Get Even More Visitors To Your Blog, Upgrade To A Business Listing >>

Ulasan Horizon Zero Dawn – Alasan Terbaik Untuk Memiliki PlayStation 4 Pro

Guerilla Games telah menghasilkan Permainan komputer eksklusif untuk Platform PlayStation sejak 2004 dengan siri Killzone. Selepas enam permainan, Guerilla kini menghasilkan Horizon Zero Dawn yang mempunyai genre yang jauh berbeza dari Killzone.

Biasanya apabila pembangun mencuba genre baru, permainan yang dihasilkan adalah mengecewakan. Di dalam kes Horizon Zero Dawn, Guerilla berjaya keluar dari kepompong Killzone dan menghasilkan sebuah permainan dunia terbuka yang lebih baik dari kesemua Killzone yang pernah mereka hasilkan. Malahan Kami merasakan Horizon ialah antara permainan RPG aksi terbaik pernah dihasilkan untuk PlayStation 4.

Jalan Cerita

Selamat datang ke dunia Horizon dimana tamadun manusia telah mengalami bencana besar yang memusnahkan bandar-bandar utama. Mereka yang terselamat kini hidup di dalam dunia kuno tanpa bekalan elektrik ataupun alatan elektronik. Empat suku utama Nora, Carja, Oseram dan Banuk mendiami dunia Horizon. Kesemuanya menyimpan hasad dendam kerana peperangan yang berlaku beberapa dekad sebelum itu.

Pemain mengawal Aloy, seorang gadis yang disisihkan dari suku Nora sejak dilahirkan. Beliau dibesarkan oleh Rost yang turut disisihkan dari suku kerana kesalahan yang tidak diketahui. Jalan cerita Horizon berkisar tentang misi Aloy mencari jawapan mengapa beliau disisihkan dari masyarakat serta mencari punca kemusnahan tamadun manusia beratsu tahun dahulu.

Di atas kertas jalan cerita ini sudah digunakan berpuluh kali sebagai asas permainan RPG. Ia mempunyai persamaan dengan The Last of Us yang turut berlaku di dalam dunia pasca apokalips. Perbezaan hanyalah terletak pada watak-watak yang ditemui dan dunia yang dipenuhi haiwan robotik bukannya zombie yang dijangkiti oleh cordyceps.

Cerita juga akan gagal sekiranya watak utama gagal mendapat perhatian pemain. Ini kita lihat sebelum ini dengan IP baru Watch Dogs oleh Ubisoft. Berita baik bagi Horizon ialah watak wanita gagal berani yang mampu menendang punggung sedang popular sekarang selari dengan kebangkitan pergerakan feminis. Aloy bukanlah watak dua dimensi yang membosankan. Cara jalan cerita bermula pada sejam yang pertama membuatkan pemain terus melekat seperti ikan yang tercangkuk pada mata kail pancing. Bermula dengan tragedi, pemain diberikan motivasi yang cukup untuk membalas dendam dan mencari jawapan.

Sungguhpun begitu kesemua trope RPG yang telah wujud sejak zaman berzaman dikitar semula. Ya Aloy ialah insan terpilih yang dihantar untuk menyelamatkan suku kaumnya. Aloy ialah Lara Croft, Commander Shepard, Darth Revan dan watak tanpa nama dari puluhan RPG sebelum ini. Pihak Guerilla mengakui Aloy mendapat inspirasi dari watak Ygritte The Game of Thrones. Sebagai peminat GoT ini tidak kami lihat sebagai sesuatu yang negatif. Tidak melampau untuk mengatakan Aloy ialah watak hibrid Lara Croft (versi reboot), Ygritte dan Merida (dari Brave). Elemen terbaik dari kesemua watak-watak ini membuatkan Aloy menjadi protagonis jalan cerita yang menarik minat pemain.

Yang menyelamatkan Horizon dari menjadi sebuah cerita tiru dan tampal ialah dunia baru yang menarik. Dunia kuno pasca apokalips bertembung dua robotik. Pertembungan dua dunia berbeza ini memberikan keunikan yang jarang ditemui sebelum ini. Kombinasi dunia unik dan watak yang tidak membosankan ialah resipi menghasilkan jalan cerita yang baik.

Kawalan Permainan

Kawalan permainan Horizon adalah mudah kerana mengikut skema kawalan yang kini digunakan oleh kesemua permainan yang dihasilkan. Tombol analog kiri mengawal watak, tombol kanan mengawal kamera. L2 mengaktifkan senjata dan R2 menembak Tekan tombol L3 untuk berlari dan R3 untuk mengaktifkan Focus (seakan Eagle Vision Assassin’s Creed). Butang digital digunakan untuk ubat-ubatan dan buffs.

Aloy mempunyai kemampuan mengimbas dunia yang dilihat dengan menggunakan alat Focus yang ditemui di awal permainan. Focus mengimbas dunia dan memberikan maklumat mengenai musuh, haiwan, tumbuh-tumbuh dan peninggalan tamadun lama. Apabila diaktifkan pemain boleh melihat pola pergerakan setiap haiwan dan titik kelemahan untuk menyerang.  Terpulang kepada pemain untuk menggunakan maklumat yang diperolehi untuk menyerang dengan pintar atau menjadi Leroy Jenkins dan menyerang seperti orang gasar.

Kebebasan ini yang membuatkan Horizon menarik. Tiada satu cara yang betul untuk menundukkan musuh robotik. Di awal permainan kami menemui cara stealth untuk mengalahkan robot gergasi seakan singa. Cara ini memerlukan masa tetapi akan menjimatkan penggunaan potion dan buff.  Dengan melakukan beberapa eksperimen dan menambahbaik senjata kami menemui cara yang jauh lebih mudah. Dengan menumpukan serangan ke titik kelemahan musuh, ia boleh diletupkan dengan satu tembakan sahaja menggunakan panah api.

Haiwan-haiwan robotik ini juga boleh digodam untuk kegunaan Aloy. Untuk mempertingkat tahan menggodam, terdapat Couldron yang berfungsi sebagai dungeon permainan RPG lain. Terdapat juga misi sampingan memusnahkan kem pencuri, menguji kehebatan memburu, mengumpul artifak dan membersihkan kawasan dari robot-robot yang bermasalah. Secara keseluruhan anda memerlukan sekitar 50 jam untuk melengkapkan kesemua misi yang wujud di dalam permainan ini. Ini pada hemat kami adalah masa cukup baik bagi sebuah RPG.

Kemampuan dan senjata yang digunakan Aloy boleh dipertingkatkan dengan mengumpul XP.  Kami sedikit kecewa dengan Skill Tree yang tidak memberikan pilihan yang meluas. Apabila bermain permainan RPG kami gemar menjadikan watak kami sebagai Tank/Barbarian yang mementingkan malee. Di dalam Horizon kami tidak dapat menghasilkan watak ini kerana Aloy jelas seorang Rogue/Thief. Serangan anak panah berpuluh kali ganda lebih kuat dari serangan malee yang dipertingkatkan sepenuhnya. Hendak tak hendak kami terpaksa membiasakan diri menggunakan senjata jarak jauh.

Ini kekurangan paling ketara sistem RPG Horizon yang kami boleh lihat. Tiada kustomasi sebenar untuk pemain bebas memilih menjadi Barbarian,Thief atau Wizard. Mungkin dengan permainan seterusnya pilihan character class dapat dipertingkatkan. Jumlah Gear yang boleh dibeli juga kami harap dapat ditambah. High End Gear yang ditawarkan terlalu sedikit dan kurang variasi. Kami sedia memaafkan kekurangan yang ditemui ini kerana ini adalah permainan pertama di dalam siri Horizon.

Grafik

Horizon Zero Dawn mungkin permainan dengan kualiti grafik terbaik untuk konsol PlayStation 4. Watak utama dan NPC kelihatan hidup dengan sistem animasi wajah yang realistik. Sistem siang dan malam serta cuaca yang digunakan juga antara yang terbaik pernah kami lihat untuk permainan dunia terbuka. Setiap titik air hujan yang jatuh pada tubuh Aloy dan NPC boleh dilihat. Awan di angkasa bergerak secara realistik. Pada waktu malam cahaya bulan menembusi awam menghasilkan kesan god ray yang menakjubkan.

Kelemahan masih wujud dan terletak pada pergerakan bibir yang kurang tepat apabila watak bercakap. Masih belum mencapai tahap L.A Noire dan Rise of The Tomb Raider. Seperkara lagi kerana ia sebuah permainan dunia terbuka, texture popping akan dapat dilihat dari semasa ke semasa.  Seperkara lagi grafik dihadkan kepada 1080P 30FPS atau 2160P 30FPS. Tiada tetapan untuk 1080P 60 FPS walaupun dimain menggunakan PlayStation 4 Pro pada skrin 1080P.

Di PlayStation 4 Pro masalah ini tidak berapa ketara. Perbezaan paling ketara antara PlayStation 4 dan PlayStation 4 Pro hanya terletak pada resolusi skrin serta kualiti tekstur. Anda tidak memerlukan televisyen 4K untuk menikmati grafik pada tetapan tertinggi ini kerana Horizon menyokong super sampling untuk televisyen bukan 4K.

Keperincian pada kulit wajah, rambut, pakaian, kain dan senjata yang dibawa Aloy adalah lebih tinggi apabila menggunakan Pro. Terdapat juga mod performance yang meningkatkan kualiti grafik pada skrin 1080P. Tetapi pada hemat kami Horizon ialah permainan yang perlu dimainkan pada resolusi 4K untuk benar-benar menikmati keindahan grafiknya.

Horizon Zero Dawn ialah permainan yang pertama pada hemat kami ialah permainan pertama yang perlu dimainkan pada PlayStation 4 Pro. Grafik pada PlayStation 4 biasa masih lagi cantik tetapi untuk melihat keindahan sebenar dunia pasca apokalips Horizon, hanya Pro akan menunjukkan kemampuan sebenar Guerilla Studios. Kesemua gambar yang digunakan di dalam artikel ini diambil menggunakan PlayStation 4 Pro. Jelas sekali ia amat jauh berbeza dari kualiti grafik permainan PlayStation 4 sebelum ini (mungkin kecuali Uncharted 4).

Audio

Sistem audio Dolby Surround disokong dan apabila digabungkan dengan grafik yang realistik benar-benar membuatkan anda terasa seperti di dalam dunia Horizon. Dentuman panah api memekakkan telinga, ngauman Thunderjaw nyaring sehingga menimbulkan ketakutan dan setiap titis ari hujan kedengaran dengan jelas. Lakonan suara kesemua watak juga baik. Tiada masalah lakonan suara yang kaku sepanjang permainan.

Mod Tambahan Dan Bonus

Kami merindui zaman di mana pembangun menyertakan kandungan tambahan seperti proses pembuatan permainan dan lukisan konsep. Tetapi sejak akhir-akhir ini pemain perlu membeli edisi khas untuk mendapatkan kesemua ini. Tiada sokongan multiplayer atau mod tambahan. Teater khas untuk memainkan semula cinematics jalan cerita juga tidak disertakan. Hanya cinematics permulaan permainan sahaja boleh dimainkan semula di samping senarai game credits. Tawaran mod tambahan untuk Horizon adalah hampir kepada sifar.

Kami merindui zaman di mana pembangun menyertakan kandungan tambahan seperti proses pembuatan permainan dan lukisan konsep. Tetapi sejak akhir-akhir ini pemain perlu membeli edisi khas untuk mendapatkan kesemua ini.

Satu-satunya mod tambahan yang menarik pada Horizon ialah photo mode. Ya kami tahu photo mode mungkin tidak layak dimasukkan ke dalam kategori mod tambahan tetapi pelbagai pilihan yang diberikan menjadikannya photo mode terbaik pernah kami gunakan. Pengguna bebas menetapkan lokasi kamera dan waktu gambar diambil. Kerana grafik Horizon yang amat berkualiti, photo mode kami gunakan jauh lebih kerap dari biasa. Malahan sekiranya carian media sosial dilakukan, jumlah perkongsian #PS4Share permainan ini juga lebih tinggi dari biasa.

Kesimpulan

Anda tidak mempunyai duit lebih bulan ini? Pinjam duit dari rakan dan beli Horizon Zero Dawn hari ini juga. Anda mempunyai duit lebih bulan ini? Beli Horizon Zero Dawn dan Sony PlayStation 4 Pro semalam! Permainan ini ialah IP pertama yang berjaya membuatkan kami melekat pada DualShock 4 sehingga berjam-jam lamanya sejak The Last of Us. Seperti Naughty Dog, percaturan Guerilla Studios untuk menghasilkan permainan baru yang berlainan genre dari permainan mereka sebelum ini membuahkan hasil.

Kami tidak akan terkejut sekiranya Horizon memenangi pelbagai anugerah tahun ini. Ia sebuah IP baru yang mengambil idea dari permainan lain dan menghasilkan sebuah permainan yang hampir sempurna.Kerana ini permainan pertama kesemua kekurangan ini boleh dimaafkan. Sekiranya anda mencari sebuah RPG aksi dengan jalan cerita yang menarik serta grafik tahap dewa, ini ialah permainan yang akan melengkapkan koleksi anda.



This post first appeared on Amanz, please read the originial post: here

Share the post

Ulasan Horizon Zero Dawn – Alasan Terbaik Untuk Memiliki PlayStation 4 Pro

×

Subscribe to Amanz

Get updates delivered right to your inbox!

Thank you for your subscription

×