Get Even More Visitors To Your Blog, Upgrade To A Business Listing >>

KACAU GANGGU PERNIAGAAN : SATU PANDUAN RINGKAS

Di dalam dunia Perniagaan, persaingan di antara pesaing adalah perkara biasa. Namun, apabila pesaing mula campur tangan dalam perniagaan seseorang dengan cara yang melampaui batas-batas undang-undang (unlawful means), ia boleh mengakibatkan tindakan undang-undang yang dikenali sebagai 'Tort Kacau Ganggu Perniagaan' (Tort of Unlawful Interference with Trade). 

Artikel ini akan memberi penerangan asas tentang apa itu tort kacau ganggu perniagaan di Malaysia dan elemen-elemen yang terlibat.

1. Di era digital ini, melindungi perniagaan daripada tindakan campur tangan pesaing secara tidak sah atau menyalahi undang-undang telah menjadi semakin penting. 

2. Tort Kacau Ganggu Perniagaan adalah suatu bentuk tuntutan ganti rugi dalam undang-undang sivil yang boleh melindungi pemilik perniagaan daripada tindakan - tindakan pesaing-pesaing yang cuba untuk merugikan perniagaan mereka melalui cara-cara yang tidak sah dan tidak sah. 

Pengertian Tort Kacau Ganggu Perniagaan

3. Tort kacau ganggu perniagaan berlaku apabila seseorang individu atau entiti campur tangan dalam perniagaan orang lain dengan niat jahat atau cara yang tidak sah, yang mengakibatkan kerugian kepada pemilik perniagaan tersebut. Ia adalah sejenis tuntutan ganti rugi dalam undang-undang sivil.

Elemen-Elemen Tort Kacau Ganggu Perniagaan

4. Apakah syarat-syarat atau elemen-elemen yang perlu dibuktikan di dalam sesuatu kes yang melibatkan kacau ganggu perniagaan? 

5. Mahkamah di dalam beberapa kes yang dilaporkan di dalam jurnal hukum, telah menyatakan beberapa elemen atau syarat yang mesti ada untuk membuktikan tort kacau ganggu perniagaan. 

6. Elemen atau syarat tersebut adalah seperti yang berikut:

(a) Mesti ada campur tangan atau gangguan yang boleh dibuktikan dalam perniagaan plaintif. 

Elemen ini merujuk kepada tindakan yang secara langsung yang mempengaruhi operasi atau reputasi perniagaan plaintif.

(b) Campurtangan atau gangguan tersebut hendalah secara tidak sah. 

Elemen ini pula merujuk kepada tindakan campurtangan atau gangguan daripada pesaing-pesaing yang melanggar undang-undang. Sebagai contoh, gangguan yang dibuat dengan cara memfitnah perniagaan, melanggar atau meniru hak cipta, atau menggalakkan pelanggaran kontrak.

(c) Perlu menunjukkan bahawa terdapat niat atau objektif untuk merugikan perniagaan. 

Elemen ini bermaksud sesuatu tindakan mengacau atau mengganggu perniagaan tersebut adalah dibuat dengan dengan niat jahat atau dengan tujuan untuk merugikan perniagaan.

(d) Telah terdapat kerugian kepada perniagaan disebabkan oleh tindakan campurtangan atau gangguan pesaing tersebut. 

Elemen yang terakhir pula melibatkan penyediaan bukti-bukti jelas (bukan sekadar prasangka atau tanggapan) yang menunjukkan bahawa perniagaan tersebut telah mengalami kerugian, sama ada dalam bentuk kerugian kewangan, reputasi, atau lain-lain, akibat tindakan gangguan pesaing tersebut.

Contoh kacau ganggu dalam perniagaan

7. Sebagai contoh, jika sebuah syarikat A sengaja menyebarkan kenyataan palsu tentang produk syarikat B untuk mengurangkan jualan syarikat B, ini boleh dianggap sebagai campur tangan yang tidak sah. 

8. Jika syarikat B mengalami kerugian jualan sebagai hasil dari kenyataan palsu tersebut, mereka mungkin mempunyai kes untuk menuntut gantirugi bagi tuntutan tort kacau ganggu perniagaan terhadap syarikat A.

9. Contoh seterusnya, andaikan A telah menjadi ejen pemesanhantar (dropship) bagi produk kosmetik syarikat B bernama Puteri Ayu. A kemudiannya berhenti dan memulakan perniagaan kosmetiknya sendiri. 

10. Sekiranya A dalam mengusahakan perniagaan kosmetiknya sendiri dengan menggunakan nama Puteri Bayu dengan tujuan untuk mengelirukan pembeli dan menghasut ejen-ejen pesanhantar atau dropshippers syarikat B yang lain untuk tidak lagi menjadi ejen bagi syarikat B, maka A telah melakukan kacau ganggu perniagaan. 

11. Sekiranya syarikat B mengalami kerugian disebabkan tindakan ini, maka A boleh disaman kerana kacau ganggu perniagaan.

12. Tort kacau ganggu perniagaan adalah mekanisme penting dalam undang-undang sivil untuk melindungi pemilik perniagaan dari campur tangan yang tidak adil atau tidak sah oleh pesaing atau pihak ketiga. 

13. Adalah penting bagi pemilik perniagaan untuk memahami hak-hak mereka dan tahu bagaimana untuk melindungi diri mereka dari campur tangan yang tidak sah. Jika anda merasa perniagaan anda telah diganggu, adalah disarankan untuk mendapatkan nasihat undang-undang daripada peguam yang berpengalaman dalam bidang ini.
 _________________________


Penafian: Rencana ini diterbitkan dengan tujuan untuk kesedaran dan pengetahuan umum. Mana-mana bahagian yang terkandung di dalam rencana ini tidak boleh dijadikan panduan untuk memulakan tindakan undang-undang secara sendirian, tanpa terlebih dahulu merujuk kepada seorang peguam yang berpengalaman.

Untuk sebarang maklumat lanjut berkenaan dengan rencana ini atau untuk mengatur sesi konsultasi guaman, anda boleh berhubung dengan mana-mana peguam pilihan anda, atau pun anda boleh menghubungi kami melalui whatsapp dengan menekan imej diatas.



This post first appeared on Legal, please read the originial post: here

Share the post

KACAU GANGGU PERNIAGAAN : SATU PANDUAN RINGKAS

×

Subscribe to Legal

Get updates delivered right to your inbox!

Thank you for your subscription

×