Get Even More Visitors To Your Blog, Upgrade To A Business Listing >>

Melayu Boleh Juara Dunia


SEPULUH tahun lalu, seorang budak lelaki di Dungun, Terengganu, sering berjemur di tepi jalan raya untuk memberi sorakan kepada peserta Kejohanan Lumba Basikal Le Tour de Langkawi (LTdL).

Dia akan memerhatikan kayuhan setiap pelumba yang lalu melintasi kampung halamannya hingga mereka hilang daripada pandangan.

Di dalam hatinya dia berkata, alangkah baiknya jika dirinya juga dapat menjadi seorang pelumba basikal yang hebat seperti peserta dalam perlumbaan berprestij itu.

Azizulhasni Awang, kini berusia 21 tahun, mengejutkan peminat sukan lumba basikal dunia apabila beliau hampir menewaskan jaguh Perancis, Gregory Bauge pada perlumbaan akhir 200 meter pecut di Kejohanan Lumba Basikal Trek Dunia di Pruszkow, Poland.

Walaupun sekadar membawa pulang pingat perak, legenda basikal trek Perancis, Arnaud Tournant mengagumi skil yang dimiliki Azizulhasni dan menyifatkannya sebagai pelumba paling berbakat ketika ini.
"Dia cukup pantas, taktikal dan sangat berbakat walaupun bertubuh kecil. Dan kerana badannya yang kecil itulah, dia mampu melakukan sesuatu yang luar biasa yang kita tidak terfikir," kata bekas pelumba yang masih memegang rekod dunia 1 kilometer ujian masa itu.
Kini, Azizulhasni tiba-tiba menjadi tumpuan media malah akhbar-akhbar antarabangsa menggelarnya 'Mesin Terbang' kerana pecutan kayuhannya.Azizul bagaimanapun menafikan semua itu membuatkan dirinya berasa popular.

"Saya masih Azizul yang sama seperti empat tahun lalu. Ya, mungkin pemakaian saya berubah, tetapi itu adalah perubahan mengikut umur, bukan kerana saya berasa diri hebat," jelasnya tegas.

Mengenakan baju T leher bulat yang dipadankan dengan seluar jean biru, gaya Azizulhasni ringkas sahaja. Namun tenaganya mudah terasa, terutamanya daripada aksi-aksi yang diberikan kepada lensa kamera Jurnal.

Berketinggian 167 sentimeter, tubuh anak muda ini kelihatan tegap, mungkin hasil latihan yang dijalaninya selama lima jam sehari pada waktu pagi dan petang, enam hari seminggu.

Latihan itu meliputi berkayuh di jalan raya dan trek serta di gimnasium.Di sebalik sinaran cahaya glamor yang mula menyilaukan matanya, anak kelahiran Dungun ini berkata, semangatnya untuk memenangi perlumbaan-perlumbaan basikal tidak mungkin luntur biarpun untuk empat tahun lagi.

"Saya sedar tentang fenomena hangat-hangat tahi ayam yang sering dikhuatiri, terutamanya di Malaysia. Tetapi saya percaya saya tidak akan membiarkan perkara itu berlaku," ujar bekas pelajar Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) ini. Azizulhasni malah menyasarkan pingat emas pada Sukan Olimpik 2012.

"Kami mempunyai jurulatih yang sangat memahami, John Beasley, seorang warga Australia. Dia sudah seperti bapa angkat kami. Kami juga banyak berbincang. Di luar latihan, dia pernah meraikan hari jadi saya dengan membelanja kami makan," ujar Azizulhasni tertawa.

Anak kelapan daripada sembilan adik-beradik ini juga mengaku sering dimarahi Beasley kerana beliau mencuba terlalu kuat dalam satu latihan.

"Dulu ketika berlatih untuk skuad junior, saya selalu kena marah sebab selalu berlatih melebihi arahan atau silibus. Tapi saya seorang yang tidak akan menunggu arahan untuk bergerak (berlatih)," kata beliau.

Azizulhasni berlatih selama setahun di Darebin International Sports Centre di Melbourne, Australia sebelum ini.

"Orang Australia selalu bersukan. Itu sudah menjadi budaya mereka berbanding cuma 10 peratus rakyat Malaysia yang aktif bersukan," kongsi Azizulhasni yang merancang untuk menyambung pengajian peringkat ijazah di Universiti Deakin di Melbourne dalam jurusan perdagangan.



This post first appeared on Melayu Boleh, please read the originial post: here

Share the post

Melayu Boleh Juara Dunia

×

Subscribe to Melayu Boleh

Get updates delivered right to your inbox!

Thank you for your subscription

×