Get Even More Visitors To Your Blog, Upgrade To A Business Listing >>

Ulasan: iPad Pro 12.9″ (Gen 3) – Berkuasa Namun iOS Semasa Mengekang Potensi iPad Ini

iPad Pro 12.9″ (Gen 3)
Skrin 12.9”, IPS, 120 Hz, 2732×2048
Chipset Apple A12X Bionic
Memori 4GB / 6GB RAM
Storan 64GB / 25GB / 512GB / 1TB
Kamera Utama 12MP f/1.8
Kamera Hadapan 7MP
Sambungan WiFi 802.11 a/b/g/n/ac
Bluetooth 5.0
USB-C
Sistem iOS 12
Bateri 9720 mAh, pengecasan 18W
Dimensi 280.6 x 214.9 x 5.9 mm
Berat & Ketebalan 631g, 5.9mm
Tempoh
Penggunaan
3 minggu

Pada 9 September 2015, Apple telah melancarkan Ipad Pro generasi pertama yang direka bagi memenuhi permintaan profesional. Ia dipadankan dengan cip Apple A9X yang cukup berkuasa selain menjadi siri iPad yang pertama dengan janaan memori LPDDR4. Ia juga dilengkapi dengan keupayaan kamera yang lebih baik, sokongan Apple Pencil, dan mempunyai dua saiz berbeza iaitu 12.9” dan 9.7”.

Kemudian pada tahun 2017, Apple telah memperkenalkan iPad Pro generasi kedua dengan paparan ProMotion bagi membolehkan kandungan pada skrin dipaparkan dalam segar semula 120Hz. Ia telah dinaiktaraf dengan cip Apple A10X Fusion yang lebih lancar, keupayaan kamera yang ditambah baik, dan menyokong fungsi pengecasan pantas. Generasi ini juga telah menaiktaraf saiz iPad Pro 9.7” kepada 10.5” disamping hadir dengan variasi storan setinggi 512GB.

Pada saat ini, iPad Pro telah memasuki generasi ketiga dengan membawa perubahan besar dari segi rekaan dan spesifikasi di dalamnya. Ia membawa rekaan skrin sepenuhnya, sokongan Apple Pencil generasi kedua serba baharu, dan tentunya cip pemprosesan iPad paling pantas setakat ini iaitu cip Apple A12X Bionic. Generasi Ipad Pro Ini juga menjadi peranti iOS yang pertama dengan USB-C bagi menggantikan sambungan Lighting.

Apple menawarkan 2 pilihan saiz untuk iPad Pro kali ini iaitu model 11-inci dan model 12.9-inci. Ia ditawarkan dengan storan permulaan bermula 64GB dan sekiranya anda memilih storan 1TB, ia didatangkan dengan memori 6GB RAM. Sebagai rujukan, iPad yang digunakan di dalam ulasan ini ialah iPad Pro 12.9” dengan penawaran storan 1TB. Unit ulasan di tangan kami juga turut disertakan dengan aksesori Smart Keyboard dan Apple Pencil generasi kedua bagi melengkapkan lagi ulasan iPad Pro ini.

Rekaan

iPad Pro generasi ketiga telah melalui perubahan yang signifikan terutama dari segi rekaannya. Ia kini membawa rekaan berpetak dan dilihat lebih nipis berbanding sebelumnya. Namun anda digalakkan untuk memakai aksesori tambahan kerana ramai yang melaporkan peranti ini mudah bengkok atas rekaannya yang terlalu nipis. Tetapi apa yang menarik, ia menampilkan rekaan skrin penuh, jadi ia tidak lagi menempatkan sebarang perletakkan butang home pada bahagian bawah.

Jadi apabila anda ingin menuju ke paparan skrin utama, anda hanya perlu membuat swipe ke atas seperti mana yang anda boleh lakukan pada iPhone X. Ingin melihat aplikasi yang sedang berjalan? Anda hanya perlu membuat swipe dari bawah dan ke kanan. Untuk mengambil screenshot pula, anda hanya perlu menekan butang kuasa dan butang pelarasan suara atas secara serentak.

Dengan ketiadaan butang home, Apple juga telah menggantikan Touch ID dengan meletakkan kamerra TrueDepth untuk kebolehan Face ID. Anda boleh menggunakannya pada mana-mana arah, dengan kadar tindak balas membuka peranti yang pantas. Anda juga boleh menggunakan fungsi Animoji melalui Face ID ini, yang mana boleh diakses melalui aplikasi iMessage. Dengan penyertaan iOS 12, anda boleh menggunakan fungsi Memoji untuk bermain dan menghasilkan animoji berdasarkan rupa anda sendiri.

iPad Pro ini juga merupakan peranti iOS pertama yang didatangkan dengan sambungan USB-C. Bermakna, tablet ini dapat dicas dengan kabel USB-C sedia ada, selain dapat disambungkan ke pelbagai aksesori yang menyokong sambungan ini. Cuma buat masa ini, penggunaannya agak terhad yang mana kebanyakan fungsi turut boleh digalas melalui sambungan Lightning sedia ada.

Anda boleh menghubungkan peranti ke skrin, memindahkan gambar dan video dari kamera, namun anda masih tidak boleh menghubungkan storan berasaskan mass storage untuk melihat fail anda. Bermakna, anda tidak boleh menyambungkan storan seperti cakera keras atau pemacu USB luaran ke dalam iPad Pro ini. Apabila disambungkan, iPad Pro ini akan memaparkan amaran “Contents not Available – Cannot read the connected storage media”.

Perkara ini mungkin disebabkan daripada limitasi iOS yang masih belum sedia menyokong penyambungan storan berasaskan mass storage ini. Alternatif storan yang menyokong iOS sudah ada, namun kebanyakannya berfungsi secara tanpa wayar dan perlu memasang aplikasi khusus sebelum anda boleh menggunakannya. Aplikasi Files yang tersedia juga dilihat terlalu asas dengan hanya membolehkan anda melihat fail-fail terpilih daripada iPad ini atau storan awan yang telah dilog masuk oleh anda.

Tetapi satu aspek yang sedikit mengecewakan, iPad Pro ini juga menjadi iPad yang pertama tanpa sebarang sambungan bicu audio 3.5mm. Bermakna, USB-C yang ada pada iPad ini akan menggalas keseluruhan besar aksesori audio anda – melainkan anda mempunyai aksesori audio berasaskan Bluetooth.

Dengan penjenamaan “Pro”, sambungan bicu audio 3.5mm adalah satu fungsi asas yang perlu dikekalkan, kerana ia menyukarkan pendengaran audio daripada iPad ini apabila ia disambungkan ke askesori luaran. Anda masih boleh menyambungkan iPad Pro ini ke monitor, peralatan muzik, dan alat pengecas sambil mendengar audio – namun anda perlu mendapatkan askesori seperti dongle atau penyesuai tambahan untuk menggunakan.

Seperti iPad Pro sebelum ini, ia juga mengekalkan pembesar suara berasaskan quad stereo untuk memberi bunyi yang lebih lantang dan imersif. Kelantangan bunyi yang dihasilkan ternyata amat kuat, terutama apabila digunakan di dalam bilik. Bunyinya juga terdapat hasilan bass yang ketara, sekaligus memberi kualiti audio yang mengasyikkan ketika mendengar muzik dan menonton filem daripada peranti ini.

Aksesori

Salah satu perkara menarik yang telah menjadi perhatian ramai iaitu sokongan Apple Pencil generasi kedua. Ia dilihat lebih praktikal dan boleh dicas secara automatik apabila ia dilekatkan pada bahagian sisi kanan peranti. Ia juga kini lebih selesa dipegang dan membolehkan anda menukar sesuatu fungsi apabila anda membuat double tap pada bahagian hadapan Apple Pencil ini. Cuma satu sahaja, Apple Pencil ini tidak boleh anda mengaktifkan gesture, jadi anda perlu menggunakan jari anda untuk menuju ke skrin utama atau membuka paparan multitasking.

Selain Apple Pencil, Apple juga telah mengemaskini Smart Keyboard dengan membolehkan iPad Pro ini diletakkan pada dua posisi berlainan. Akesori ini boleh dilekatkan secara magnetik, yang mana kadar lekatannya sangat kuat dan tidak terlalu mudah untuk ditanggalkan. Seperti sebelumnya, ia tidak memerlukan bateri dan sebarang penyambungan, kerana ia disambung dan berfungsi secara automatik apabila ia dihubungkan melalui Smart Connector. Namun pengalaman menaipnya masih kelihatan sama seperti sebelumnya, dengan saiz kekunci yang sedikit dikecilkan berbanding papan kekunci MacBook biasa.

Skrin

Skrin iPad Pro ini dilihat terang, memberi warna yang baik, dan menariknya, ia masih menyokong paparan ProMotion 120 Hz. Teknologi ProMotion ini dapat memberi kadar segar semula dua kali ganda lebih tinggi berbanding telefon biasa, sekaligus mampu untuk memaparkan kandungan dengan bingkai setinggi 120 fps. Hasilnya, setiap pergerakan di dalam skrin akan jauh lebih lancar, membuatkan anda tidak rasa ingin berpatah balik ke paparan 60Hz pada peranti biasa. Sekiranya anda ingin mencuba skrin 120Hz ini, anda boleh bandingkan skrin iPad Pro ini dengan telefon anda di mana-mana kedai Apple yang berhampiran.

iOS 12

Sistem operasi yang menjana iPad Pro ini masih lagi sebuah iOS yang anda sedia kenali. Antaramukanya masih mudah untuk digunakan dan kelihatan sedikit menyerupai antaramuka macOS sejak fungsi Dock dikemaskini pada iOS 11. Cuma dengan rekaan skrin yang besar, paparan skrin utama iOS di iPad agak sedikit merugikan ruang dengan hanya perletakkan sejumlah ikon aplikasi. Namun dengan penyertaan fungsi split-screen yang diperkenalkan sejak iOS 9, ia sedikit sebanyak telah memaksimakan penggunaan skrin besar pada iPad. Paparan pertukaran aplikasinya juga dilihat sangat mudah digunakan selain memberi paparan yang jelas untuk aplikasi yang sedang berjalan.

Cuma iOS masih lagi sebuah iOS. Ia terdapat beberapa kekangan dan limitasi yang masih belum diatasi sejak sekian lamanya. Ia tidak mempunyai pengurusan fail yang menyeluruh, tidak membenarkan anda menyambungkan storan mass storage, dan tidak menyokong input berasaskan tetikus untuk mengawal iPad ini. Dengan cip yang berkuasa dan misi Apple untuk menjadikan iPad Pro ini sebagai sebuah “komputer”, ketiga-tiga sokongan asas ini adalah sangat-sangat dialukan untuk menjadikan iPad ini sebagai alternatif terdekat kepada komputer sebenar.

Prestasi

Perkara yang mengujakan saya adalah prestasi cip Apple A12X Bionic yang mana ia dapat mencapai mata setinggi 545,000 pada aplikasi AnTuTu Benchmark. Apabila dibandingkan dengan iPhone generasi terkini seperti iPhone XS, iPhone ini hanya mencatatkan mata sekitar 355,000 – dengan perbezaan mata sekitar 190,000 apabila dibanding dengan iPad Pro. Melalui bacaan Geekbench juga, ia telah menewaskan MacBook Pro 15” keluaran tahun 2017, dengan jurang perbezaan mata yang cukup ketara bagi multi-core score.

Bagi anda yang tertanya-tanya, apa yang anda boleh buat dengan cip yang berkuasa ini? Ia dapat melancarkan lagi suntingan video 4K, memudahkan suntingan gambar RAW beresolusi tinggi, selain mampu memainkan permainan terkini pada tetapan grafik maksimum. Ia juga dapat memberi penggunaan yang baik untuk jangka masa panjang dan berpontensi untuk menerima lebih banyak kemaskini iOS pada tahun-tahun akan datang. Sekiranya penggunaan ini tidak mencukupi untuk anda, Adobe juga bakal hadir dengan aplikasi Photoshop baru untuk iPad, dengan memberi pengalaman penggunaan seumpama di desktop.

Kamera

Kamera iPad Pro ini telah menyerupai kamera iPhone generasi terkini dengan penyertaan sensor 12MP f/1.8. Ia juga kini mempunyai empat LED flash secara terbina dengan teknologi True Tone untuk memberi perwarnaan yang lebih baik. Seperti iPhone 2018 juga, ia turut mempunyai fungsi Smart HDR, rakaman video [email protected] 60fps, dan rakaman kamera hadapan [email protected]

Dari segi kualitinya, ia memberi warna yang sangat baik, dengan memberi hasilan yang lebih ke arah semula jadi. Ia juga dilihat kurang menghasilkan kesan hingar (noise) sewaktu penggambaran kurang cahaya, selain memberi keperincian imej yang lebih tajam. Dengan penyertaan Smart HDR, ia mempunyai penawaran julat dinamik (dynamic range) yang cukup seimbang, yang mana membantu untuk memberi hasilan subjek yang lebih jelas ketika anda mengambil gambar belatarbelakangkan cahaya.

Kamera hadapannya masih lagi dengan sensor 7MP, namun ia telah disempurnakan dengan penyertaan sensor TrueDepth. Ia kini membolehkan pengguna menggunakan fungsi Portrait Mode di bahagian hadapan, bagi menghasilkan kesan kabur di bahagian belakang wajah. Apa yang menarik, anda juga boleh melaraskan kekuatan kesan kabur ini, seperti mana yang telah disediakan pada iPhone keluaran tahun 2018.

Bateri

Salah satu perkara orang ramai menyukai iPad adalah dari segi ketahanan baterinya. Ia terkenal dengan masa bertahan yang lama disamping tidak memakan kuasa bateri yang kuat atas pengurusan kuasa yang efisien oleh cip pemprosesan Apple dan sistem operasi iOS itu sendiri. Merujuk pada halaman rasmi iPad Pro, Apple masih mengatakan iPad Pro ini mampu mencapai penggunaan sehingga 10 jam untuk versi WiFi dan 9 jam untuk versi selular.

Apabila digunakan pada dunia sebenar, ketahanan bateri iPad Pro ini ternyata hampir berpadanan dengan apa diwar-warkan, dengan memberi penggunaan sekitar 9 hingga 10 jam untuk penggunaan sepanjang hari. Walaupun mempunyai skrin 120Hz dengan Smart Keyboard disambungkan, ia tidak memberi impak tenaga yang besar atas penggunaan cip 7nm dan kapasiti bateri 9720 mAh. Namun buat kali pertamanya, Apple kini telah menyertakan pengecas 18W, yang membolehkan kapasiti bateri iPad Pro ini dicas sekitar 3 jam 21 minit.

Rumusan

Jadi berbaloi anda membeli iPad Pro ini? Pertama sekali, dengan harga jualan iPad Pro yang tinggi, anda perlu tahu dahulu penggunaan anda sebelum mendapatkan peranti ini. Ia dijual pada harga bermula RM4349 dan mampu mencapai sehingga RM8199 sekiranya anda mendapatkan variasi tertinggi.

iPad Pro ini benar-benar berkuasa di dalamnya, jadi ia lebih disyorkan untuk pengguna profesional atau yang gemar melakukan tugasan kreatif berasaskan aplikasi iOS. Ia mempunyai prestasi yang terlalu jauh ke hadapan, mempunyai skrin 120 Hz, dan sambungan USB-C. Ia juga menyertakan Face ID dan kamera yang sama seperti iPhone terkini, selain menyokong Apple Pencil baru yang lebih praktikal dan responsif.

Pro
  • Rekaan skrin penuh yang kelihatan sebuah peranti masa hadapan.
  • Skrin ProMotion 120Hz memberi paparan yang lancar.
  • Hadir dengan pembesar quad-stereo yang cukup lantang.
  • Cip pemprosesan Apple A12X Bionic terlalu pantas untuk kegunaan semasa.
  • Sokongan Face ID untuk kebolehan imbasan wajah, Animoji, dan mod Portrait.
  • Apple Pencil generasi kedua memberi penggunaan yang lebih selesa dan praktikal.
  • Mempunyai keupayaan kamera yang sangat baik.
  • Memberi ketahanan bateri yang mampu mencapai sekitar 9 hingga 10 jam.
  • Dibekalkan dengan pengecas 18W.
Kontra
  • Terdapat isu binaan yang mudah bengkok.
  • Tiada bicu audio.
  • iOS pada saat ini masih menghalang potensi sebenar iPad Pro.
  • Harga jualan peranti dan aksesori yang tinggi.

Sekiranya anda hanya pengguna kasual yang tidak melakukan perkara intensif, anda lebih disyorkan untuk mendapatkan iPad 9.7” 2018 yang dijual jauh lebih murah. Ia telah ditawarkan pada harga bermula RM1447 yang mana lebih berpatutan untuk majoriti pengguna. Ia masih mempunyai cip yang pantas, menyokong Apple Pencil generasi pertama, dan turut hadir dengan ketahanan bateri mencapai sehingga 10 jam.

Namun bagi anda yang berminat dengan iPad Pro generasi ketiga ini, ia adalah sebuah peranti yang cukup berkuasa dan sesuai untuk kegunaan jangka masa lama. Rekaannya dibina dengan citarasa masa hadapan, mempunyai cip Apple A12X Bionic yang terlalu pantas, dan sedia menyokong USB-C untuk sambungan yang lebih sejagat. Cuma iOS sahaja dilihat sedikit mengekang potensi iPad Pro ini, namun apabila dinilai dari segi penawaran fungsinya, ia adalah iPad paling lengkap dan berkuasa yang anda boleh dapat pada hari ini.



This post first appeared on Amanz, please read the originial post: here

Share the post

Ulasan: iPad Pro 12.9″ (Gen 3) – Berkuasa Namun iOS Semasa Mengekang Potensi iPad Ini

×

Subscribe to Amanz

Get updates delivered right to your inbox!

Thank you for your subscription

×