Get Even More Visitors To Your Blog, Upgrade To A Business Listing >>

Jumlah Penagih Meningkat, Selangor Paling Ramai

KUALA SELANGOR, 21 September- Kes penagihan dadah dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini meningkat kepada 118,920 penagih iaitu peningkatan sebanyak 27 peratus berbanding 93,534 yang dicatatkan dalam tempoh sama tahun lepas.

Angka itu jelas menunjukkan betapa seriusnya gejala ini berlaku dengan menyaksikan Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu antara negeri yang mencatatkan nisbah tertinggi bagi setiap 100,000 penduduk terlibat dengan masalah penyalahgunaan.

Manakala Selangor mencatatkan jumlah penagih tertinggi.

Ketua Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Sutekno Ahmad Belon berkata trend peningkatan itu dilihat semakin merisaukan dengan lebih separuh jumlah tersebut terdiri daripada golongan belia.

“Pada tahun lepas lebih 137,000 penagih dadah direkodkan dan 65 peratus daripada jumlah penagih itu melibatkan golongan belia dan remaja.

“Berdasarkan trend penyalahgunaan bahan terlarang itu dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini, penggunaan dadah sintetik dilihat lebih tinggi berbanding dadah organik,”katanya.

Sutekno berkata, antara faktor yang menyebabkan golongan remaja dan belia terjerumus dalam kancah tersebut adalah waktu lapang mereka tidak diisi dengan sebarang aktiviti.

“Oleh kerana itu, kita telah lancarkan Skuad Antidadah pada tahun ini untuk memastikan golongan belia ada aktiviti yang berfaedah yang boleh dilaksanakan dan kita akan pelopori melalui skuad ini.

“Kita menyasarkan untuk menarik seramai satu juta ahli Skuad Antidadah menjelang pertengahan tahun hadapan dan setakat ini, kita telah memperoleh seramai 120,000 ahli.” katanya.

Selain itu, pihaknya turut menyasarkan kadar penagihan dadah berada bawah 400 orang daripada 100,000 penduduk dalam negara ini menjelang 2025, berbanding 426 orang daripada 100,000 penduduk direkodkan tahun lepas, menerusi pelbagai inisiatif agensi itu.

Sutekno turut menasihatkan ibu bapa supaya tidak menyembunyikan ahli keluarga yang terkesan dengan ketagihan dadah dan tampil ke AADK untuk mendapatkan rawatan.

“Mencegah itu lebih baik daripada mengubati dan ia perlu bermula dari rumah dan diketuai oleh keluarga itu sendiri yang sepatutnya melindungi anak masing-masing,” ujarnya lagi.

The post Jumlah Penagih Meningkat, Selangor Paling Ramai first appeared on Medialah Malaysia.



This post first appeared on The News Malaysia, please read the originial post: here

Share the post

Jumlah Penagih Meningkat, Selangor Paling Ramai

×

Subscribe to The News Malaysia

Get updates delivered right to your inbox!

Thank you for your subscription

×