Get Even More Visitors To Your Blog, Upgrade To A Business Listing >>

Ulasan BlackBerry Key2 – Telefon Pintar Untuk Peminat BlackBerry Tegar Sahaja

Ketika pelancaran iPhone sedekad yang lalu, Steve Jobs mengatakan Peranti dengan papan kekunci fizikal tidak lagi memenuhi keperluan semasa. Penggunaan papan kekunci atas skrin pada iPhone membolehkan lebih banyak kustomasi antaramuka dapat dilakukan. Skrin yang lebih besar juga boleh digunakan pada peranti. Kemunculan iPhone mengubah landskap telefon mudah alih dan menjadi paku pertama yang menutup keranda peranti dengan papan kekunci fizikal.

Sungguhpun begitu BlackBerry masih merasakan papan kekunci masih lagi releven di pasaran. Pelancaran Key2 sebagai kemaskini kepada KeyOne mengisi keperluan niche insan yang masih masih belum selesa dengan kekunci atas skrin. Adakah Key2 masih relevan untuk pasaran semasa? Ulasan ini cuba menjawab persoalan ini dari kaca mata penulis yang tidak pernah menggunakan sebuah BlackBerry.

Spesifikasi

BlackBerry Key2
Skrin 4.5″ IPS LCD 1080×1620 (434 PPI)
Cip Qualcomm Snapdragon 660
CPU 4 x 2.2 GHz Kryo 260
4 x 1.8 GHz Kryo 260
Cip Grafik Adreno 512
RAM 6 Gigabyte
Storan 64 GB
(MikroSD sehingga 256 GB)
Kamera Utama 12+12 Megapixel, f/1.8+f/2.6, PDAF
Kamera Depan 8 Megapixel, f/2.0
Bateri 3500 mAh (QuickCharge 3)
Tiada sokongan nirwayar
SIM/Telefoni Dwi SIM Nano (Talam Hibrid)
NFC Ya
Infra Merah Tiada
Sistem Imbasan Cap Jari
Kalis Air Tiada
Harga Jualan RM 2599

Kerana keperluan meletakkan sebuah papan kekunci fizikal, Key2 hanya dilengkapi sebuah skrin IPS LCD bersaiz 4.5 inci dengan resolusi 1080×1620 pixel. Ini meletakkannya sebagai antara peranti pintar dengan saiz skrin terkecil di pasaran. Skrin ini masih lagi menyokong sentuhan tetapi tanpa sokongan HDR seperti peranti-peranti utama di pasaran. Ketiadaannya mungkin tidak akan disedari kerana peranti ini tidak dihasilkan untuk penggemar audio visual tegar. Tiada perubahan dilakukan pada skrin berbanding KeyOne

Skrin yang digunakan adalah terang dan tajam. Di dalam situasi gelap kami tiada masalah melihat apa yang dipaparkan pada skrin. Malang sekali kami tidak dibenarkan membawa peranti keluar ketika majlis pelancaran untuk melihat prestasi di bawah cahaya matahari yang terik.

Perubahan dilakukan pada cip pemproses yang dipertingkatkan ke Snapdragon 660 dan memori sebesar 6GB RAM. Tahun lalu KeyOne menggunakan pemproses Snapdragon 625 dan hanya 4GB RAM. Di Malaysia hanya model dengan storan 64GB dan warna hitam ditawarkan. Bagi yang memerlukan storan lebih besar, Key2 menyokong kad mikroSD sehingga 256GB. Apabila digunakan, ia akan mengambil salah satu slot SIM nano yang disertakan.

Sebuah lagi penambahbaikan dilakukan dengan penggunaan sistem dwi-kamera. Dua sensor 12+12 Megapixel f/1.8+f.2,6 digunakan. Ini memberikan kemampuan melakukan zoom optikal sehingga 2X dan mengambil gambar dengan kesan bokeh. Kedua-dua lensa ini dilengkapi sistem pemfokusan Dual Pixel yang pantas. Bagi yang ingin merakan video, kamera Key2 boleh merakan pada tetapan maksimum 4K 30FPS. Terdapat juga tetapan 1080P 60FPS bagi mereka yang masih belum bersedia melompat ke resolusi UHD.

Kamera hadapan pula sebesar 8-Megapixel f/2.0. Ini adalah lebih baik berbanding sensor 8-Megapixel f/2.2 tahun lalu. Apabila menggunakan kamera hadapan, resolusi rakaman video dihadkan ke hanya 108oP sahaja.

Bateri sebesar 3500 mAh digunakan dan menurut BlackBerry Key2 mampu beroperasi sehingga dua hari dengan sekali caj. Saiz bateri yang sama ini dikekalkan walaupun peranti kini hampir 1mm lebih nipis berbanding model terdahulu. Apabila kehabisan bateri, ia menyokong format pengecasan pantas QuickCharge 3.0 menerusi port USB-C tetapi tiada sokongan pengecasan nirwayar.

Sokongan lain yang disertakan ialah Bluetooth 5.0 dan NFC. Tiada kemampuan kalis air dan ini sedikit mengecewakan bagi sebuah peranti yang dipasarkan untuk golongan profesional.

Rekabentuk

BlackBerry Key2 ialah peranti yang cukup selesa di dalam genggaman tangan walaupun mempunyai sisi yang rata. Trend peranti semasa ialah sisi yang dibulatkan dan pengguna skrin 2.5D. Hanya skrin 2.5D ini digunakan bersama dengan kaca Gorilla bagi memastikan ketahanan dari hentakan.

Keseluruhan rangka diperbuat daripada aluminium. Kemasan pada rangka adalah pusam jadi ia tidak memerangkap cap jari dengan mudah. Panel belakang pula diperbuat daripada plastik dengan kemasan tekstur getah. Permukaan getah ini membuatkan peranti tidak mudah tergelincir dari genggaman.

Mari bercakap tentang papan kekunci yang disertakan. Terdapat 35 kekunci kesemuanya. Ia menyokong sentuhan dan laman web boleh ditatal dengan dengan melakukan jari pada permukaan kekunci. Dari segi saiz, butang pada Key2 adalah 20% lebih besar berbanding pada KeyOne bagi memudahkan proses menaip.

Kali ini butang baru Speed Key turut diperkenalkan. Ia adalah kunci pintasan yang membolehkan aplikasi dilancarkan dengan menekannya serentak dengan sebuah lagi kekunci fizikal. Sebagai contoh YouTube boleh dilancarkan dengan menekan butang Speed Key dan Y misalnya. Kesemua pintasan menggunakan Speed Key boleh dikustomasikan sendiri oleh pemilik.

Kami tidak pernah menggunakan sebuah peranti BlackBerry dan oleh sebab itu kami merasakan proses menaip menjadi lebih perlahan pada papan kekunci fizikal ini. Jelas sekali Key2 tidak menyasarkan insan seperti kami. Tetapi dari apa yang kami dengari dari pengguna tegar BlackBerry, papan kekunci Key2 adalah lebih selesa digunakan.

Pada butang space bar, sebuah pengimbas cap jari disertakan secara terbina. Ini ialah fungsi yang perlu bagi sebuah peranti mensasarkan golong profesional. Pengimbas cap jari ini juga perlu untuk menggunakan sistem Private Locker yang akan kami bincangkan pada bahagian perisian kelak.

Satu perkara yang tidak disertakan ialah sistem nyahkunci berasaskan wajah. Tidak diketahui mengapa fungsi yang semakin menjadi standard ini tidak disertakan. Kami hanya boleh melakukan spekulasi ini adalah kerana sistem imbasan wajah dua dimensi adalah kurang selamat berbanding sistem imbasan cap jari.

Pada sisi kanan terdapat butang kuasa, suara dan Covenience. Ketiga-tiganya diperbuat daripada logam dan terpasang kukuh. Bagi membezakan butang-butang yang banyak pada sisi ini, butang kuasa mempunyai tekstur yang lebih kasar. Butang Convenience membolehkan pelbagai aksi diprogramkan oleh pengguna seperti membisukan peranti misalnya.

Pada sisi kiri pula hanya terdapat talam untuk dwi-SIM nano dan kad mikroSD. Talam dari jenis hibrid ini perlu dicucuk dengan jarum untuk dikeluarkan. Apabila dwi-SIM nano digunakan, peranti menyokong rangkaian 4G untuk kedua-duanya.

Sebuah bicu audio terletak pada bahagian atas peranti. BlackBerry masih merasakan penggunaan alat audio berwayar perlu disokong walaupun peranti ini menyokong Bluetooth 5.0. Bergerak ke bawah, sebuah port pengecasan USB-C dihimpit dengan satu pembesar suara mono. Seperti KeyOne, Key2 masih tidak mempunyai pembesar suara stereo walaupun mempunyai dua kekisi audio pada bahagian bawah. Ini membuatkan menonton video pada Key2 kurang menarik. Kelantangan pembesar suara ini sedikit sebanyak mengurangkan kekecewaan kami.

Antaramuka

Sistem operasi Android 8.1 digunakan dengan pelancar yang kelihatan seperti Android Asli. Boleh kami katakan 99% antaramuka dan ikon yang digunakan adalah Android Asli. Hanya beberapa perubahan dilakukan bagi memberikannya keunikan berbanding peranti-peranti lain di pasaran. Pada bahagian bawah skrin terdapat tiga butang navigasi home, back dan multi-tugas. Ketiga-tiga butang ini tidak boleh disusun semula seperti pada kebanyakan peranti Android lain di pasaran.

Satu perubahan yang dilakukan ialah pada skrin multi-tugas. Aplikasi yang dilancarkan disusun seperti jubin pada skrin ini. Ia berbeza sekali dengan susunan bertingkat pada pelancar standard. Ini dilakukan bagi menunjukkan lebih banyak aplikasi yang telah dilancarkan kepada pengguna. Tetapi sebagai pengguna tegar Android, perubahan yang mendadak ini terasa sedikit canggung. Ia mengingatkan kami dengan skrin multi-tugas yang digunakan oleh pelancar Sense Launcher peranti HTC suatu ketika dahulu cuma lebih berserabut.

Kerana penggunaan pelancar yang hampir kepada Android Asli, kesemua proses melancar dan menukar aplikasi dapat dilakukan dengan pantas. Pemproses Snapdragon 660 mungkin diklasifikasikan sebagai “kelas pertengahan” tetapi realitinya pemproses ini cukup berkuasa untuk majoriti tugasan yang dilakukan seharian. Memori sebesar 6GB yang digunakan memastikan lagi kelancaran dan membolehkan lebih banyak aplikasi dilancarkan tanpa perlu menjalani proses segar semula.

Penggunaan peranti adalah amat canggung bagi kami kerana saiz skrin 3:2 yang kecil. Apabila melayari web lebih banyak tatalan perlu dilakukan kerana bahagian bawah skrin yang kini diambil oleh papan kekunci. Menggunakan permua juga amat tidak selesa kerana skrin kecil ditambah pula dengan jari yang terhalang oleh papan kekunci. Seperti yang dapat dilihat di atas. Permua FPS menjadi hampir mustahil dimainkan oleh sebab ini.

Setelah lebih setahun menggunakan peranti dengan skrin 18:9, menggunakan skrin pendek dengan paparan terhad hanya menimbulkan kemarahan. Papan kekunci fizikal hanya mengambil ruang yang sepatutnya digunakan untuk skrin yang lebih besar. Ini adalah sebab mengapa peranti dengan skrin fizikal semakin pupus. Ia tidak lagi selari dengan keperluan pengguna moden.

Fungsi-Fungsi Menarik

Berikut adalah beberapa fungsi menarik yang disertakan pada BlackBerrry Key2.

Blackberry Hub – Hab satu henti untuk emel, mesej, kalendar, media sosial dan kenalan. Ia seperti Edge Panel pada peranti Galaxy. Tab ini akan sentiasa terpapar pada sisi skrin dan ditarik keluar apabila diperlukan.

Blackberry Privacy Shade – Tingkap kecil yang menghalang sebahagian besar skrin dari dilihat. Sesuai digunakan ketika membaca emel peribadi yang dipenuhi rahsia syarikat.

BlackBerry Redactor – Memadam maklumat peribadi dari rakaman skrin yang diambil.

Convenience Key – Butang pintasan pantas untuk tiga aplikasi pilihan mengikut situasi tertentu. Ketika mesyuarat misalnya ia boleh diprogramkan untuk memaparkan aplikasi mengambil nota. Ketika memandu aplikasi navigasi pula akan dipaparkan.

DTEK by BlackBerry – Aplikasi yang memantau kesihatan dan sekuriti peranti. Pengguna boleh melihat aktiviti meragukan oleh aplikasi yang dipasang pada peranti.

Private Locker – Bagi yang mementingkan privasi Private Locker akan mengunci aplikasi dari diakses. Malahan aplikasi tertentu boleh disorokkan di dalam Locker. Gambar yang diambil juga boleh disimpan di dalam Locker dan dihalang dari disimpan ke storan awanan.

Speed Key – Melancarkan aplikasi pilihan menggunakan kombinasi Speed Key dan mana-mana butang kekunci fizikal. Memudahkan proses multi-tugas.

Kamera

Sistem dwi-kamera 12+12 Megapixel f/1.8+f/2.6 akhirnya diperkenalkan kepada peranti Blackberry. Tahun lalu hanya sebuah kamera 12-Megapixel digunakan dan ia menerima pujian kerana berkongsi dengan sensor yang ditemui pada Google Pixel.

Sistem dwi-kamera yang menyokong zoom optikal 2X digunakan pada Key2. Ini ialah sistem yang menjadi pilihan kebanyakan pengguna kerana membolehkan gambar objek jauh diambil dengan lebih terang secara nirhilang. Lensa f/1.8 yang digunakan adalah lebih baik berbanding f/2.0 tahun lalu untuk pengambilan gambar lebih tajam dalam situasi pencahayaan yang kurang baik. Kamera hadapan pula ialah sebesar 8-Megapixel f/2.0. Ini sekali lagi adalah penambahbaikan berbanding lensa f/2.2 pada KeyOne.

Kerana skrin 3:2 yang digunakan oleh peranti, pilihan nisbah gambar yang diambil adalah lain daripada biasa. Pengguna boleh memilih untuk nisbah 3:2, 4:3, 16:9 atau 1:1.

Mod-mod kamera yang disertakan adalah sedikit terhad iaitu potret, panorama, gerak perlahan dan pengimbas kad perniagaan. Mod potret membolehkan gambar dengan kesan bokeh diambil. Walau bagaimanapun mod ini hanya boleh digunakan pada kamera belakang. Kekurangan mod ini mungkin tidak mengecewakan golongan sasaran Key2. Mod mencantikkan wajah atau penuras realiti gabungan bukan keperluan pengguna korporat.

Terdapat mod kawalan manual tetapi ia hanya boleh diakses dari skrin tetapan kamera. Ini adalah aneh kerana pada majoriti peranti di pasaran butang mod manual biasanya disenaraikan sekali dengan mod-mod kamera yang lain.

Antaramuka kamera adalah mudah difahami dan kemas. Pada sisi kiri (apabila peranti dipegang mendatar) terdapat butang tetapan, HDR, pilihan nisbah skrin, pemasa dan flash. Butang pemetik kamera, kesan khas gambar dan menukar kamera terdapat pada sisi bertentangan.

Kualiti Gambar

Dalam keadaan pencahayaan yang optimum sekalipun warna tidak hidup dan gambar kurang tajam. Ini adalah mengecewakan kerana kami merasakan kualiti gambar yang mampu diambil oleh KeyOne tahun lalu adalah jauh lebih baik. Warna kelihatan agak kusam walaupun jika diambil menggunakan mod HDR. Satu mod yang kami rasakan tidak mengecewakan ialah mod potret. Perisian berjaya mengesan objek utama dengan objek latar tanpa kelihatan terlalu palsu.

Di bawah pula ialah contoh gambar yang diambil menggunakan zoom optikal. Gambar yang diambil adalah memuaskan tetapi tidak setanding yang dapat diambil oleh peranti mercu seperti Galaxy Note 8. Objek pada gambar adalah tajam tetapi sekali lagi kualiti warna adalah sekadar sederhana.

Kualiti gambar pada waktu malam adalah amat mengecewakan. Lensa f/1.8 yang digunakan jelas tidak mampu memberikan kemampuan rakaman yang baik dalam situasi pencahayaan yang kurang baik. Gambar yang diambil tidak terang dan tidak tajam. Sumber cahaya menunjukkan kesan blooming yang ketara bersama dengan warna yang tidak menyerlah. Key2 bukan peranti yang terbaik untuk digunakan pada waktu malam.

Audio

Hanya sebuah pembesar suara mono diletakkan pada bahagian bawah peranti. Ianya lantang dan tidak pecah walaupun papan tetapan audio tertinggi. Kualiti panggilan suara menggunakan pembesar suara adalah jelas tetapi kurang memuaskan apabila digunakan untuk mendengar muzik. Bass dan treble tidak bermaya. Kualiti audio adalah lebih baik apabila mendengar menggunakan fon telinga. Masih terdapat bicu audio bagi mereka yang masih belum memiliki aksesori bluetooth. Secara keseluruhan kualiti audio adalah sederhana.

Penanda Aras

BlackBerry Key2 dijana dengan cip Snapdragon 660 yang dipadankan dengan memori sebesar 6GB RAM dan storan sebesar 64GB. Ini adalah cip pertengahan kelas premium yang dilengkapi empat teras Kryo 260 pada kelajuan 2.2 GHz dan empat lagi teras Kryo 259 pada kelajuan 1.8 GHz.

Key2 mencatatkan 139,595 markah dalam ujian Antutu. Dalam ujian Geekbench pula ia mencatatkan 1603 markah dalam ujian satu teras dan 5522 dalam ujian multi-teras. Markah yang dicatatkan adalah lebih tinggi berbanding Snapdragon 625 yang selama ini menjadi pemproses pilihan untuk peranti kelas pertengahan.

Dalam penggunaan harian peranti berfungsi dengan cukup lancar tanpa sebarang masalah sela masa. Banyak aplikasi dapat digunakan serentak tanpa perlu segar semula kerana saiz RAM yang besar. Aplikasi popular seperti Chrome, Instagram, Twitter, Facebook dan Snapchat berfungsi tanpa sekalipun terhenti sepanjang tempoh ulasan. Untuk kegunaan biasa pengguna tidak perlu risau tentang kemampuan Key2.

Aplikasi permua juga dapat dijalankan pada tetapan tinggi pada Key2. Kami ada mencuba PUBG, Dead Trigger 2, Temple Run 2 dan Asphalt 7. Sela masa pada grafik hanya kami sedari ketika memainkan Asphalt 7 yang memerlukan pemproses kelas mercu untuk dimainkan dengan lancar. Sungguhpun boleh memainkan majoriti permua tanpa masalah, skrin kecil serta papan kekunci fizikal membuatkan Key2 kurang sesuai digunakan untuk sesi permainan mudah alih.

Bateri

Dengan bateri sebesar 3500 mAh dan skrin yang kecil, tidak mengejutkan Key2 ialah peranti yang mampu bertahan lama. Pada penggunaan ringan ia mampu berfungsi sehingga 48 jam dengan skrin terpasang sekitar empat jam. Pada penggunaan lebih berat pula masa skrin terpasang boleh mencecah 9 jam. Sokongan pengecasan QuickCharge 3.0 disokong dengan Boost Mode. Menerusi Boost Mode pengecasan peranti menjadi lebih pantas tetapi kemaskini emel, notifikasi media sosial dan sebagainya dimatikan.

Pesaing

Tiada pesaing ketara untuk Key2 di pasaran kerana kurangnya jumlah peranti dengan papan kekunci fizikal. Oleh itu Xiaomi Mi A2 dan Nokia 7 Plus ialah yang paling sesuai dibandingkan kerana penggunaan pemproses Snapdragon 660.

Peranti Pesaing
Blackberry Key2 Xiaomi Mi A2 Nokia 7 Plus
4.5″  IPS LCD 1080 x 1620 pixel (434 PPI) 5.99″ IPS LCD FHD+ (403 PPI) 6″ IPS LCD FHD+ (403 PPI)
1.8 x 4 + 1.8 x 4 GHz Snapdragon 660 1.8 x 4 + 1.8 x 4 GHz Snapdragon 660 2.2 x 4 + 1.8 x 4 GHz Snapdragon 660
Adreno 512 Adreno 512 Adreno 512
6 Gigabyte 6 Gigabyte 4 Gigabyte
64 Gigabyte (256 GB MikroSD) 128 Gigabyte 64 Gigabyte (256 GB MikroSD)
Kamera Utama 12+12 Megapixel f/1.8+f/2.2, PDAF, Kamera Utama 12+20 Megapixel. f/1.8, PDAF Kamera Utama 12+13 Megapixel, f/1.75+f./2.6, PDAF
Kamera Hadapan 8 Megapixel f/2.0 Kamera Hadapan 20 Megapixel f/2.2 Kamera Hadapan 16 Megapixel, f/2.0.
Tidak kalis air Tidak kalis air Tidak kalis air
3500 mAh (QuickCharge 3.0) 3000 mAh (QuickCharge 3.0) 3800 mAh (QuickCharge 2.0)
RM 2599 RM 1119 RM 1600

Kesimpulan

Saya menggunakan BlackBerry Key2 selama 10 hari untuk menulis ulasan ini. Sepanjang tempoh penggunaan ia menjawab persoalan mengapa peranti dengan papan kekunci fizikal semakin pupus. Untuk kegunaan harian di dunia moden, Key2 ialah peranti yang mempunyai rekaan yang sudah tidak lagi selari dengan keperluan pengguna semasa. Sama seperti rekaan candybar T9 dan clamshell yang popular dua dekad yang lalu.

Papan kekunci atas skrin memberikan lebih banyak kebebasan dari segi rekaan, saiz dan fungsi tambahan untuk menaip. Saya juga mendapati menaip menggunakan Key2 adalah lebih perlahan kerana saiz kekunci yang kecil (saya mempunyai jari yang besar). Ini bukan masalah apabila menggunakan papan kekunci GBoard yang membenarkan saiz kekunci diubah mengikut keperluan pengguna.

Nyata sekali Key2 ialah peranti yang mensasarkan sebilangan kecil pengguna yang masih belum move on dari zaman kegemilangan BlackBerry suatu ketika dahulu. Kewujudannya adalah untuk memenuhi keperluan golongan minoriti ini.

Masalahnya ialah dengan harga jualan RM2599 ini ialah sebuah peranti kelas pertengahan yang lebih mahal berbanding peranti lain di dalam kelasnya. Sebagai contoh Xiaomi Mi A2 yang turut menggunakan Snapdragon 660, memori sebesar 6GB RAM dan storan 128GB boleh dimiliki pada harga RM1199 sebuah. Malahan peranti mercu Huawei P20 Pro dengan spesifikasi lebih tinggi serta kemampuan kamera terbaik kini boleh dimiliki pada harga RM2299 sebuah.

Kemampuan kamera pula tidak menyerlah dan kemampuan memproses sekadar sederhana. Satu-satunya kelebihan peranti ini ialah bateri yang boleh bertahan melebihi sehari pada penggunaan sederhana.

Sukar untuk menyarankan BlackBerry Key2 kepada kebanyakan pengguna kerana harga jualannya yang kurang kompetitif dan skrin yang kecil. Tetapi sekiranya anda PERLU sebuah peranti dengan papan kekunci fizikal, ini mungkin satu-satunya peranti di pasaran yang memenuhi keperluan anda.

Kelebihan Kekurangan
  • Binaan yang baik dengan panel belakang bertekstur. Tidak licin dan tidak memerangkap kotoran dengan mudah
  • Spesifikasi yang baik dengan 6GB RAM. Banyak aplikasi dapat dilancarkan tanpa perlu segar semula.
  • Ketahanan bateri yang amat baik mampu bertahan sehingga dua hari.
  • Fungsi Speedket mempercepatkan proses melancarkan aplikasi dan muti-tugas. Ini unik pada Key2.
  • Antaramuka hampir Android Asli berfungsi dengan amat lancar tanpa sela masa.
  • Kemampuan kamera yang kurang memuaskan.
  • Saiz skrin yang kecil jika dibandingkan dengan peranti di dalam kelas yang sama.
  • Tidak sesuai untuk aplikasi permua.
  • Harga jualan kurang kompetitif



This post first appeared on Amanz, please read the originial post: here

Share the post

Ulasan BlackBerry Key2 – Telefon Pintar Untuk Peminat BlackBerry Tegar Sahaja

×

Subscribe to Amanz

Get updates delivered right to your inbox!

Thank you for your subscription

×