Get Even More Visitors To Your Blog, Upgrade To A Business Listing >>

SAMAN SYARIKAT? KEPENTINGAN JENIS SYARIKAT SEBELUM MENYAMAN.

Tags:
SAMAN SYARIKAT? KEPENTINGAN JENIS SYARIKAT SEBELUM MENYAMAN.

SAMAN SYARIKAT DAN KEPENTINGAN MENGETAHUI JENIS SYARIKAT SEBELUM MENGAMBIL TINDAKAN

Syarikat adalah entiti yang boleh menyaman dan di saman atas namanya sendiri. Apakah maksudnya? Apakah perbezaan menyaman atau di saman sebuah syarikat sendirian berhad dengan syarikat enterprise? Bagaimana cara untuk menyaman sebuah syarikat? Apa perkara asas yang perlu kita tahu tentang saman syarikat?

APA ITU SYARIKAT

1. Dalam bahasa mudahnya, syarikat adalah sebuah entiti yang ditubuhkan dengan tujuan lazim untuk menjalankan perniagaan. 

2. Sesebuah syarikat boleh wujud di dalam bentuk milikan tunggal (di bawah Akta Pendaftaran Perniagaan), sendirian berhad atau berhad (di bawah Akta Syarikat) ataupun perkongsian (di bawah Akta Perkongsian/Perkongsian liabiliti terhad).

MENYAMAN SYARIKAT

3. Sebagaimana yang kita sedia maklum sebuah syarikat sendirian berhad atau berhad adalah entiti yang boleh menyaman dan di saman dengan menggunakan nama syarikat itu sendiri. 

4. Maksudnya, anda boleh menyaman atau di saman oleh sesebuah syarikat di atas nama syarikat itu sendiri, samada ianya syarikat sendirian berhad atau syarikat berhad.

5. Ini berbeza dengan syarikat jenis milikan tunggal atau yang lebih dikenali sebagai perniagaan enterprise

6. Perniagaan atau syarikat enterprise tidak boleh menyaman atau di saman atas namanya sendiri. 

7. Ini bermaksud sekiranya anda ingin mengambil tindakan undang-undang untuk menuntut hutang terhadap syarikat enterprise, anda perlu mengambil tindakan ke atas pemilik enterprise tersebut dan bukan ke atas nama enterprise itu sendiri. Begitu juga sekiranya perniagaan enterprise itu ingin menyaman.

contoh: En.Bambang Syah telah menubuh sebuah syarikat milikan tunggal enterprise bernama Maju Jaya Enterprise dan En.Bambang Syah ingin menyaman sebuah syarikat sendirian berhad bernama Gajah Mina Sdn Bhd kerana terdapat hutang yang gagal dibayar oleh syarikat sendirian berhad tersebut, maka pihak-pihak yang akan dinamakan pada writ saman tersebut adalah Bambang Syah (berniaga di atas nama dan gaya Maju Jaya Enterprise) dan Gajah Mina Sdn Bhd. Begitu juga sekiranya Gajah Mina ingin menyaman Maju Jaya Enterprise. Pihak yang akan di saman adalah En.Bambang Syah yang merupakan pemilik kepada syarikat enterprise tersebut.



KEPENTINGAN MENGETAHUI JENIS SYARIKAT

8. Mengapa mengetahui jenis-jenis syarikat itu penting? Ianya penting kerana Pemfailan Writ Saman tanpa meletakkan pihak-pihak yang betul dan tepat boleh menyebabkan Saman tersebut dibatalkan oleh Mahkamah.

9. Ini bermakna, sekiranya anda ingin mengambil tindakan terhadap sesebuah syarikat, adalah terlebih dahulu disarankan untuk mengenal pasti jenis syarikat yang ingin di saman bagi memastikan ketepatan pihak-pihak yang di saman.

10. Selain daripada itu, mana-mana anggota sesebuah syarikat sendirian berhad atau berhad juga tidak boleh di saman atau menyaman bagi pihak syarikat yang dianggotainya. 

11. Ini bermaksud anda tidak boleh menyaman pengarah, pengurus atau pekerja sesebuah syarikat untuk mendapatkan sesuatu hak.

12. Sekiranya anda berurusan dengan pengarah sesebuah syarikat berhad mewakili syarikat yang dianggotainya dan terdapat keperluan untuk mengambil tindakan Mahkamah, maka pihak yang perlu dinamakan di dalam saman anda adalah syarikat dan bukanlah pengarah tersebut (melainkan beberapa sebab tertentu). 

LANGKAH SEBELUM SAMAN SYARIKAT

13. Jadi, apa yang perlu anda lakukan sekiranya anda ingin mengambil tindakan terhadap sesebuah syarikat? 

14. Pertama, kenal pasti nama dan jenis syarikat tersebut. Kedua, kenal pasti status syarikat tersebut samada benar-benar wujud dan aktif; atau tidak aktif (dormant); atau sudah atau sedang digulungkan; atau sudah tidak beroperasi (dissolved);  Ketiga, dapatkan nasihat peguam sebelum memulakan apa-apa tindakan. 

Pembacaan lanjut: Kepentingan Status Syarikat.

_________________________


Penafian: Rencana ini diterbitkan dengan tujuan untuk kesedaran dan pengetahuan umum. Mana-mana bahagian yang terkandung di dalam rencana ini tidak boleh dijadikan panduan untuk memulakan tindakan undang-undang secara sendirian, tanpa terlebih dahulu merujuk kepada seorang peguam yang berpengalaman. 

Untuk sebarang maklumat lanjut berkenaan dengan rencana ini atau untuk mengatur sesi konsultasi guaman, anda boleh berhubung dengan mana-mana peguam pilihan anda, atau pun anda boleh menghubungi kami melalui whatsapp dengan menekan imej diatas.



This post first appeared on Legal, please read the originial post: here

Share the post

SAMAN SYARIKAT? KEPENTINGAN JENIS SYARIKAT SEBELUM MENYAMAN.

×