan kamera yang sederhana. Tiada langsung sistem zum optikal.
  • Mod malam mengecewakan.
  • Tiada kemampuan kalis air.
  • Audio mono.
  • Tiada pengecasan nirwayar.



This post first appeared on Amanz, please read the originial post: here

Share the post

Ulasan Poco F2 Pro – Peranti Mercu Dengan Nilai Terbaik 2020

×

Subscribe to Amanz

Get updates delivered right to your inbox!

Thank you for your subscription

×