Get Even More Visitors To Your Blog, Upgrade To A Business Listing >>

Ulasan: OnePlus 7 – Lebih Baik Dari Yang Disangkakan

Zaman sekarang sudah ada banyak kategori Peranti. Peranti kelas asas, kelas pertengahan-asas, kelas pertengahan premium, peranti mercu dan yang menjadi trend sekarang adalah peranti mercu-asas atau peranti mercu bajet. Itulah apa yang OnePlus lakukan terhadap peranti mercu mereka tahun ini.

OnePlus 7 Pro adalah peranti mercu utama mereka, manakala OnePlus 7 adalah peranti mercu-asas. OnePlus 7 semasa kami membuat pandang pertama, kami berpendapat yang ianya hanyalah sebuah OnePlus 6T dengan sedikit penambahbaikan. Namun selepas menggunakannya sebagai peranti harian, Peranti Ini lebih baik dari yang disangkakan. Ini adalah ulasan OnePlus 7 kami.


Spesifikasi

OnePlus 7
Skrin 6.41” Optic AMOLED
Chipset Snapdragon 855
CPU 1×2.84 GHz Kryo 485
3×2.42 GHz Kryo 485
4×1.78 GHz Kryo 485
GPU Adreno 640
Memori 8/12GB RAM
Storan 256GB
Kamera Utama 48MP f/1.7 + 5MP f/2.4
Kamera Hadapan 16MP f/2.0
Sambungan WiFi 802.11 b/g/n/ac
Bluetooth 5.0
NFC
USB-C
Sistem Android 9.0 Pie
Bateri 47000 mAh
Pengecasan 20W
Berat & Ketebalan 182g + 157.7 x 74.8 x 8.2 mm

OnePlus 7 dijana dengan cip pemproses Snapdragon 855 dan dipadankan dengan pilihan memori 8/12 GB RAM dan storan dalaman hanya 256GB. Untuk skrin ia masih menggunakan skrin Optic AMOLED bersaiz 6.41-inci dengan resolusi FHD+. Untuk bateri, peranti ini mempunyai bateri berkapasiti 3700mAh dengan pengecasan pantas 20W (5V4A).

Kamera utama OnePlus 7 adalah sistem dwi-kamera yang menggabungkan lensa utama 48MP dan lensa kedalaman 5MP. Kamera swafoto pula adalah 16MP, yang mana turut berfungsi sebagai kamera untuk mengimbas wajah untuk menyahkunci peranti. Lain-lain spesifikasi adalah seperti penggunaan Bluetooth 5.0 pada peranti ini dan juga mempunyai sokongan NFC.

Untuk sekuriti, peranti ini menggunakan pengimbas cap jari bawah skrin jenis optikal. Sistem operasi yang digunakan pula adalah OxygenOS yang berasaskan Android Pie. OnePlus turut mengekalkan butang senyap yang perlu digelungsurkan pada sisi seakan iPhone.

Skrin

Skrin 6.41-inci Optic AMOLED pada peranti ini turut menyokong format paparan sRGB dan Display P3. Sedikit mengecewakan ia tidak menyokong paparan HDR10+ seperti yang disokong pada OnePlus 7 Pro. Tetapi AMOLED pada OnePlus sejak OnePlus 3 lagi memang tidak mengecewakan. Walaupun resolusi terhad kepada FHD+ sahaja, pengalaman menggunakan skrin pada peranti ini adalah memuaskan.

Takuk kecil pada bahagian skrin tidak mengganggu, jika sudah biasa menggunakan peranti yang bertakuk. Tetapi disebabkan kami sudah bosan dengan takuk, kami ubah tetapan untuk menyembunyikan takuk. Menonton Netflix, YouTube atau apa jua video pada peranti adalah amat baik, warna yang tajam dan menarik, butiran yang jelas dan juga clarity yang baik.

Skrin peranti ini mempunyai rekaan yang sama sahaja dengan OnePlus 6T, jadi ia tidak memberi perasaan yang teruja seperti OnePlus 7 Pro yang mempunyai kadar segar semula 90Hz. Bermain permua juga agak menyeronokkan. Cuma sedikit kekurangan pada peranti ini adalah apabila menggunakan skrin di bawah cahaya matahari yang terik – ia tidak begitu terang. Lain-lain semuanya okay sahaja dan menggembirakan hati.

Prestasi

Cip dengan binaan 7nm Qualcomm Snapdragon 855 sangat membantu dalam hal berkaitan prestasi. Dipadankan pula dengan cip grafik Adreno 640, peranti ini memberikan prestasi yang sangat hebat. Disebabkan OnePlus mungkin rasa peranti ini tidak cukup pantas, storan yang digunakan adalah berasaskan UFS3.0. Secara tidak langsung menjadikan proses membuka, tutup, tukar aplikasi lancar.

Sebelum kita pergi ke ulasan bermain permua, kita lihat terlebih dahulu prestasi tugasan harian. Untuk pengguna yang kerap membukan banyak aplikasi dan jenis yang tidak kerap membuangnya dari senarai aplikasi terbuka, peranti ini mempunyai prestasi yang sangat lancar. Memori pada peranti ini sekurang-kurangnya adalah 8GB RAM, jadi memori yang banyak sangat membantu. 8GB RAM percaya atau tidak sebenarnya bukan gimik. Kerana peranti seperti Pixel 3 dengan 4GB RAM mempunyai prestasi yang kurang memuaskan.

Dengan memori yang banyak, kebiasaannya separuh daripada RAM akan disimpan untuk menjalankan aplikasi di latar. Manakala baki adalah untuk memfokuskan aplikasi yang sedang digunakan. Jadi peranti ini tidak mempunyai sebarang lengah masa, micro-lag, beku, atau juga terpadam dengan sendiri. Prestasi untuk tugasan harian mempunyai prestasi yang ramai idamkan.

Beralih kepada permua pula, sudah tentu ianya lancar dan memuaskan. Permua yang diuji seperti biasa adalah PUBG Mobile dan Asphalt 9. Peranti ini tidak menyokong skrin dengan kadar segar semula yang tinggi, jadi apa jua permua dengan grafik tinggi sudah memadai untuk diuji. Prestai bermain kedua-dua permua adalah sangat lancar, pantas dan memberi imaginasi kepada pengguna seakan seorang profesional dalam bidang permua.

Mengawal permua juga mudah, tangan menjadi tangkas kerana kepantasannya. Lebih menarik, tidak ada isu peranti memanas yang serius. Menjadikan pengalaman bermain permua lebih dahsyat adalah dengan adanya mod permua Fnatic. Ia adalah mod permua OnePlus dengan kerjasama pasukan e-sukan Fnatic. Ia menjadikan pengalaman bermain lebih baik, tiada gangguan dan sambungan Internet lebih laju.

Skor ujian tanda aras juga adalah memberangsangkan. Lihat sahaja skor AnTuTu dan Geekbench ini. Ia berada dalam kategori peranti mercu berprestasi tinggi lain.

Kita teruskan ulasan dalam kategori prestasi kepada sistem operasi yang digunakan. OnePlus 7 menjalankan OxygenOS berasaskan Android 9.0 Pie. Bagi yang tidak tahu akan OxygenOS ini, ia adalah seakan Android asli, tetapi dengan banyak kemampuan pengubahsuaian yang menarik. Jadi Android asli itu sendiri mempunyai pengalaman penggunaan peranti Android yang baik, ditambah pula dengan kemampuan pengubahsuaian yang banyak – ia menjadikan peminat gajet sangat teruja dan seronok.

Kamera

Kamera utama OnePlus 7 adalah sistem dwi-kamera. Lensa utama adalah lensa 48MP dari Sony IMX586 dan mempunyai bukaan lensa f/1.7. Lensa ini turut mempunyai OIS. Lensa kedua adalah lensa 5MP dengan bukaan lensa f/2.4. Tetapi lensa kedua tidak mempunyai sebarang sensor penstabilan dan kualiti imej akan bergantung kepada lensa utama sahaja. Ini kerana lensa kedua ini merupakan sensor kedalaman yang akan membantu menghasilkan gambar bokeh yang cantik. Kamera di belakang turut dipadankan dengan dwi-LED flash.

Hasil gambar pada awalnya dilihat seakan OnePlus 6T. Pasca-proses imej OnePlus tidaklah sehebat Pixel, jadi hasil imej dilihat tidak mempunyai perbezaan yang ketara. Namun, OnePlus tetap cuba mengikut konsep Pixel dengan penggunaan perisian bagi menjadikan hasil gambar lebih baik. Warna imej yang dihasilkan adalah cantik dan memuaskan. Ianya terang, butiran juga jelas. Lensa 48MP ini amat membantu.

Dari segi kontras warna, clarity dan imbangan warna putih baik-baik sahaja. Tetapi apa yang kami sedar adalah, kebanyakan gambar yang diambil dengan OnePlus 7 mempunyai kesan berwarna jingga yang kerap. Ini mungkin pepijat pada aplikasi kamera. Kerana ia hanya berlaku kadang-kadang sahaja. Untuk zum, peranti ini tidak mempunyai lensa telefoto. Jadi, gambar zum hanyalah secara digital dengan teknik pangkas (crop) dan pasca proses sahaja. Hasil yang kemas, tetapi bukan yang terbaik.

Untuk gambar mod bokeh pula, ia mempunyai hasil yang sangat memberangsangkan. Tidak kami sangka OnePlus 7 boleh mengambil hasil imej potret yang kemas dan baik. Di bahagian sisi kaburnya kemas dan sekata.

Untuk kamera swafoto, lensa yang digunakan adalah 16MP dari lensa Sony IMX471. Ia tidak menyokong mod auto-fokus, tetapi ia masih mempunyai hasil imej yang baik. Begitu juga dengan mod potret pada bahagian kamera swafoto, ia memberikan hasil yang memuaskan.

Click to view slideshow.

Kemampuan rakaman video juga adalah baik. Seperti biasa, OnePlus terkenal dengan kemampuan merakam video 4K 60FPS yang stabil. Ia juga mempunyai kemampuan merakam video gerak perlahan pada resolusi 1080p, tetapi ia terhad kepada 240FPS sahaja. Fungsi-fungsi lain yang menarik terbina pada aplikasi kamera adalah seperti UltraShot, Nightscape, Studio Lighting, Portrait, Pro Mode, Panorama, HDR, AI Scene Detection dan juga RAW Image. Di bawah adalah sampel gambar Nightscape, iaitu mod malam. Ia cuba mimik Huawei, tetapi belum boleh bersaing lagi. hasilnya hanya ok.

Click to view slideshow.

Pembesar Suara

Seperti OnePlus 7 Pro, OnePlus 7 turut mempunyai pembesar suara stereo. Satu di bahagian bawah dan satu di bahagian atas, di kawasan bingkai peranti. Terdapat satu kekisi pembesar suara yang panjang. Kali ini OnePlus bekerjasama dengan Dolby Atmos untuk menjadikan hasil audio daripada peranti ini lebih baik dari peranti lama OnePlus.

Bunyi yang dihasilkan memuaskan. Tetapi bass tidak memberi impak yang bagus. Ia berdentum dengan baik, tetapi seolah ada sesuatu yang kurang. Mendengar muzik melalui Tidal Master dan Spotify Premium adalah menarik, tetapi kurang mengasyikkan. Beberapa muzik, seperti OST Spider-Man Into The Spider-Verse – ia memberikan pengalaman pendengaran yang terbaik. Berulang kali muzik ini dimainkan dari album ini.

Begitu juga apabila menonton video, ikut jenis kandungan. Kadang-kala ianya boleh dikatakan terbaik, tetapi kadangkala ia mengecewakan. Oleh yang demikian, untuk pengalaman yang lebih memuaskan – set fon telinga OnePlus Type-C Bullets kerap digunakan.

Bateri

3700mAh untuk OnePlus 7 percaya atau tidak adalah kapasiti bateri yang mencukupi. Kami tidak mempunyai sebarang masalah untuk mencapai SOT sekitar 8 jam dengan penggunaan yang ringan. Manakala penggunaan berat boleh mencapai sehingga 5 jam SOT. Apabila banyak aplikasi terbuka, permua kerap dimainkan dan kerap aktif di media sosial – maksima yang pernah kami capai adalah sekitar 3 jam SOT.

Untuk peranti ini, OnePlus masih lagi menggunakan pengecasan pantas DASH 20W. Cuma tiada nama ‘Dash’ yang dipaparkan pada peranti semaasa pengecasan. Pengecasan ini tiada masalah untuk mengecas peranti sehingga penuh sekitar kurang daripada 1 Jam 30 Minit.

Sedikit mengecewakan kerana Warp Charge hanya terhad untuk OnePlus 6T Edisi McLaren dan OnePlus 7 Pro sahaja. Pegecasan pantas Warp menyokong kuasa 30W dan boleh mengecas sekitar 1 Jam sahaja untuk penuh.

Rekaan

OnePlus 7 menggunakan rekaan yang hampir sama dengan OnePlus 6T. Malah bahan binaan juga adalah sama, iaitu kaca di belakang yang diperbuat daripada Gorilla Glass 6. Terdapat juga beberapa kerangka OnePlus 6T yang muat disarungkan pada OnePlus 7.

Di belakang terdapat satu bonjol yang menempatkan kamera utama. Di bawahnya pula adalah logo OnePlus dan di bahagian paling bawah adalah tulisan OnePlus itu sendiri. Panel belakang ini mempunyai kemasan seakan ia diperbuat daripada seramik, tetapi sebenarnya ia adalah kaca. Di bahagian depan pula adalah, skrin bertakuk kecil dengan rekaan bezel nipis. Tetapi peranti ini masih mempunyai dagu, syukur ia tidak begitu tebal dan mencukupi sahaja untuk kelihatan seksi. Menjadikan rekaan OnePlus 7 lebih unik pada bahagian atas takuk, terdapat kekisi pembesar suara yang panjang yang tersorok pada bezel bahagian dahi.

Di bahagian atas hanya terdapat mikrofon dan di bawah pula adalah antena, port USB-C dan kekisi pembesar suara. Beralih ke sisi kanan, terletaknya butang kuasa dan butang gelangsar (slider button) untuk mengawal nada dering. Akhir sekali di bahagian kiri, OnePlus meletakkan butang aras suara, lagi satu antena dan juga slot kad SIM. Rekaan OnePlus 6, OnePlus 6T dan OnePlus 7 mempunyai elemen rekaan yang sama. Jadi OnePlus 7 ini kelihatan sedikit bosan.

Bahan binaan sudah cukup premium, dari jauh peranti ini tampak seksi dan menawan. Warna Mirror Grey juga menjadikan peranti sesuai untuk seorang usahawan atau pengguna profesional. OnePlus turut menawarkan warna Blush Red, iaitu warna merang terang seakan gincu dan warna Mirror Blue yang mirip dengan Nebula Blue – tetapi khusus untuk pasaran India sahaja.

Harga

OnePlus 7 tidak dijual di Malaysia secara rasmi. Semasa OnePlus 7 Pro dilancarkan, mereka menyatakan yang OnePlus 7 adalah khusus untuk pasaran seperti India dan China sahaja. Tetapi, terdapat sahaja penjual di Malaysia yang membawa masuk peranti ini dan dijual pada harga yang agak berbaloi.

Harga set import OnePlus 7 adalah sekitar RM1900 sehingga RM2400, mengikut variasi yang dijual. Salah satu contoh kedai yang terkenal adalah Mobile2Go, mereka menjual OnePlus 7 8/256GB pada harga RM1999 dan variasi 12/256GB pula dijual pada harga hanya RM2349.

Harga rasmi di China adalah RMB2999 untuk 8/256GB iaitu sekitar RM1790 dan RMB3499 untuk 12/256GB iaitu sekitar RM2088.


Konklusi

Mengakhiri ulasan OnePlus 7 ini, ia sememangnya sebuah peranti yang lebih baik yang disangkakan. Ia bukanlah sebuah OnePlus 6T dengan sedikit naik taraf. Storan UFS3.0 yang pantas, membuka/menutup aplikasi yang pantas dan juga kamera yang mengagumkan.

Bateri juga agak tahan dan hebat. Peranti ini sepatutnya dijual di Malaysia secara rasmi, kerana ia sememangnya sebuah peranti yang berbaloi dan memuaskan.

KELEBIHAN KEKURANGAN
  • Skrin Optic AMOLED yang cantik dan memuaskan.
  • Hasil kamera yang tidak disangka mengagumkan.
  • Rekaan premium dan cantik.
  • Jangka hayat bateri yang menakjubkan.
  • Prestasi yang sangat bagus dan pantas.
  • Pengimbas cap jari bawah skrin yang pantas.
  • Pengecasan pantas yang tidak setanding dengan peranti mercu premium lain.
  • Prestasi kamera yang sebenarnya boleh lagi baik.
  • Masih lagi skrin bertakuk.
  • Tidak dijual di Malaysia secara rasmi.



This post first appeared on Amanz, please read the originial post: here

Share the post

Ulasan: OnePlus 7 – Lebih Baik Dari Yang Disangkakan

×

Subscribe to Amanz

Get updates delivered right to your inbox!

Thank you for your subscription

×