Get Even More Visitors To Your Blog, Upgrade To A Business Listing >>

Ulasan: OnePlus 7 Pro – Peranti OnePlus Terbaik Setakat Ini

OnePlus Adalah jenama yang terkenal dengan moto ‘Flagship Killer‘. Namun sejak OnePlus 7 Pro diumumkan secara rasmi di Malaysia, ramai mula marah dan kecam jenama ini kerana harga jualannya yang lebih mahal dari jenama yang lebih terkemuka seperti Samsung Galaxy S10. Namun itu tidak menghalang peminat OnePlus sebenar, kerana pra-tempahan buat OnePlus 7 Pro dilaporkan kehabisan stok dalam masa kurang seminggu selepas tempahan dibuka.

Peranti OnePlus 7 Pro ini adalah peranti OnePlus yang paling unik dan mempunyai perubahan serius jika dibandingkan dengan peranti OnePlus lain sejak OnePlus One pada tahun 2014. Jadi apakah menarik dengan peranti OnePlus 7 Pro ini dan adakah ia berbaloi untuk dimiliki? Ini adalah ulasan penuh OnePlus 7 Pro.

Skrin

OnePlus 7 Pro menggunakan skrin bersaiz 6.67-inci dengan resolusi sehingga QHD+. Panel yang digunakan adalah Fluid AMOLED jenis melengkung dan mempunyai kadar segar semula 90Hz. Kehebatan skrin OnePlus 7 Pro ini adalah sangat hebat sehingga peranti ini ditabalkan sebagai peranti dengan skrin terbaik oleh DisplayMate. Bukan itu sahaja, ia turut menerima pengiktirafan HDR10+ yang mana adalah satu format yang hebat untuk sesebuah peranti pintar.

Warna yang skrin ini hasilkan adalah sangat cantik dan tajam. Warnanya terang, tepat dan sedap mata memandang. Butiran daripada kandungan-kandungan video HDR sungguh mengagumkan dan menarik. Kandungan video HDR yang saya uji adalah daripada YouTube dan Netflix. Apabila menonton video-video ini, ia membuatkan saya tertanya – adakah ini benar peranti OnePlus?

Dynamic Range pada peranti ini juga sungguh hebat dan apa yang OnePlus telah buat pada skrin mereka adalah satu perubahan drastik. Setiap saat kandungan video ditonton sungguh mengasyikkan. Sejak OnePlus One pada tahun 2014, OnePlus menggunakan resolusi FHD/FHD+ sahaja dan akhirnya pada OnePlus 7 Pro resolusi sehingga QHD+ telah diberikan.

Tidak dinafikan yang OnePlus cuba meniru Samsung pada skrin mereka. Contohnya adalah kemampuan menetapkan resolusi skrin dari FHD+ kepada QHD+ secara manual atau terus menetapkan kepada tetapan auto-laras yang mana akan berubah-ubah dari salah satu resolusi mengikut kandungan yang terpapar pada skrin. Seterusnya adalah fungsi ‘Video Enhancer‘ yang mana adalah fungsi mempertingkatkan lagi warna skrin agar ia lebih sesuai dengan kandungan video yang dimainkan.

Perkara unik pada peranti OnePlus 7 Pro ini sudah semestinya kadar segar semula skrin sehingga 90Hz. Tetapan 90Hz ini akan menjadikan skrin lebih pantas dan lancar. Setiap tatalan akan dapat rasakan perubahan yang sangat ketara berbanding tetapan 60Hz. Tetapan kadar segar semula skrin ini hanya mempunyai dua pilihan sahaja, iaitu sentiasa 60Hz atau ‘sentiasa’ 90Hz. Untuk 90Hz ini, apabila aplikasi panggilan telefon atau kamera dibuka – ia akan berubah kepada 60Hz secara automatik. Ia hanya boleh kekal menjadi 90Hz jika tetapan tersembunyi diaktifkan.

Kemudian, lain-lain tetapan pada skrin OnePlus 7 Pro ini adalah sama sahaja seperti peranti OnePlus yang lain – seperti mod tema gelap, sokongan Ambient Display, mod membaca, fungsi seakan Apple TrueTone dan lain-lain. Sedikit kecewa dengan mod Ambient Display pada OnePlus adalah, ia tidak mempunyai kebolehan seperti peranti Samsung – Always-On Display (AOD). Menurut OnePlus, mereka tidak sertakan AOD kerana isu bateri yang serius dan untuk pengalaman penggunaan yang baik Ambient Display sudah mencukupi buat masa ini.

Secara keseluruhan, skrin OnePlus 7 Pro memang menakjubkan dan membuatkan saya teruja. Sepanjang masa saya menggunakan peranti OnePlus ini, skrin melengkungnya tidak mempunyai palm rejection yang baik apabila kerangka pelindung tidak digunakan. Banyak bahagian lain yang tidak ingin saya sentuh, tersentuh.

Skrin OnePlus 7 Pro ini saya berikan skor 11/10.

Prestasi

OnePlus 7 Pro dijana dengan cip pemproses Snapdragon 855 yang dipadankan dengan memori dari 6GB sehingga 12GB RAM dan storan dalaman berasaskan UFS3.0 dari 128GB atau 256GB. Unit ulasan yang saya uji adalah 8GB RAM dan pada saya RAM 8GB sudah lebih daripada cukup. Sebelum saya ceritakan prestasi peranti ini, akan saya ceritakan kelebihan storan dalaman berasakan UFS3.0 terlebih dahulu.

Perbandingan yang paling mudah difahami adalah UFS ibarat SSD pada PC dan eMMC adalah ibarat HDD. Jadi, kerja-kerja memasang aplikasi, membuka aplikasi, pemindahan data, penyimpanan data atau juga proses cache data adalah lebih pantas dari biasa. Perkara ini sebenarnya tidak akan disedari oleh pengguna biasa, kerana ia banyak berlaku dari bahagian sistem.

Snapdragon 855 adalah cip pemproses yang banyak digunakan oleh peranti mercu tahun ini. Prestasinya jelas sekali bagus dan memuaskan seperti mana-mana peranti mercu. Cuma kelebihan pada OnePlus ini adalah sistem operasi yang digunakan adalah sangat ringan. Oxygen OS adalah sistem operasi yang mirip dengan Android asli, jadi animasinya lancar, antaramukanya sangat mesra pengguna dan ringkas. Oxygen OS bukanlah sistem operasi untuk semua, disebabkan ia terlampau ringkas – pengguna yang tidak biasa dengan Android asli akan mudah terasa bosan.

Oxygen OS berfungsi dengan baik, pantas dan lancar. Sepanjang penggunaan tidak pernah saya rasai sebarang lengah masa atau menghadapi masalah. Sistem operasi ini berasaskan Android 9.0 Pie yang turut menerima kemaskini sekuriti bulanan dan kerap menerima kemaskini untuk penambahbaikan kamera. Antara fungsi yang menarik dalam Oxygen OS adalah Quick Launch yang boleh diakses daripada kunci skrin dengan menggunakan cap jari untuk mengakses beberapa aplikasi, Parallel Apps untuk klon aplikasi, DC Dimming untuk mereka yang mudah pening kepala apabila skrin berkelip dan juga Quick reply in landscape untuk membalasa mesej dalam keadaan mod landskap sambil aplikasi lain digunakan.

Bermain permua pula adalah antara yang paling menarik. Ini kerana mod gaming OnePlus kini hadir dengan mod Fnatic yang mana adalah tetapan bermain permua yang dicadangkan oleh pasukan e-sukan Fnatic. Ia mempunyai Do Not Disturb yang lebih menarik, memefokuskan prestasi kepada permua sahaja dan juga mempertingkatkan penggunaan Internet terhadap permua. Permua kegemaran saya adalah Asphalt 9, PUBG Mobile dan juga Hitman Sniper.

Ketika bermain Asphalt 9, ia mempunyai prestasi yang sangat mengujakan. Sepanjang saya bermain permainan ini, ia sangat lancar dan tiada langsung lengah masa. Bermain permua sungguh khusyuk sehingga habis bateri peranti saya. Cuma sayang sekali, permua ini tidak menyokong motor getaran baharu OnePlus dan menjadikan pengalaman bermain kurang menarik berbanding dengan PUBG Mobile.

Bercakap mengenai PUBG Mobile, permua ini menyokong motor getaran baharu OnePlus. Jadi apabila menembak musuh, kesan getaran akan terasa dan memberi pengalaman yang lebih mengasyikkan. Kerja-kerja multi-tugasan pula agak lancar dan hampir tiada langsung lengah masa berlaku. Lengah masa hanya akan berlaku apabila peranti berada di tengah panas dan mula memanas. Dari situ ia mula membuat masalah seperti masalah aplikasi membeku.

Secara keseluruhan, skor prestasi masih layak saya berikan 10/10.

Kamera

Dalam DXOMark, skor kamera OnePlus 7 Pro adalah 111 – yang mana jika dibandingkan nilainya adalah kedua terbaik dalam senarai DXOMark. Tetapi adakah benar kamera OnePlus 7 Pro ini hebat? Peranti ini dipadankan dengan tiga lensa untuk kamera utama, yang mana lensa ini adalah lensa 48MP + lensa 8MP telefoto 3x zoom + lensa 16MP ultra-lebar. Untuk kamera swafoto pula, ia menggunakan sistem pop-naik dengan lensa 16MP.

OnePlus dilihat mencuba meniru Google Pixel yang mana banyak menggunakan pasca-proses imej selepas ia diambil. Sebaik sahaja gambar diambil, imej yang terpapar akan pixelated dan selepas beberapa saat baru ia akan memaparkan hasil akhir yang mana lebih menakjubkan.

Hasil warna imej OnePlus 7 Pro adalah lebih tajam dan cantik. Ia juga cukup terang dan memuaskan. Cuma, kadangkala nilai dynamic range kadangkala terlebih dari cukup sehingga warnanya sedikit lari. Akan tetapi, perkara ini hanya berlaku apabila HDR ditetapkan kepada sentiasa dan mod auto mempunyai hasil yang cantik. Mod bokeh pula kini semakin kemas dan lebih baik dari biasa. Anda boleh lihat sampel di bawah ini;

Click to view slideshow.

Kamera swafoto pula juga mempunyai banyak penambahbaikan. Ia tidak begitu lembut dan mempunyai butiran yang lebih kemas dan realistik. Mod bokeh juga begitu, ia tidak lagi terlampau nampak tipu. Kekurangan di sini adalah, kamera swafoto kerap mempunyai warna yang sedikit kemerahan. Saya sedar perkara ini berlaku selepas kemaskini Oxygen OS 9.5.8. Anda boleh lihat sampel di bawah;

Click to view slideshow.

Untuk rakaman video, OnePlus seperti biasa terkenal dengan mod rakaman 4K 60FPS dengan kestabilan yang baik – yang menggabungkan teknologi OIS dan EIS mereka. Hebat bagaimanapun kamera OnePlus 7 Pro ketika merakam video, muat naik di Instagram Stories masih lagi kelihatan seakan rakaman 3GP.

Skor kamera OnePlus 7 Pro saya berikan 9/10.

Pembesar Suara

OnePlus buat pertama kalinya menyertakan pembesar suara stereo pada peranti mereka. Pembesar suara ini turut dioptimasikan dengan Dolby Atmos untuk pengalaman pendengaran yang lebih baik. Hasil bass pada pembesar suara ini agak menarik dan hasil audio yang keluar adalah jelas dan kuat. Mendengar muzik juga sedap, khusyuk dan memuaskan. Agak teruja OnePlus turut membawa perubahan pada peranti mereka ini.

Dengan binaan kaca pada peranti ini, hasil audio turut akan merebak dan memberi kesan yang hebat. Apabila peranti diletakkan atas permukaan rata, ia memberi kesan tambahan menarik pada kualiti audio. Cuma ia tidak sekuat peranti seperti Samsung Galaxy S10. Secara keseluruhan, pembesar suara OnePlus 7 Pro ini tidaklah hebat mana – tetapi saya amat bersyukur kerana OnePlus menyertakannya.

Skor pembesar suara OnePlus 7 Pro ini saya berikan 7.5/10.

Bateri

Buat pertama kalinya OnePlus menyertakan bateri berkapasiti 4000mAh dalam peranti mereka. Selama bertahun lamanya OnePlus hanya menggunakan bateri dalam lingkungan 3000mAh sahaja, akhirnya ada kapasiti yang besar. Berkemungkinan besar adalah kerana skrin OnePlus yang hebat ini memerlukan kuasa yang banyak, jadi saiz bateri yang besar adalah satu langkah bijak OnePlus.

Ketahanan bateri OnePlus 7 Pro ini agak menakjubkan. Tiada masalah untuk SOT selama lebih 7 Jam, jika tetapan adalah FHD+ dengan kadar segar skrin 90Hz. Akan tetapi jika menggunakan QHD+ dan 90Hz, ketahanan bateri akan menjadi sekitar 3-4 Jam sahaja. Kemudian jika menggunakan tetapan tersembunyi akan menjadi bawah 3 Jam SOT.

Pilihan lain adalah, menggunakan tetapan boleh laras yang akan menentukan segalanya secara automatik. Tetapi tetapan ini akan memberikan ketahanan bateri sekitar 6 Jam SOT sahaja. Untuk pengecasan pantas pula, OnePlus menggunakan Warp Charge 30W yang mampu mengecas peranti dari 0% hingga 100% sekitar 1 Jam sehingga 1 Jam 15 Minit sahaja. Secara keseluruhan, bateri OnePlus 7 Pro ini agak baik.

Skor bateri adalah 9/10.

Rekaan

Rekaan peranti OnePlus 7 Pro ini dilihat seakan rekaan asli. Namun jika dilihat dengan lebih teliti, rekaan bahagian hadapan adalah mirip Oppo Find X atau juga Samsung Galaxy S10+ sedikit. Bercakap mengenai skrin, rekaan hadapan peranti ini adalah sangat seksi dan cantik. Dagu yang nipis dan hampir boleh dikatakan tiada dahi. Di bahagian atas, earpiece/pembesar suara stereo disertakan di bahagian bingkai atas berdekatan dengan kamera swafoto pop-naik. Di belakang pula adalah sungguh kemas dan cantik.

Click to view slideshow.

Bonjol kamera tidak begitu tinggi, rekaan keseluruhan yang kemas dan premium. Selesa di tangan dan tidak begitu licin. Cuma, walaupun OnePlus mempunyai satu variasi dengan kemasan pusam dan yang tidak berkilat – iaitu unit yang saya uji ini, ia masih memerangkap kotoran cap jari yang serius. Warna ini adalah warna Nebula Blue. Warna lain seperti Mirror Gray dan Almond adalah kemasan seakan cermin dan berkilat.

Secara keseluruhan, OnePlus 7 Pro mempunyai rekaan yang sungguh menawan dan cantik. Cuma peranti ini tidak mempunyai rekaan yang asli, banyak bercampur-campur dengan rekaan peranti lain.

Disebabkan itu, skor rekaan peranti ini hanya 8/10.

Harga

Semasa OnePlus 7 Pro dilancarkan di China, harga penukaran secara terus adalah RM2416 sahaja daripada RMB3,999 untuk variasi 6/128 GB. Variasi 8/256 GB pula adalah RMB4,499 yang mana ditukar sekitar RM2718. Variasi paling mahal pula adalah 12/256 GB yang mana RMB4,999, iaitu sekitar RM3020. Tetapi apabila dijual di Malaysia secara rasmi, harga jualan adalah RM2999, RM3699 dan RM4199.

Agak mahal harganya, kerana jika dibandingkan dengan pasaran sekarang – harga Samsung Galaxy S10 adalah lebih murah dan lebih berbaloi untuk dimiliki.

Skor untuk harga adalah 6/10.

Konklusi

OnePlus 7 Pro tidak dinafikan adalah sebuah peranti mercu yang hebat. Skrin yang sangat menakjubkan dengan warna yang tajam dan cantik. Prestasi yang pasti membuatkan ramai pengguna teruja, motor getaran dan pembesar suara yang terbaik pernah OnePlus hasilkan dan kapasiti bateri yang besar. Rekaan juga adalah cantik dan menarik.

Jadi, adakah peranti OnePlus 7 Pro ini berbaloi untuk dimiliki? Jika anda tidak hiraukan perlindungan IP68, pengecasan nirwayar dan sistem operasi Oxygen OS yang sangat ringkas – ia sangat berbaloi untuk dimiliki. Walaupun harganya mahal, dari segi nilai – ia adalah sebuah peranti yang terbaik pernah OnePlus hasilkan. Jadi anda sebagai pengguna yang bijak, OnePlus 7 Pro atau siri Galaxy S10 – itu adalah cadangan anda sendiri. Saya sendiri memilih OnePlus 7 Pro – anda pula bagaimana?



This post first appeared on Amanz, please read the originial post: here

Share the post

Ulasan: OnePlus 7 Pro – Peranti OnePlus Terbaik Setakat Ini

×

Subscribe to Amanz

Get updates delivered right to your inbox!

Thank you for your subscription

×