Get Even More Visitors To Your Blog, Upgrade To A Business Listing >>

Bayar RM600 Dapat ‘Lesung Pipit’, Trend Baru Yang Berisiko Meninggalkan Kesan Buruk Pada Wajah

Muncul trend terbaru apabila ramai individu yang taasub pada kecantikan sanggup melakukan pembedahan lesung pipit palsu menggunakan khidmat individu tidak bertauliah.

Golongan ini berani menadah risiko dan kesan pada wajah dengan mendapatkan khidmat pakar estetik haram yang menawarkan khidmat pada harga murah.

Malah, golongan tidak bertauliah yang menyediakan perkhidmatan itu secara terang-terangan mempromosikan khidmat mereka di media sosial.

Tidak sekadar itu, terdapat juga pempengaruh mempromosikan khidmat Membuat Lesung Pipit tanpa tauliah di platform media sosial mereka.

Bersandarkan sijil perniagaan daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) yang digantungkan di premis rawatan kecantikan, ia sudah memadai memancing kepercayaan mereka yang taasub untuk mendapatkan bentuk wajah baharu diinginkan.

Berhubung harga yang ditawarkan pula, kumpulan wartawan dimaklumkan harga bagi membuat sepasang lesung pipit adalah sekitar RM600.

“Dari segi proses hanya sekejap sahaja sekitar 20 minit. Proses buat lesung pipit juga tidak sukar sebab kita akan cucuk bahagian dalam pipi pelanggan dengan jarum.

“Kemudian masukkan benang, tarik benang itu dan biarkan benang di dalam pipi selama kira-kira seminggu dan benang akan hancur sendiri.

“Proses ini juga tidak sakit kerana kami akan membius sebanyak dua kali pipi pelanggan menggunakan krim bius. Jika rasa pun macam kena gigit semut,” katanya.

Menurutnya, selepas proses membuat lesung pipit itu, pelanggan perlu berpantang daripada memakan makanan laut kerana ia boleh menyebabkan kegatalan.

“Setakat ini, semua pelanggan kami berjaya buat lesung pipit ini tidak ada masalah. Dari segi ketahanan, lesung pipi yang dibuat boleh bertahan sehingga empat tahun.

“Sekitar dua minggu pertama sahaja lekuk di pipi akan nampak pelik selepas itu ia akan kelihatan semulajadi,” katanya.

Menurutnya lagi, bagi pelanggan yang mahu membuat lesung pipit di rumah turut boleh membuat tempahan awal dan caj perjalanan akan dikenakan.

“Mereka yang membuat lesung pipit di pusat kecantikan tidak bertauliah boleh mengalami lumpuh muka jika jarum digunakan terkena pada saraf muka,” tegas pakar estatik, Doktor Aidil Azry Mokhtar.

Katanya, perkara kedua yang dikhuatiri adalah jangkitan kuman meskipun jurukecantikan mendakwa sudah menggunakan bahan tertentu untuk menyahkuman.

“Bagaimanapun, ia belum tentu diyakini selamat. Di klinik estetik atau hospital yang menyediakan rawatan, doktor bertauliah amat mementingkan tahap kebersihan alatan digunakan.

“Doktor atau pakar bedah plastik biasanya akan melakukan prosedur membersihkan alat pembedahan mengikut kaedah khas yang dipelajari secara profesional bagi mengelakkan risiko jangkitan kuman,” katanya.

Tambahnya, alatan digunakan yang tidak bersih atau dicemari kuman boleh memberi kesan mudarat kepada kesihatan dan wajah pesakit.

“Berhubung penggunaan benang yang digunakan jurukecantikan bagi membuat lesung pipit, persoalannya adakah ia menggunakan benang daripada pembekal perubatan yang sah atau berdaftar?

“Bahan atau produk perubatan termasuk jarum yang digunakan hanya boleh dibekalkan kepada doktor yang bertauliah sahaja. Jadi, saya bimbang bahan yang dimasukkan ke dalam badan pesakit itu tidak selamat,” katanya.

Menurutnya, perkhidmatan jurukecantikkan untuk membuat lesung pipit di rumah atau hotel juga adalah suatu kesalahan kerana premis itu tidak diiktiraf berbanding klinik atau hospital.

“Rawatan di dalam kereta, rumah atau hotel tidak diyakini selamat dari segi kebersihan. Perkara ini penting supaya tidak ada kuman atau virus merbahaya di kawasan berkenaan menjangkiti pesakit ketika prosedur pembedahan berlangsung,” katanya.

Katanya, benang yang digunakan oleh jurukecantikkan juga boleh diragui dari segi kebersihannya kerana bahan itu perlu berada lama di dalam kulit pelanggan.

“Apabila kuman ini masuk ke dalam kulit, ia boleh berumah di dalamnya dan mencetuskan jangkitan kronik,” katanya.

Doktor Aidil berkata, sebagai doktor estetik, dia tidak melihat trend membuat lesung pipit sebagai satu keperluan kerana gaya rawatan kecantikan hari ini lebih terarah kepada nilai keaslian.

Pembedahan estetik bagi membentuk lesung pipit palsu di pusat yang tidak bertauliah adalah satu kesalahan serius dan melanggar undang-undang.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam kenyataannya memaklumkan, KKM hanya mengeluarkan sijil pentauliahan Letter of Credentialing & Privileging of Aesthetic Medical Practice (LCP) kepada pengamal perubatan berdaftar dan sijil pentauliahan itu dibenarkan untuk menjalankan prosedur perubatan estetik seperti pembedahan plastik.

Tambahnya, pembedahan plastik berkenaan termasuklah rhinoplasty, alarplasty, liposuction, kelopak mata-blepharoplasty, pembuatan lesung pipit, suntikan Botox dan Filler, laser, High Intensity Focused Ultrasound (HIFU) dan lain-lain lagi.

Menurut KKM, perkhidmatan perubatan estetik hanya boleh dilakukan oleh pengamal perubatan berdaftar yang bertauliah di premis berdaftar atau dilesenkan di bawah KKM.

Katanya, orang ramai perlu mengelak mendapatkan perkhidmatan perubatan estetik terutama prosedur invasif yang ditawarkan di rumah (door to door), hotel, salun kecantikan, medispa atau premis lain yang meragukan.

“Keraguan ini adalah kerana prosedur-prosedur ini berpotensi menyebabkan komplikasi kesihatan, kecacatan serta kematian kepada pelanggan jika dikendalikan oleh individu tidak berkelayakan,” katanya.

KKM sebelum ini turut menjalankan operasi dan serbuan di banyak pusat rawatan kecantikan yang dikesan menawarkan rawatan estetik secara haram terutamanya membabitkan suntikan vitamin C dan botox.

Sumber : Harian Metro

The post Bayar RM600 Dapat ‘Lesung Pipit’, Trend Baru Yang Berisiko Meninggalkan Kesan Buruk Pada Wajah first appeared on Medialah Malaysia.



This post first appeared on The News Malaysia, please read the originial post: here

Share the post

Bayar RM600 Dapat ‘Lesung Pipit’, Trend Baru Yang Berisiko Meninggalkan Kesan Buruk Pada Wajah

×

Subscribe to The News Malaysia

Get updates delivered right to your inbox!

Thank you for your subscription

×