Get Even More Visitors To Your Blog, Upgrade To A Business Listing >>

Hukum Berkahwin Golongan Homoseksual




Assalamulaikum Ustaz. 

Saya ada terlintas dan terbaca blog ustaz. Saya memohon Allah memberkati usaha ustaz dalam medan dakwah ini. Saya ingin bertanya ustaz satu perkara mengenai hukum Berkahwin bagi golongan homoseksual atau GAY. Apakah pendapat ustaz hukum bagi keadaan lelaki ini :


  1. Mampu berkahwin dan yakin dirinya boleh terjebak dalam zina dengan lelaki
  2. Bimbang bahkan Yakin Dia Akan menyakiti bakal isteri dan tak mampu memberi nafkah zahir dan batin sekiranya dia berkahwin

Persoalan, bukankah wajib bagi seseorang lelaki Untuk Berkahwin sekiranya dia yakin dia mampu untuk berkahwin dan yakin dia akan melakukan zina dan bukankah haram berkahwin bagi lelaki kalau dia yakin dia akan menzalimi bakal isterinya. Jadi, hukum manakah lelaki ini harus berpegang? Mohon penjelasan ustaz dan terima kasih diatas kesudiaan untuk membaca emel ini.

Jawapan

Awal kalam saya ucapkan terima kasih kepada pemberi email ini kerana sudi menjadikan saya sebagai tempat pertanyaan. Di sini juga saya memohon maaf atas kelewatan untuk membaca dan menjawab persoalan yang diutarakan oleh saudara.

Hukum berkahwin bagi golongan homoseksual atau gay ini kena lihat pada keadaannya. Sekiranya ia tidak mempunyai keinginan kepada lawan jenisnya dan Tidak Mampu Menunaikan tanggungjawab untuk memberikan nafkah zahir dan batin, maka hukumnya adalah tidak wajib atau haram berkahwin kerana ia boleh mendatangkan masalah kepada isteri atau pasangannya nanti. Lazimnya mereka yang mempunyai keinginan songsang ini memang tidak mempunyai hasrat dan keseronokan bersama lawan jenis. Jadi bagaimana hendak hidup bersama dan menjalankan tugasnya sebagai suami. Mesti ada kewajipan-kewajipan tertentu dalam perkahwinan akan gagal. Jadi secara mudahnya, orang sebegini tidak diwajibkan berkahwin.

Perkahwinan ini bukan perkara yang mudah dan ia merupakan amanah daripada Allah Swt. Setiap keputusan dan tindakan mengenai perkahwinan akan dihitung oleh Allah SWT. Kegagalan memberikan nafkah, mendidik, menjalankan tanggungjawab akan mengundang padah kepada mereka yang bergelar ketua keluarga. Bukan hanya tanggungjawab peribadi sahaja tetapi tanggungjawab kepada anak-anak dan isterinya juga dihitung Allah SWT. Firman Allah SWT yang bermaksud :

“Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan ahli keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya manusia dan batu (berhala)”. (Surah At-Tahrim : 6)

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :

“Dan wajib ke atas kamu memberikan mereka (isteri-isteri) rezeki mereka dan pakaian mereka dengan baik. Tempatlah mereka di mana kamu bertempat tinggal mengikut kemampuanmu.” (Riwayat Ahmad, Abu Daud dan Ibnu Hibban)

Sepatutnya orang yang memiliki keinginan songsang ini, perlu di tarbiah untuk kembali ke jalan yang diredhoi Allah SWT terlebih dahulu. Setelah ia sedar akan kesilapannya dan bertaubat dengan sebenarnya, maka pada ketika itu diharuskannya untuk berkahwin dengan lawan jenisnya apabila ia sudah bersedia untuk berumahtangga.

Nafsu yang membuak-buak atau takut melakukan zina, bukan boleh dijadikan hujah untuk mengharuskan kahwin, kerana Islam masih melihat kemampuannya untuk berkahwin. Kemampuan yang dimaksudkan ialah seperti menyediakan tempat tinggal, pendidikan, makan, minum, keselamatan dan zuriat yang soleh. Sekiranya ia Tidak Mampu, maka hukumnya menjadi haram untuk berkahwin. Hadis Rasulullah SAW yang bermaksud :

"Hai para pemuda! Barangsiapa di antara kamu sudah ada kemampuan, maka kahwinlah sebab dia itu dapat menundukkan pandangan dan memelihara kemaluan, tetapi barangsiapa tidak mampu, maka hendaknya ia berpuasa, sebab puasa itu baginya merupakan pelindung." (Riwayat Bukhari)

Kesimpulan dari jawapan di atas ini ialah tidak wajib bagi mereka yang tidak mampu menunaikan nafkah atau tanggungjawab terhadap isteri dan anak-anaknya. Walaupun mempunyai nafsu yang tinggi terhadap wanita, maka itu bukan bermaksud wajib berkahwin sekiranya masih tidak mampu menunaikan amanah Allah SWT. Kewajipan mereka ini adalah berpuasa untuk mengekang nafsu syahwat yang tinggi. 




This post first appeared on Blog Not Found, please read the originial post: here

Share the post

Hukum Berkahwin Golongan Homoseksual

×

Subscribe to Blog Not Found

Get updates delivered right to your inbox!

Thank you for your subscription

×