Get Even More Visitors To Your Blog, Upgrade To A Business Listing >>

Kontrak Batal Baki Wang Dikembalikan

Pada dasarnya kontrak atau akad adalah perjanjian yang dipersetujui oleh dua pihak untuk mematuhi dan melaksanakan sesuatu kerja atau tanggungjawab dengan maksud bagi mendapat perolehan manfaat oleh kedua-dua pihak berkenaan mengikut bahagian kepentingan masing-masing. Dalam hubungan ini kedua-dua pihak yang berkontrak dikehendaki menunai serta memenuhi semua perbuatan yang telah ditentukan dalam perjanjian mengikut had dan tempoh yang ditentukan bagi memastikan masing-masing menyumbang kepada pencapaian maksud yang telah dipersetujui mengikut kontrak. Dalam dunia perniagaan moden, kontrak dimeterikan melalui dokumen perjanjian bertulis sebagai bukti dua pihak yang terbabit adalah terikat dengan kewajipan dan tanggungjawab tertentu supaya apa yang dipersetuju akan dipatuhi serta diterima dengan rela hati oleh pihak-pihak tersebut. Sesungguhnya kaedah menulis perjanjian ini telah menjadi suruhan dalam Islam, sebagaimana yang digariskan dalam al-Quran Surah al-Baqarah Ayat 282 yang bermaksud : “…Wahai orang-orang yang beriman ! Apabila kamu menjalankan sesuatu urusan dengan hutang piutang yang diberi tempoh hingga ke suatu masa tertentu maka hendaklah kamu menulis (hutang dan masa bayarannya) itu. Dan hendaklah seorang penulis di antara kamu menulisnya dengan adil (benar). Dan janganlah seseorang penulis enggan menulis sebagaimana Allah mengajarkannya…”. Seringkali pula kewajipan dan tanggungjawab yang menjadi asas sesuatu kontrak itu dimasukkan ke dalam isi kontrak bagi memenuhi peruntukan undang-undang tertentu.

Dalam operasi Takaful, dokumen kontrak dipanggil ‘sijil takaful’. Semua syarat dan peraturan yang menentukan kewajipan dan tanggungjawab atas penyertaan pelbagai produk takaful dijelas dan dinyatakan dalam sijil takaful. Setiap produk takaful mempunyai sijil masing-masing. Butiran syarat dan peraturan antara satu sijil produk takaful dengan produk takaful yang lain tidak sama. Di Malaysia, syarat dan peraturan sijil takaful ini pula wajar mengambilkira peruntukan-peruntukan Akta Takaful 1984 atau akta-akta lain yang berkaitan. Ia tidak boleh dibuat secara sembarangan atau sesuka hati sesuatu pihak sahaja.

Sekalipun sijil takaful dirangka, disedia dan diterbitkan oleh pengendali takaful sebagai salah satu pihak yang berkontrak, ini tidak bermakna syarat dan peraturan itu berat sebelah atau hanya kepada pengendali takaful, sehingga pengendali kebal dari apa-apa tanggungan dan memberi kedudukan berat sebelah yang menguntungkan. Sesuai dengan operasi takaful itu sendiri yang berasaskan amalan dan peraturan syariah, dengan diperkuatkan pula melalui peruntukan undang-undang, kandungan sijil takaful sebagai dokumen kontrak mestilah diperiksa, disemak dan diluluskan terlebih dahulu oleh lembaga syariah yang dipanggil Majlis Pengawasan Syariah (MPS) sebelum boleh diterimapakai. Pematuhan ini wajib disisi undang-undang kerana mana-mana pihak yang diberi lesen untuk menyediakan operasi takaful dikehendaki membentuk MPS masing-masing yang keanggotaannya terdiri daripada tokoh dan ahli syariah atau ilmuan yang berkaitan sebagaimana yang ditentukan dalam Akta Takaful 1984.

Selain keperluan undang-undang, syarat dan peraturan sijil takaful pada asasnya wajar setiap masa menjunjung serta memelihara prinisp ‘adil’ dan ‘ihsan’ mengikut syariah yang menjadi tonggak dalam menjaga kepentingan pihak-pihak yang berkontrak. Dalam konteks ini, pengendali takaful sebagai pihak yang mengurus operasi takaful dan sekaligus berperanan sebagai pemegang amanah bukan sahaja berkewajipan menjaga kepentingan tuanpunya pengendali iaitu pemegang saham, tetapi diwaktu yang sama harus menjaga hak dan kepentingan setiap peserta.

Meskipun syarat dan peraturan antara sijil-sijil takaful itu tidak sama, tetapi satu ciri penting yang menyeragamkan asas kontrak takaful adalah prinsip al-Mudharabah atau perjanjian hak berkongsi untung diantara peserta sebagai penyumbang Wang Sumbangan dengan pengendali sebagai pengusaha operasi takaful. Dengan kata lain, mana-mana pihak yang melanggani produk takaful, sebagai peserta, akan berhak mendapat untung daripada perolehan takaful sekiranya operasi takaful mencatat keuntungan sebagaimana yang ditentukan di bawah prinsip al-Mudharabah. Untung yang diagihkan kepada peserta adalah berasaskan amaun wang sumbangan yang dibayarnya. Tidak hairan sekiranya kadar untung yang diistiharkan 30% setahun, seperti yang dibayar oleh Takaful Malaysia, sebagai contoh maka genap tempoh sijil takaful, peserta akan memperolehi pulangan RM300 atas setiap RM1,000 sumbangan takaful yang dibayarnya.

Prinsip al-Mudharabah ini terpakai boleh dikatakan untuk semua produk takaful, sekalipun adanya beberapa pengendali takaful baru yang menggandingkan struktur ‘wakalah’ dalam kontrak takaful mereka. Di bawah struktur wakalah, pengendali berkenaan bertindak sebagai wakil peserta. Atas premis ini, sebagai wakil pengendali terbabit dibenarkan mengambil upah daripada wang sumbangan atau caruman yang dibayar peserta sebagai balasan menyertai pelbagai produk takaful mengikut amaun yang munasabah dan dipersetujui pula oleh peserta. Upah ini pada dasarnya akan menampung belanja pengurusan pengendali seperti imbuhan agensi, gaji pegawai, bayaran sewa menyewa dan seumpamanya. Dengan kata lain, disamping tujuan saling jamin menjamin sesama peserta jika berlaku kerugian akibat ditimpa musibah wang sumbangan peserta diambil sebahagian bagi membiayai perbelanjaan mengurus oleh pengendali. Ini berbeza dengan struktur al-Mudharabah seperti yang diamalkan Takaful Malaysia dimana tiada wang sumbangan diambil untuk membiayai belanja pengurusan pengendali.

Sedikit perbezaan antara struktur al-Mudharabah dan struktur al-wakalah ini menyebabkan kaedah pengiraan amaun wang sumbangan yang akan dikembalikan kepada peserta juga berbeza seandainya peserta membatalkan sijil takaful sebelum genap tempohnya.

Apapun mengikut peraturan syariah, setiap kontrak ada tempohnya. Bagi sijil takaful, tempoh ini bergantung kepada produk takaful itu sendiri. Secara umum, produk-produk takaful am yang disediakan bagi melindungi harta benda seperti rumah, kenderaan dan stok perniagaan, rata-rata menyediakan tempoh setahun, dan boleh diperbaharui apabila tamat. Sementara produk tabungan seperti Pelan Takaful Keluarga Dengan Tempoh Matang mempunyai jangkamasa penyertaan yang panjang; dari 10 tahun sampai 40 tahun.

Pada dasarnya mana-mana pihak yang ‘memecah’ akad dalam ertikata membatalkan sijil takaful masing-masing ditengah jalan, akan kehilangan segala hak dan keistimewaan mengikut sijil takaful berkenaan kerana peserta terbabit telah mungkir segala kewajipan dan tanggungjawab seperti yang diperuntukan dalam sijil. Sepatutnya dia perlu mengekalkan penyertaan sehingga genap tempoh tetapi membatal atau menyerahkan sijilnya lebih awal. Dalam konteks ini, bukan setakat kehilangan hak mendapat perlindungan di bawah konsep takaful, peserta juga sepatutnya tidak mendapat apa-apa kembali baki wang sumbangan bagi tempoh dibatal.

Tetapi urusan berkontrak di bawah syariah sentiasa mendahulukan prinsip adil dan ihsan. Oleh itu menafikan segala baki wang sumbangan bagi tempoh batal itu bererti adanya unsur tidak adil yang diamalkan pengendali terhadap peserta. Sebagai contoh, sekiranya peserta telah membayar wang sumbangan RM1,200 bagi melindungi kenderaannya di bawah Skim Takaful Kenderaan Berinjin untuk tempoh setahun, dan terpaksa membatalkannya selepas sebulan penyertaan kerana kenderaan yang dilindungi itu telah dijual. Jika berpegang keras kepada prinsip ‘siapa yang pecah akad akan hilang semua hak dan keistimewaan’ bermakna peserta berkenaan akan kerugian RM1,100 kerana itulah baki wang sumbangan untuk tempoh batal yang dikembalikan kepadanya.

Sebaliknya dalam amalan takaful, wang sumbangan untuk tempoh batal ini akan dikembalikan mengikut kiraan secara pro-rata. Oleh itu sekiranya tempoh batal bersamaan setengah tempoh penyertaan, amaun pengembalian adalah bersamaan 50% wang sumbangan. Bagi operasi takaful yang berstrukturkan al-wakalah kiraan pro-rata ini dibuat setelah menolak bahagian upah yang telah diambil pengendali bagi menampong belanja pengurusannya. Oleh itu baki yang dikembalikan adalah kiraan pro-rata dan ditolak bahagian upah yang telah diambil pengendali. Barangkali persoalan yang wajar dikaji selanjutnya ialah bagaimanakah upah yang telah diambil terlebih dahulu oleh pengendali itu harus dikira, sedangkan khidmat takaful belum sempat dilaksanakan sepenuhnya oleh pengendali kerana kontrak telah dibatal lebih awal.

Satu ciri penting yang membezakan operasi takaful dengan insurans konvensional dalam pengurusan pengembalian wang sumbangan adalah kaedah pengiraannya. Bagi takaful, sama ada pembatalan sijil takaful dibuat oleh peserta atau pengendali, kaedah pengembalian tetap sama iaitu mengikut kiraan secara pro-rata. Tetapi bagi insurans konvensional biasanya kadar khusus yang dipanggil ‘customary short period’ dikenakan. Biasanya kadar ini lebih tinggi berbanding kaedah pro-rata.

Apapun di bawah operasi takaful, pecah akad disebabkan pembatalan sijil, hak berkongsi untung mengikut prinsip al-Mudharabah gugur dengan sendirinya. Hak ini hanya berkuatkuasa selagi tempoh takaful kekal sehingga genap tempoh. Yang demikian peserta tidak lagi berhak dan tidak boleh menuntut berkongsi untung keatas bahagian wang sumbangan untuk tempoh yang telah terpakai. Perbuatan menuntut hak berkongsi untung sebegini akan menimbulkan amalan tidak saksama dan bercanggah dengan tonggak adil dan ihsan kepada peserta-peserta lain yang masih mengekalkan sijil takaful mereka.

The post Kontrak Batal Baki Wang Dikembalikan appeared first on ERATUKU.



This post first appeared on Eratuku, please read the originial post: here

Share the post

Kontrak Batal Baki Wang Dikembalikan

×

Subscribe to Eratuku

Get updates delivered right to your inbox!

Thank you for your subscription

×