Get Even More Visitors To Your Blog, Upgrade To A Business Listing >>

KPPA ditamatkan perkhidmatan, nikmati semua faedah persaraan yang layak

DATUK Seri Mohd Shafiq Abdullah ditamatkan perkhidmatannya sebagai Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) ditamatkan berkuat kuasa semalam.

Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali, berkata penamatan itu selaras dengan peraturan 49(3) Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 [P.U. (A) 395/1993], lapor Berita Harian.

Mohd Shafiq dibersarakan mengikut subseksyen 10(5)(d) Akta Pencen 1980 [AKTA 227] yang membolehkan beliau menikmati semua faedah persaraan yang layak baginya.

“Keputusan ini diambil setelah melalui semua prosedur bagi Penamatan Demi Kepentingan Awam (PDKA) dan telah diteliti keteraturannya oleh Jabatan Peguam Negara.

“Saya bagi pihak kerajaan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada YBhg. Dato’ Sri Mohd Shafiq bin Abdullah atas jasa dan khidmat bakti beliau kepada negara sebagai penjawat awam.

“Saya menyeru kepada semua penjawat awam untuk terus memberikan komitmen dan dedikasi dalam menjalankan tugas yang diamanahkan demi negara yang kita cintai,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Shafiq, 58, berkhidmat dalam perkhidmatan awam selama 30 tahun dengan jawatan pertama yang disandang sebagai Penolong Setiausaha di Bahagian Istiadat, Jabatan Perdana Menteri pada 1 Disember 1992.

Beliau yang sebelum ini menyandang jawatan Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan menggantikan Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman yang bersara wajib pada 16 Januari lalu.

Sekitar Ogos lalu, tular di media sosial berhubung dakwaan seorang pegawai tinggi kerajaan telah mengeluarkan kata-kata kesat terhadap seorang pegawai Jabatan Imigresen (Imigresen) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Rentetan itu, Mohd Zuki pada 7 Ogos lalu mengumumkan penubuhan satu Jawatankuasa Siasatan, yang dipengerusi Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun bagi menyiasat dakwaan insiden membabitkan seorang pegawai tinggi kerajaan dan pegawai Imigresen di KLIA itu.

Ia selepas Kabinet pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang ketika itu Perdana Menteri mengarahkan KSN menubuhkan jawatankuasa bagi menyiasat isu membabitkan Mohd Shafiq yang didakwa mengeluarkan kata-kata kesat terhadap seorang pegawai kanan Jabatan Imigresen (Imigresen).

Ismail Sabri dilaporkan berkata perkara itu dibincangkan Kabinet supaya siasatan dilaksanakan jawatankuasa khas yang ahlinya ditentukan KSN.

“Kabinet setuju meminta KSN melihat perkara ini dan menubuhkan jawatankuasa di peringkat dalaman bagi menyiasat perkara ini.

“Kita kena berlaku adil kepada semua pihak… yang mengadu dan diadukan itu, jadi kita serahkan jawatankuasa itu yang ditentukan KSN nanti,” katanya.

Mohd Shafiq berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains Politik (Kepujian) dari Universiti Kebangsaan Malaysia dan Ijazah Sarjana Pentadbiran Awam dari Universiti Meiji, Jepun.

Sumber: Berita Harian



This post first appeared on The News Malaysia, please read the originial post: here

Share the post

KPPA ditamatkan perkhidmatan, nikmati semua faedah persaraan yang layak

×

Subscribe to The News Malaysia

Get updates delivered right to your inbox!

Thank you for your subscription

×