Get Even More Visitors To Your Blog, Upgrade To A Business Listing >>

HARI INI ULANGTAHUN TUDM KE 49

Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) adalah pasukan udara di dalam Angkatan Tentera Malaysia. Pasukan ini ditugaskan dengan pertahanan udara Malaysia dan dilengkapkan dengan Pesawat-pesawat pejuang dan pengangkutan.

Tentera Udara Diraja Malaysia ditubuhkan dalam tahun 1 Jun 1958 sebagai Tentera Udara Persekutuan Malaya. Tetapi sejarah TUDM boleh dikesan jauh lebih awal dengan penubuhan Tentera Udara Sukarelawan Malaya (Malayan Auxiliary Air Force) sebagai cabang tempatan Tentera Udara Diraja Britain di masa penjajahan British.

Selepas mencapai kemerdekaan dalam tahun 1957, kerajaan Persekutuan Tanah Melayu melihat kepentingan penubuhan sebuah pasukan angkatan udara sendiri untuk pertahanan negara supaya tidak perlu bergantung harap dengan pertahanan yang diberikan oleh pasukan British. Pasukan Tentera Udara Sukarelawan Malaya dijadikan nukleus kepada penubuhan Tentera Udara Diraja Persekutuan Malaya. Satu Enakmen diluluskan di Parlimen dikenali sebagai Ordinan Tentera Udara 1958 yang memberikan kuasa pembentukan sebuah pasukan dikenali sebagai “Tentera Udara Diraja Persekutuan”. Seorang pegawai Tentera Udara Diraja British, Komodor Udara A.V.R Johnstone dipinjam khidmat kepada Tentera Udara Diraja Persekutuan untuk mengetuai pasukan tersebut dan menjadi penasihat kepada Kerajaan. Komodor Udara A.V.R Johnstone kemudiannya dilantik menjadi Panglima Tentera Udara yang pertama. Beliau bertanggungjawab mencorakkan rancangan perkembangan dan pengukuhan Tentera Udara Diraja Persekutuan berserta dengan pengambilan dan latihan kakitangan, aset penerbangan, organisasi dan peraturan-peraturan berkaitan.

Sebagai satu pasukan baru, kebanyakan anggota Tentera Udara Diraja Persekutuan terdiri daripada anggota-anggota uyang dipinjamkan daripada Tentera Udara Diraja British. Walaupun demikian, sebilangan kecil anggota tempatan yang berkhidmat dengan Tentera Udara Diraja British kemudiannya dipindahkan perkhidmatan ke Tentera Udara Diraja Persekutuan dalam bulan November 1958. Antara mereka yang dipindahkan perkhidmatan ini adalah Flying Officer (Leftenan) Lim Heng Lip, Sarjan Subramaniam, Koperal Othman Mohd Ismail, Koperal Wan Said, Corporal Koperal JD Parsley, Koperal Mahadeven, Laskar Kanan (SAC) Surindam, Laskar Kanan Md Noor, Laskar Kanan Zainal, Laskar Kanan Mohd Hussain and Juruteknik Rendah (JT) Ismail Ariffin. Beberapa orang anak watan Malaya yang berkhidmat dengan Tentera Udara Diraja Britain dibenarkan berpindah khidmat kepada Tentera Udara Persekutuan Malaya, termasuk Sulaiman bin Sujak.

Pesawat pertama yang digunakan oleh Tentera Udara Diraja Persekutuan Malaya adalah pesawat pengangkut ringan jenis Scottish Aviation Twin Pioneer yang diberikan nama “Lang Rajawali” (pendaftaran FM-1001) oleh Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman.

Apabila Persekutuan Malaysia ditubuhkan dalam bulan September 1963, nama pasukan ini berubah menjadi Tentera Udara Diraja Malaysia. Menjelang tahun 1970-an, TUDM mempunyai 16 buah skuadron dengan satu pusat latihan penerbangan.

Selepas penghantaran pesawat CL41-G Tebuan dan helikopter komunikasi jenis Aérospatiale Alouette III, TUDM dikuatkan lagi dengan penghantaran pesawat Handley Page Herald (dikenali di kalangan anggota TUDM sebagai “Dart Herald”) dan juga pesawat pejuang jenis CA27 Sabre Mk32 yang dihadiahkan oleh kerajaan Australia (RAAF ketika itu sedang menggantikan pesawat Sabre mereka dengan pesawat pejuang Dassault Mirage III-EO). Keupayaan pengangkutan ditingkatkan lagi dengan pembelian 20 buah pesawat de Havilland Canada DHC-4A Caribou (versi yang hampir sama dengan versi yang dibeli oleh Tentera Udara Diraja Australia).

Pengangkutan dengan helikopter ditingkatkan dengan penghantaran 36 buah pesawat Sikorsky S-61A-4A Nuri, yang boleh membawa 31 orang anggota tentera infantri ataupun membawa barang muatan sehingga 3 tan.

Sehingga tahun 1970, kerajaan Malaysia mengharapkan pertahanan udara Malaysia yang diberikan oleh Tentera Udara Diraja British dan kemudiannya oleh Tentera Udara Diraja Australia (RAAF menempatkan satu skuadron iaitu Skuadron No. 75 Tentera Udara Diraja Australia dengan pesawat pejuang Mirage III di TUDM Butterworth. Selepas Setiausaha Pertahanan Denis Healy mengumumkan pengunduran pasukan tentera British daripada pangkalan-pangkalan di timur jauh (kecuali Hong Kong), TUDM melihat untuk mengambil alih tanggungjawab pertahanan udara.

Dalam tahun 1975, TUDM menerima penghantaran 16 buah pesawat Northrop F-5E Tiger II dan 4 buah pesawat latihan Northrop F-5B Tiger (pesawat ini kemudiannya digantikan dengan 4 buah pesawat F-5F). Keupayaan peninjauan diperolehi dengan pembelian 2 buah pesawat RF-5E Tigereye.

Latihan penerbangan untuk juruterbang jet laju diberikan menggunakan pesawat Aermacchi MB339AM yang diterima dalam tahun 1983 dan 44 buah pesawat Pilatus PC-7 yang mula diterima dalam tahun 1984.

Pemodenan TUDM melonjak dengan pembelian 88 buah pesawat simpanan jenis McDonnell Douglas A-4C Skyhawk milik Tentera Laut Amerika Syarikat. Daripada 88 kerangka ini, TUDM melantik syarikat Grumman Bethpage untuk memodenkan pesawat-pesawat tersebut ke tahap A-4PTM (Peculiar to Malaysia) yang hampir sama dengan standard A-4M kegunaan Tentera Laut Amerika Syarikat dan Kor Marin Amerika Syarikat.

TUDM juga melihat kepada perolehan senjata-senjata moden seperti pembelian misil udara-ke-udara jenis AIM-120 AMRAAM, tetapi hasrat tersebut disekat oleh Amerika Syarikat yang tidak mahu memperkenalkan teknologi terbaru tersebut kerana bantahan daripada Singapura. Sebaliknya, Amerika bersedia menjual pesawat moden seperti F-18 tetapi hanya dengan pembekalan misil jenis semi aktif AIM-7 Sparrow yang jauh lebih kurang upaya berbanding dengan AIM-120 AMRAAM.

Dasar kerajaan Amerika ini memaksa TUDM melihat kepada perolehan senjata daripada negara-negara lain, termasuk Rusia. Dalam tahun-tahun 1990-an, TUDM menerima penghantaran pesawat jenis BAE Hawk Mk108 dan Hawk Mk208. Pesawat Hawk Mk108 digunakan untuk latihan lanjut juruterbang sementara pesawat Hawk Mk208 mengambil alih peranan bantuan udara rapat yang sebelumnya diberikan oleh pesawat McDonnell Douglas A-4PTM Skyhawk.

Dalam tahun 1995, TUDM menerima penghantaran 18 buah pesawat MiG-29N untuk mengendalikan peranan penguasaan udara (air superiority) . Keupayaan serangan pelbagai cuaca diperolehi dengan pembelian 8 buah pesawat McDonnell Douglas F-18D Hornet yang diterima dalam tahun 1997. Pesawat ini serupa dengan pesawat penyerang yang digunakan oleh Kor Marin Amerika Syarikat.

TUDM juga membuat pesanan pada 5 Ogos 2003 untuk 18 buah pesawat Sukhoi Su-30MKM yang dijadualkan penghantaran mulai tahun 2007. Kontrak ini bernilai AS$900 juta dan sebahagian daripada pembayaran dibuat dalam bentuk jualan komoditi. Rusia juga bersetuju menghantar seorang angkasawan rakyat Malaysia sebagai angkasawan ke Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) sebagai sebahagian daripada pembelian pesawat Sukhoi ini. Pesawat ini kemungkinan besar akan ditempatkan di pangkalan baru di TUDM Gong Kedak. Untuk tujuan ini, No. 17 Skuadron dibubarkan dan pesawat Mig-29N yang digunakan dipusatkan di no. 19 Skuadron di Kuantan. No. 17 Skuadron akan dibentuk semula dengan pesawat Sukhoi Su-30MKM di TUDM Gong Kedak.

TUDM juga mempunyai perancangan untuk mendapatkan 4 buah pesawat sistem amaran dan kawalan udara (AWACS) tetapi tiada keputusan yang dibuat berkenaan dengan pembelian ini.

Namun demikian, TUDM telah membuat pengumuman pesanan 4 buah pesawat pengangkut bear jenis A400M dari Airbus Military untuk melengkapkan dan menggantikan sebahagian daripada tugasan pengangkutan yang kini dijalankan oleh pesawat C-130H Hercules. Pesawat-pesawat yang diberikan pertimbangan oleh TUDM termasuk pesawat Saab 2000 AEW&C, pesawat Lockheed P-3 Orion AEW&C, Pesawat Grumman E-2C Hawkeye 2000 AEW&C seperti yang digunakan oleh Singapura, pesawat Boeing B737 AEW&C dan pesawat Embraer EMB-145SA.

Pesawat EMB-145 MPA juga diberikan pertimbangan untuk memenuhi keperluan peronda maritim TUDM, walaupun kini terdapat perbahasan sama ada tanggungan rondaan maritim sepatutnya di jalankan oleh TUDM ataupun oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) .

TUDM pernah mempertimbangkan pembelian 18 buah pesawat F-18E Super Hornet dengan [[Boeing] membeli semula pesawat F-18D yang digunakan oleh TUDM. Sehingga ini, tidak ada pengumuman dibuat mengenai pembelian ini, walaupun Boeing masih melobi pembelian ini.

Rosoboronexport dan AIROD mengumumkan pembekalan 10 buah helikopter Mi-171Sh (Mi-8AMTSh) bernilai AS$120 juta, untuk kegunaan dalam peranan mencari dan menyelamat tempur (CSAR) untuk menyokong penggunaan helikopter Sikorsky S-61A4A Nuri dalam peranan tersebut. Ada kemungkinan pembelian ini akan melibatkan penambahan 39 buah helikopter Mi-171 di masa-masa akan datang.

Pembelian helikopter tempur masih belum diumumkan, walaupun TUDM memberikan pertimbangan pembelian Denel Rooivalk dan juga helikopter Agusta A109 yang dipasangkan senjata. Pada 18 Julai 2006, Timbalan Perdana Menteri Malaysia membuat pengumuman pembelian 8 buah pesawat Aermacchi MB-339CD sebagai tambahan kepada pesawat MB-339A yang kian berumur. Rancangan pembelian pesawat MB-339A dari Tentera Udara Diraja New Zealand dibatalkan.

Pagi ini semperna hari ulangtahun ke 49, Sultan Pahang selaku Kolonel Kehormat TUDM akan membalas tabik hormat perbarisan diPangkalan Udara Subang dan boleh disaksi secara langsung diTV3.




This post first appeared on HARI-HARI (DULU & KINI) | :: Tentang Hari Ini Dan, please read the originial post: here

Share the post

HARI INI ULANGTAHUN TUDM KE 49

×

Subscribe to Hari-hari (dulu & Kini) | :: Tentang Hari Ini Dan

Get updates delivered right to your inbox!

Thank you for your subscription

×