Get Even More Visitors To Your Blog, Upgrade To A Business Listing >>

MALAYSIA DESTINASI PANCING DUNIA

Malaysia mampu menjadi destinasi pancing dunia, sekiranya beberapa perkara asas perkhidmatan dapat dipertingkatkan.

MALAYSIA DESTINASI PANCINGAN DUNIA, 18 AUG 2017

Menjadikan Malaysia sebagai salah satu destinasi Pancing buat Pemancing dari serata dunia mungkin agak mustahil sekiranya perkara ini diketengahkan 10 tahun yang lalu. Namun, perkara ini tidak mustahil dengan ada nya internet, informasi tentang lapangan pancing di Malaysia dapat diketengahkan buat tatapan pemancing dari serata dunia. Setelah hampir 3 tahun berada dalam industri Fishing Tourism ini, saya dapat lihat potensi dan penambah baikan yang perlu diambil oleh pihak-pihak yang terlibat secara langsung dengan Fishing Tourism. Penambah baikkan ini bukan sahaja harus diberikan kepada pemancing antarabangsa tetapi bakal menjadi nilai tambah yang positif buat pemancing tanah air.

Royal Belum adalah padang pancing air tawar terbaik di Malaysia.

MALAYSIA GAME FISH

Game Fish boleh dikategorikan sebagai spesis ikan yang mempunyai daya juang yang tinggi dan hanya unik di benua yang tertentu. Malaysia merupakan negara yang bertuah kerana dikurniakan pelbagai spesis Game Fish yang mampu menguji kebijaksanaan dan ketangkasan pemancing dalam dan luar negara. SEBARAU, TOMAN, LAYARAN, GT, BLACKBASS dan PEACOCK BASS merupakan 6 contoh spesis Game Fish yang menjadi idaman pemancing luar negara. Tahukah anda rekod dunia seperti Sebarau dan Toman datangnya dari Malaysia? Ini sudah cukup menggambarkan potensi padang pancing dalam negara.

Pengusaha dan juru pandu pancing boleh menjadikan 6 spesis ini sebagai panduan bagi menyediakan perkhidmatan yang Niche buat pemancing antarabangsa. Pengusaha bot di Kuala Rompin, Pahang dan Royal Belum, Perak merupakan contoh yang baik didalam menyediakan perkhidmatan yang khusus untuk satu-satu Game Fish. Servis yang diberikan oleh boatman disana boleh dikatakan bertaraf dunia dan lapangan pancing bagi dua tempat tersebut adalah antara yang terbaik di Malaysia dan sudah pun menjadi destinasi pancing ulung di rantau Asia. Tidak dilupakan juga perkhidmatan boat pancing di Sarawak dan Sabah yang memang terkenal dengan spot pancing laut dalam dan air tawar.

Namun begitu, tidak semua destinasi pancing Malaysia mempunyai fasiliti dan servis yang baik untuk diketengahkan sebagai destinasi pancing dunia. Kekurangan ini akan mengekang pembangunan sukan Sport Fishing di Malaysia namun potensinya masih ada untuk difikirkan bagi pengusaha Fishing Tourism.

Layaran adalah gamefish paling diminati pemancing antarabangsa.
Scott Bremner, jatuh hati dengan keindahan padang pancing Royal Belum
Kg Beng, Perak menyediakan perkhidmatan lengkap buat pemancing dalam dan luar negara.

SERVICE IS THE KEY

Servis yang baik tidak boleh dinilai dengan hanya membawa pemancing ke lubuk-lubuk berkelas A. Mungkin betul, selama ini kita hanya menilai servis seorang boatman dengan hasil tangkapan yang yang mampu kita dapat. Tanggapan yang mungkin ada pada setiap pemancing  adalah nilai wang yang dilaburkan hanya boleh dibalas dengan jumlah ikan yang bakal dibawa pulang. Semakin tinggi hasil tangkapan maka makin Top lah tekong tersebut. Betul, objektif bagi pemancing adalah untuk menangkap ikan. Namun, servis tersebut tidak harus berhenti disitu. Ianya perlu diselitkan dengan elemen-elemen kecil yang mungkin sebelum ini kita terlepas pandang tetapi sebenarnya mempunyai impak yang sangat tinggi bagi menjamin kesinambungan periuk nasi tekong dan boatman.

Service yang baik harus merangkumi semua aspek, bukan hanya membawa pemancing ke lubuk-lubuk baik sahaja.

KEBERSIHAN bot merupakan aspek yang perlu diambil berat oleh pengusaha bot dan juga fasiliti persekitaranya. Keselesaan pemancing apabila keluar memancing di laut mahupun didarat berkait rapat dengan kebersihan diatas boat dan didarat. Ini termasuk Deck, Ruang Tidur, Tempat Duduk dan Tandas. Saya berpengalaman berada diatas deck bot yang berlendir, berbau hanyir, sisa ikan bertaburan, ruang tidur yang tidak bersih dan dilengkapi tandas yang kotor. Perkataan yang biasa ditujukan kepada seorang yang pembersih adalah “Kalau nak selesa duduk rumah”. Bukan kebersihan yang taraf “A” berdasarkan klasifikasi kementerian kesihatan yang didambakan, cukup sekadar sebelum keluar trip bot dicuci bersih dan dikemas rapi. Apabila bot tidak bersih dan tidak dijaga dengan baik. Ia bakal mengganggu keselesaan pemancing, dan percayalah pengalaman buruk bakal dicanang kepada rakan-rakan pemancing yang lain dan ini tidak sihat untuk reputasi pengusaha bot.

Kebersihan Boat harus diutamakan bagi menjamin keselesaan pemancing.

Menyediakan plastik sampah diatas bot boleh mengawal pembuangan sampah pepejal lambat terlerai kedalam laut dan ianya perlu dilupuskan dengan cara yang betul. Bukan dengan membuang plastic sampah itu di muara sungai. Saya percaya, kebersihan di atas bot sedikit sebanyak mampu memberi tambah nilai yang amat tinggi buat pengusaha bot. Lebih-lebih lagi pelanggan ulangan yang mampu menjana pendapatan yang lebih stabil dan tidak bermusim. Pengalaman kebersihan yang baik juga mampu menjadi pendorong dan kriteria utama pemilihan bot untuk trip pancing.

KESELAMATAN pemancing menjadi tangggung jawab bersama pemancing dan pengusaha bot. Kita dikejutkan baru-baru ini dengan beberapa kejadian seperti bot karam, pemancing hilang dan lemas. Ini menunjukkan pemancing masih lagi alpa dengan aspek keselamatan. Selain dari menyediakan jaket keselamatan yang berfungsi dengan baik dan mencukupi buat semua pemancing dan tekong. Taklimat keselamatan perlu dilakukan sebelum trip. Informasi asas kedudukan jaket keselamatan dan langkah-langkah keselamatan sekiranya berlaku kecemasan harus disampaikan bagi meningkatkan kesedaran dan siap siaga pemancing. Kita tidak hanya mahu berseronok semasa keluar memancing bersama rakan-rakan. Apabila tidak bersedia semasa kejadian kecemasan, kita akan panik dan ianya boleh menyebabkan kematian.

Selain jaket keselamatan, First Aid juga perlu ada didalam setiap bot. Rawatan awal dari kit First Aid mampu membantu mangsa yang memerlukan kerana secara amnya, rawatan susalan bakal mengambil masa yang lama untuk diberikan kepada mangsa.

Penyelenggaran peralatan bot termasuk Enjin, Bot, GPS dan Sonar harus dilakukan secara berkala dan mengikut jadual yang ditetapkan bagi mengelakkan sebarang kerosakan semasa trip dijalankan. Radio jarak jauh harus dipertimbangkan untuk dijadikan peralatan asas bagi setiap pengusaha bot di Malaysia. Ini membolehkan komunikasi diantara pengusaha bot dan agensi maritim diselaraskan bagi memantapkan lagi modus operandi industri pancingan Malaysia. Sebarang komunikasi kecemasan dapat di salurkan dengan pantas dan ianya mampu mengelakkan perkara-perkara yang tidak diingini dan bantuan dapat disalurkan dengan pantas dan tepat. Berkemungkinan juga, proses menyelamatkan mangsa yang terkandas di tengah laut dapat dilakukan dengan pantas oleh pihak berwajib.

Dalam keasyikkan menarik ikan, aspek keselamatan jangan kita abaikan.

PENGURUSAN masa dan jadual yang tepat adalah perkara penting bagi menjamin mutu kualiti servis yang diberikan kepada pelanggan. Tiada pelanggan yang suka menunggu membuang masa di jeti ataupun lambat ke spot-spot pancing. Pengurusan jadual trip juga harus direkodkan dengan baik agar tiada pertindihan booking. Applikasi calendar sudah memadai membantu pengusaha Fishing Tourism memastikan jadual trip disusun rapi. Ia juga turut memudahkan pengurusan booking dan membantu pemancing menyusun jadual trip mereka.

PENGALAMAN pemancing yang mengunjungi negara kita tidak seharusnya hanya ingin memancing trofi Game Fish yang ada di Malaysia. Kebanyakkanya ingin menyelami budaya lokal yang terdapat di persekitaran spot pancing. Pengalaman pemancing yang berkunjung di Kg Beng Mini Amazon, Perak contohnya berpeluang merasai suasana tinggal di kampung Melayu traditional. Landscape traditional, kampung kecil menyusuri Sg Perak menjadi selingan pengalaman apabila berkunjung memancing Peacock Bass di sini. Masakan ala Kampung juga turut mendapat pujian, dan mereka berpeluang mencuba delikasi traditional seperti ikan pekasam dan nasi lemak. Mungkin pengalaman selain memancing dilihat tidaklah begitu signifikan. Tetapi kita harus ingat, apabila mereka pulang. Pengalaman yang mereka lalui bakal diceritakan kembali di negara asal mereka. Diharapkan hanya pengalaman baik yang diceritakan dan mudah-mudahan cerita akan berkembang dan meningkatkan potensi spot-spot pancing Malaysia.

Kg Beng Mini Amazon, membuka peluang buat pelawat merasai sendiri pengalaman duduk di kampung.
Tak sah rasanya jika tidak merasai nasi dagang apabila berpeluang ke pantai timur.

Keindahan alam yang dianugerahkan oleh Maha Pencipta kepada negara kita juga boleh dijadikan elemen penting dalam mensajikan pengalaman yang manis pemancing yang berkunjung ke Malaysia. Royal Belum antara contoh yang baik apabila pemancing berpengalaman memancing di hutan hujan tropika tertua di dunia. Terdapat pelbagai landscape alam yang indah seperti Air Terjun Ruok, Jeram Sungai Kejar, Sungai Tiang dan Kampung-kampung Orang Asli Jahai. Pengalaman berehat di pantai Pulau Lalang di Pulau Sembilan juga merupakan pengalaman yang indah, walaupun trip boleh dikategorikan trip hampir kumpau. Pantai yang bersih akan sentiasa menjadi pujian dan setiap pengalaman alam semula jadi yang indah sentiasa akan terpahat di dalam hati pengunjung yang bertandang ke Malaysia.

Pernah lihat gajah secara live? Mungkin hanya di sebalik pagar Zoo Negara. Tapi di Royal Belum, pemancing berpeluang melihat kelibat penghuni hutan tertua di dunia secara dekat.

KESINAMBUNGAN spot pancing adalah perkara yang harus dipandang serius. Fishing Tourism tidak akan hidup sekiranya populasi Game Fish dinegara berada pada tahap yang kritikal. Pengusaha bot pancing dan jurupandu pancing harus berada dibarisan hadapan memperomosikan nilai konservasi baik bagi menjaga stok ikan negara kita. Ianya harus dilakukan secara konsisten dan berhemah bagi memupuk nilai Sport Fishing dikalangan pemancing negara. Percanggahan pendapat didalam konsep “Tangkap dan Lepas” tidak akan habis begitu sahaja. Ianya akan sentiasa menjadi topik hangat apabila dibincangkan bersama. Pendapat saya sebagai seorang pemancing adalah, saya mahukan kesinambungan spesis Game Fish yang terdapat di Malaysia. Keasyikan apabila gewang dihentam pemangsa seperti Toman dan Sebarau, ataupun renangan pantas ikan layaran merupakan pengalaman yang amat manis untuk dilalui seorang pemancing. Apabila kita tidak bersikap rational dan tidak menitik beratkan konsep konservasi, seolah-olah kita menidakkan pemancing lain atau ganerasi akan datang merasai aliran adranelin tersebut. Bayangkan apabila populasi Game Fish ini dijaga dengan baik. Tekong-tekong pemancing lah yang akan merasai pendapatan yang berterusan dan tidak bermusim.

Apabila pendapatan tekong ataupun pengusaha Fishing Tourism berada pada tahap optimum, servis sesungguhnya dapat ditingkatkan dengan penyedian bot-bot yang lebih baik atau pun fasiliti-fasiliti yang lebih lengkap. Apabila fasiliti berada di tahap yang baik, pemancing akan menerima segala kebaikan dari segi servis dan lapangan pancing yang mampan. Ianya satu kitaran yang unik dimana kitaran ini hanya akan berlaku sekiraya kita merendahkan sedikit ego dalam diri dan membuka hati menerapkan nilai-nilai konservasi untuk kesenimbungan industri ini. Betul, ianya tidak akan berlaku dalam selang masa yang singkat. Tetapi, langkah pertama itulah yang menjadi penanda aras hala tuju industrini.

Amalan Catch dan Release mampu menjadikan sukan memancing sukan yang mampan.

HARAPAN kita semua adalah sama. Mengharapkan kita masih lagi berpeluang memancing Game Fish bersaiz mega di dalam negara kita. Mengharapkan hobi yang kita sayangi ini akan terus bersama-sama kita sehingga ke akhirnya. Mengharapkan anak kita ataupun generasi muda berpeluang merasai pengalaman yang kita semua lalui. Ianya bukan mudah tetapi tidak lah mustahil untuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi pancing dunia. Saya mengharapkan artikel ini dapat membuka peluang-peluang yang ada dan penambah baikkan ini diterima dengan hati yang terbuka  bagi memajukan sukan pancing di dalam negara kita.

Tweet

The post MALAYSIA DESTINASI PANCING DUNIA appeared first on FISHYOLOGY.



This post first appeared on All About Pregnancy, please read the originial post: here

Share the post

MALAYSIA DESTINASI PANCING DUNIA

×

Subscribe to All About Pregnancy

Get updates delivered right to your inbox!

Thank you for your subscription

×