Get Even More Visitors To Your Blog, Upgrade To A Business Listing >>

Kayda, Rapper Bertubuh Genit Yang ‘Len Macam’ (Lain Macam)

Seperti kata pepatah Melayu, diam-diam ubi berisi. Begitulah diibaratkan buat artis hip-hop wanita tanah air bertubuh genit dan bersemangat waja, Kayda Aziz.

Hampir setahun tidak muncul dengan mana-mana karya, kini dia kembali dengan single hip-hop terbaharu berjudul Len Macam hasil nukilannya sendiri dengan komposer muda berbakat, DJ Ziqq.

Kayda atau nama sebenarnya, Wan Nur Khaleda Aziz berkata, Lagu tersebut diibaratkan kelahiran semulanya sebagai seorang penyanyi.

“Saya anggap lagu ini ibarat kelahiran semula saya setelah sekian lama tidak menghasilkan single baharu,” ujar Kayda, 31.

Kayda mengakui terinspirasi menulis LEN MACAM daripada pemerhatian dan pandangan mata kasarnya tentang makna kehidupan.

“Saya mengambil masa untuk diri sendiri dengan memikirkan tentang kehidupan dan kerjaya kerana banyak yang telah saya lalui dalam kehidupan peribadi dan juga profesional. Kini saya kembali dengan lebih kuat, bijak dan baik daripada sebelumnya.

“Lagu ini menyaksikan transformasi saya sebagai seorang individu yang baharu dan dinaik taraf.

“Saya sering mendengar rakan-rakan dan keluarga menyebut ayat LEN MACAM ketika berborak, jadi saya rasakan ia idea yang bagus jika dijadikan lagu, manakala melodinya pula terinspirasi daripada lagu yang dibawakan oleh penyanyi Latin antarabangsa, Rosalía,” katanya.

Bergenre hip-hop, lagu berkenaan juga disulami unsur pop, R&B dan juga muzik reggae bagi menambah perisa dalam karya. Kayda hanya mengambil masa selama empat jam untuk merakamkan lagu dalam dua versi iaitu Melayu dan Inggeris.

“Selain proses rakaman lagu, rakaman MV (video muzik) berlarutan sehingga 20 jam yang memaparkan pelbagai visual dengan tujuh persalinan yang berbeza oleh pereka fesyen terkenal, Gillian Hung, Afiq M dan pereka hiasan kepala, Bremen Wong.

“Fesyen dan muzik sentiasa seiringan dengan saya, saya mahukan sebuah tema yang ceria dan menarik bagi menggambarkan keraian dan kekuatan, segalanya telah dilaksanakan oleh team Black Visuals Production,” tambah Kayda.

Sebagai anak seni, Kayda mahu menjadi artis versatil walaupun memulakan kerjayanya dengan muzik hip-hop dan kebanyakan lagu yang dihasilkannya sebelum ini mempunyai unsur, pop, R&B dan dansa.

“Sepanjang berada dalam industri muzik, banyak telah saya lalui, antara cabaran yang sering saya hadapi apabila dilaga-lagakan dengan rakan seindustri, manakala sebagai artis hip-hop saya juga turut dibandingkan dengan penyanyi rap lain yang ada di luar sana.

“Sebagai seorang wanita, kami sering berdepan dengan stigma dan mentaliti yang kaum hawa perlu akur kepada lelaki walaupun pintar, berbakat dan bersifat kendiri, ini sedikit sebanyak memberikan tekanan.

“Namun begitu, saya percaya dengan diri sendiri dan sentiasa memperbaiki diri di samping belajar menjadi lebih matang dalam apa jua situasi, anggaplah lagu LEN MACAM ini metamorfosis saya kepada Kayda yang baharu, semoga lagu ini dapat diterima oleh semua, dan juga kepada seluruh penggemar muzik,” katanya.

Lagu LEN MACAM boleh dimuat turun menerusi iTunes Store dan dijadikan sebagai nada dering panggilan menerusi ke semua syarikat telekomunikasi tempatan serta boleh didengar dan nikmati pada bila-bila masa melalui aplikasi penstriman atas talian utama seperti Apple Music, Spotify, Joox, YouTube Music, KKBox dan Deezer.

Sementara MV single LEN MACAM pula boleh ditonton secara eksklusif hanya menerusi saluran YouTube Kayda.

Sumber : Kosmo

The post Kayda, Rapper Bertubuh Genit Yang ‘Len Macam’ (Lain Macam) first appeared on Medialah Malaysia.



This post first appeared on The News Malaysia, please read the originial post: here

Share the post

Kayda, Rapper Bertubuh Genit Yang ‘Len Macam’ (Lain Macam)

×

Subscribe to The News Malaysia

Get updates delivered right to your inbox!

Thank you for your subscription

×