Get Even More Visitors To Your Blog, Upgrade To A Business Listing >>

Ulasan Huawei Matebook X Pro 2020 – Matebook Ke MacBook?

Nama Matebook bermula dengan komputer riba hibrid bagi menyaingi iPad Pro dan Surface Pro. Ia kemudian dikitar semula dan digunakan pada komputer riba pula dan kekal digunakan sehingga ke hari ini. Huawei kini turut dikenali sebagai syarikat yang menawarkan komputer riba dan bukannya terhad kepada telefon pintar. Nama Matebook ini menjadi semakin popular selepas model Matebook D dilancarkan, yang mana adalah ultrabook berkuasa mampu milik. Huawei turut mempunyai variasi biasa dan juga variasi profesional untuk memastikan komputer riba mereka menepati citarasa pelbagai orang.

Sudah tentu yang paling mahal dalam barisan komputer ribu Huawei ini adalah dengan nama Pro. Adakah ia mampu bersaing dengan Macbook Pro? Adakah jualan harga yang tingi itu berbaloi? Untuk siapakah produk ini? Model terkini mereka adalah Huawei Matebook X Pro 2020. Ia dijual pada harga RM7,999 dengan janaan cip Intel Core i7-10510U, mempunyai pilihan warna hijau yang unik dan menggunakan rekaan yang seksi. Kami telah menguji komputer riba ini untuk beberapa minggu sebagai komputer untuk menyunting video, menulis artikel, menikmati hiburan dan banyak lagi. Kami agak gemar dengan komputer riba ini. Jika anda ingin tahu adakah ia berbaloi, mari baca artikel ulasan ini.


Spesifikasi

Huawei Matebook X Pro 2020
Skrin 13.9″ LTPS 3000×2000
Pemproses Intel Core 10th i7-10510U
Grafik NVIDIA MX250
RAM 16 Gigabyte LPDDR3
Muatan Dalaman 1TB SSD PCIe
Kamera 1MP
I/O 2x USB-C, 1x USB-A, 1x bicu audio
HDMI Tiada
Pembaca Kad Tiada
Imbasan Cap jari (pada butang kuasa)
SIM Tiada
Bateri 7565mAh
Harga Jualan RM7,999

Huawei Matebook X Pro 2020 ini menggunakan skrin jenis LTPS bersaiz 13.9-inci dengan rekaan nirbingkai dan mempunyai nisbah skrin-ke-badan 91%. Nisbah saiz skrin juga adalah 3:2 iaitu sedikit petak berbanding komputer riba biasa yang menggunakan nisbah 16:9. Resolusi skrin yang digunakan juga adalah lain daripada yang lain, iaitu 3000 x 2000 – atau untuk mudah faham ia mempunyai resolusi 3K. Jenama lain yang menggunakan resolusi dan nisbah seperti ini adalah Microsoft melalui produk Surface mereka yang menggunakan skrin PixelSense.

Skrin Matebook X Pro 2020 ini tidak dinafikan adalah cantik, cerah dan amat memuaskan. Sebaik sahaja kami mula menguji, langsung tidak terasa janggal dan sungguh selesa. Tidak kira menggunakan Matebook ini untuk apa, membaca, menyunting – tidak menjadi masalah langsung. Ia hanya janggal apabila menonton filem sahaja. Ini kerana kebanyakan filem menggunakan nisbah memanjang 16:9 atau nisbah sinematik 21:9. Jadi akan ada bar hitam muncul atas dan bawah kandungan. Sudahlah bukan skrin OLED, jadi pada awal ia sedikit menjengkelkan. Selepas maratonton beberapa episod drama, ia terus menjadi selesa dan kami tidak rasa langsung kewujudan bar hitam tadi.

Skrinnya juga mempunyai sokongan sRGB 100% gamut warna dengan kontras 1500: 1 dan kecerahan maksima 450 nits. Jadi tidak kira cahaya macam mana dan pantulan dari arah mana, tiada langsung masalah penggunaan dan skrin boleh dilihat dengan jelas. Warna yang dihasilkan juga cukup tajam dan mempunyai butiran yang baik. Menjadikan pengalaman penggunaan skrin Matebook X Pro ini lebih baik adalah sokongan skrin sesentuh. Matebook X Pro ini mempunyai pad sesentuh yang sedikit mengecewakan (kami akan terangkan lagi dalam perenggan lain). Dengan adanya sokongan sesentuh, tugas akan menjadi lebih mudah – lebih-lebih lagi apabila ingin menatal.

Melengkapi spesifikasi komputer riba ini adalah cip Intel Core generasi ke-10 i7-10510U, yang mempunyai kuasa 1.8 GHz empat-teras dan kemampuan peningkatan sehingga 4.9 GHz. Ia turut dipadankan dengan memori 16GB RAM LPDDR3 2133 MHz dan storan dalaman 1TB SSD jenis NVMe PCIe. Untuk grafik, ia menggunakan cip NVIDIA GeForce MX250. Prestasi Matebook X Pro 2020 ini pada atas kertas dilihat cukup berkuasa, kecuali pada cip grafik yang dilihat sedikit hambar. Tetapi, selepas menggunakan untuk beberapa minggu sebagai komputer riba harian untuk tujuan kerja dan hiburan – kami terkejut dengan kemampuan komputer riba ini.

Penggunaan yang kami lakukan adalah tugasan-tugasan menyunting gambar dengan perisian Photoscape dan Photoshop dan juga suntingan video menggunakan Premiere Pro. Sambil membuka ketiga-tiga perisian yang disebutkan tadi, kami turut membuka pelayar web Microsoft Edge dan Mozilla Firefox serentak. Pada awal, ia mempunyai sedikit masalah yang mana sistem dilihat kerap tergendala, banyak lengah masa dan kipas terus berpusing dengan kuat. Tetapi selepas sekitar 30 minit dan kadangkala hanya beberapa minit – pengurusan memorinya mula berjalan dan mengurus dengan baik. Mengejutkan, ia beroperasi dengan baik dan lancar. Lengah masa itu hanya muncul kadangkala sahaja, itu pun jika terlampau banyak tab pada pelayar web dibuka.

Menyebut mengenai kipas tadi, ia hanya mula membuat bunyi bising kerana Matebook X Pro ini mula memanas. Walaupun bunyinya menjengkelkan, pujian tetap kami beri kerana betapa pantas ia mula berpusing untuk cuba mengurangkan suhu. Walaupun seakan tiada beza, tetapi ia mencukupi untuk komputer riba saiz sebegini. Prestasinya hanya kami sedar hebat selepas beberapa hari penggunaan. Render video juga adalah pantas, yang mana video ulasan kurang lima minit siap dalam masa 2 minit sahaja. Suntingan gambar pelbagai saiz dan resolusi juga amat cekap dan memuaskan.

Perkara yang membuatkan kami kecewa adalah isu panas, walaupun bukan panas yang teruk, ia memberi satu perasaan tidak selesa dan haba yang merebak dari atas papan kekunci boleh dirasa merebak sehingga ke kawasan pad sesentuh.

Penanda Aras

Huawei Matebook X Pro 2020 bukannya komputer riba untuk bermain permainan video. Adalah tidak digalakkan untuk bermain video pada Matebook ini, walaupun ia mempunyai kad grafik. Fokus Huawei pada Matebook adalah produktiviti, kerja-kerja pejabat, kerja-kerja suntingan sambil memberi pengalaman penggunaan premium.

Untuk ujian tanda aras, kami uji dengan menggunakan perisian PCMark 10. Skor yang diterima adalah 3757, yang mana adalah rendah jika dibandingkan dengan komputer riba lain yang mempunyai spesifikasi yang lebih kurang sama – Matebook X Pro ini adalah rendah. Ada komputer riba yang dijual pada harga sekitar RM5K sahaja mempunyai kuasa yang lebih tinggi pada senarai PCMark 10. Jadi, ia kelihatan sedikit mengecewakan.

Tetapi apa yang dapat dipuji pada Matebook X Pro 2020 ini adalah kepantasan SSDnya. Kenapa ia mahal? SSD yang digunakan adalah 1TB, yang mana harganya boleh mencecah sehingga lebih RM1K. Malah ada jenama yang menjual sehingga RM2K. Dengan ujian CrystalDiskMark, ia mempunyai nilai bacaan 3516.66 MB/s dan nilai menulis adalah 3018.83 MB/s. Ia adalah satu skor yang tinggi dan memuaskan. Ujian apabila kami memindahkan fail besar dari Matebook ke pemacu USB atau telefon pintar juga ternyata laju.

Pad Sesentuh

Seperti yang dijanjikan, kami akan cerita mengenai pad sesentuh pada Matebook X Pro 2020 ini. Saiznya cukup besar, kemasannya cukup baik, dan ia menggunakan Windows Precision Driver jadi kawalan gestur semua adalah sempurna dan boleh digunakan tanpa sebarang masalah. Menggunakan gestur-gestur yang sedia terbina dalam Windows 10 juga adalah baik dan menjadikan produktiviti lebih baik. Tetapi…

Ya, ada tetapi! Ia tidak mempunyai tahap sensitiviti yang memuaskan. Lebih-lebih lagi untuk mereka yang mempunyai tangan yang mudah berpeluh. Jadi, ia tidak akan beroperasi dengan baik. Ya, benar – tahap sensitiviti pada pad sesentuh boleh diubah. Tetapi, isunya bukan di situ. Ia juga mudah menangkap kotoran cap jari dan meninggalkan kesan minyak. Jadi, permukaan pad sesentuh menjadi kesat dan sukar digunakan. Dalam keadaan yang baik, seperti tidak berpeluh, bilik sejuk – ia berfungsi dengan baik dan memuaskan.

Papan Kekunci

Salah satu perkara yang perlu dipandang apabila ingin membeli komputer riba adalah papan kekunci. Untuk komputer Windows, ada banyak jenis papan kekunci. Paling popular dan selesa adalah dari Lenovo, iaitu model ThinkPad dengan papan kekunci jenis chiclet, komputer riba gaming terkenal dengan papan kekunci mekanikal dan banyak lagi. Tetapi, bagi pengguna MacOS – papan kekunci yang ramai gemari adalah Magic Keyboard yang mana Apple baru kembali menggunakannya selepas kegagalan Butterfly Keyboard.

Ya, itu adalah papan kekunci untuk platform lain – tetapi tipu jika pengguna Windows langsung tidak pernah berfikir ingin cuba menggunakannya.

Dalam ujian kami, papan kekunci pada Matebook X Pro 2020 jelas cuba menghasilkan variasi Magic Keyboard dari Apple – tetapi untuk Windows. Pengalaman menaip adalah sungguh baik, mudah untuk taip dengan laju, tidak rasa janggal dan sangat selesa. Tindak balas kekunci juga memuaskan dan tiada sebarang sela masa. Rekaan juga ringkas dan menarik untuk digunakan. Tetapi adakah ianya sebaik Magic Keyboard yang asli?

Papan kekunci Matebook ini berada di tengah-tengah antara Butterfly Keyboard dan Magic Keyboard. Ia mempunyai tindak balas seakan Magic, tetapi mempunyai perasaan seakan Butterfly. Kelebihan adalah pengguna akan mudah beralih dari mana-mana jenama lain ke Matebook dengan mudah kerana keselesaan. Kekurangan adalah, jangka masa penggunaan mungkin rendah kerana jika kita lihat pada Apple – banyak masalah. Tetapi, jika Huawei bijak – papan kekunci ini seakan hibrid dari dua jenis ini mungkin adalah solusi dari mereka yang Apple tidak dapat temui pada Butterfly.

Pembesar Suara

Untuk audio, komputer riba ini masih mempunyai port bicu audio 3.5mm – jadi tidak ada masalah untuk menggunakan mana-mana set fon kepala atau telinga kegemaran. Jika malas ingin menggunakan sebarang aksesori audio, Matebook ini menggunakan sistem pembesar suara dengan empat pemacu untuk dijadikan sebagai pembesar suara stereo.

Kualiti pembesar suara juga adalah baik, puas hati dan cukup kuat. Tetapi apabila kami membandingkan dengan MacBook Air dengan harga jualan yang lebih rendah – pembesar suara Matebook ini masih tertinggal jauh. Tetapi adalah cukup baik jika dibandingkan antara komputer-komputer riba Windows yang lain. Menggunakan Matebook ini untuk menonton filem, juga akan memberikan pengalaman menonton yang memuaskan.

Dentuman pembesar suaranya adalah cukup baik, mempunyai kualiti yang enak didengar dan memuaskan. Tetapi, ikut juga kandungan video yang dimainkan – akan ada yang tidak sesuai digunakan pada komputer riba ini kerana bunyi yang bingit dan terlampau perlahan.

Alang-alang bercakap mengenai audio, kami akan sentuh juga mengenai kualiti mikrofon. Membuat rakaman video atau rakaman audio untuk nota sendiri, adalah agak baik. Ia mempunyai kualiti mikrofon yang hebat yang tidak pernah kami lihat pada komputer riba Windows lain.

Kamera

Keunikan kebanyakan komputer riba Matebook ini adalah, bagaimana mereka menjaga privasi pengguna. Kamera web yang terbina pada komputer riba ini tersembunyi pada papan kekunci. Disebabkan rekaan bezel yang sangat nipis – tiada ruang untuk memuatkan lensa kamera. Oleh yang demikian, Huawei mengambil langkah pada kawasan papan kekunci sebaris dengan kekunci fungsi.

Ya, lokasinya adalah sangat tidak sesuai dan menjengkelkan. Apabila menggunakan kamera web Matebook ini, ia merakam dari bawah dan terus memperlihatkan lubang hidung. Menggunakan kamera web ini, pengguna hanya perlu tekan kekunci dengan ikon kamera -ia sukar untuk terlepas pandang kerana jelas sekali ia bukannya kekunci pada papan kekunci dan ianya adalah satu butang spring untuk ditekan.

Jenama lain, ada yang menggunakan secara perisian dan fizikal. Fizikal adalah dengan menyertakan penutup dan perisian adalah dengan satu butang pemacu kamera terus dimatikan. Untuk kualiti kamera, Matebook hanya menggunakan sensor 1MP – yang mana sangat teruk. Walaupun berada di bawah cahaya yang terang –  kualiti penuh dengan hingar.

Syukur, kualiti audionya bagus – seperti yang kami sebutkan tadi. Matebook mempunyai mikrofon yang berkualiti.

Bateri & Pengecasan

Saiz bateri yang dimuatkan dalam Matebook ini adalah 57.4Wh atau 7565mAh. Huawei mendakwa ia boleh mencapai ketahanan dari 11 jam untuk melayari web, 13 jam untuk tontonan video dan 15 jam untuk tugas-tugas harian. Manakala, dengan pengecasan selama 30 minit sahaja – ia boleh bertahan sehingga 6 jam.

Adakah benar apa kata Huawei?

Dalam ujian kami, dari bateri penuh dengan penggunaan Netflix, mencatat nota, melayari web menggunakan Microsoft Edge dan pemindahan data selama sekitar 3 jam – hanya memakan 4% bateri sahaja. Dari bateri 96%, menstrim Netflix sekitar 1 jam 30 minit memakan bateri lebih – iaitu 17% menjadikan tahap bateri turun ke 79%. Tanpa mematikan komputer riba dan hanya diletakkan dalam mod tidur sehingga keesokan hari ia hanya memakan 2% bateri dengan baki 77%. Terus melakukan ujian tanda aras PCMark 10, memakan bateri sebanyak 32% dan menjadikan baki 45%. Kembali ke mod tidur dan menggunakan pada waktu malam, ia bermula dengan bateri 37% dan terus mati selepas menonton video Netflix yang dimuat turun selama 2 jam.

Ini bermakna, dalam satu pengecasan ia mampu bertahan sekitar 1 hari dengan pelbagai jenis penggunaan. Malah, lebih dari apa yang Huawei katakan. Ternyata di sini, bateri Matebook X Pro 2020 ini mampu bertahan pada jangka masa yang panjang.

Huawei Matebook X Pro 2020 menggunakan USB-C untuk tujuan pengecasan. Walaupun ia ada menyatakan port yang mana satu untuk pengecasan dan yang mana satu untuk pemindahan data. Tetapi, tidak kira mana-mana port USB-C – kedua-duanya menyokong pemindahan data dan juga pengecasan.

Pengecas yang disediakan dalam kotak adalah pengecas 65W, yang mana setaraf dengan kebanyakan MacBook. Ia adalah satu sistem pengecasan pantas Power Delivery, yang boleh mengecas Matebook ini kurang dua jam dari lemah sehingga penuh. Pengecasnya juga agak besar, tebal dan berat. Huawei sertakan pengecas berwarna putih bersama-sama dengan kabel USB-C ke USB-C 1.5 meter yang cukup panjang untuk memudahkan pengguna.

Rekaan

Sekilas pandang, elemen rekaan Matebook ini amat mirip dengan sebuah MacBoook – lebih-lebih lagi pada bahagian dalam. Susun atur papan kekunci, lokasi kekisi pembesar suara – ia mirip tetapi berbeza. Huawei mempunyai identiti mereka yang tersendiri, walau bagaimanapun tidak dapat dinafikan yang mereka menjadikan Apple sebagai inspirasi. Pada bahagian atas pada papan kekunci di hujung kanan, terdapat butang kuasa yang turut berfungsi sebagai pengimbas cap jari. Kemudian di kedua-dua sisi papan kekunci, terdapat kekisi pembesar suara. Beralih ke bahagian bawah, pad sesentuh bersaiz besar jelas kelihatan. Lihat pada skrin, seksi bukan? Pada awal kami terima Matebook ini, ia memang memberi satu perasaan yang mengejutkan. Cantik, nipis, hampir nirbingkai, dan mempunyai kesan khas seakan cermin apabila ia tidak dihidupkan. Jika dihidupkan, ia terus memberi pengalaman yang imersif yang memuaskan. Oh ya, apabila skrin ditutup, ia amat mudah untuk dibuka dengan sebelah tangan. Pertama, terima kasih kepada kehadiran takuk di bawah pad sesentuh dan juga binaan yang cukup berat untuk memindahkan beban ke bahagian papan kekunci.

Di sisi kiri Matebook X Pro 2020 ini terdapat port bicu audio 3.5mm, dan dua port USB-C, dan sisi kanan pula mempunyai satu port USB-A yang mana adalah satu port yang sangat bagus disertakan pada sebuah komputer riba moden. Di bawahnya pula, terdapat empat getah (atau mungkin sejenis silikon) untuk memberi cengkaman tambahan. Panel bawah komputer riba ini secara teknikalnya boleh dibuka untuk menukar SSD, kerana itu adalah satu-satunya komponen dalaman yang tidak disadur pada papan induk. Tetapi, ia dihalang oleh komponen lain yang menjadikannya sukar untuk ditukar. Untuk keselamatan produk dan diri, anda digalakkan untuk terima sahaja keadaan komputer riba ini.

Warna yang kami terima ini adalah Emerald Green, iaitu antara warna yang unik untuk sebuah komputer riba premium. Jika sudah bosan dengan warna putih, kelabu, hitam atau perak – warna hijau ini adalah satu kelainan. Cuma, kemasan pada komputer riba ini adalah jenis yang mudah menangkap kotoran cap jari dan mudah kotor dengan kesan minyak seperti dari peluh. Kemasannya walaupun bukan jenis berkilat dan adalah seakan matte, ia masih mudah kotor dan menjengkelkan.

Konklusi

Kami tamatkan ulasan Huawei Matebook X Pro 2020 di sini. Persoalannya, untuk siapakah komputer riba ini, adakah ianya berbaloi, adakah spesifikasi yang ditawarkan cukup hebat? Sepanjang penggunaan kami, ia banyak memberi kesan positif berbanding negatif. Matebook X Pro ini mempunyai papan kekunci yang baik, skrin yang hebat, prestasi yang memuaskan, bateri yang tahan lama, dan bahan binaan yang premium.

Jika anda mempunyai wang RM7,999 – kami sarankan Apple MacBook Pro 13 2020 yang mempunyai papan kekunci Magic Keyboard, RAM 16GB dan SSD 512GB. Harganya adalah sama RM7,999. Kekurangan hanya pada storan, pendapat kami itu lebih berbaloi. Jadi, kalau itu yang berbaloi siapa yang patut beli Matebook ini?

Ia adalah untuk mereka yang tidak boleh berpindah dari Windows 10 ke platform lain, tetapi masih mempunyai keinginan memiliki sesuatu gajet yang premium, papan kekunci yang lebih kurang sama dan rekaan yang serupa. Prestasi juga baik sahaja, cuma masalah memanas yang berlaku tadi adalah menjengkelkan. RM7,999 pada kami agak mahal, tetapi untuk rekaan dan spesifikasi sesebuah Windows 10 – tiada masalah. Kerana Huawei juga ada kelas tersendiri mereka.

PRO dan Kelebihan
  • Prestasi yang baik dan lancar dengan spesifikasi padan dengan masa kini dan tidak ketinggalan.
  • Binaan yang premium dan mempunyai warna yang unik.
  • Paparan yang tajam, terang dan mempunyai warna yang hidup serta mempunyai kecerahan yang mencukupi.
  • Papan kekunci yang menarik, selesa dan memberikan pengalaman menaip yang hebat.
  • Jangka hayat bateri yang tahan lama.
  • Rekaan nipis dan mudah di bawah ke mana sahaja.
KONTRA dan Kekurangan
  • Masalah memanas yang menjengkelkan yang tidak konsisten.
  • Tiada sokongan Thunderbolt untuk pemindahan fail dan sambungan ke paparan luaran.
  • Harga yang agak mahal, untuk komputer Windows yang tidak boleh dinaiktaraf lagi.
  • Memerlukan peranti Huawei sahaja untuk menggunakan fungsi dan ciri menarik.
  • Kemasan yang mudah kotor dan sukar dibersihkan.



This post first appeared on Amanz, please read the originial post: here

Share the post

Ulasan Huawei Matebook X Pro 2020 – Matebook Ke MacBook?

×

Subscribe to Amanz

Get updates delivered right to your inbox!

Thank you for your subscription

×