Get Even More Visitors To Your Blog, Upgrade To A Business Listing >>

Dua Rakan Mengaku Salah Rompak Hotel, Dihukum Penjara Dan Sebat

KLUANG – Dua sahabat dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas pertuduhan merompak hotel di Simpang Renggam, bulan lalu.

Tertuduh, Muhammad Arif Mohammed Kasim, 26, dan Kajenthiran Supramaniam, 37, membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mujib Saroji.

Mereka berdua didakwa telah melakukan rompakan berkumpulan dengan menggunakan senjata sebilah parang dan spanar ke atas seorang warga emas serta mengambil sebuah telefon bimbit jenama Oppo berwarna hitam dan wang tunai kira-kira RM200.

Kesalahan didakwa dilakukan di kaunter sebuah hotel di Simpang Renggam di sini kira-kira pukul 7.40 pagi pada 25 Julai 2023.

Dakwaan dilakukan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 397 kanun yang sama memperuntukan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat.

Muhammad Arif Mohammed Kasim turut mengaku salah ke atas satu lagi pertuduhan iaitu merompak sebuah hotel di bandar Kluang bersama seorang lagi yang masih bebas.

Kesalahan didakwa dilakukan di sebuah hotel di Jalan Sultanah kira-kira pukul 12.55 malam pada 5 Julai 2023.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nur Ramizah Razli memohon kedua-dua tertuduh dikenakan hukuman setimpal berikutan kesalahan merompak menggunakan senjata.

Bagaimana pun, Muhammad Arif yang bekerja sebagai pemandu lori tidak diwakili peguam merayu hukuman diringankan dengan alasan mempunyai dua orang anak berusia 6 bulan dan 4 tahun selain isteri sedang mengandung berusia sebulan.

Manakala Kajenthiran yang tidak bekerja turut tidak diwakili peguam merayu hukuman diringankan dengan alasan isterinya sedang mengandung berusia tiga bulan selain perlu menjaga ibu mertua yang sudah uzur.

Mahkamah kemudiannya menetapkan Muhammad Arif Mohammed Kasim dikenakan hukuman penjara lima tahun dari Tarikh Ditangkap Serta dua sebatan bagi kesalahan pertama manakala bagi kesalahan kedua hukuman penjara lima tahun dari tarikh ditangkap serta satu sebatan. Kedua-dua hukuman dijalankan serentak.

Sementara Kajenthiran Supramaniam yang turut mempunyai rekod kesalahan lampau dibawah Seksyen 397 Kanun Keseksaan (KK), dikenakan hukuman penjara lapan tahun serta tiga sebatan. 

Sumber : Kosmo

The post Dua Rakan Mengaku Salah Rompak Hotel, Dihukum Penjara Dan Sebat first appeared on Medialah Malaysia.



This post first appeared on The News Malaysia, please read the originial post: here

Share the post

Dua Rakan Mengaku Salah Rompak Hotel, Dihukum Penjara Dan Sebat

×

Subscribe to The News Malaysia

Get updates delivered right to your inbox!

Thank you for your subscription

×