Get Even More Visitors To Your Blog, Upgrade To A Business Listing >>

Bagaimana Takaful Bantu Tabungan

Menabung atau menyimpan lebih mudah disebut daripada melaksananya. Sememangnya diterima menabung patut dimulakan segera; jangan sampai terantuk baru terngadah. Malangnya kenyataan ini kurang diberi perhatian. Lantarannya menabung jarang menjadi amalan utama dalam perancangan Kewangan seseorang. Sedang arus kepenggunaan semakin kuat mempengaruhi pola kewangan masyarakat, dibimbangi menabung akan dipandang suatu amalan ringan, tanpa mendapat keutamaan. Lumrahnya, seseorang lebih senang berbelanja dari menyimpan. Lebih merbahaya lagi jika perbelanjaan mengatasi keupayaan menyimpan. Tanda suka berbelanja tanpa mengimbangi kemampuan dapat dilihat daripada semakin meluasnya penggunaan pelbagai kad kredit oleh masyarakat. Malahan ada ibu bapa memberi kad kredit kepada anak-anak yang masih dibangku sekolah semata-mata untuk kemudahan belanja harian dan keperluan persekolahan anak mereka. Secara tidak langsung boleh memupuk budaya berbelanja yang mungkin membawa kepada pembaziran dan perpoya-poya.

takaful

Keluaran Negara Kasar (KNK)

Suatu tanda kuncupnya daya Tabungan terserlah pada kadar tabungan negara yang menurun ke paras kira-kira 30% Keluaran Negara Kasar (KNK) pada tahun lalu, berbanding kadar setinggi 42% KNK yang pernah dicatat satu masa dulu. Semua pakar ekonomi dan ahli perancang kewangan bersetuju tabungan diperingkat negara mustahak dan besar manfaatnya kerana sebahagian besar daripadanya boleh digunakan untuk membiayai projek pembangunan dan pelaburan. Jika jumlah tabungan melebihi keperluan belanja pembangunan, bererti negara tidak lagi perlu meminjam dan berhutang untuk kemudahan rakyat. Dalam konteks ini, meskipun menabung banyak manfaatnya kepada penabung itu sendiri dan keluarganya, tetapi di peringkat negara semua rakyat turut mendapat nikmat. Langkah yang membawa kesejahteraan umat dan masyarakat menepati tuntutan Islam.

Meskipun penurunan yang dialami, kadar tabungan ini masih dikira tinggi berbanding kebanyakan negara-negara membangun lain. Rata-rata kadarnya kurang daripada 20% KNK negara masing-masing. Ini tercapai kerana adanya program tabungan wajib disisi undang-undang seperti keperluan mencarum kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi mereka yang makan gaji serta caruman yang sama kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bagi menyediakan pampasan jika pencarum ditimpa musibah. Secara relatif, tabungan sukarela dikalangan masyarakat, terutamanya individu, kurang. Berbanding dengan masyarakat lain, yang paling kurang adalah menabung bumiputra yang kebanyakannya beragama Islam. Oleh itu jika berlaku sesuatu musibah atau kecemasan yang memerlukan banyak wang, ramai yang terpaksa memohon bantuan dan derma adalah di kalangan bumiputra. Sering dilaporkan melalui dada akhbar dan siaran televisyen permohonan seumpama ini.

Sebenarnya kesempitan sebegini tidak seharusnya menimpa masyarakat Islam. Bahkan sekiranya masyarakat bumiputra beramal sepenuhnya tuntutan Islam jumlah tabungan yang diperolehi pasti besar. Menabung adalah antara amalan yang amat dikehendaki dalam Islam berkaitan perancangan kewangan. Rasulullah menyuruh kita mencari rezeki secara yang halal untuk menyara dan menjaga kebajikan serta keperluan diri serta keluarga, dan diketepikan sedikit rezeki yang diperolehi itu untuk kegunaan semasa diperlukan. Ini menunjukkan bahawa menyimpan atau menabung sejajar dengan ajaran Islam. Oleh itu seseorang Islam harus mendisiplinkan diri berbelanja secara berhemah disamping memastikan sebahagian pendapatan yang diperolehinya sama ada gaji, upah atau untung perniagaan diketepikan secara tetap sebagai tabungan sebelum berbelanja.

Tujuan Untuk Kemudahan Asas

Dalam kehidupan moden, matlamat tabungan secara kasar bertujuan menunaikan tiga kemudahan asas. Setiap individu tidak boleh lari dari menghadapi usia tua dan zaman persaraan. Jika semasa bekerja punca pendapatan terjamin, kini punca ini tiada lagi kerana sudah bersara. Sebaliknya belanja sara hidup tetap ada. Oleh itu jika tabungan tidak dimulakan semasa muda pasti kesempitan kewangan akan terasa sebaik bersara. Dengan kata lain, tabungan perlu dibuat seberapa segera supaya dana persaraan dapat dikumpul lebih awal. Lebih lama tempoh menabung lebih besar dana yang akan dikumpul.

Wang juga diperlukan apabila seseorang jatuh sakit. Sungguhpun penyakit mudah menyerang seseorang yang sudah berusia, tetapi hakikatnya ia boleh datang bila-bila masa dan tidak mengenal usia. Ini menjadikan tua atau muda perlu sentiasa bersedia semoga penyakit yang menimpa tidak dibeban dengan derita kewangan. Pokoknya sejumlah wang perlu ada bagi memastikan kos rawatan terjamin. Oleh kerana wang tidak bulat untuk datang bergolek mahupun tipis untuk datang melayang, seawal tabungan menjadi penting. Yang demikian langkah menyediakan sejumlah wang khusus bagi menampung belanja perubatan adalah antara tujuan tabungan kehidupan zaman moden.

Persaingan Pendidikan

Seperti semua bidang yang biasa menjadi rebutan ramai, peluang pendidikan terutamanya diperingkat tinggi kini semakin sengit persaingan. Berbeza dalam era awal merdeka, ukuran kejayaan akademik seseorang pelajar lepasan menengah atau tamat tingkatan lima dilihat kepada gred sijil peperiksaan yang diperolehinya, kini gred sahaja tidak lagi penting. Nilai ukuran adalah bilangan �A� yang diskor. Apapun kecemerlangan akademik sahaja tidak cukup bagi menjamin mendapat tempat di institusi pengajian tinggi (IPT). Mesti ada wang secukupnya juga mustahak, kerana semua IPT sedikit sebanyak mengenakan bayaran. Misalnya sebelum diterima masuk seseorang pelajar dikehendaki menjelaskan wang pendaftaran. Setelah belajar dan lulus sijil atau ijazah tidak akan diserahkan selagi ada bayaran yang belum dijelaskan oleh pelajar. Ini belum diambilkira keperluan belanja harian, yuran asrama atau sewa tempat tinggal. Pendeknya tiada yang ada dan diperolehi tanpa wang. Justeru itu tabungan bagi menyediakan dana pendidikan menjadi penting.

Atas fakta ini, kesedaran menabung sesungguhnya perlu dibudayakan. Dengan cara ini masyarakat menjadi lebih peka dan terdorong untuk mengetahui produk-produk tabungan yang sesuai dengan matlamat serta keperluan kewangan masing-masing. Memandangkan tabungan lazimnya mengambil masa, sehingga bertahun-tahun untuk mencapai angka yang difikirkan perlu, jumlah keperluannya harus diberi perhatian dalam perancangan. Misalnya yang berkaitan dengan dana pendidikan masa depan anak-anak, unjuran belanja yang diperlukan wajar dikira dengan betul. Begitu juga dengan contoh belanja perubatan. Lain penyakit lain pula kosnya. Yang penting langkah pertama menabung harus dimulakan dengan segera dan seawal mungkin. Dalam konteks dana pendidikan tinggi, sebaik bayi dilahirkan, ibu bapanya terus merancang tabungan pendidikan masa depan anaknya itu. Kalau ditunggu sesudah anak meningkat usia 18 tahun, baru difikirkan tentang tabungan pendidikannya tiada banyak wang boleh dikumpul kerana sudah terlambat. Selewat-lewatnya perancangan sebegini harus bermula sebaik anak itu memasuki sekolah rendah.

Faktor kenaikan kos juga perlu diambilkira. Kos lazimnya meningkat mengikut masa. Sememangnya menjadi lumrah harga barang dan perkhidmatan tidak statik, malahan naik dari semasa ke semasa. Sekurang-kurangnya kos naik selari kadar inflasi. Sebagai contoh, kos rawatan hospital meningkat sehingga menjadi topik yang sering dibicarakan dalam media beberapa bulan lalu. Ini berikutan berita berlaku kenaikan premium polisi insurans perubatan dan kesihatan oleh beberapa syarikat insurans kerana pemegang polisi yang dimasukkan ke hospital berhadapan kos perubatan yang bertambah. Sekaligus amaun tuntutan polisi ini melonjak.

Sementara belanja pendidikan di IPT pada masa ini dianggarkan dalam lingkungan RM7,000 sehingga RM20,000 setahun bergantung kepada universiti awam (IPTA) atau universiti swasta (IPTS) serta bidang pengajian yang diambil. Satu kajian ringkas yang dibuat menunjukkan kos RM7,000 sekarang boleh melonjak kepada RM35,000 setahun 18 tahun akan datang. Sudah tentu lebih besar pula belanja diperlukan oleh ibu bapa yang bercadang menghantar anak belajar ke luar negara.

Semua matlamat tabungan yang berkaitan keperluan menyara hidup semasa bersara, mengumpul tabung belanja perubatan dan membentuk dana pendidikan tinggi anak-anak boleh dirancang melalui pelbagai produk kewangan yang ada dalam pasaran. Selain produk kewangan konvensional dengan jaminan pulangan tetap melalui bayaran faedah oleh institusi kewangan yang menyediakannya, kini terdapat pelabagai produk kewangan Islam yang boleh menyaingi produk konvensional tersebut untuk memenuhi keperluan kewangan penggunanya. Produk kewangan Islam, sama ada perbankan atau insurans melalui sistem takaful, terbuka kepada semua tidak kira masyarakat Islam atau sebaliknya. Apapun kepada seorang Muslim dirasakan amat tidak sempurna jika memilih produk lain selain kewangan Islam bagi tujuan mengumpul dana untuk matlamat kesejahteraan diri dan keluarga. Seelok-eloknya biarlah dana yang terkumpul itu diperolehi melalui proses tabungan yang harus disisi syarak.

Produk Takaful Untuk Tujuan Tertentu

Secara khusus produk-produk takaful boleh memenuhi kesemua ketiga-tiga matlamat tabungan di atas. Berbeza dengan produk kewangan Islam lain seperti yang disediakan di bawah khidmat perbankan, seumpama akaun simpanan, produk takaful memupuk disiplin kewangan dan diri dalam merancang tabungan. Syarat produk takaful menghendaki pesertanya kena membayar wang sumbangan atau caruman mengikut jadual yang ditentukan sebagaimana mengikut kontrak atau akad, menjadi peserta lebih berhemah dan berhati-hati, kerana wang caruman kena dijelaskan sebaik jatuh tempoh. Kegagalan memenuhi syarat ini boleh membawa terbatalnya penyertaan. Oleh itu akan terputus segala kemudahan dan manfaat yang disediakan. Menabung dengan produk kewangan lain boleh dibuat sewenang dan didepositkan wang bila kelapangan atau apabila ada wang lebih.

Selain itu produk takaful mempunyai keistimewaan khusus melalui manfaat perlindungan kematian yang disediakan sebagai suatu kelebihan yang tiada pada produk tabungan lain. Dengan kata lain, jika ditakdir peserta meninggal dunia sebelum genap tempoh penyertaan mengikut pilihannya maka ada perolehan seumpama manfaat khairat dibayar kepada ahli warisnya. Sebagai contoh jika peserta meninggal dunia selepas lima tahun menyertai produk takaful tempoh 20 tahun, baki 15 tahun yang belum sempat dibayar carumannya akan menjadi perolehan kepada ahli warisnya. Wang khairat ini amat berguna kerana boleh digunakan untuk dana pendidikan tinggi masa depan anaknya. Kelebihan ini tiada dalam produk kewangan lain.

Takaful Rawat dan Takaful Sihat

Misalnya, Takaful Malaysia menyediakan produk Takaful Rawat dan Takaful Sihat untuk membantu individu menyediakan dana perubatan jika ditimpa penyakit. Kedua-duanya menyediakan skop dan manfaat yang berbeza. Di bawah Takaful Rawat, pesertanya berhak mendapat manfaat kewangan dari Takaful Malaysia dalam bentuk tuntutan bil hospital jika peserta dimasukkan ke hospital akibat diserang penyakit atau ditimpa kecelakaan. Semenara Takaful Sihat pula menyediakan dana jangkapanjang khusus bakal digunakan bagi rawatan setelah sah diserang oleh salah satu 36 jenis penyakit berat atau kritikal. Perolehan sedemikian berupa manfaat wang tunai yang boleh oleh peserta bagi membayar belanja rawatan mengikut pilihan dan kesesuaian dirinya. Tidak semesti tempat pilihan hospital biasa sahaja. Mungkin ada yang mahu berikhtiar melalui kemudahan rawatan tradisional. Dalam pada itu khas untuk golongan wanita yang lebih mudah diserang pelbagai kanser, disediakan pula Takaful Hawa. Perolehan manfaat dibayar kepada peserta wanita sebaik disahkan kanser menyerangnya. Amaun perolehan akan diganda sekiranya kanser menyerang mana-mana bahagian anggota badan yang berkaitan organ reproduktif wanita seperti rahim, payu dara, faraj dan seumpamanya.

Apapun produk takaful bersifat fleksibel. Bagi mana-mana ibu bapa yang tidak berpeluang memulakan tabungan pendidikan tinggi semasa anak masih bayi, peluang berbuat demikian masih ada melalui produk takaful. Pilihan produk mungkin sedikit terbatas. Memandangkan masa juga agak singkat dalam membentuk dana secukupnya, seseorang perlu melihat produk kewangan yang berkaitan dengan pelabuaran dalam usaha mengumpul sebanyak dana yang mungkin. Risiko tetap ada. Selain itu pinjaman atau pembiayaan pendidikan tinggi boleh dipohon dari institusi kewangan tertentu yang menyediakan khidmat ini.

Bursa Saham

Dalam konteks pelaburan produk yang sesuai adalah seumpama saham amanah dan saham tersiarharga di bursa saham. Namun risiko berkaitan saham adalah kemungkinan kejatuhan harga yang boleh membantut matlamat tabungan itu sendiri. Jika meminjam pula, cukup masa wang yang dipinjam kena dibayar balik. Kepada ibu bapa sebegini mereka boleh menyertai produk takaful berkaitan pelaburan seperti Takaful Dana Saham (TDS). Wang caruman TDS dilabur dalam sekelompok saham mengikut pecahan unit dan apa-apa untung jual beli unit saham ini akan menjadi hak peserta. Sebagai nilai tambahan, sesuai dengan kemudahan takaful, seandainya peserta meninggal dunia, ada wang khairat dibayar pada kadar 1.5 kali amaun wang caruman asal. Ertinya TDS turut menyediakan semacam perlindungan ke atas tabungan yang dibuat. Apa-apa perolehan ini boleh dijadikan sebagai dana pendidikan anak peserta yang meninggal dunia.

Adalah jelas semua perolehan manfaat takaful dapat meringankan tekanan kewangan bukan sahaja kepada individu yang malang tetapi juga seluruh anggota keluarganya. Berikhtiar untuk keselesaan serta kesejahteraan hidup dan mengelak ditimpa kesulitan selari ajaran Islam. Seorang Muslim tidak wajar meminta-minta, sebaliknya usaha berdikari diutama dan sebaliknya memberi daripada meminta itu lebih mulia.

The post Bagaimana Takaful Bantu Tabungan appeared first on ERATUKU.



This post first appeared on Eratuku, please read the originial post: here

Share the post

Bagaimana Takaful Bantu Tabungan

×

Subscribe to Eratuku

Get updates delivered right to your inbox!

Thank you for your subscription

×