Get Even More Visitors To Your Blog, Upgrade To A Business Listing >>

Ulasan: BoBoiBoy The Movie – Sarat Dengan Hiburan Untuk Semua Golongan Usia

Boboiboy: The Movie
Pengarah Nizam Razak
Penulis Nizam Razak
Anas Abdul Aziz
Muzik Yuri Wong
Produksi Animonsta Studios
Pengedar Primeworks Studios
Durasi 1 jam 40 minit
Tarikh Tayangan 3 Mac 2016 (Malaysia)
13 April 2016 (Indonesia)
Bajet RM5 juta

Tentu ramai tidak menyangka Filem yang berjaya mengutip RM500,000 pada hari pertama tanyangan adalah sebuah filem animasi yang rata-rata kita anggap ia sebuah filem animasi kanak-kanak, termasuklah saya sendiri. Pada awalnya saya tidak begitu yakin dengan sambutan filem ini atas kerana beranggapan ia “sebuah filem untuk kanak-kanak”. Kita bukan bercakap mengenai kejayaan filem Disney yang mana pasarannya adalah global, tetapi kita bercakap mengenai “filem kanak-kanak” yang mana sasaran negaranya adalah terhad. Namun ternyata tanggapan saya silap kerana sambutannya sungguh luar biasa selepas berjaya meraih RM3.5 juta untuk 4 hari tayangan, hanya di Malaysia sahaja.

Pertama sekali, saya bukanlah peminat tegar Boboiboy. Saya kenal Boboiboy, saya pernah menonton siri Boboiboy di TV namun saya tidak mengikuti keseluruhan episod animasi ini. Bermakna, saya tidak mempunyai pengetahuan yang luas mengenai watak dan kuasa khas mereka sewaktu menonton filem ini.

Di sinilah pengarah mengajak penonton ke dunia aksi 5 sekawan menentang episod penjahat baru melalui Boboiboy The Movie. Ia tidak memerlukan anda untuk mengikuti siri episod di kaca TV kerana ceritanya tidak begitu bergantung dengan apa yang ditayangkan sebelum ini. Malah pengarahnya memberikan jaminan ia membawa lebih aksi, lebih emosi, dan lebih menghiburkan daripada episod bersiri Boboiboy, walaupun anda tidak begitu mengikuti siri animasi ini.

Setiap watak utama animasi ini digalas dengan kuasa istimewa bermula dari Boboiboy (yang membawa kuasa bumi, angin, petir, api & air), Yaya (manipulasi graviti), Ying (manipulasi waktu), Gopal (manipulasi molekul) dan Fang (manipulasi bayang). Bersama-sama mereka ialah Ochobot iaitu robot perliharaan (dan kawan baik) milik Boboiboy. Turut menemani mereka sepanjang pengembaraan ialah Papa Zola iaitu guru matematik di sekolah 5 sekawan ini yang bercita-cita menjadi super hero sejak dari kecil.

Boboiboy The Movie membawa penonton menyelusuri semangat setiakawan dalam mempertahankan Ochobot milik Boboiboy yang diculik oleh Geng Tengkotak. Misi geng ini jelas, mereka ingin mencari Sfera Kuasa generasi pertama yang bersembunyi di bumi untuk merampas kuasa istimewa daripada makhluk tersebut. Jadi, mereka telah menculik Ochobot (yang merupakan Sfera Kuasa generasi ke-9) sebagai objek petunjuk untuk mencari kedudukan Sfera Kuasa generasi pertama. Maka bermula dari situlah pengembaraan Boboiboy bermula, mereka telah menuju ke sebuah pulau terapung iaitu tempat di mana Ochobot disembunyikan.

Saya sebenarnya kagum dengan menelan bajet hanya sekitar RM5 juta ringgit (bersamaan $1.21 juta USD), Animonsta mampu menghasilkan animasi sebaik ini. Bagi saya, ia sebuah bajet yang amat rendah jika dibandingkan dengan filem Big Hero 6 ($165 juta USD) dan Frozen ($150 juta USD) daripada Disney. Bermula dari penceritaan, kesan khas, editing, sehinggalah ke audio visual, ia masih digarap cemerlang dengan bajet sedemikian rupa. Mungkin ada sesetengah adegan ada kekurangannya dari segi kesan khas dan grafik dalam Boboiboy The Movie ini (terutamanya pada adegan di Pulau Terapung) namun sekiranya dibandingkan filem ini dengan filem animasi antarabangsa, fikirkan juga perbezaan bajetnya.

Saya suka bagaimana pengarah memainkan gelombang emosi penonton dengan adegan saspen semasa perlawanan akhir menentang mahkluk jahat ini. Akhir ceritanya tidak dapat dijangkakan dan apa yang bermain di fikiran saya sewaktu menyaksikan filem ini, bagaimanakah pengarah ingin “mematikan” watak jahat ini. Setiap pengakhiran pasti penjahat utama daripada Geng Tengkotak ini akan menentang mereka kembali.

Saya cukup puji dengan dialognya yang tidak membosankan malah cukup menghiburkan bagi seorang dewasa. Dialog komedinya dilihat sangat “blend” dengan kematangan seseorang sehingga ada satu tahap komedi ini, saya tidak yakin kanak-kanak akan memahami jenaka yang ditonjolkan. Selepas anda menonton filem ini, anda akan dapati watak Papa Zola begitu menyerlah apabila dilihat dari sudut komedi. Gaya dan percakapannya sungguh menghiburkan dan saya suka dengan lawaknya yang segar dan bersahaja.

Penyampaian muzik latarnya pula dilihat cukup “hidup” dengan mood pada setiap adegan dalam filem ini. Di sinilah Yuri Wong, orang yang bertanggungjawab mencipta muzik latar Boboiboy ini bijak memainkan emosi penonton dengan hasil kerja beliau. Apabila tiba adegan sedih, ia mampu memberi penonton sebak lebih-lebih lagi apabila penonton mengenali lebih watak tersebut. Begitu juga dengan adegan berlawan, ia mampu menaikkan mood semangat dan saspen untuk mengusik emosi penonton.

Cuma saya berasa adunan lagu latar Masih Di Sini nyanyian Bunkface agak terganggu semasa adegan melawan kurita gergasi pada pertengahan cerita. Ia tidak begitu “masuk” dan ada baiknya muzik latar hasilan Yuri Wong ini digunakan pada adegan tersebut. Mungkin saya berasa ia terlalu awal untuk menggunakan lagu utama filem pada adegan ini.

Saya sebenarnya menjangkakan lagu tema ini dimainkan ketika kemuncak perlawanan bersama Geng Tengkotak yang dilihat begitu emosi dan dramatik. Pada adegan inilah sebuah lagu “pembakar semangat” perlu dimainkan apabila mereka mula berasa putus asa untuk berjuang menentang musuh utama. Apa pun, ia bukanlah suatu kelemahan besar dan mungkin ada sebab mengapa pengarah menggunakan lagu tema filem ini pada adegan tersebut.

Secara keseluruhannya, saya amat menyukai apa yang dipaparkan dalam filem Boboiboy The Movie ini. Ia jauh lebih baik daripada Geng: Pengambaraan Bermula yang juga hasil buah tangan pengarah Nizam Razak sebelum ini. Ia tidak bosan, ia menghiburkan, dan saya yakin anda akan berpuas hati walaupun anda seorang dewasa. Tidak hairanlah sewaktu saya menyaksikan filem ini, ia diberikan tepukan gemuruh daripada penonton wayang di akhir cerita.

Sekiranya anda peminat setia Boboiboy, saya yakin yang anda akan lebih berpuas hati atas kehadiran kuasa baru yang dipersembahkan, baik dari segi kuasa Boboiboy sendiri dan rakan-rakannya. Anda juga akan menghargai dengan watak jahat baru dalam filem ini, ia dicipta sungguh kejam, sehingga anda tidak dapat menahan emosi sedih anda apabila ada watak dicederakan tanpa belas kasihan.

Pesanan saya, buang segala stigma BoBoiBoy: The Movie ini adalah cerita “untuk budak-budak”. Jangan malu untuk mengajak rakan-rakan anda atau teman sehidup anda untuk menonton filem ini bersama. Saya pasti anda akan berpuas hati dan menghargai segala jalan cerita, dialog, muzik latar, dan animasinya yang cukup “matang” bagi sebuah filem animasi hasilan di dalam negara kita. Ia bukanlah animasi untuk fanboy BoBoiBoy sahaja, tetapi ia sebuah filem animasi yang untuk diraikan oleh segenap masyarakat, tanpa mengira usia.



This post first appeared on Amanz, please read the originial post: here

Share the post

Ulasan: BoBoiBoy The Movie – Sarat Dengan Hiburan Untuk Semua Golongan Usia

×

Subscribe to Amanz

Get updates delivered right to your inbox!

Thank you for your subscription

×