Get Even More Visitors To Your Blog, Upgrade To A Business Listing >>

Ulasan: Yi Mirror Dash Camera – Cermin Pandang Belakang Dengan Dashcam Terbina

Dashcam sebenarnya adalah satu perkara penting bagi pemilik dan pemandu kereta. Kenapa? Kerana dengan dashcam, ia boleh merakam detik-detik kecemasan atau juga merakam bukti-bukti jika berlakunya kemalangan.

Xiaomi turut terkenal dengan banyak produk dashcam. Antaranya adalah The Mi Rear-view Dashcam, Mi Dash Cam, Mi Smart Rear-view Mirror dan 70mai Smart Rearview Mirror Lite. Di bawah anak syarikat Xiaomi pula iaitu Yi – mereka mempunyai Yi Smart Dashcam, Yi Compact Dashcam, Yi Ultra Dashcam, Yi Mirror Dashcam dan juga Yi Mini Dashcam. Banyak pilihan, harga berbeza, kualiti berbeza dan fungsi dan ciri berbeza.

Dalam artikel ini saya akan ulaskan dan memberi pendapat mengenai Yi Mirror Dash Camera atau Yi Mirror Dashcam.

Spesifikasi & Rekaan

Yi Mirror Dash Camera
Saiz & Skrin 315mm x 80mm + 17.4mm x35.8mm Dengan Skrin Sesentuh 4.3 Inci 480×800
Pemproses Cip Dwi-Teras, ISP Terbina, CODEC H.264, Pengurangan Hingar 3D, WDR
Lensa Dashcam 2-Megapixel, f2.0, Sudut Lebar 138 Darjah, HD Penuh 30FPS
Lensa Kamera Undur 1-Megapixel, HD, AHD-M
Storan Melalui Kad MikroSD Sehingga 64GB
Rangkaian WiFi, WPA2, 802.11n
Sensor 3-Paksi Sensor Ketepatan Tinggi
Lain-lain Fungsi Mengunci Video Ketika Kemalangan
Mikrofon Dan Pembesar Suara Dengan Pengurangan Hingar Semua Arah
Harga RM359

Yi Mirror Dash Camera ini hadir dalam bentuk sebuah cermin pandang belakang. Cerminnya mempunyai skrin sesentuh 4.3-inci terbina dengan resolusi 480×800. Kemudian pada belakang peranti terdapat dashcam terbina dengan pengikat kepada cermin pandang belakang lama. Ia dijana dengan cip dwi-teras, menggunakan lensa dashcam 2-megapixel sudut lebar 138 darjah, memori sehingga 64GB melalui kad mikroSD, sensor ketepatan tinggi 3-paksi terbina, dan juga pembesar suara dan mikrofon dengan pengurangan hingar 3D. Menarik dengan Yi Mirror Dash Camera ini, ia hadir dengan kamera undur dengan lensa AHD-M 1-megapixel HD dengan kemampuan sudut yang boleh dilaras pada atas atau bawah.

Rekaan keseluruhan dilihat seperti sebuah cermin pandang belakang biasa, cuma dashcam-nya terjojol keluar. Penggunaan pengikat juga boleh dikatakan kreatif, kerana ia memudahkan pengguna. Rekaan Kamera Undur pula adalah hampir sama dengan rekaan mana-mana kamera undur lain.

Cara Pemasangan

AMARAN: Kerja-kerja pemasangan kamera ini nampak mudah, tetapi untuk kamera undur – kerja-kerja penggerudian dan penyambungan wayar pada kereta perlu dilakukan.

Cara pemasangan yang mudah buat cermin padang belakang. Hanya perlu keluarkan cangkuknya dan pasangkan pada cermin pandang belakang kereta yang lama dengan getah penyangkuk yang disediakan.

Sayang sekali, kabel kuasa untuk Yi Mirror Dash Camera ini masih menggunakan kabel USB jenis micro-B. Kabelnya pula sedikit tebal. Sambungkan sahaja pada cermin pandang belakang ini dan punca kuasanya adalah melalui pengecas kereta yang disediakan.

Untuk kamera undur pula, adalah digalakkan untuk menghantar ke kedai aksesori kereta kerana ia memerlukan kerja-kerja penggerudian yang ringan. Kemudian wayar tambahan turut perlu disambungkan pada sensor undur kereta. Bergantung kepada jenis kereta dan kedai, harga upah pemasangan kebiasaannya adalah sekitar RM100. Seperti saya, kereta Axia dicaj sebanyak RM50.

Caj ini juga adalah termasuk dengan caj untuk kemasan kabel-kabel dan wayar.

Kamera Dashcam & Kamera Undur

Kamera dashcam-nya kelihatan seperti mana-mana dashcam biasa. Mempunyai lensa sudut lebar dan kualiti HD penuh yang cukup baik. Disebabkan posisi kamera dashcam ini bukan di tengah badan peranti ini, jadi hasil rakaman mungkin tidak selebar berbanding dengan dashcam yang berada di tengah. Kameranya juga turut boleh dilaras ke arah kiri dan kanan untuk merakam satu posisi yang terbaik. Turut terbina adalah sokongan pop-up antara kamera dashcam dan kamera undur.

Untuk kamera undur pula, kualiti hanya cukup baik untuk membuat kerja-kerja pengunduran. Untuk merakam, kualitinya hanya HD dan agak noisy. Jadi adalah digalakkan untuk menetapkan sudut kamera undur ke bawah bagi memfokuskan pandangan untuk mengundur kamera dan juga parkir.

Apabila kedua-dua kamera tidak digunakan, skrin paparannya boleh dimatikan. Pengguna diberi pilihan untuk menetapkan masa atau kekal memaparkan rakaman kamera. Jadi, apabila kamera tidak digunakan – skrinnya tidak akan mengganggu dan ia akan jadi seperti cermin pandang belakang biasa.

Pasti akan ada yang tertanya, Yi Mirror Dash Camera ini mempunyai skrin sesentuh – adalah ia akan mengganggu ketika melaras atau mengubah tetapan melalui skrin sesentuh? Jawapannya, ya. Cermin pandang belakang ini akan penuh dengan kotoran cap jari jika disentuh, kerana tiada lapisan kemasan anti-cap jari.

Aplikasi

Usah risau, setiap masalah pasti ada jalan penyelesaian. Pada awal tetapan, ya Yi Mirror Dash Camera akan penuh dengan kotoran cap jari. Selepas selesai membuat tetapan, terus selarikan dengan aplikasi ‘Yi Dashcam‘. Di dalam aplikasi ini akan terdapat tetapan yang sama dalam Yi Mirror Dash Camera. Jadi jika ingin mengubah tetapan, hanya sambungkan melalui hotspot dan ubah tetapan.

Dalam aplikasi ini juga turut terdapat fungsi untuk muat turun semua hasil rakaman. Ia akan menggunakan pemindahan secara nirwayar melalui WiFi. Ketika aplikasi digunakan, Yi Mirror Dash Camera ini tidak akan melakukan kerja-kerja merakam – baik kamera dashcam ataupun kamera undur.

Tetapi, jika malas untuk menyambung pada aplikasi dan masih ingin mengakses hasil rakaman dan tidak hirau akan kotoran cap jari – Yi Mirror Dash Camera ini turut boleh mengakses album penuh.

Lain-Lain

Lain-lain fungsi adalah seperti rakaman kecemasan dan juga pemberitahuan jika kamera atau kad mikroSD tidak dapat dikesan. Rakaman kecemasan adalah rakaman yang tidak akan dipadam dan ia akan dikunci. Rakaman ini adalah sesuai jika kemalangan atau brek kecemasan. Pengguna turut boleh membuat rakaman kecemasan dengan hanya menekan ikon ‘Emergency’.

Penstriman rakaman juga adalah fungsi yang menarik. Pengguna boleh menstrim hasil rakaman. Tetapi penstriman ini hanya boleh dilakukan melalui aplikasi dan sedikit lengah masa akan berlaku. Kemudian, dari sini juga pengguna boleh memuat turun hasil rakaman seperti yang disebut pada bahagian Aplikasi tadi.

Menonton hasil rakaman atau rakaman secara langsung juga turut boleh dilakukan dalam mod skrin penuh. Di bawah adalah sampel yang disimpan melalui rakaman skrin. Hasil ini kelihatan noisy kerana hujan dan kadang kala hasil rakamannya tidak konsisten.

Untuk jumlah rakaman yang boleh dirakam, saya menggunakan memori 32GB jadi hasil rakaman kamera dashcam dan kamera undur hanya berjumlah 3 Jam maksima sahaja. Lain-lain storan boleh rujuk imej di bawah.

Kesimpulan

Jika inginkan dashcam atau kamera undur yang berkemampuan merakam video pada keadaan kurang cahaya, ini bukan pilihannya. Tetapi setakat untuk rakaman secara langsung untuk parkir hasilnya sudah memadai. Agak menarik untuk melihat set cermin pandang belakang dengan skrin. Ya, mungkin ia kelihatan seperti biasa – tetapi yang menjadikan Yi Mirror Dash Camera adalah yang terbaik adalah pakejnya termasuk dengan kamera undur.

Aplikasinya juga lancar dan berfungsi dengan baik. Jika dibandingkan dengan Yi Dash Cam yang pernah saya gunakan – aplikasinya lebih kurang sama. Sedikit lengah masa apabila ingin menonton atau memuat turun hasil rakaman. Kemudian, hasil rakaman untuk produk dashcam Xiaomi atau Yi kebiasaannya berbeza dengan apa yang dilihat pada paparan skrin.

Pendapat saya, Yi Mirror Dash Camera adalah yang terbaik dalam kelasnya. Kamera dashcam sudut lebar dan kamera undur dalam satu pakej serta cermin pandang belakang dengan skrin yang cukup baik untuk dipandang baik dalam keadaan terang atau gelap. Harga rasminya di Malaysia adalah RM359 dan anda boleh membeli dashcam ini dengan mudah menerusi 11Street.my

Beli: Yi Mirror Dash Camera di 11Street

Apa yang saya inginkan jika boleh ditambahbaik pada Yi Mirror Dash Camera adalah cermin pandang belakang dengan lapisan anti-cap jari dan juga hasil rakaman yang selari dengan apa yang dilihat dalam skrin.



This post first appeared on Amanz, please read the originial post: here

Share the post

Ulasan: Yi Mirror Dash Camera – Cermin Pandang Belakang Dengan Dashcam Terbina

×

Subscribe to Amanz

Get updates delivered right to your inbox!

Thank you for your subscription

×