Get Even More Visitors To Your Blog, Upgrade To A Business Listing >>

Kereta Google Maps Sesat Dalam Kebun Tebu, Rupanya Termasuk Jalan Mati

SEBUAH kereta Google Maps tersesat di sebuah kebun tebu di Malang, Jawa Timur selepas mengikuti arahan pada aplikasi pemetaan tersebut, lapor stesen penyiaran CNN hari ini.

Dalam kejadian pada Khamis minggu lalu, kereta Honda HR-V yang mempunyai kamera pada bahagian atas bumbung itu melalui jalan mati tersebut selepas gagal berpatah balik akibat permukaan jalan yang licin selepas hujan.

Menyedari kenderaannya menghadapi masalah, pemandu berkenaan meminta tolong penduduk setempat sebelum mereka membantunya menggerakkan kereta itu sejauh 400 meter menggunakan tali.

“Pada awalnya, penduduk tidak mengetahui bahawa kereta Google Maps masuk ke kawasan itu kerana sekiranya kami tahu, pasti kami memaklumkan bahawa  ia  jalan mati,” kata seorang penduduk, Amin.

Menurut Amin, jalan ke kebun tebu itu sememangnya muncul pada Google Maps, namun ia sebenarnya jalan mati.

Tambahnya, itu bukan kejadian pertama kenderaan tersesat masuk ke dalam kebun tersebut kerana pada tahun lalu, terdapat sebuah kereta lain nyaris  melalui jalan sama.

Insiden itu menjadi perhatian pengguna media sosial yang menyuarakan rasa lucu apabila ia disifatkan seperti ‘senjata makan tuan’.

“Itu akibatnya kalau selalu buat orang sesat (Google Maps), sekarang anda sendiri yang sesat,” kata seorang netizen.

“Google Maps pun boleh tersesat. Kalau perempuan yang tersesat anda katakan dia tidak pandai membaca peta,” ujar pengguna lain.

Kereta Google Maps dikenali ramai kerana ia mempunyai kamera besar pada atas bumbung dan berfungsi merakam gambar di sekelilingnya ketika bergerak di jalan-jalan raya untuk pemetaan Street View.

Sumber gambar – Banjarmasin Post Tribun | Sumber laporan – Kosmo! Online

The post Kereta Google Maps Sesat Dalam Kebun Tebu, Rupanya Termasuk Jalan Mati first appeared on Medialah Malaysia.



This post first appeared on The News Malaysia, please read the originial post: here

Share the post

Kereta Google Maps Sesat Dalam Kebun Tebu, Rupanya Termasuk Jalan Mati

×

Subscribe to The News Malaysia

Get updates delivered right to your inbox!

Thank you for your subscription

×