Get Even More Visitors To Your Blog, Upgrade To A Business Listing >>

Pandang Pertama Sony Xperia XZ1 – Peranti Dengan Fungsi Imbasan Tiga Dimensi

Hanya selepas beberapa minggu diperlihatkan di IFA 2017, Sony Xperia XZ1 memasuki pasaran Malaysia. Peminat Peranti ini tidak perlu menanti lama dan ia akan mula dijual di toko berhampiran anda pada harga RM2999.  Kami sempat menghabiskan beberapa jam bersama peranti ini dan berikut ialah pandang pertama kami.

Spesifikasi

Sony Xperia XZ1
Skrin 5.5″ IPS LCD FHD HDR
Pemproses Qualcomm Snapdragon 835
CPU 4 x 2.45 GHz Kryo
4 x 1.9 GHz Kryo
Cip Grafik Adreno 540
RAM 4 Gigabyte
Muatan Dalaman 64 Gigabyte (MikroSD sehingga 256 GB)
Kamera Utama 19 Megapixel f/2.0, EIS, Laser, PDAF
Kamera Depan 13 Megapixel f/2.0
Bateri 2700 mAh (QNOVO)
SIM/Telefoni Dwi SIM Nano (Talam Hibrid)
Jalur LTE 1/2/3/4/5/7/8/12/13/17/19/20/26/28/29/
32/38/39/40/41
NFC Ya
Infra Merah Tiada
Kalis Air IP68
Harga Jualan RM 2999

Skrin 5.2″ IPS LCD FHD HDR digunakan dengan sokongan teknologi Triluminous dan Xreality Engine. Ini adalah teknologi yang digunakan pada televisyen premium keluaran Sony. Kualiti paparan memang amat baik dan tajam tetapi tidak secantik yang dilihat pada Sony Xperia XZ Premium yang baru sahaja diulas minggu lalu. Skrin ini dilitupi kaca berteknologi Gorilla Glass 5.

Sony meneruskan penggunaan skrin IPS LCD untuk peranti utama mereka tahun ini tidak seperti pengeluar lain. Warna yang dihasilkan adalah hidup tetapi harus diakui tidak seterang pada Galaxy Note 8 yang mempunyai keterangan 1200 nits. Skrin hanya mempunyai resolusi maksimum 1080P tetapi kami merasakan dengan saiz skrin hanya 5.2″, ini bukanlah sesuatu yang negatif malahan boleh menjimatkan penggunaan bateri. Buat masa ini Sony Xperia XZ1 hanya boleh menstrim kandungan HDR menerusi Netflix. Tetapi harus diingatkan bahawa untuk menikmati Netflix HDR, anda perlu menggunakan pakej langganan empat skrin terlebih dahulu.

Pemproses Snapdragon 835 ia enjin yang menjadi penggerak utama peranti. Ini ialah pemproses yang paling berkuasa di atas kertas yang boleh digunakan pada peranti Android di pasaran sekarang. Pemproses ini dipadankan pula dengan memori sebesar 4GB dan storan sebesar 64GB. Bagi yang memerlukan storan tambahan, kad MikroSD sehingga 256 GB disokong. Ini adalah spesifikasi yang sama seperti yang ditemui pada Xperia XZ Premium.

Peranti ini menyokong dwi SIM nano tetapi talam SIM kedua berkongsi slot dengan kad MikroSD. Oleh itu penggunaan dwi-SIM nano dan sebuah kad MikroSD secara serentak tidak dapat dilakukan. Talam SIM Xperia XZ1 boleh ditemui di belakang pintu kecil pada sisi peranti. Rekaan agak tidak ortodoks dengan satu talam bersambung dengan pintu ini manakala sebuah lagi perlu ditarik keluar selepas pintu dicabut terlebih dahulu.

Kamera utama 19-Megapixel f/2.0 menggunakan sistem Motion Eye yang mampu merakam video pada tetapan 4K 30FPS , 1080P 60FPS atau  gerak perlahan ekstrem 720P 960 FPS. Ini menjadikannya peranti dengan kemampuan gerak perlahan terbaik buat masa ini. Sungguhpun itu ia hanya dilengkapi lensa f/2.0 dan tiada sokongan EIS. Sony merasakan sistem EIS, laser dan PDAF sudah memadai pada peranti utama mereka ini. Tiada sokongan untuk 4K 60FPS seperti yang ditemui pada iPhone 8, iPhone X dan kelak pada Galaxy Note 8.

Kamera selfie pula sebesar 13-Megapixel f/2.0yang merakam video pada resolusi 1080P. Sony masih belum bersedia untuk berhijrah kepada lensa f1.7  seperti pada peranti pesaing.

Membekalkan kuasa pada peranti ialah bateri “sebesar” 2700 mAh. Perbezaan saiz bateri dengan XZ Premium adalah besar kerana pada peranti tersebut bateri 3230 mAh disertakan. Bagi yang risau peranti akan mudah kehabisan caj, pengecasan pantas Qnovo disertakan. Port USB-C digunakan bagi mengecas dan ini mengikut trend semasa.

Rekabentuk

Xperia XZ1 masih mengekalkan rekaan berkotak Sony tetapi dengan beberapa perubahan kecil yang menarik. Bucu sisi jauh lebih bulat berbanding XZ Premium. Bahagian atas dan bawah juga tidak lagi rata dan lebih bulat. Peranti tampak lebih segak tetapi kesan negatif di sini ialah ia tidak boleh didirikan. Kami amat meminati hala tuju rekaan yang diberi nama Loop Suface.

Panel belakang dan sisi kini sekeping tanpa sebarang sambungan. Memegang peranti terasa lebih selesa. Penggunaan bahan logam membuatkannya sejuk dipegang dan tidak memerangkap kotoron seperti pada peranti dengan panel kaca. Mengekalkan “kesucian” XZ1 adalah jauh lebih mudah. Kemasan warna pusam ini pasti menggembirakan mereka yang tidak gemar menggunakan kerangka.

Pada sisi kanan terdapat butang kuasa, suara dan pengatup kamera khas. Kedudukan butang suara dari jenis rocker adalah di atas butang kuasa. Butang kuasa yang besar ini dilengkapi sistem imbasan cap jari. Bagi yang gemar menggunakan sistem imbasan jari, imbasan dapat dilakukan dengan pantas tanpa sebarang masalah.

Sony membuktikan peranti masih boleh dilengkapi sistem imbasan cap jari sekiranya penggunaannya pada panel hadapan dan belakang dianggap kurang cantik. Mungkin Sony boleh meminjamkan rekaan ini kepada iPhone X yang langsung tidak mempunyai imbasan cap jari tahun ini.

Pada sisi kiri pula terdapat pintu untuk talam kad MikroSD dan dwi-SIM bersaiz nano. Rekaan yang digunakan sedikit aneh kerana terdapat dua talam berbeza. Satu talam hanya menyokong satu SIM manakala sebuah lagi talam hibrid menyokong SIM atau sebuah kad MikroSD. Talam kedua ini bersambung terus kepada pintu Ini bermakna penggunaan kedua-dua SIM dan kad MikroSD secara serentak adalah mustahil.

Harus kami nyatakan pada bahagian sisi kini terdapat tiga senggatan yang difahamkan adalah antena peranti. Dua pada sisi kiri dan satu di sisi kanan. Ini adalah kali pertama rekaan antena seperti ini kami temui pada peranti mudah alih.

Seperti kami katakan beberapa perenggan yang lalu, Sony masih belum bersedia untuk menggunakan skrin OLED. Mereka juga belum bersedia untuk peranti dengan rekaan bezel nipis. Saiz dagu dan dahi Xperia XZ1 adalah amat besar jika dibandingkan dengan rekaan kontemporari. Ini tidak semestinya negatif kerana ini membolehkan Sony menyertakan dua pembesar suara yang menembak ke hadapan untuk sistem audio stereo yang terbaik. Pembesar suara ini telah dikemaskini bagi menambah kemampuan menghasilkan bunyi 50% lebih lantang menurut Sony.

Saiz peranti yang kecil dengan permukaan yang sedikit kesat membuatkan peranti ini amat mudah digunakan sebelah tangan. Tidak seperti peranti lain dengan skrin 5.5″ ke atas serta bahagian belakang berkaca, penggunaan kerangka pada peranti ini tidaklah mandatori.

Antaramuka

Xperia XZ1 ialah peranti terawal dilancarkan menggunakan Android Oreo tetapi ia masih belum menggunakan pelancar seakan Pixel launcher. Butang khas untuk talam aplikasi digunakan tanpa sokongan tatal ke atas untuk membukanya. Ketiga-tiga butang nivagasi atas skrin kini lebih menghampiri Android Asal dan bukannya dengan rekaan semula yang digunakan Sony sebelum ini.

Pada ulasan XZ Premium kami merungut fungsi App Shortcut yang muncul apabila ikon ditekan tidak disokong. Sony nampaknya mendengar rungutan pengguna dan pada XZ1 ia akhirnya disokong tetapi dengan antaramuka mereka sendiri. Tidak diketahui mengapa Sony masih enggan menggunakan antaramuka Android Asal sahaja sedangkan 90% elemen antaramuka peranti ini sudahpun menyamai Android Asal.

Seperkara lagi masih tiada sokongan untuk menyusun semula butang navigasi. Butang home di tengah dihimpit butang back pada sebelah kiri dan multi tasking pada sebelah kanan.

Audio Optimisation – Mengoptimasikan audio yang didengari bergantung kepada fon telinga/kepala yang digunakan. Bagi penggemar audio XZ1 menyokong penstriman LDAC dengan sistem audio DSEE HX bagi mendapatkan kualiti audio yang tertinggi.

Multi Window – Menggunakan sistem multi-window natif Android Oreo bagi melancarkan dua aplikasi serentak.

Quick Search – Carian pantas fail dan aplikasi dari dalam peranti. Tatal skrin dari atas ke bawah dan skrin carian akan muncul. Lapan aplikasi paling kerap digunakan turut akan dipaparkan secara automatik.

Sketch – Aplikasi lakaran dengan pelbagai pilih berus dan pena bagi menghasilkan karya seni dengan pantas.

Theme  – Mengubah tema antaramuka. Terdapat puluhan tema dari filem keluaran Sony boleh dimuat turun. Sungguhpun begitu kebanyakan tema yang disediakan harus dibeli.

3D Creator

Jika iPhone X mempunyai Animoji yang menghasilkan emoji bergerak mengikut wajah pengguna, XZ1 mempunyai fungi yang kami rasakan lebih menarik. Pengguna boleh mengimbas wajah mereka sendiri dan kemudian menggunakannya sebagai avatar beranimasi atau mencetaknya secara fizikal.

Aplikasi 3D Creator yang disertakan mempunyai beberapa mod imabasan iaitu imbasan wajah, kepala, makanan dan bebas. Terdapat tutorial bertulis dan video bagi memudahkan proses pembelajaran. Menggunakannya pertama kali adalah sedikit sukar tetapi ini dijangka kerana 3D Creator ialah sebuah aplikasi baru.

Kawasan yang diimbas akan kelihatan berwarna hijau pada paparan skrin. Aplikasi akan meminta anda mengimbas semula kawasan yang tidak diimbas dengan baik. Usai imbasan anda bebas untuk “mengukir” semula model 3D yang dihasilkan. Mahukan muka lebih tirus seperti bintang KPop? Mata lebih besar? Terdapat fungsi terbina untuk melakukan kesemua ini.

Hasil imbasan adalah amat baik baik sebuah peranti mudah alih dengan hanya satu kamera. Model 3D yang diimbas ini kemudian boleh digunakan semula sebagai avatar di dalam mod Augmented Reality aplikasi kamera. Ia lebih canggih dan pelbagai jika dibandingkan dengan Animoji. Kesemua benda boleh diimbas dan bergantung kepada kekreatifan pengguna untuk menghasilkan avatar yang menarik.

Kesimpulan

Bagi peminat Sony yang merasakan Xperia XZ Premium terlalu mahal untuk dimiliki, Xperia XZ1 ialah alternatif yang dijual pada harga yang lebih mampu milik. Dari segi spesifikasi kedua-dua peranti ini adalah kembar seiras dengan hanya teknologi skrin dan bateri yang berbeza. Secara peribadi kami lebih menggemari Xperia XZ1 setakat ini kerana ia lebih selesa digunakan sebelah tangan. Rekaan peranti juga lebih cantik dengan sisi lebih bulat serta kemasan yang tidak memerangkap kotoran seperti Magneto menarik logam.

Pada waktu yang sama sistem audio stereo dan Bluetooth paling terkini menggembirakan telinga kami. Sebagai peranti pertama yang dijual dengan Android Oreo secara terbina, ini juga adalah tarikan kerana tidak perlu menanti untuk menerima kemaskini seperti peranti Android lain di pasaran (kecuali Pixel dan Nexus).

Fungsi paling menarik dan eksklusif Xperia XZ1 pastinya sistem imbasan wajah serta objek secara tiga dimensi 3D Creator. Imbasan ini kemudian boleh digunakan untuk menghasilkan animasi atau cetakan 3D. Avatar tiga dimensi boleh digunakan di dalam aplikasi AR kamera peranti. iPhone X mungkin mempunyai Animoji, Xperia XZ1 maju selangkah kerana pengguna boleh menghasilkan avatar 3D dengan wajah sendiri.

Tetapi masih terdapat beberapa negatif yang harus diketengahkan. Rekaan peranti ini boleh dikategorikan sebagai ketinggalan zaman. Bezel tebal, dagu besar dan dahi jendul berlainan sekali dengan rekaan iPhone X, LG V30 dan Note 8. Kami secara peribadi merasakan rekaan seperti ini masih lebih praktikal dalam dunia sebenar walaupun tidak seseksi rekaan hampir semua skrin.

Saiz bateri ialah kerisauan paling utama kerana ia hanya sebesar 2700 mAh. XZ Premium dengan bateri 3230 mAh mempunyai waktu skrin terpasang sekitar 7 jam. Ini ialah hayat penggunaan yang kami jadikan sebagai boleh diterima untuk peranti 2017. Kami tidak yakin ini mampu dilakukan XZ1 tetapi ini hanya akan diketahui selepas ulasan penuh.

Sony Xperia XZ1 akan mula dijual pada penghujung bulan ini pada harga RM 2999 sebuah. Kami cuba untuk mengeluarkan ulasan penuh sebelum ia dijual. Teruskan bersama Amanz.



This post first appeared on Amanz, please read the originial post: here

Share the post

Pandang Pertama Sony Xperia XZ1 – Peranti Dengan Fungsi Imbasan Tiga Dimensi

×

Subscribe to Amanz

Get updates delivered right to your inbox!

Thank you for your subscription

×