Get Even More Visitors To Your Blog, Upgrade To A Business Listing >>

Jualan Sukan Rahmah Bermula Sabtu Ini

KUALA LUMPUR, 14 September- Selepas Litar Antarabangsa Sepang telah memperkenalkan tiket MotoGP Rahmah, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tampil dengan inisiatif Jualan Sukan Rahmah (JSR) 2023 membabitkan penglibatan 10 syarikat peruncitan sukan bermula Sabtu ini sehingga 15 Oktober depan bersempena sambutan Hari Malaysia ke-60.

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata jualan barangan sukan dengan harga murah dan berpatutan yang akan dibuat secara fizikal dan maya itu turut diadakan sempena meraikan Hari Sukan Negara pada 14 Oktober nanti.

Beliau berkata, jualan yang diinspirasikan daripada Menu Rahmah hasil cetusan idea Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub itu, mampu meningkatkan penglibatan rakyat dalam aktiviti sukan dan rekreasi.

“Secara tidak langsung, penglibatan lebih ramai rakyat dalam kegiatan sukan akan melahirkan masyarakat yang sihat dan cergas, selari dengan Visi Sukan Negara 2030 iaitu Malaysia mencapai status Negara Bersukan menjelang tahun 2030,” katanya.

Kesemua 10 syarikat terlibat ialah Al-Ikhsan Sport Sdn Bhd di semua 187 cawangan, Gatti (M) Sdn Bhd (27); Leonian (Malaysia) Sdn Bhd (20); MST Golf Group Berhad (1); Team Delta Rovers Malaysia Sdn Bhd (1); dan Maxx Sports Sdn Bhd (2).

Turut terlibat, Original Classic Holdings Sdn Bhd (71); Hakka Clo Plt (1); Pro Apparel Group Sdn Bhd (1); dan Decathlon Malaysia Sdn Bhd (14 cawangan).

Hannah berkata seterusnya beliau akan mengadakan perbincangan dengan pihak industri sukan yang menyediakan servis, fasiliti atau gelanggang sukan dengan kos yang berpatutan supaya orang ramai mampu menggunakannya.

“Laporan tinjauan perbelanjaan isi rumah 2019 menunjukkan kos peralatan sukan renang, baju renang dan gogal hanya sekitar RM150, berbanding kos kelas renang RM200-300 bagi empat sesi di sekitar Lembah Klang. Hanya beberapa aktiviti seperti memanah, ekuestrian dan menembak memerlukan kos signifikan untuk peralatan.

“Tetapi bagi acara lain yang banyak diceburi kanak-kanak dan orang awam memerlukan kos lebih tinggi untuk kelas latihan dan jurulatih. Pengurangan kos penting untuk galak penyertaan kanak-kanak dalam aktiviti sukan supaya kita mempunyai pembangunan bakat sukan, kalau tidak, mereka hanya bermain ikut suka hati tanpa hala tuju,” katanya.

Sebelum ini Hannah telah mencadangkan supaya kos latihan sukan diberi pelepasan cukai pada Belanjawan 2024, yang bakal dijangka dibentangkan pada bulan depan.

Semalam, Litar Antarabangsa Sepang telah memperkenalkan tiket Rahmah serendah RM49.90 bagi menyaksikan Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) di Grand Prix (GP) Malaysia 2023, November ini.

The post Jualan Sukan Rahmah Bermula Sabtu Ini first appeared on Medialah Malaysia.



This post first appeared on The News Malaysia, please read the originial post: here

Share the post

Jualan Sukan Rahmah Bermula Sabtu Ini

×

Subscribe to The News Malaysia

Get updates delivered right to your inbox!

Thank you for your subscription

×