Get Even More Visitors To Your Blog, Upgrade To A Business Listing >>

Pandang Pertama Huawei Mate 30 – Telefon Pintar Untuk Fotografi Yang Praktikal

Semasa upacara pelancaran Mate 30 Pro tempoh hari, Mate 30 kurang mendapat perhatian kerana Skrin rata yang digunakan tidak mempunyai faktor wow. Tetapi kami merasakan Mate 30 ialah peranti yang lebih praktikal bagi kebanyakan pengguna. Harga jualannya juga jauh lebih murah tetapi pada masa yang sama masih dilengkapi pemproses mercu terkini Kirin 990 dan 8GB RAM yang memuaskan.

Berikut adalah pandang pertama kami untuk Huawei Mate 30. Kami akan memberikan sebab mengapa peranti yang kurang mendapat perhatian ini sebenarnya mempunyai potensi menjadi seperti iPhone 11 buat Huawei.

Spesifikasi

Huawei Mate 30
Skrin 6.62″ 1080 x 2340 pixels
OLED HDR10
Pemproses HiSilicon Kirin 990 (7nm)
Cip 2.86 X 2 GHz Cortex A76
2.09 X 2 GHz Cortex A76
1.86 X 4 GHz Cortex A55
Cip Grafik Mali-G76 MP16
RAM 8 Gigabyte LPDDR4X
Muatan Dalaman 128GB UFS 3.0
(NM Card sehingga 256GB)
Kamera Utama 40+16+8 Megapixel.
f/1.8+f/1.6+f/2.4, OIS, AIS,HDR, Laser
Kamera Depan 24 Megapixel f/2.0
Bateri 4200 mAh
Pengecasan pantas 40W berwayar
Pengecasan 27W tanpa wayar
SIM/Telefoni Dwi SIM Nano (Talam Hibrid)
NFC Ya
Infra Merah Ya
Kalis Air IP53
Sistem Imbasan Cap jari terbina dalam skrin
Harga Jualan ~RM3073*

Biasanya peranti lebih murah dilengkapi skrin yang lebih kecil. Sebaliknya berlaku di dalam kes Mate 30 yang dilengkapi skrin 6.62″ OLED berbanding 6.53″ Flex OLED pada Mate 30 Pro. Keseluruhan skrin adalah rata dengan saiz takuk yang juga lebih kecil.

Hasilnya ialah tiada skrin melengkung pada sisi dan tiada juga sokongan imbasan wajah secara 3D. Tetapi anda tidak perlu risau kerana sistem imbasan wajah secara 2D masih disertakan sama seperti yang ditemui sebelum ini pada P30 Pro. Sistem imbasan ini walau bagaimanapun tidak boleh digunakan pada waktu malam kerana tiadanya pemancar infra merah.

Berita baik di sini ialah sebagai sandaran apabila sistem imbasan wajah gagal beroperasi, sistem pengimbas cap jari dalam skrin disertakan. Berita buruknya pula ialah Huawei masih menggunakan pengimbas cap jari dari jenis optikal. Sebagai sebuah peranti mercu pengimbas cap jari ultrasonik sepatutnya digunakan bagi membezakannya dengan peranti kelas pertengahan yang juga kini dilengkapi pengimbas cap jari dalam skrin. Pengimbas cap jari ultrasonik lebih pantas, selamat dan befungsi walaupun dengan jari yang kotor ataupun basah.

Walaupun kami mengatakan saiz takuk yang digunakan “kecil” ia sebenarnya subjektif. Dengan pengeluar lain mula berubah kepada skrin dengan lubang kamera dan kamera hadapan pop naik, rekaan takuk pada peranti Android kini tidak lagi popular berbanding setahun yang lalu. Ini mungkin akan membuatkan sesetengah pengguna tawar hati dengan Mate 30.

Tetapi harus kami katakan sebagai pengguna iPhone XS Max dan Mate 20 Pro sebelum ini, takuk ini akan hilang dari pandangan selepas menggunakannya selama beberapa minggu dan sebenarnya bukanlah sebuah isu yang besar. Yang mungkin menjadi isu ialah bezel sisi yang agak ketara.

Inilah yang kami maksudkan dengan Mate 30 ialah iPhone 11 untuk Huawei di perenggan awal artikel ini. Dari hadapan persamaannya adalah ketara. Kedua-duanya bertakuk lengkap dengan bezel sisi yang besar jika dibandingkan dengan saudara mereka Mate 30 Pro dan iPhone 11 Pro Max. Tetapi ramai mungkin menyedari hanya mereka yang pernah menggunakan peranti dengan bezel sisi yang kecil akan merasakan ini ialah sebuah masalah besar.

Bahagian dagu dan dahi masih lagi kecil setanding yang ditemui pada Mate 30 Pro. Ya kami menyedari trend semasa ialah untuk mencukur setiap milimeter terakhir dua bahagian peranti ini tetapi ianya pada hemat kami bukanlah rekaan yang meletakkan gaya di atas keselesaan pengguna. Peranti dengan dagu dan dahi yang lebih tebal sebenarnya lebih mudah digunakan. Nasi sudahpun menjadi bubur dan secara realistiknya kami tidak melihat rekaan peranti klasik pra-2017 ini akan kembali popular.

Peranti dijana cip HiSilicon Kirin 990 yang sekali dihasilkan menggunakan teknologi 7nm yang dipadankan dengan memori sebesar 8GB RAM dan storan 128GB sahaja. Storan dalaman boleh ditambah menggunakan kad NM Card sehingga 256GB keluaran Huawei. NM Card akan mengambil slot SIM nano kedua peranti pada talam SIM hibrid yang disertakan.

Tidak seperti Galaxy Note 10 yang mengekalkan sistem kamera yang sama pada dua model berbeza, Mate 30 dilengkapi kamera dengan spesifikasi yang lebih rendah. Sensor 40+16+8 Megapixel dipadankan dengan kamera hadapan 24-Megapixel. Tiada kamera TOF pada bahagian hadapan yang digantikan dengan sistem pemfokusan laser.

Sensor 40-MP yang digunakan pada lensa sudut lebar adalah dari jenis SuperSensing RYYB. Sistem telefoto boleh melakukan zum optikal 3X, hibrid 5X dan digital sehingga 30X. Kesemua sensor menggunakan Lensa keluaran Leica. Huawei tidak mempunyai sebagai sekatan menggunakan teknologi dari negara Jerman berbanding teknologi Amerika Syarikat.

Seperti abang besarnya Mate 30 Pro, Mate 30 juga mampu melakukan rakaman video pada resolusi 4K 60FPS. dan video gerak perlahan 7680 FPS pada resolusi 720P.  Sistem penstablian OIS dan AIS disertakan bagi memastikan video yang diambil tidak menghadapi masalah gegaran.

Membekalkan kuasa ialah bateri sebesar 4200 mAh dengan pengecasan pantas 40W secara berwayar dan 27W secara nirwayar. Ini bukan sistem terpantas di pasaran tetapi masih mampu memberikan tahap pengecasan sepenuhnya dalam masa sekitar sejam. Format pengecasan ini tidak mengikut piawaian USB-PD dan bermakna ia hanya boleh dinikmati menerusi pengecas yang dikeluarkan oleh Huawei sahaja. Anda tidak perlu risau kerana dengan setiap pembelian sebuah pengecasan 40W SuperCharge disertakan.

Spesifikasi lain ialah bluetooth 5.1, NFC, pemancar infra merah dan Wi-Fi 802.11 a/b/g/n/ac. Tahap kemampuan kalis air pula sekadar IP53 tetapi Huawei bermurah hati menyertakan bicu audio 3.5mm pada Mate 30 bagi mereka yang masih memerlukan sambungan audio secara berwayar.

Rekabentuk

Skrin yang besar hadir dengan bezel yang agak ketara pada bahagian dahi, dagu dan sisi. Kami secara peribadi tidak merasakan ini adalah kesalahan besar memandangkan ia sama besar dengan yang boleh ditemui pada sebuah iPhone XS Max. Ia hanya kelihatan besar jika diletakkan bersebelahan Note 10+ yang pada hemat kami adalah peranti dengan kombinasi bezel ternipis di pasaran sekarang.

Dengan resolusi setakat FHD+ ia juga tidak mempunyai kepadatan pixel yang tinggi berbanding Note 10. Sekali lagi kami tidak merasakan ini adalah kesalahan besar kerana pixel hanya dapat dilihat jika mata diletakkan empat inci dari skrin. Tiada manusia sihat tubuh badan menggunakan peranti pada jarak sebegini. Paparan skrin adalah tajam, bermaya dengan kadar segar semula 60Hz. Ini mungkin satu kritikan yang boleh kami berikan kerana OnePlus 7 dengan skrin 90Hz sudah di pasaran sejak Mei lalu.

Takuk kecil yang digunakan menempatkan sebuah kamera swafoto dan sensor mengesan pergerakan tangan. Pengguna boleh mengawal tatalan skrin atau melakukan rakaman skrin dengan menggunakan pergerakan tangan sepenuhnya tanpa sebarang sentuhan fizikal. Ini adalah gimik yang secara peribadi kami rasakan tidak begitu praktikal. Menakal menggunakan arahan tangan adalah perlahan dan kurang intuitif. Mungkin hanya berguna jika anda sekadar ingin membaca laman web panjang ketika sedang makan.

Pada bahagian sisi terdapat butang kuasa dan suara dari jenis rocker. Butang kuasa diwarnakan merah dengan tekstur berbeza bagi memudahkan pengenalan. Binaan butang adalah teguh dengan kedua-duanya diperbuat daripada logam.

Pada sisi bertentangan, terdapat sebuah talam dwi SIM hibrid bersaiz nano. Sebuah port pengecasan USB-C diletakkan pada bahagian bawah dihimpit dengan kekisi pembesar suara pada bahagian kanan dan bicu audio 3.5mm pada sebelah kiri. Akhir sekali pada bahagian atas terdapat pemancar infra merah.

Sisi peranti yang diperbuat daripada logam dibulatkan tercantum kemas dengan panel belakang yang melengkung. Ini adalah perlu kerana peranti adalah agak tebal sekitar 8.5mm. Ini adalah 0.6mm lebih tebal berbanding sebuah Note 10. Setelah bertahun menggunakan peranti yang nipis, memegang Mate 30 yang agak “berisi” terasa sedikit canggung.

Mendominasi bahagian belakang ialah bonjol kamera berbentuk bulat dengan kamera disusun dalam matriks 2X2. Selepas memperkenalkan rekaan bonjol berbentuk kotak yang kini ditiru Apple dan Google, Huawei dengan mudah berubah ke rekaan bulat seperti Nokia 1020. Kami ada melihat komen mengatakan rekaan bonjol bulat ini adalah buruk. Menurut Huawei ia digunakan kerana mengambil inspirasi rekaan kamera digital Leica. Kami tergolong di dalam kategori pengguna yang merasakan rekaan bonjol bulat ini menarik.

Panel belakang masih memerangkap habuk seperti topeng N95 ketika cuaca jerebu. Ia juga amat licin. Apabila dipadankan dengan peranti yang agak berat (196 gram) ia menyebabkannya terasa mudah untuk terlepas dari genggaman. Amat mengecewakan Huawei tidak menawarkan kemasan kulit pada Mate 30 walaupun pada versi 5G.

Secara keseluruhan Mate 30 ialah peranti yang lebih praktikal bagi kebanyakan pengguna. Tiada skrin sisi besar yang terdedah kepada hentakan jika terjatuh dan butang suara fizikal yang memberikan tindak balas tampak yang lebih memuaskan berbanding butang maya pada Mate 30 Pro.

Antaramuka

Kesemua peranti yang diletakkan di reruai Huawei adalah model yang dipasarkan untuk pasaran China sahaja. Oleh itu walaupun ia menggunakan Android 10 dengan pelancar EMUI 10, tiada sebarang aplikasi Google terpasang ditemui. Oleh itu kami hanya boleh mengomen penggunaan peranti yang dapat dipegang sahaja.

EMUI 10 ialah pelancar yang telah kami gunakan pada P30 Pro dan ia adalah iterasi paling baik pelancar mereka ini. Ikon, warna dan antaramuka diubah supaya kelihatan lebih minimalis. Sekilas pandang ia amat menyerupai pelancar Google Pixel. Terdapat sokongan navigasi tiga butang, gesture Android asal dan butang terapung atas skrin.

Kesemua aplikasi dilancarkan dengan cukup pantas. Tatalan pula adalah selancar mentega di atas meja abang burger tepi jalan berhadapan kedai mamak. Tiada sebarang masalah ketara dapat dilihat sepanjang penggunaan sekitar 20 minit.

Antara fungsi unik yang disertakan pada Mate 30 Pro ialah Air Gesture di mana peranti boleh dikawal dengan hanya pergerakan tangan tanpa sebarang sentuhan skrin. Pengguna boleh berlatih menjadi seorang Jedi. Kami mendapati fungsi merakam skrin dengan Air Gesture mudah digunakan tetapi mengawal tatalan adalah sukar untuk dipelajari. Kedua-duanya bergantung kepada kamera  yang diletakkan pada bahagian hadapan.

Berikut ialah beberapa lagi fungsi tambahan menarik yang disertakan oleh Huawei pada Mate 30 Pro menerusi EMUI 10.

Air Gesture – Mengawal tatalan skrin dan menangkap paparan skrin dengan arahan tangan tanpa menyentuh skrin.

App Twin – Menggunakan dua aplikasi seperti WhatsApp secara serentak.

Dark Theme – Tema gelap pada keseluruhan antaramuka bagi mengurangkan penggunaan bateri.

Digital Balance – Aplikasi yang menjejak penggunaan peranti. Boleh digunakan untuk mengehadkan masa peranti digunakan sepanjang hari bagi kesihatan digital.

Easy Projection – Mod desktop yang dipaparkan pada skrin lebih besar secara nirwayar. Hanya menyokong peranti Miracast setakat ini. Sokongan Easy Projection secara berwayar masih boleh dilakukan.

Gesture – Pelbagai perkara dapat dilakukan menggunakan gesture seperti merakam skrin dengan mengetuk skrin, melancarkan dua aplikasi serentak dengan melakar garis pada skrin dan menghidupkan skrin dengan dwi-tap.

Melancarkan kamera dengan pantas – Menekan butang mengurangkan suara sebanyak dua kali.

Navigation Bar – Tiga pilihan navigasi iaitu tri-butang, gesture atau Navigation Dock.

Notch – Menyorokkan takuk kamera pada paparan skrin. Peranti kelihatan kembali berdahi menggunakan mod ini.

Nyahkunci Menggunakan Wajah – Menyahkunci skrin peranti dengan menggunakan wajah secara dua dimensi sahaja.

One Handed Mode – Mengecilkan paparan skrin untuk memudahkan penggunaan sebelah tangan. Dilakukan dengan menatal dari bucu bawah skrin ke atas atau dari butang home ke mana-mana butang navigasi yang digunakan.

Optimiser – Pusat satu hentian yang membersihkan storan, virus, pengurusan bateri dan nombor yang dihalang.

Pengecasan Nirwayar Dua Arah – Peranti boleh dicas secara nirwayar dan mengecas peranti lain juga secara nirwayar.

Smart Remote – Aplikasi alat kawalan jauh. Ratusan peranti disenaraikan mengikut pengeluar dan model.

Kesimpulan

Huawei Mate 30 Pro menerima lebih banyak perhatian kerana kelihatan lebih futuristik tetapi pada hemat kami Mate 30 ialah peranti yang lebih praktikal lengkap dengan skrin yang lebih besar, kuasa memproses yang sama dan rekaan yang lebih praktikal. Tiada skrin sisi yang terdedah kepada kerosakan jika peranti terhentak ke lantai. Dengan pengguna yang semakin kurang menggemari skrin bertakuk, Mate 30 juga mempunyai saiz takuk yang kecil.

Kekurangan hanya terletak pada sensor kamera sudut ultra lebar lebih kecil dan tiadanya sensor 3D TOF yang memudahkan rakaman gambar serta video bokeh. Ini adalah dijangkakan kerana Mate 30 dijual pada harga yang lebih murah. Kami melihat di Malaysia pengguna lebih menumpukan kepada harga berbanding fungsi-fungsi tambahan yang dianggap kurang perlu. Sekali lagi ingin kami katakan Mate 30 ialah seakan iPhone 11 yang menawarkan kuasa yang sama seperti iPhone 11 Pro tetapi dengan harga yang lebih mesra poket.

Kerisauan mengenai sistem operasi akan terjawab dalam masa terdekat. Terdapat spekulasi Huawei masih belum mengumumkan tarikh jualan Mate 30 kerana menanti kebenaran menggunakan Android sepenuhnya. Kesemua peranti yang kami gunakan di reruai tempoh hari adalah model untuk pasaran China tanpa sebarang perkhidmatan Google. Kita hanya boleh berharap tuhan melembutkan hati Presiden Trump bagi membenarkan sistem operasi Android lengkap dengan kesemua perkhidmatan Google digunakan pada Mate 30.

Huawei Mate 30 dan Mate 30 Pro adalah dua peranti yang mempunyai potensi menjadi antara yang terbaik di pasaran jika perkakasan mantapnya dipadankan dengan perisian yang baik. Nantikan ulasan Mate 30 di Amanz sekiranya ia dilancarkan di Malaysia kelak.



This post first appeared on Amanz, please read the originial post: here

Share the post

Pandang Pertama Huawei Mate 30 – Telefon Pintar Untuk Fotografi Yang Praktikal

×

Subscribe to Amanz

Get updates delivered right to your inbox!

Thank you for your subscription

×