Get Even More Visitors To Your Blog, Upgrade To A Business Listing >>

DACSEE – Platform Perkongsian Kenderaan Tempatan Baru Dengan Gabungan Ciri-Ciri Komuniti Sosial

Sejak Grab menjadi satu-satunya platform perkongsian kenderaan di Malaysia selepas pembelian Uber Malaysia, terdapat beberapa syarikat yang dilihat ingin membina platform baru untuk memberi cabaran kepada Grab.

Decentralized Alternative Cabs Serving & Empowering Everyone, ataupun nama singkatannya, DACSEE ingin membina sebuah platform perkongsian baru untuk rakyat Malaysia yang boleh digunakan untuk bukan sahaja bergerak dari satu lokasi ke lokasi yang lain, tetapi juga membina rangakaian pemandu dan pelanggan yang berdasarkan minat dan persahabatan.

Keunikan Dacsee dari segi ini ialah komuniti-komuniti pemandunya, dimana para pelanggan boleh meminta pemandu dari komuniti yang diminati pelanggan tersebut. DACSEE mengatakan bahawa mereka telah membina komuniti-komuniti pemandu ini sejak 2016, dan kini terdapat banyak komuniti pemandu dimana mereka boleh pilih untuk masuki.

Pelanggan boleh memilih pemandu-pemandu berdasarkan komuniti yang menarik minat mereka seperti komuniti Pet Lovers jika mereka memerlukan sebuah kenderaan yang boleh dinaiki oleh haiwan peliharaan, ataupun seorang pemandu dari komuniti peminat bola sepak jika mereka ingin berborak mengenai Piala Dunia yang sedang berlangsung.

Sama seperti aplikasi perkongsian kenderaan yang lain, penumpang boleh menghantar mesej kepada pemandu untuk memberitahu dimana mereka boleh diambil, dan selepas perjalanan tersebut tamat, kedua-dua pemandu dan pelanggan akan diberi peluang untuk menambah nama mereka sebagai rakan di dalam aplikasi DACSEE.

Ciri ini membolehkan pemandu mendapatkan pelanggan setia yang lebih ramai, malah penumpang juga boleh mendapatkan pemandu yang mereka ingini dengan lebih cepat.

DACSEE menyatakan lagi bahawa komuniti-komuniti ini diselia oleh penyelia yang bertauliah, dan faham bahawa mereka akan menghadapi cabaran dengan mengawal kumpulan pemandu yang cukup besar.

Penyelia-penyelia komuniti ini akan mengendali pendaftaran pemandu yang baru melalui terma dan syarat yang sudahpun ditetapkan bersama-sama dengan DACSEE. Penyelia-penyelia komuniti ini akan menentukan pemandu-pemandu yang dibenarkan membawa penumpang di dalam komuniti tersebut bergantung kepada peraturan yang dikemukakan.

Dari segi keselamatan, aplikasi DACSEE ini juga hadir dengan ciri penggera, dan menariknya, pengguna-pengguna di dalam komuniti-komuniti ini juga boleh memantau perjalanan untuk memastikan kedua-dua pemandu dan penumpang selamat sampai ke destinasi.

DACSEE sendiri juga mempunyai komuniti-komuniti rasmi mereka sendiri, seperti Compact, Comfort, Exec dan Xtra, dimana penumpang-penumpang boleh memilih jenis kenderaan yang mereka ingini berdasarkan tahap keselesaan yang mereka inginkan.

Tanda harga untuk perkhidmatan DACSEE juga ditetapkan oleh komuniti-komuniti DACSEE. Apabila ditanya, ini adalah kerana komuniti-komuniti ini kadang-kala akan hadir dengan perkhidmatan istimewa, ataupun menggunakan kereta yang lebih mahal yang lebih selesa.

Seperti contoh, DACSEE juga mempunyai sebuah komuniti pemandu yang dipanggil Red Carpet, dimana mereka akan memberikan layanan yang lebih istimewa daripada biasa, seperti membuka pintu untuk penumpang apabila sampai di destinasi, dan juga kudapan di dalam kereta.

Strategi DACSEE untuk membenarkan komuniti-komuniti menetapkan kadar pembayaran mereka sendiri adalah sesuatu yang unik, kerana ia membolehkan pemandu mendapatkan keuntungan yang berpatutan, dan jika mereka tidak mendapat pelanggan yang ramai, ia boleh diubahsuai dengan cepat tanpa perlu menunggu untuk pengesahan DACSEE.

DACSEE juga menerima komisen sebanyak 20 peratus daripada setiap pembayaran yang diterima oleh pemandu. Apa yang menarik di sini ialah 80 peratus daripada setiap komisen tersebut akan dimasukkan semula di dalam komuniti DACSEE, dan ini dikatakan akan memberikan pemandu-pemandu DACSEE untuk terus memandu dengan platform tersebut.

Di sini dapat dilihat bahawa selain daripada komuniti bersosial, kumpulan-kumpulan juga boleh dicipta untuk jenis perkhidmatan yang khusus yang dapat memenuhi kehendak penumpang.

DACSEE menyatakan bahawa setakat ini mereka mempunyai 25000 pemandu di dalam pangkalan data mereka, tetapi untuk pelancaran aplikasi tersebut yang telahpun berlaku pada minggu lalu, mereka mengaktifkan 3000 pemandu yang dipantau terus oleh DACSEE untuk melihat bagaimana aplikasi tersebut diterima oleh pengguna.

Buat masa ini, DACSEE beroperasi di Lembah Klang, dan mempunyai pelan untuk mengembangkan perkhidmatan mereka di kawasan-kawasan seperti Johor Bahru, Pulau Pinang dan Kuching di masa akan datang.

Apabila ditanya mengenai pengembangan serantau, CEO DACSEE, Lim Chiew Shan berkata bahawa mereka kini mempunyai lebih kurang 30 penjawat di beberapa negara, termasuklah Malaysia, Thailand dan China, dan mereka semua bukan sahaja membantu pembinaan platform DACSEE, tetapi juga untuk mendapatkan pemandu-pemandu baru yang boleh dibawa masuk ke platform tersebut.

DACSEE kini boleh dimuat-turun pada peranti pintar Android dan iOS. Pendaftaran untuk menjadi penumpang dan pemandu juga adalah percuma, dan anda boleh mencubanya hari ini.

Muat turun aplikasi DACSEE di Google Play Store


Muat turun aplikasi DACSEE di Apple App Store



This post first appeared on Amanz, please read the originial post: here

Share the post

DACSEE – Platform Perkongsian Kenderaan Tempatan Baru Dengan Gabungan Ciri-Ciri Komuniti Sosial

×

Subscribe to Amanz

Get updates delivered right to your inbox!

Thank you for your subscription

×