Get Even More Visitors To Your Blog, Upgrade To A Business Listing >>

Nilaikan harga barang dalam kiraan gram emas.

Tags: tok chu emas

Tok Chu menghampiri aku. Ada sesuatu yang dipegang ditangan kanannya. Sampainya di meja batu tempat aku selalu beristirahat antara waktu Maghrib dan Isya, Tok Chu melabuhkan punggunya bertentangan dengan tempat duduk aku. Barang yang dijinjitnya tadi diletakkan dihadapan aku. Sesuatu yang dibalut kain hitam.

"Apa tu Tok?", soal aku yang sememangnya menenati teman utnuk bersembang.

"Bukalah" Tok Cu memberi izin.

Aku membuka balutan kain itu secermat mungkin. "Mata lembing," ujarku spontan apabila balutan itu mendedahkan isinya.

"Tombak lama aku," Tok Chu memintas.

Beza ke lembing dengan tombak? soal aku pada diri sendiri di dalam hati.

"Wah, tombak magic ke ni Tok Chu? Boleh terbang ke? Pernah makan darah orang ke?" Aku sengaja memancing dengan soalan yang pelbagai agar Tok Chu membuka cerita.

"Tahyul semua tu, asal senjata melayu je kau ingat boleh terbang, dah bunuh orang, ada khadam. Mata tombak tu biasa je, aku beli masa muda. Lama aku simpan," Tok cu tersengeh menerangkan. 

"Ooo antik la ni," aku menyahut. "Belum. Antik tu usianya harus seratus tahun atau lebih lama. Kalau kurang daripada seratus tahun, orang panggil lama je." Tok Chu berkongsi pengetahuan dengan aku.

Aku angguk sambil meneliti mata tombak itu. Beisnya kelihatan utuh dan berpamor. Inilah kali pertama aku melihat mata tombak yang berpamor. Tidak, inilah mata tombak pertama yang aku lihat sedekat ini. Aku mengingati kembali, aku hanya pernah melihat tombak di dalam buku, secara maya atau paling hampir pun di muzium.

Aku terus meneliti mata tombak berpamor itu. Ada ukiran kemasan dipangkalnya.

"Nak jual ke ni? Berapa Tok Chu beli dulu?" Aku menyambung soalan.

"Aku beli tahun 1996, 200 ringgit. Belum RM, belum MYR lagi masa tu," Tok Chu memberikan jawapan.

"Kalau nilai duit sekarang kira RM 2,000 la kot ye?," Aku menduga. "Senang benar kau congak," pintas Tok chu. Aku tergelak.

"Mari aku ajar cara nak kira harga barang lama dalam duit semasa," Tok Chu sedia berkongsi ilmunya. Aku mengubah posisi menunjukkan minat untuk belajar.

"Pernah dengar orang kata emas kalis inflasi?" Aku angguk.

"Emas secara ammnya memang kalis inflasi. Apa yang aku boleh beli dengan satu gram emas 50 tahun dahulu, sama dengan apa yang kau boleh beli dengan satu gram emas pada hari ini. Jadi contohnya kau beli sesuatu hari ini, harganya dua ribu ringgit. Congak dalam kepala lebih kurang berapa gram emas yang boleh dibeli dengan harga dua ribu ringgit."Tok Chu mengemukakan konsep yang baharu bagi aku.

"Sekarang ada internet, senang je nak semak. Dua ribu ringgit lebih kurang 7.682 gram emas," pantas aku menaip kekunci maya di telefon bimbit, mencari nilai satu gram emas dalam ringgit Malaysia, atau MYR singkatannya.

"Bagus. Kemudian kau simpan berpuluh tahun barang itu, kau tunjuk pada cucu kau. Nyatakan harganya dalam gram emas seperti yang kau cakap tadi. Mesti senang dia dapatkan harga setara pada masa itu dengan nilai segram emas pada masa itu. Contohnya pada tahun 1996 aku beli dengan harga dua ratus ringgit, bersamaan 5.6 gram emas pada ketika itu. Kalau sekarang kau bertanya berapa, cuba tengok harga 5.6 gram emas pada hari ini di telefon kau tu." Tok Chu mencadangkan.

Aku lantas menaip. "Hari ini 5.6 gram emas berharga RM1,456." Aku membaca angka yang tertera di layar telefon bimbit aku.

"Ha, itulah harga tombak aku kalau dalam duit hari ini dengan emas sebagai nisbah senilai," Tok Chu merenung aku.

Aku mengangguk-nganguk. Bernas juga kaedah Tok Chu ni. Detik hati aku dalam diam memuji. Aku selalu mencatit dalam buku catcatan aku harga barang-barang yang pada aku beli dan agak mahal. Sebagai kenagan dan rujukan pada masa hadapan. Mulai hari ini, aku boleh mula mencatat harga setara dalam nilai berat emas dalam ukuran gram.

"Emas kalis inflasi ni bukan omong kosong orang mejual goldbar atau gold saving account je ke Tok Chu? Janji menis mereka pad apelanggan kan?" aku cuba menduga pandangan Tok Chu dalam format pelaburan emas sekarang.

"Emas tu kalau dinilai ikut gramnya sahaja insyaAllah kalis inflasi. Tetapi orang sekarang nak untung cepat. Mereka perkenalkan susut nilai. Kalau kau beli seutas rantai emas, sebaik sahaja kau bayar, kau nak jual balik pada peniaga itu juga, apa akan jadi?" Secara retorik Tok Chu menyoal. "Tak akan dibelinya dengan harga tadi. Dibelinya dengan harga susut nilai. Cuba engkau fikirkan apa yang susutnya? Wajar atau tidak susut nilai itu."sambung Tok Chu.

"Wujudnya harga jual emas dan harga beli emas yang berbeza inilah yang merosakkan kredebiliti emas sebagai logam kalis inflasi," Aku mengganguk bersetuju dengan pendapat Tok Chu. "Tak logik kan, apabila hendak dijual kepada kita peniaga atau ejen emas kata ianya kalis inflasi, tetapi apabila kita hendak jual kembali kepada mereka, susut pula nilainya menurut mereka. Bukankah mereka yang berkata harga emas akan naik tidak akan turun?" Tok Chu melontarkan soalan yang tidak berkehendakkan jawapan.

"Habis tu, upah simpan emas pula macam mana?," Aku menyoal. "Itu upah, bukan harga emas. Penyimpan mendapat upah dengan menjaga keselamatan emas engkau, malah memberi jaminan akan menggantikannya jika hilang atau rosak. Wajarlah wujud upah simpan dan wajarlah engkau membayarnya. Kalau nak jimat simpan sendiri. Risiko tanggung sendiri." Panjang lebar Tok Chu menerangkan.

"Kalau di kedai emas pula. Harga emas dalam gram, kemudian ditambah pula harga upah emas. Upah apa itu?," Aku menyoal lagi.

"Upah sentiasa berkaitan dengan kerja. Tukang emas mencurahkan kemahirannya untuk memurnikan ketulan emas, membentuk dan mengukir sehinggalah terbentuknya barang kemas yang cantik dan menarik, jadi, wajarlah tukang emas menjualnya lebih dari harga emas tersebut menurut beratnya di dalam gram." Tok Chu menyatakan pendiriannya.

"Malah, kalau ada dua barang kemas daripada emas, beratnya sama sepuluh gram. Yang satu mutunya emas 916 satu lagi mutunya emas 999. Tentulah mutu yang lebih tinggi harganya lebih mahal, walaupun berat emas tersebut dalam gram sama sahaja.." Tok Chu meneruskan hujah. Aku bersetuju dengan hujah itu.

"Ooo emas 916 tu berbeza dengan emas 999 ye. Mutu maksudnya," aku yang selama ini memang tak pernah tahu perbezaan itu mencelah.

"Lebih tepat lagi, maksudya ialah peratus logam emas. Emas 999 itu maksudnya 99.9% bahan itu ialah emas. Emas 916 enam itu maksunya 91.6% peratus ialah emas, selebihnya campuran logam lain. Kalau kurang sangat campuran emasnya, dah tak dipanggil emas oleh orang. dipanggil suasa. Rendah nilainya" Tok Chu menerangkan.

Yang kusangka emas, rupanya hanya suasa.

Karenah lama, member nak layan pun dah tak kuasa.

Tiba-tiba lagu Mambang nyanyian Altimet berkumandang di dalam kepada aku.

"Kenapa rendah peratus emasnya? Nak ambil untung lebih ke?," Soal aku keliru.

"Bukan. Emas 999 itu sifat fizikalnya lebih keras tapi lebih rapuh daripada emas 916. Lebih sesuai dijadikan jongkong emas, cincin, anting-anting atau lain-lain bentuk barang kemas yang ringkas. Apabila emas ini dicampurkan dengan logam lain, ianya lebih mudah dibentuk dan lebih sukar untuk patah kerana lebih mudah lentur. Jadi lebih sesuai untuk dijadikan barang kemas yang mempunyai rekaan yang lebih rumit dan cantik. 91.6% ialah nilai campuran terbaik yang telah diketahui oleh tukang pandai emas sejak turun - temurun." Tok Chu menerangkan secara mendalam perbezaan diantara emas 916 dan emas 999.

"Begitu juga kalau dua loket emas yang sama beratnya dan sama mutunya, satu kasar buatannya, satu lagi halus buatannya. Tentulah yang lebih halus itu lebih cantik, lebih mahal harganya. Walaupun harga emas mengikut gramnya sama, harga upahnya berbeza menjadikan jumlah harga jualannya berbeza. Kecantikannya berbeza. Untuk menghasilkan rekaan yang lebih menarik, kemahiran yang lebih tinggi diperlukan. Disitulah nilai upah yang dibayar oleh pembeli. Dalam keadaan ini pada pendapat aku patut harganya berbeza." Tok Chu menamatkan bicaranya.

"Logik juga tu. Daripada lembing, eh, tombak sampai ke topik emas, sebenarnya apa hajat Tok Chu? Kalau nak jual, saya tak nak beli. Minat tu ada la sikit-sikit dengan senjata tradisional ni. Di rumah tu, ada sebilah keris, itupun diwarisi dari arwah ayah saya. Walaupun minit seidkit, saya tidaklah sampai membeli senjata untuk koleksi. Duit pun bukan ada," Aku cuba ayat yang beralas menolak lebih awal sekiranya Tok Chu cuba menjual kepada aku.

"Lembing itu yang runcing matanya. Kalau lebar macam ni, tombak namanya," Tok Chu menyahut sambil menyampaikan ilmu. Itu yang aku suka berbual dengan Tok Chu. Bualnya tidak kosong. Bagi yang sudi mendengar, sentiasa ada ilmu yang baharu.

"Aku tahu kau pokai. Aku bukan nak jual. Aku nak upah kau ambil gambar cantik-cantik. Ada orang nak masukkan dalam buku." Ujar Tok Chu. "Kau kan ada kamera canggih, boleh buat tangkap gambar dalam rumah tu," To Chu menambah.

"Product photography," kataku mengangguk-nganguk. Tok Chu masih ingat lagi hobi aku. Kagum aku. Tak pernah pula aku terlintas hendak menjadikan hobi menangkap gambar itu sebagai pendapatan sampingan. Nampaknya secara halus Tok Chu cuba nak menyedarkan aku aku ada kemahiran yang boleh dijadikan sumber kewangan tambahan.

Cuma aku yang tidak berusaha. Aku selalu beralasan. Aku tidak cuba buat duit menggunakan kamera itu kerana aku belum mempunyai macro lens. Padahal, hakikatnya, aku masih boleh bermula dengan apa yang ada terlebih dahulu.

"Ha... yang itulah. Nanti lepas Isya bawa balik mata tombak tu, simpan sehari dua, ambil gambar cantik-cantik. Upahnya kau cakap nanti berapa, aku bayar." Tok Chu mengemukakan usul.

"Tak pe la Tok Chu, saya tolong je. Tak payah bayar," Aku menyahut tanda setuju.

Tiba-tiba Tok Chu memandang aku dengan serius. "Kalau kau pandai dalam sesuatu, jangan buat secara percuma, kecuali kalau kau buat untuk menolong orang susah. Ingat tu!" Tegas nada Tok Chu.

"Baik Tok," tanpa berfikir, secara spontan sahaja aku menjawab.

"Dah. Jom Isya," Tok Chu bangun dari kerusinya.

Belum sempat aku menyahut, azan Isya berkumandang.

Aku hairan bagaimana Tok Chu sentiasa menghabiskan bicaranya sebaik sahaja sebelum azan.

Kasyaf agaknya orang tua ni. Aku terfikir di dalam hati.

Aku bangun menuruti Tok Chu. Ketika itu baru aku perasan, aku duduk menghadap jalan raya dan pintu pagar masuk ke masjid. Tok Chu duduk menghadap masjid, dari kedudukannya itu, melalui pintu masjid, dia boleh nampak Tok Bilal berdiri untuk melaungkan azan di sebelah mimbar imam.

Kasyaf kau! kataku pada diri sendiri.

Laju mempercepatkan langkah ke kolah masjid.




This post first appeared on Mengejar Rinngit, please read the originial post: here

Share the post

Nilaikan harga barang dalam kiraan gram emas.

×

Subscribe to Mengejar Rinngit

Get updates delivered right to your inbox!

Thank you for your subscription

×