Get Even More Visitors To Your Blog, Upgrade To A Business Listing >>

Aku berhajat kepada iPad MIni generasi ke-6 pada tahun 2023.

Keinginan untuk memiliki iPad Mini generasi ke-6.

    Aku amat-amat teringin untuk memiliki sebuah iPad Mini generasi ke-6. Walaupun iPad ini dilancarkan pada bulan September 2021, pada tahun 2023 ini baru keinginan aku untuk memilikinya timbul.

    Dalam perancangan aku, sekiranya aku melakukan pembelian ini, aku akan beli serentak dengan Apple Pencil generasi ke-2 dan satu penutup yang sesuai dan lasak. Jika boleh, aku ingin penutup ipad mini yang mempunyai pemegang pensel yang kemas. Walaupun Apple Pencil generasi ke 2 boleh melekat secara magnetik ke badan iPad itu, aku lebih tenang sekiranya penutup iPad mini itu boleh mengekalkan kedudukan pensel tersebut agar terus melekat di sisi iPad Mini itu disamping melindunginya.

iPad Mini generasi ke-6 sebagai peranti menulis journal dan mengambil nota.

    Hasrat aku ialah untuk menggunakan iPad Mini sebagai peranti untuk aku menulis journal secara bebas. Bagi tujuan itu, aplikasi Notability menjadi calon utama untuk digabungkan bersama iPad Mini ini.  Aku akan wujudkan lembaran journal digital dengan latar belakang menggunakan template Cornell Note, dengan saiz A5 warna kekuningan. Itulah tetapan kegemaran aku.

    Dalam tetapan ini aku ada ruang yang cukup untuk Menulis, disamping itu aku akan meninggalkan margin yang besar sebagai ruang untuk menulis indeks, catatan postscript atau sebarang nota tambahan yang aku fikirkan perlu ditambah kemudia ketika aku membaca semula catatan aku.

    Aku berharap gabungan Notability dan iPad Mini ini dapat memangkinkan aku untuk menulis journal harian secara lebih kerap. Sasarannya ialah untuk menulis setiap hari. Setiap bulan satu fail nota. Nama fail dalam format tahun-bulan. [Contoh: 2023-Februari]. Nota ini pula ditulis berasaskan format Bullet Journaling. Setakat ini, itulah yang dapat aku gambarkan dalam minda aku.

Menulis journal sebagai terapi menghadapi tekanan hidup.

    Menulis journal bukan perkara asing bagi aku. Aku tidak bermula menulis journal daripada kecil atau remaja. Aku mula menulis ketika aku dalam fasa melakukan kerja sementara, menganggur, dan kemudian mencari kerja tetap. Fasa yang amat mencabar dalam hidup aku. Pada ketika itu aku menghadapi tekanan emosi yang kuat. Menulis journal membuatkan aku lebih berasa tenang dan lebih terurus. Bagi pembaca yang sedang menghadapai fasa sedemikian, bolehlah mencuba kaedah menulis journal sebagai terapi.

    Aku bermula menulis journal hanya menggunakan pen dan kertas A4 sahaja. Kertas A4 yang  sedia ada di sekeliling aku. Penulisan awal bermula dalam bentuk hanya ayat-ayat melepaskan perasaan. Kemudian, berubah kepada perenggan yang lebih beradab. Seterusnya tulisan aku menjadi lebih teratur, dengan meliputi perasaan, sejarah, perancangan dan harapan diri sendiri. Bermula dari peringkat ini, menulis journal menjadi kelaziman aku, walaupun pada ketika itu aku tidak memiliki buku journal yang khusus, hanya helaian-helaian kertas A4 yang ditimbun-timbun bersekali.

    Apabila aku dapati kekerapan menulis itu bertambah, aku mula membeli kertas foolscap yang biasanya digunakan oleh pelajar universiti untuk menulis nota. Setidak-tidaknya, itulah yang aku perhatikan semasa aku menuntut di universiti. Mungkin sekarang situasinya berbeza. Dengan cepatnya timbunan kertas-kertas  A4 memenuhi bilik aku.

Menulis sehingga yang ditulis menjadi nyata.

    Ada kalanya, aku membaca kembali apa yang aku tulis. Banyak perkara yang aku idamkan, aku tulis, dan kemudiannya menjadi kenyataan. Kadangkala aku lupa aku pernah menulis tentang perkara itu, sehinggalah aku membacanya kembali. Pada masa itu aku tersentak, yang aku tulis, kini aku miliki. Atau, aku telah dapat yang lebih baik daripada apa yang pernah aku tulis.

    Perkara paling besar ialah mendapat kerja tetap. Semasa aku di fasa terumbang ambing itu, aku menulis tentang pekerjaan tetap yang aku inginkan, suasana kerja yang aku gambarkan, peranan dan tanggungjawab yang aku impikan. Tidak berapa lama setelah itu, aku berjaya memperolehi pekerjaan tetap. Entah bagaimana, aku terbaca kembali tulissan tentang impian aku unutk mendapatkan perkerjaan tetap sebelum ini. Hampir 99% perkara yang aku tulis pada ketika itu kini merupakan kerja tetap aku.

    Sesetengah orang memanggilnya Law of Attractions. Aku memanggilnya rezeki dari Tuhan. Sejak dari itu aku semakin bersemangat menulis. Dari hasil apa yang aku tulis, aku dapat menilai kehidupan semasa aku pada masa itu negatif atau tidak. Sekiranya negatif, secepat mungkin aku perlu melakukan perubahan, agar aku tidak kembali terbenam dalam fasa yang menyiksakan itu.

Menulis journal membuka minat yang baharu.

    Pada satu masa kertas A4 aku rasakan terlampau besar. Aku hanya boleh menulis di atas meja di bilik aku. Tidak sesuai saiz sebesar itu aku keluarkan dimana-mana tempat umum. Aku mula beralih kepada buku-buku nota bersaiz kecil. Namun, ianya tidak menepati citarasa aku. Satu lagi masalah yang besar ialah, apa yang aku tulis sukar untuk dibaca kembali.

    Aku memasang tekad untuk mengubah tulisan tangan aku. Rata-rata orang yang aku tanyakan mengatakan sukar untuk menukar tulisan tangan, terutamanya pada usia yang sudah banyak. Sehinggalah aku mengetahui tentang tulisan cursive. Aku belajar menulis semula. Walaupun aku tidak berjaya menulis dengan kaedah kaligrafi yang tepat, tetapi aku berjaya mengubah tulisan tangan aku.

    Semasa aku mencari panduan dan rujukan untuk memperbaiki tulisan tangan, aku mula berjinak menggunakan fountain pen, dengan italic nib sebgaai mata pena pilihan. Minat yang baharu ini membawa aku kepada komuniti pengguna fountain pen yang amat sinonim dengan aktiviti menulis journal. Daripada komuniti ini aku mengenali Midori Traveler's Notebook [MTN]. Sejak dari itu MTN dan fountain pen menjadi aparatus utama aku untuk menulis journal.

Daripada pen dan kertas kepada pensel dan skrin digital.

    Tidak banyak journal aku yang awal-awal itu masih tersimpan. Ada yang dibuang, ada yang dibakar. Jangan tanya kenapa. Kebanyakan yang masih ada aku simpan ialah helaian - helaian MTN yang hampir penuh sebekas.

    Kini aku ingin meneroka penulisan journal dalam bentuk digital. Salah satu kelebihannya ialah aku dapat mencari kembali tulisan terdahulu dengan fungsi carian terbina dalam. Notability mempunya fungsi ini. Terdapat banyak juga aplikasi lain yang turut mempunyai aplikasi yang sama. Aku pernah mencuba untuk menulis journal secara digital menggukan komputer atau laptop malahan secara atas talian.

    Malangnya, kedua-duanya mempunyai kaedah kunci masuk yang sama, iaitu menggunkan papan kekunci. Menaip di papan kekunci tidak sama dengan menulis di atas kertas menggunakan pen dan kertas. Keasyikannya berbeza. Menulis journal dengan papan kekunci tidak kekal lama bagi aku. Aku sentiasa kembali kepada pen dan kertas.

Jadi, sekarang aku telah mempunyai sasaran untuk menggantikan sistem yang selama ini aku amalkan. Mungkin aku memerlukan sedikit masa untuk menjadikannya nyata. Tetapi, setiap kali aku menetapkan hati aku kepada sesuatu, akan akan sentiasa teruja dan bersemangat untuk mencapainya. Mungkin aku akan dapatinya sedikit masa lagi.

Mungkin juga aku memerlukan sedikit masa sehingga generasi iPad Mini yang lebih baharu dilancarkan. Ipad Mini generasi ke 7 dikhabarkan akan dilancarkan seawal bulan September 2023 ataupun awal tahun 2024. Itu hanya khabar angin yang mungkin benar atau tidak. Sepanjang pemerhatian aku, khbar angin ini tidar keluar setiap tahun.

    Mungkin yang lebih baharu itu lebih baik. Kebiasaanya apabila Apple mengumumkan pelancaran ipad yang baharu, generasi yang sebelumnya akan dihentikan penjualan di laman sesawang rasminya. Semua kemungkinan ini hanya akan terungkai dengan masa.

Kesimpulan : Peningkatan produktiviti yang dapat dilaksanakan bagi aku dengan iPad Mini generasi ke-6:

  1. Menjadi medium penulisan dan arkib journal.
  2. Menjadi alat menulis draf untuk kandungan blog.
  3. Menjadi media untuk kegunaan brainstorming.
  4. Menjadi media mudah alih untuk bahan bacaan digital
  5. Menjadi penanda aras status sosial sebagai pewaris CEO Megah Holding.😆



This post first appeared on Mengejar Rinngit, please read the originial post: here

Share the post

Aku berhajat kepada iPad MIni generasi ke-6 pada tahun 2023.

×

Subscribe to Mengejar Rinngit

Get updates delivered right to your inbox!

Thank you for your subscription

×