Get Even More Visitors To Your Blog, Upgrade To A Business Listing >>

Ulasan: Jabra Elite 85h – Pencabar Baru Fon Kepala Dengan Pembatalan Hingar

Akhir-akhir ini, banyak aksesori audio yang popular untuk pengguna hadir dengan fungsi Pembatalan Hingar (noise cancelling). Fungsi ini yang dahulunya mungkin dilihat sebagai salah satu bentuk kehendak, kini seolah-olah menjadi keperluan untuk semua. Masakan tidak, ia juga menjanjikan pengalaman mendengar audio yang lebih baik, tanpa gangguan luar.

Pada Mei 2019 yang lalu Jabra Elite 85h telahpun dilancarkan di Malaysia. Ia merupakan Fon Kepala yang pertama dari Jabra membawakan fungsi pembatalan hingar yang telah diumumkan pada acara CES 2019. Menariknya, ia juga merupakan fon kepala yang ditawarkan pada harga runcit yang lebih rendah berbanding pesaing yang lain.

Kami berkesempatan untuk mencuba peranti ini selama sebulan dan boleh dikatakan, ia bakal memberikan persaingan hebat dalam kelas fon kepala dengan pembatalan hingar.

Jabra Elite 85h
Jenis Fon kepala
Mikrofon 8
Bateri Tidak dinyatakan.
Port pengecas USB-C
Pengecasan nirwayar Tiada
Sokongan pembantu maya Ya
Kemampuan kalis air & debu Ya
Harga Jualan RM1,349

Spesifikasi & Rekabentuk

Fon kepala Jabra Elite 85h ini hadir dengan spesifikasi yang terkini, termasuklah dengan fungsi Bluetooth 5.0 yang membawakan membolehkan penjimatan bateri menerusi penggunaan tenaga lebih rendah (Bluetooth Low Energy), boleh melakukan tambatan (pairing) kepada dua peranti berbeza secara serentak dan juga kepantasannya beroperasi.

Ia menawarkan waktu beroperasi yang lama, sepanjang 36 jam dengan fungsi pembatalan hingar yang sedang aktif, atau sehingga 41 jam sekiranya fungsi pembatalan hingar dimatikan. Malah peranti ini juga akan dimatikan apabila pengguna memutarkan corong pembesar fon kepala, atau bertindak menanggalkan fon kepala ini, sekaligus menjimatkan penggunaan bateri. Bateri peranti ini boleh dicaj penuh selama 2.5 jam, atau pengecasan selama 15 minit membolehkan peranti ini beroperasi sehingga 5 jam lamanya. Pengecasan dilakukan menggunakan kabel USB-C yang disediakan.

Bagi membolehkan fungsi pembatalan hingar beroperasi, aksesori audio tersebut memerlukan mikrofon untuk mengesan bunyi hingar, dan melakukan pembatalan terhadapnya. Fon kepala ini mempunyai 8 mikrofon yang mana 4 daripadanya akan digunakan sewaktu fungsi pembatalan hingar diaktifkan. Sekiranya pengguna melakukan panggilan, pembatalan hingar juga digunakan pada panggilan tersebut, dan sebanyak 6 mikrofon akan digunakan.

Dari segi rekabentuk, Jabra Elite 85h ini hadir pada saiz yang agak besar jika dibandingkan dengan pesaingnya yang lain. Ia mempunyai corong pembesar suara yang besar, bagi menempatkan span peredam bunyi bagi tujuan pembatalan hingar pasif. Pembatalan hingar pasif adalah apabila penebat bunyi (soundproofing) ditambah pada peranti, dan mungkin menambah kepada berat peranti ini iaitu seberat 296 gram.

Kemasan corong pembesar suara dan juga rekabentuk keseluruhan harus dipuji dengan kombinasi fabrik yang memberikan lebih sentuhan eksklusif. Meskipun begitu, fon kepala ini dikatakan tahan terhadap air dan debu yang turut hadir dengan jaminan 2 tahun terhadap kedua-dua faktor ini namun tahap ketahanan IP (Ingress Protection) tidak dinyatakan. Span yang terdapat pada corong pembesar suara dan juga cekak kepala adalah cukup tebal, dan menjamin keselesaan untuk memakainya pada satu waktu yang panjang.

Untuk mengawal peranti ini, terdapat butang kawalan untuk mengaktifkan pilihan pembatalan hingar, dan juga butang khusus untuk mengaktifkan pembantu maya yang terdapat pada telefon pintar anda. Ia menyokong Siri, Google Assistant dan juga Amazon Alexa. Untuk kawalan tahap suara, menjawab panggilan dan juga mengawal muzik, ia menggunakan butang yang terbina pada corong pembesar suara sebelah kanan.

Namun sedikit berbeza dengan fon kepala Jabra yang terdahulu saya ulas iaitu Jabra Revo Wireless yang menampilkan kawalan sesentuh, dan untuk menaikkan tahap bunyi adalah seolah-olah mengawal ‘Touchwheel’ pada iPod terdahulu.

Ia hadir dengan bekas penyimpanan yang boleh memuatkan aksesori dan kabelnya yang lain. Aksesori peranti ini terdiri dari kabel USB-C, wayar untuk bicu audio 3.5mm, dan juga penyesuai untuk kegunaan sistem hiburan dalam kapal terbang.

Pengalaman Menggunakannya

Saya berkesempatan menggunakan Jabra Elite 85h ini dalam pelbagai suasana. Bercakap mengenai kualiti bunyi, ia menghasilkan kualiti bunyi yang sangat baik dan jelas pada setiap runut bunyi muzik yang dimainkan. Menjadi kebiasaan untuk memainkan lagu pada tetapan ‘Flat’, lagu-lagu yang sering dimainkan menghasilkan bunyi yang sama dan tidak berbeza, menandakan ketepatan pembesar suara ini dalam menghasilkan bunyi.

Sekiranya anda lebih menyukai tetapan runut bunyi lain, terdapat tetapan Equalizer yang membolehkan anda memilih dari tetapan yang sedia ada seperti Bass Boost, Loud, mahupun menetapkan Equalizer anda sendiri. Tetapan-tetapan ini boleh ditemui pada aplikasi Jabra Sound+ yang boleh dimuat-turun pada peranti iOS dan juga Android yang anda miliki.

Aplikasi Jabra Sound+ ini juga mempunyai pilihan suasana tertentu yang membolehkan pengguna menetapkan pembatalan hingar dan juga tetapan ‘HearThrough’ – iaitu pilihan yang membolehkan suara luar masih boleh didengar. Jika pada fon kepala terdapat butang untuk memilih mod Biasa > Pembatalan Hingar > HearThrough, pada aplikasi ini pengguna boleh menetapkan memilih mod bunyi yang diinginkan. Namun satu kelainan dimana pada Jabra Elite 85h, tidak terdapat pilihan tahap HearThrough seperti 50% ataupun 10%, sedikit berbeza dengan peranti Jabra yang lain, seperti Jabra Elite 65t.

Menggunakan pembatalan hingar, saya dapati ia dapat berfungsi dengan baik sekali, dan dapat menapis perbualan-perbualan teman sepejabat sewaktu menggunakannya ketika bekerja. Perbualan tersebut sama sekali tidak akan didengar sewaktu mod pembatalan hingar diaktifkan. Namun terdapat sedikit bunyi muzik latarbelakang di pejabat kadangkala dapat menerobos masuk, mungkin kerana bunyi tersebut berada di tahap yang lebih tinggi, atau mungkin berada di luar lingkungan gelombang yang dikesan sebagai hingar. Bunyi ini mungkin sekitar 1-5% dan tidaklah mengganggu penggunaan sepenuhnya.

Menariknya mengenai pembatalan hingar, fungsi ini mula-mula hadir untuk kegunaan juruterbang pesawat memandangkan bunyi enjin kapal terbang yang membingitkan. Saya berkesempatan mencubanya sewaktu dalam penerbangan. Jika sebelum ini saya memilih untuk menyumbatkan koklea telingar dengan fon telinga berjenis in-ear yang membuatkan telinga tersumbat, Jabra Elite 85h berjaya membuatkan penerbangan saya lebih selesa.

Menonton filem-filem dalam kapal terbang adalah lebih tenang tanpa sebarang hingar bunyi enjin malah memakainya untuk tidur dalam kapal terbang juga adalah lebih selesa berbanding menyumbatkan telinga anda. Memandangkan ia boleh beroperasi dengan pembatalan hingar selama 36 jam, boleh dikatakan pada pengecasan penuh, anda dapat menggunakan fon kepala ini dari mula sehingga ke destinasi, dan mungkin masih terdapat lagi kuasa yang cukup untuk penerbangan pulang.

Kesimpulan

Hadirnya Jabra Elite 85h ke pasaran tempatan bakal memberikan saingan hebat dengan fon kepala pembatalan hingar yang lain. Ini kerana ia ditawarkan pada harga runcit yang lebih rendah dari pesaingnya, malah jika anda membeli sewaktu promosi ia akan memberikan pulangan yang lebih. Jabra Elite 85h ini dijual pada harga RM 1,349 dengan jaminan selama 2 tahun.

KELEBIHAN KEKURANGAN
  • – Proses tambatan yang pantas menggunakan Bluetooth 5.0
  • – Butang fizikal kawalan fungsi asas seperti Siri, Google Assistant, Amazon Alexa
  • – Selesa dipakai pada jangkamasa lama
  • – Jangka hayat bateri yang sangat memuaskan.
  • – Jaminan Kalis Air & Debu selama dua tahun
  • – Lebih besar berbanding Sony WH1000XM3
  • – Sela masa apabila bermain permua

Beli: Jabra Elite 85h



This post first appeared on Amanz, please read the originial post: here

Share the post

Ulasan: Jabra Elite 85h – Pencabar Baru Fon Kepala Dengan Pembatalan Hingar

×

Subscribe to Amanz

Get updates delivered right to your inbox!

Thank you for your subscription

×