Get Even More Visitors To Your Blog, Upgrade To A Business Listing >>

Ulasan Xiaomi Mi Note 10 Lite – Lite Pada Nama Tetapi Tidak Pada Prestasi Bateri

Xiaomi Mi Note 10 Lite dilancarkan di Malaysia sebulan yang lalu dan ia Adalah model lebih mampu milik berbanding Mi Note 10 Pro yang dilancarkan November pada tahun lalu. Secara lazimnya Peranti versi Lite akan dilancarkan dengan spesifikasi yang lebih rendah sekaligus memberikan stigma ia tidak berbaloi dimiliki.

Tetapi dalam kes Mi Note 10 Lite, perbezaan hanya dilakukan pada kemampuan kamera. Sensor 108-Megapixel digantikan dengan sensor 64-Megapixel. Menerusi ulasan ini, kami cuba menjawab persoalan sama ada peranti Lite ini adalah alternatif yang baik untuk Note 10 Pro ataupun anda lebih baik berbelanja lebih untuk peranti lain di pasaran.

Spesifikasi Dan Rekabentuk

Xiaomi Mi Note 10 Lite
Skrin 6.47″ AMOLED, FHD+,
HDR10+, 60Hz
Pemproses Snapdragon 730G
Cip 2.2 X 2 GHz Kryo 470 Gold
1.8 X 6 GHz Kryo 470 Silver
Cip Grafik Adreno 618
RAM 8 Gigabyte LPDDR4x
Muatan Dalaman 128GB UFS 2.1
Kamera Utama 64+8+2+5 Megapixel.
f/1.9+f/2.2+f/2.4+f/2.4, OIS
Kamera Depan 16 Megapixel f/2.5
Bateri 5260 mAh
(Pengecasan pantas + Tanpa wayar)
SIM/Telefoni Dwi SIM Nano (Talam Hibrid)
NFC Ya
Infra Merah Ya
Kalis Air Tiada
Sistem Imbasan Cap jari terbina dalam skrin
Harga Jualan RM 1599

Xiaomi Mi Note 10 Lite adalah sebuah Mi Note 10 Pro yang diubah spesifikasi kameranya sahaja. Ia masih lagi menggunakan skrin 6.47″ AMOLED dengan resolusi FHD+. Ia sekadar menyokong kadar segar semula 60Hz yang kini dianggap ketinggalan zaman pada tahun 2020. Skrin yang digunakan dilengkapi pengimbas cap jari terbina optikal terbina dan sokongan paparan HDR. Kedua-dua bahagian sisi skrin adalah melengkung yang membuatkannya kelihatan berjaya.

Bagi mereka yang pernah menggunakan peranti dengan skrin dwi-lengkung, anda tidak akan mempunyai masalah menggunakan Mi Note 10 Lite. Perisian palm rejection yang digunakan adalah baik dan tiada masalah ia mengesah sentuhan secara tidak sengaja. Namun begitu lengkungan skrin ini membuatkan peranti menjadi amat licin di dalam tangan.

Skrin dwi-lengkung bukanlah teknologi baharu tetapi kami menyedari pada Mi Note 10 Lite, kesan color-shifting agak ketara pada bahagian yang melengkung. Ia amatlah ketara pada aplikasi dengan latar belakang putih. Pada bahagian melengkung skrin memaparkan warna hijau dan bukannya putih. Penyelesaian mudah kepada isu ini ialah menggunakan tema gelap. Saiz bezel adalah sederhana dan tidak mengganggu penggunaan peranti. Ia setanding dengan yang dapat dilihat pada iPhone 11.

Pemproses Snapdragon 730G mungkin sudah berusia lebih setahun tetapi masih lagi pemproses kelas pertengahan yang berkuasa dan sesuai untuk peminat permua. Ini dipadankan dengan memori sebesar 8GB dan storan sebesar 128GB yang kami rasakan adalah baik bagis sebuah Peranti Kelas Pertengahan. Satu kekurangan di sini ialah tiadanya sokongan untuk kad mikro SD.

Kamera utama kini memadankan sensor 64+8+2+5 Megapixel sahaja. Terdapat sokongan lensa sudut lebar, ultra lebar, makro dan pengesan kedalaman. Tiada lagi sokongan zum optikal atau zum digital sehingga 50X seperti pada Mi Note 10 Lite. Pada bahagian hadapan pula sensor 16-Megapixel digunakan dengan kamera terbina dalam takuk yang bersaiz kecil.

Mengusai kesemua komponen ini ialah bateri sebesar 5260 mAh. Saiz bateri yang digunakan ini adalah amat besar dengan sokongan pengecasan pantas 30W menerusi port USB-C. Pengecas pantas ini disertakan dengan setiap pembelian maka pengguna tidak perlu berbelanja lebih pasca pembelian tidak seperti yang dilakukan oleh Apple.

Kerana saiz bateri yang amat besar ini, ia mengakibatkan Mi Note 10 Lite menjadi antara yang paling tebal pernah kami ulas. Dengan ketebalan 9.7mm, ia hampir setebal Black Shark 3 Pro setebal 10.1 mm. Tetapi harus diingatkan Black Shark 3 Pro hanya dilengkapi bateri sebesar 5000 mAh.

Ketebalan ini membuatkan peranti sedikit canggung untuk digunakan kerana kami lebih selesa dengan peranti yang lebih nipis. Namun begitu kerana tubuhnya yang setebal senaskhah buku nota ini, peranti tidak mempunyai bonggol kamera yang ketara. Peranti boleh diletakkan rata pada permukaan meja tanpa menggunakan kerangka polikarbonat yang disertakan. Adalah amat melegakan untuk mempunyai peranti yang tidak berbonggol seperti Si Bongkok pada tahun 2020.

Walaupun saya sudah mengulas iPhone 11 Pro Max dan Samsung Galaxy S20 Ultra, kami masih merasakan penggunaan bonggol kamera yang popular sekarang adalah langkah yang kurang bijak oleh pereka peranti global. Secara peribadi kami merasakan peranti yang tebal lebih baik berbanding peranti yang berbonggol.

Pujian juga ingin kami berikan kepada kemasan keseluruhan peranti. Sudah agak lama saya tidak mengulas peranti Xiaomi dan kemasan Mi Note 10 Lite kini tidak lagi kelihatan murah. Peranti terasa premium di dalam tangan. Butang-butang kawalan pada sisi kanan terbina teguh dan diperbuat daripada logam. Sungguhpun begitu peranti tidak mempunyai sebarang ketahanan kalis air serta debu.

Melengkapi spesifikasi ialah pemancar infra merah, bicu audio 3.5mm, pembesar suara stereo, NFC, GPS, dan WiFi-5.

Antaramuka Dan Pengalaman Penggunaan

 Sistem operasi Android 10 dengan pelancar MIUI 11. Pengalaman penggunaan peranti adalah amat lancar tanpa sebarang masalah. MIUI ialah antara pelancar yang memberikan pelbagai ciri dan fungsi tambahan yang tidak ditawarkan pada Android asal. Antaramuka peranti pula adalah minimalis dengan rekaan ikon yang kemas. Penggunaan warna pada peranti juga adalah ceria. Sekiranya antaramuka Mi Note 10 Lite tidak digemari oleh pengguna, mereka bebas mengubahnya dengan pek tema yang disokong menerusi aplikasi Themes. Antara tema yang boleh dipilih ialah Android asli dan antaramuka peranti pesaing seperti OxygenOS.

Pelbagai aplikasi yang dipasang berjalan dengan baik. Perisian dipadankan dengan pemproses yang berkuasa dan saiz memori yang cukup besar bagi sebuah peranti kelas pertengahan. Maka tidak mengejutkan tiada masalah sela masa kami alami sepanjang tempoh ulasan. Malahan pengalaman penggunaan Mi Note 10 adalah setanding dengan peranti mercu Android yang pernah kami ulas.

Kekurangan hanya terletak pada sokongan kadar segar semula 60Hz sahaja yang membuatkan tatalan terasa perlahan jika dibandingkan dengan skrin 90Hz dan 120 Hz. Tetapi jika anda tidak pernah menggunakan peranti dengan skrin segar semula tinggi, skrin 60Hz Mi Note 10 Lite tidak akan mendatangkan sebarang masalah.

Tetapi MIUI 11 mempunyai satu ciri yang menjengkelkan iaitu paparan iklan dalam aplikasi terbina. Setiap kali kami memuat turun aplikasi dari Play Store, MIUI 11 akan memberikan saranan aplikasi yang boleh dimuat turun. Ia jelas adalah iklan kerana aplikasi yang sama disarankan berkali-kali tanpa mengira aplikasi yang sedang dipasang. Iklan juga dipaparkan dalam aplikasi Security setiap kali usai melakukan proses imbasan sekuriti dan membuka aplikasi Themes.

Walaupun kami faham Xiaomi meletakkan iklan untuk mengurangkan harga peranti, kami secara peribadi ia sebenarnya mendatangkan impak negatif terhadap pengalaman penggunaan sehingga menimbulkan perasaan menyampah. Berita baik yang boleh kami sampaikan ialah Mi Note 10 Lite telah disahkan akan menerima MIUI 12 dalam masa terdekat dan Xiaomi telahpun berjanji akan mengurangkan iklan pada pelancar terkini mereka. Kita hanya boleh berharap janji akan ditepati kelak.

Kamera

Empat kamera utama menggabungkan sensor 64+8+2+5 Megapixel. Sensor utama 64MP dipadankan dengan lensa sudut lebar, 8MP dengan lensa ultra lebar, 2MP dengan lensa makro dan 5MP dengan sensor kedalaman. Pada bahagian hadapan pula sensor 16-Megapixel pula digunakan dan diletakkan di dalam takuk bersaiz kecil. Tidak seperti Mi Note 10 Pro, Mi Note 10 Lite tidak dilengkapi sistem zum optikal dan sensor utama yang lebih kecil. Pengguna perlu berpuas hati dengan sistem zum digital sahaja pada peranti ini.

Perisian kamera MIUI 11 hadir dengan fungsi tambahan seperti Panorama. Pro, mod malam, Portrait dan mengambil gambar pada resolusi 64MP. Ia turut hadir dengan integrasi Google Lens yang amat berguna di dalam dunia yang memerlukan imbasan kod QR setiap hari di Malaysia. Anda boleh memilih untuk mengambil gambar dengan nisbah 16:9, 4:3. 1:1 atau skrin penuh.

Aplikasi kamera juga mempunyai sokongan kecerdasan buatan yang diperkenalkan oleh Xiaomi beberapa tahun yang lalu. Secara peribadi perisian kamera yang digunakan adalah mudah digunakan serta difahami dengan pelbagai fungsi dengan panta boleh diakses pengguna.

Walaupun dilengkapi pemproses Snapdragon 730G, kami kecewa aplikasi kamera berfungsi agak perlahan. Proses mengambil gambar secara berterusan tidak boleh dilakukan dengan pantas. Mod Burst yang disokong tidak selancar yang kami temui pada peranti kelas pertengahan yang lain. Proses ini menjadi semakin perlahan sekiranya mod kecerdasan buatan dan HDR diaktifkan.

Kualiti Gambar

Kemampuan kamera adalah memuaskan bagi sebuah peranti kelas pertengahan. Warna yang dihasilkan pada setiap gambar adalah lebih panas berbanding warna sebenar. Dengan kata lain ia lebih kekuningan. Kualiti gambar yang diambil adalah memuaskan bagi perkongsian di media sosial tetapi akan mula melihatkan kekurangan apabila dilihat pada resolusi penuh menggunakan komputer. Imej tidak setajam yang dapat dilihat pada peranti mercu. Masalah hingar juga dapat dilihat dalam situasi pencahayaan yang kurang memuaskan.

Kelajuan kamera adalah cukup pantas sekiranya mod kecerdasan buatan dan HDR tidak diaktifkan. Apabila kedua-duanya diaktifkan, peranti mengambil masa beberapa saat untuk imej diproses sepenuhnya. Ini bukan masalah yang eksklusif pada peranti Xiaomi tetapi turut dapat kami lihat pada peranti Google Pixel 3a XL misalnya. Kepada mereka yang memendam hajat untuk membeli Mi Note 10 Lite, waktu memproses ini perlu diambil kira. Selepas beberapa gambar diambil menggunakan mod kecerdasan buatan, kami menyedari peranti menjadi sedikit panas.

Bagaimana pula dengan kemampuan zum dan lensa sudut ultra lebarnya? Kerana hanya sistem zum digital disokong, kualiti gambar pada tetapan zum 10X adalah langsung tidak memuaskan. Ia setanding dengan kualiti zum 100X pada Galaxy S20 Ultra. Ini ialah perbezaan empirikal di antara sistem kamera peranti mercu dan peranti kelas pertengahan 2020. Kemampuan zum digital 10X peranti kelas pertengahan hanya sebaik kemampuan zum digital 100X peranti kelas mercu.

Kualiti gambar lensa sudut ultra lebar juga memuaskan. Tiada masalah imej kelihatan terlalu melengkung seperti kesan lensa mata ikan. Secara keseluruhan kemampuan kamera Mi Note 10 Lite adalah sederhana tetapi baik bagi sebuah peranti kelas pertengahan.

Audio

Walaupun dilengkapi dua pembesar suara, salah satunya diletakkan pada bahagian bawah peranti dan oleh itu menghala ke sisi. Ini juga ialah pembesar suara yang paling lantang akibatnya sokongan audio stereo yang tidak sekata berlaku. Bagi mengurangkan lagi kos, Mi Note 10 Lite tidak mempunyai sokongan audio Dolby Atmos atau talaan dari pihak ketiga seperti AKG misalnya. Kualiti audio pembesar suara peranti adalah kurang memuaskan pada hemat kami. Pada tetapan tertinggi bunyi yang dihasilkan adalah sedikit pecah dan seperti kami katakan tadi tidak seimbang. Bunyi yang dihasilkan adalah agak rata.

Pengalaman audio menunjukkan sedikit peningkatan apabila dipadankan dengan aksesori audio luaran. Kualiti bass adalah mantap begitu juga dengan treble. Sungguhpun begitu ia masih agak rata. Kemampuan audio bukanlah sesuatu yang sering dikaitkan dengan peranti Xiaomi dan ia sekali lagi terbukti benar pada Mi Note 10 Lite.

Perkara positif yang boleh diberikan Xiaomi masih tidak lokek memberikan bicu audio. Pengeluar lain kerap mengatakan bicu perlu dibuang bagi memuatkan bateri lebih besar. Xiaomi membuktikan ini adalah alasan yang sebenarnya tidak lagi boleh digunapakai.

Penanda Aras

Penanda aras yang kami gunakan ialah Geekbench 5 dan Antutu 3D untuk menguji kemampuan Snapdragon 730G. Dalam Geekbench 5, 541 markah dicatatkan dalam ujian satu teras dan 1674 markah dalam ujian multi teras. Sementara itu 266,340 markah dicatatkan dalam ujian Antutu 3D.

Sebagai perbandingan MediaTek Helio G90T yang digunakan pada Realme 6 Pro mencatatkan 544 markah dicatatkan dalam ujian satu teras dan 1719 markah dalam ujian multi teras. Sementara itu 285,657 markah dicatatkan dalam ujian Antutu 3D. Markah-markah yang dicatatkan Helio G90T adalah sedikit lebih tinggi .

Kedua-dua cip ini dilengkapi lapan teras dalam konfigurasi 2+6. Dua teras utama menggunakan CPU Cortex-A76 (atau berasaskannya dalam kes Snapdragon 730G) dan enam teras Cortex-A55. Oleh itu prestasi seharusnya setanding walaupun perbezaan teknologi pembuatan – 8nm pada Snapdragon 730G dan 12nm pada Helio G90T.

Ujian sintetik memberikan kemenangan kepada Helio G90T tetapi dalam ujian penggunaan dunia sebenar kami memberikan kemenangan kepada Snapdragon 730G. Peranti terasa lebih sejuk selepas sesi permua dan teras lebih lancar. Teknologi 8nm juga terbukti dalam mengurangkan penggunaan bateri. Kami tiada masalah menjalan permua bergrafik tinggi seperti COD Mobile pada tetapan tertinggi dan masih dapat menikmati 60FPS secara konsisten.

Bateri

Dengan bateri sebesar 5260 mAh, adalah tidak mengejutkan Mi Note 10 Lite mempunyai waktu operasi yang amat baik. Pada penggunaan sederhana, ia boleh beroperasi hampir 27 jam dengan skrin terpasang lebih 11 jam. Jika penggunaan yang lebih berat dilakukan, peranti mampu beroperasi sehingga 16 jam dengan skrin terpasang hampir 13 jam. Kedua-duanya adalah hayat penggunaan yang amat baik bagi peranti moden. Apabila kehabisan bateri, peranti boleh dicas sepenuhnya dalam masa sekitar 90 minit. Kuasa pengecasan terpantas yang disokong ialah 30W dan ini ialah pengecas yang disertakan dengan setiap pembelian. Untuk bateri yang besar, waktu pengecasan ini boleh dimaafkan.

Pesaing

Peranti Pesaing
Xiaomi Mi Note 10 Lite Oppo Reno2 Samsung Galaxy A71
6.47″ AMOLED, FHD+, HDR10 (430 PPI) 6.5″ AMOLED FHD+ (401 PPI) 6.7″ AMOLED FHD+, HDR10 (393 PPI)
Snapdragon 730G
2 X 2.2 GHz Kryo 470 Gold
6 X 1.8 GHz Kryo 470 Silver
Snapdragon 730G
2 X 2.2 GHz Kryo 470 Gold
6 X 1.8 GHz Kryo 470 Silver
Snapdragon 730
2 X 2.2 GHz Kryo 470 Gold
6 X 1.8 GHz Kryo 470 Silver
Adreno 618 Adreno 618 Adreno 618
8 Gigabyte 8 Gigabyte 8 Gigabyte
128 UFS 2.1 256 Gigabyte UFS 2.1 (SD Card 512GB) 128 Gigabyte UFS 2.1 (SD Card 512GB)
Kamera Utama 64+8+2+2 Megapixel (f/1.9+f/2..2+f/2.4+f/2.4) Kamera Utama 48+13+8+2 Megapixel (f/1.7+f/2..4+f/2.2+f/2.4), OIS, PDAF, Zum Optikal 2X Kamera Utama 64+12+5+5 Megapixel, (f/1.8+f/2.2+f/2.4+f/2.2)
Kamera Hadapan 16-Megapixel f/2.5 Kamera Hadapan 16-Megapixel f/2.0 Kamera Hadapan 32 Megapixel f/2.2
Tiada Kemampuan Kalis Air Tiada Kemampuan Kalis Air Tiada Kemampuan Kalis Air
Bicu audio 3.5mm Bicu audio 3.5mm Bicu audio 3.5mm
Pemancar infra merah Tiada pemancar infra merah Tiada pemancar infra merah
5260 mAh (Berwayar 30W) 4000 mAh (Berwayar 20W) 4500 mAh (Berwayar 25W)
RM1599 RM1999 RM1799

Kesimpulan

Di Amanz kami percaya peranti kelas pertengahan ialah segmen yang paling kompetitif dan memberikan nilai yang paling baik dengan setiap ringgit yang dibelanjakan. Peranti disertakan fungsi-fungsi yang perlu sahaja dan ini membuatkan harga jualan lebih terkawal berbanding peranti kelas mercu.

Tetapi zaman Xiaomi menjuarai kategori peranti kelas pertengahan mampu milik mungkin telah berakhir. Xiaomi Mi Note 10 Lite dijual pada harga RM1599 yang membuatkannya kurang mampu milik berbanding peranti yang keluarkan Redmi. Tetapi kami melihat Mi Note 10 Lite ini sebagai alternatif lebih murah kepada Mi Note 10 Pro yang dijual pada harga bermula dari RM2099 sebuah.

Pada waktu yang sama ia dilengkapi pemproses 8nm Snapdragon 730G yang cukup berkuasa. Peranti kelas pertengahan lain di pasaran dilengkapi cip 12nm MediaTek G90T dan 11nm Snapdragon 665 yang pada hemat tidak di dalam kelas yang sama. Maka oleh itulah peranti-peranti ini boleh ditawarkan pada harga yang lebih murah. Contohnya ialah Vivo Y50 (Snapdragon 665) yang dijual pada harga RM1099 dan Realme 6i (MediaTek G90T) yang dijual pada harga RM1199.

Oleh itu Xiaomi Mi Note 10 Lite lebih sesuai dibandingkan dengan Oppo Reno 2 dan Samsung Galaxy A71 yang masing-masing dijual pada harga RM1999 dan RM1799. Ketiga-tiga peranti menggunakan cip Snapdragon 730/730G.

Maka menjawab persoalan yang kami kemukakan pada perenggan pertama. Adalah Xiaomi Mi Note 10 Lite berbaloi? Jawapan mudahnya ialah ya. Jawapan lebih panjangnya ialah ya kerana ia menawarkan kombinasi kuasa memproses yang baik, mampu menjalankan permua bergrafik tinggi dengan lancar dan ketahanan bateri terbaik di dalam kelasnya.

KELEBIHAN KEKURANGAN
  • Peranti yang cukup berkuasa untuk memainkan permua pada tetapan grafik yang tinggi. Tiada masalah pemanasan sama sekali.
  • Pengalaman penggunaan yang lancar tanpa sebarang masalah.
  • Sokongan pemancar infra merah
  • Sokongan bicu audio 3.5mm.
  • Kualiti kemasan yang baik.
  • Ketahanan bateri yang amat baik.
  • Tiada bonggol kamera yang menyukarkan peranti diletakkan rata di atas meja.
  • MIUI 11 memaparkan iklan yang agak menjengkelkan.
  • Skrin melengkung sehingga paparan imej yang berubah warna terutamanya ketika menonton video skrin penuh.
  • Pembesar suara stereo yang tidak seimbang.
  • Peranti adalah amat tebal berbanding peranti lain di pasaran.



This post first appeared on Amanz, please read the originial post: here

Share the post

Ulasan Xiaomi Mi Note 10 Lite – Lite Pada Nama Tetapi Tidak Pada Prestasi Bateri

×

Subscribe to Amanz

Get updates delivered right to your inbox!

Thank you for your subscription

×