Get Even More Visitors To Your Blog, Upgrade To A Business Listing >>

Pentingnya Takaful Semula Dalam Operasi Takaful

Dalam Takaful, khidmat atau kemudahan produk takaful semula amat penting sebagai jentera bagi menjana perkembangan dan pembangunan operasi takaful keseluruhannya. Secara mudah, takaful semula boleh diibaratkan seperti pakatan ‘kutu’ yang lazimnya dianjurkan oleh sekumpulan suri rumah bagi menambahkan tabungan keluarga. Melalui wang caruman atau sumbangan mengikut suatu tempoh yang disepakati bersama oleh semua ahli, seorang ahli akan dipilih mengikut giliran masing-masing untuk mendapat perolehan kutu berkenaan. Dengan cara ini setiap ahli berpeluang mempunyai perolehan secara sekaligus melalui pakatan saling bantu membantu yang akan meringankan beban kewangan.

insurans dan takaful

Meskipun takaful semula tidak sama berbanding pakatan kutu, matlamat meringankan tanggungan atau beban kewangan adalah tidak berbeza. Berasaskan prinsip ‘bersama kita teguh bercerai kita roboh’ sebagaimana tersirat dalam konsep takaful itu sendiri, pelaksanaan takaful semula adalah selaras dengan landasan Syariah. Melalui takaful semula, beban atau tanggungan setiap risiko yang dilindungi di bawah produk takaful tertentu dapat diagihkan. Yang demikian, seandainya berlaku sesuatu musibah sehingga membawa tanggungan tuntuntan yang besar di bawah produk takaful berkaitan, beban kewangan dapat diagihkan kerana apa-apa tanggungan di bawah risiko terbabit ditanggung secara bersama oleh sekumpulan Pengendali Takaful di bawah kemudahan takaful semula. Sudah pasti beban kewangan menjadi ringan jika ia dikongsi secara beramai-ramai berbanding hanya satu pihak sahaja yang memikulnya. Ikatan lidi seberkas sukar dipatah berbanding dengan hanya sebatang.

Sebagai contoh, sebuah bangunan katakan bernilai RM100 juta dilindungi di bawah Skim Takaful Kebakaran; jika ditakdirkan ia musnah akibat terbakar, tanpa kemudahan takaful semula sudah pasti pengendali takaful yang menerima perlindungan tersebut terpaksa menanggung beban kewangan RM100 juta seandainya bangunan berkenaan musnah keseluruhannya. Jika hanya 20% sahaja yang musnah, pun pengendali takaful bererti akan memikul beban tuntutan RM20 juta. Sekiranya ada cara lain yang lebih baik dan berkesan mengendurkan beban tangunggan kewangan seperti ini, sudah wajar pengendali takaful melakukannya. Usaha menjimatkan seberapa banyak belanja, selagi caranya tidak bercanggah syarak, harus diperhebatkan. Apatah lagi di bawah operasi takaful beban tuntutan ini ditanggung oleh kumpulanwang takaful yang disumbang oleh setiap peserta. Oleh itu sebagai pemegang amanah semua peserta, menjadi tanggungjawab pengendali menguruskan kumpulanwang berkenaan dengan jujur, telus dan sempurna.

Takaful semula merupakan antara langkah utama meringankan tanggungan kumpulanwang takaful. Melalui proses agihan takaful semula, tuntutan sebenar dan bersih yang kena dibayar oleh kumpulanwang berkenaan secara relatif sudah pasti kecil berbanding tanggungan kasar yang kena dibayar seandainya tiada bantuan kemudahan takaful semula.

Apapun mengikut turutan keperluan, operasi takaful berada di atas sebagai keutamaan. Berbagai produk takaful yang disediakan oleh pengendali takaful sebagai syarikat yang menyediakan produk-produk ini dapat memenuhi keperluan insurans masyarakat, khususnya yang beragama Islam berdasarkan peraturan Syariah. Dengan kata lain, perlu ada pengendali takaful terlebih dahulu sebelum diwujud dan dibangunkan operasi takaful semula. Namun setelah takaful sebagai industri khusus mula berkembang dengan asas yang kukuh, risiko yang turut dilindungi juga bertambah kecanggihannya. Daripada barangan mudah seperti rumah kediaman, kenderaan peribadi dan perorangan yang boleh dilindungi di bawah produk takaful biasa, sedikit demi sedikit barangan yang lebih canggih seperti kapal, kompleks yang besar, loji sehingga setelit mula dilindungi di bawah produk-produk takaful. Ini bererti kemungkinan takaful kena menanggung beban tuntutan yang besar tidak dapat dielakkan seandainya musibah menimpa barangan berisiko tinggi itu.

Malahan dalam undang-undang berkaitan insurans, termasuk juga takaful, seperti yang termaktub dalam Akta Takaful 1984 misalnya, pengendali takaful dikehendaki sentiasa memastikan dasar program takaful semula mengikut prinsip-prinsip yang kukuh dilaksanakan dengan sempurna. Tidak syak, keperluan seumpama ini semata-mata bertujuan menjaga kepentingan kewangan kumpulanwang takaful yang berupa dana semua peserta. Apalah takaful tanpa penyertaan peserta.

Pada masa ini kemudahan takaful secara keseluruhannya masih diperingkat kecil dan amat terhad kapasiti yang dapat disediakan. Atas hakikat ini pengendali takaful sedia ada di seluruh dunia mahu tidak mahu terpaksa berurusan dengan sektor insurans dan insurans semula konvensional bagi memenuhi keperluan takaful semula masing-masing. Cabaran kearah meningkatkan takaful semula telah ditekankan oleh Tan Sri Dato’ Seri Dr. Zeti Akhtar Aziz, Gabenor Bank Negara Malaysia ketika berucap di Persidangan Antarabangsa Takaful minggu lalu di London.

Sesungguhnya keperluan takaful semula sesuatu yang dikira ‘wajib’ bagi pengendali takaful memenuhi kehendak syarak berdasarkan prinsip setiap urusan kewangan Islam hendaklah mengikut keperluan Syariah seluruhnya dan kalau boleh wajar dielak dari bercampur dengan yang bukan Syariah. Namun kita harus realistik kerana seperti seorang bayi, takaful sebagai industri tidak mampu terus berlari. Apapun usaha khusus yang serious mesti diambil bagi merealisasikan takaful semula ini.

Dalam pada itu, atas asas keperluan mengikut prinsip berusaha mengelak sedaya mungkin dari bahaya para ulamak yang menganggotai Majlis Pengawasan Syariah (MPS) pengendali takaful mengambil keputusan kemudahan takaful semula harus diperolehi daripada sektor insurans dan insurans semula konvensional. Bagaimanapun faktor darurat yang mengharuskannya dikenakan syarat oleh ulamak seperti berikut :-

Pengendali takaful hendaklah menanggung sendiri sesuatu risiko yang ditakafulkan itu semaksimum mampu.

Jika kena berurusan dengan konvensional, keutamaan hendaklah dipilih syarikat insurans/insurans semula yang pemegang sahamnya adalah pihak awam terutamanya Kerajaan atau milik orang Islam.

Kemudahan takaful semula dengan konvensional tidak boleh membabitkan imbuhan komisyen yang dibayar oleh konvensional ini sehingga menjadi perolehan pendapatan kepada pengendali takaful atas ikatan agensi untuk mengelak keadaan takaful seolah-olah menjadi agen kepada organisasi yang bukan islamik.

Jelas seboleh-bolehnya syarak menghendaki takaful semula dilaksana dan diuruskan sesama dan diantara sektor takaful sahaja. Tetapi dalam operasi seperti insurans yang membabitkan tanggungan kewangan dan liabiliti, takaful perlu berhati-hati dalam memilih rakan takaful semulanya, lebih-lebih lagi dari sektor konvensional. Apapun takaful di Malaysia bersama rakan-rakannya di Asean secara khusus telah mengambil langkah mempertingkatkan kemudahan takaful semula sebagaimana yang ditekankan oleh para ulamak. Menyedari keperluan ini, Takaful Malaysia telah mempelopori penubuhan pengendali takaful semula yang khusus sebagai sebuah syarikat luar persisir di Labuan bersama pengendali takaful Asean dengan nama ‘Asean Retakaful International (L) Ltd (ARIL)’ yang mana kira-kira ľ sahamnya dimiliki Takaful Malaysia.

Berbekal modal awal AS$4 juta, ARIL kini dalam operasi tahun kelima telah berkembang selaras dengan kemunculan lebih banyak pengendali takaful di seluruh dunia. Kemudahan takaful semulanya melebar ke luar Asean sehingga ke Turki, Afrika Utara dan Iran, selain negara-negara Arab di Teluk dan di Timur Tengah. Dari tidak sampai 10 pengendali takaful yang berurusannya pada tahun pertama operasi, kini kira-kira 40 pengendali takaful seluruh dunia menjadi peserta ARIL. Kemajuan ARIL mendapat pengiktirafan apabila ia diterima oleh Kumpulan D-8 sebagai jentera untuk menyelaras dan mempromosikan pembangunan takaful di negara-negara D-8 khususnya dan OIC umumnya.

Kini hanya ada dua pengendali takaful semula yang beroperasi di dunia. Selain ARIL, ada Best-Re yang beribu pejabat di Tunis dan mempunyai juga cawangan luar persisir di Malaysia. Namun sebagaimana yang diputuskan oleh MPS, ARIL hanya dibenarkan memberi takaful semula kepada takaful atau syarikat insurans Islam sahaja. Langkah sedang diambil untuk memperkukuhkan kedudukan kewangan ARIL dengan cara menambahkan modalnya. Sememangnya sesebuah organisasi perniagaan memerlukan kekuatan kewangan bagi membolehkan operasi perniagaannya perbesarkan. Dalam konteks ARIL, peningkatan modal memampukan ARIL mempelbagaikan produk serta meluaskan kapasiti takaful semulanya.

Pada peringkat awal, keperluan peningkatan modal ini tidak perlu disegerakan memandangkan pasaran takaful ketika itu agak kecil dengan risiko yang dilindunginya bukan dari kategori besar dan khusus. Tetapi dalam tempoh 18 bulan yang lalu, pertumbuhan takaful amat ketara dengan kemunculan pengendali atau syarikat insurans Islam yang begitu banyak di seluruh dunia. Negara-negara seperti Pakistan, Bangladesh, Nigeria dan Mesir yang sebelum ini tidak kelihatan cenderung membangunkan takaful, mulai tahun ini membenarkan penubuhan pengendali atau syarikat berkenaan di negara masing-masing. Misalnya Bangladesh, dalam tempoh setahun yang lalu menubuhkan lapan syarikat takaful, Mesir satu, Nigeria membenarkan sebuah syarikat insurans konvensional menyediakan takaful dan Pakistan kini telah memberi kebenaran kepada beberapa pihak untuk berbuat demikian.

Perkembangan ini pastinya memberi prospek yang baik kepada sektor takaful semula. Operasi ARIL khususnya dijangka terus meningkat. Pengendali takaful atau syarikat insurans Islam akan dapat mengikis lebih besar pergantungannya kepada khidmat konvensional seperti yang dikehendaki syarak. Oleh itu sumbangan takaful kira-kira 5% akan meningkat sekurang-kurangnya 20% kepada takaful semula.

The post Pentingnya Takaful Semula Dalam Operasi Takaful appeared first on ERATUKU.



This post first appeared on Eratuku, please read the originial post: here

Share the post

Pentingnya Takaful Semula Dalam Operasi Takaful

×

Subscribe to Eratuku

Get updates delivered right to your inbox!

Thank you for your subscription

×