Get Even More Visitors To Your Blog, Upgrade To A Business Listing >>

Gagasan Satu Malaysia dlm Karya Sastera

(artikel terbaru saya ini telah terbit dlm bulan Mac, WADAH, DBP)


Bak kata sebuah pepatah: `Bahasa Menunjukkan Bangsa’, dan untuk sekian lama memang sudah terbukti bahawa pepatah ini adalah tepat sebagai kewujudan identiti dan warisan budaya sebuah bangsa di dunia. Bagaimana jika kita tambah pepatahnya; Sastera Menunjukkan Bangsa’ pula?



Penulis percaya, semenjak zaman berzaman lagi, semua orang tahu bahawa `Bahasa’ merujuk kepada lambang budaya dan fungsi atau peranan bahasa sebagai sistem perhubungan sosial dalam masyarakat. Melalui peribahasa ini, kita dapat mempelajari dua aspek penting tentang hubungan antara bahasa dengan orang atau bangsa yang menggunakan bahasa itu sebagai bahasa asalnya. Pertama, cara kita menggunakan bahasa Melayu atau ragam tertentu bahasa Melayu menunjukkan kelakuan budaya, sosial atau taraf sosial kita dalam masyarakat. Orang Melayu melihat bahasa sebagai sistem budaya. Bahasa yang baik atau betul tidak hanya bererti baik atau betul dari segi peraturan tatabahasanya tetapi lebih penting lagi adalah dari segi peraturan sosial, budaya atau adatnya. Ungkapan “tahu bahasa” bererti “tahu adat”, dan ungkapan “tak tahu bahasa” bererti “tak tahu adat.”


Yang pasti, tiada siapa yang mahu dianggap sebagai `tidak tahu bahasa’, atau `tidak tahu adat’ bukan? Lagipun, siapa lagi yang harus berbahasa Melayu/Malaysia, jika bukan kita sendiri. Jika bukan kita yang mempertahankan Bahasa sebagai warisan budaya yang terus berkembang dengan kosakata-kosakata (bahasa etnik) yang murni ciptaan orang tempatan, siapa lagi? Terbukti sudah bukan? Terpenting, peranan bahasa dalam perkembangan intelektual, sosial, dan emosional, membantu kita mengenal diri, budaya, dan budaya orang lain, serta membolehkan mengemukakan gagasan dan perasaan, memudahkan kita bergabung dalam masyarakat yang menggunakan bahasa tersebut, dan menemu- gunakan keupayaan menganalisa dan ber analitis dan imajinatif yang ada dalam diri kita.


Jadi, apa kaitan semuanya dengan Sastera? Itu satu soalan yang menarik, tapi boleh dijawab . Jelasnya, sastera juga sebenarnya, mempunyai fungsi yang lebih kurang sama? Sastera adalah kewujudan buah fikiran dalam bentuk tulisan. Tulisan adalah media pemikiran yg dituangkan melalui bahasa, dan bahasa boleh saja diwakilkan dalam bentuk tulisan, bahkan lewat media lain juga boleh, misalnya dalam bentuk gambar, muzik, lukisan ataupun karya seni yang lain, misalnya senibina. Sastera sewajarnyalah menjadi sebahagian dari budaya masyarakat berbilang kaum dan berbilang agama di Malaysia. Sastera memuatkan bahan-bahan cerita bernilai murni, bermutu tinggi dan dipelihara dengan sebegitu rupa oleh para pujangga, turun-temurun, sama ada secara lisan mahupun secara tulisan. Sama seperti Bahasa, Sastera juga mempertahankan identiti, warisan budaya yang terus berkembang dari masa ke semasa. Melalui puisi, cerpen, novel, prosa atau bentuk tlisan lain yang merupakan karya sastera, kita sepatutnya berupaya mengungkap pengalaman hidup sehari-hari sendiri atau pengalaman orang lain, dipadu dengan daya khayal (imaginasi) lalu dikemaskan dengan susunan kata dan gaya bahasa yang indah. Puisi adalah antara contoh terbaik untuk menyaksikan media pelahiran maksud dengan kata-kata (gerak-geri) yang begitu hampir dengan kita, kerana saban hari pun kita akan bersua dengan pelbagai macam peristiwa yang sekali gus menciptakan pengalaman peribadi tersendiri, sama ada yang menyayat-robekkan hati, yang pahit getirkan, yang membuai-bahagiakan mahupun yang yang menduka-larakan.


Yang pasti, kita tidak boleh menjernihkan sesuatu kemelut berakibat dari peristiwa yang dialami itu, jika hanya dalam fikiran cuma. Kita perlu berfikir bersesuaian sebagai seorang penulis dan yakin bahawa pada kekuatan menyusun kata-kata sahaja, seorang penulis sudah mampu menyampaikan gagasan melalui tulisan. Dengan bahasa tulisannya, khalayak pembaca akan mengerti apa yang menjadi idea fikirannya. Khalayak pembaca dapat pula dibawa menelusuri ke alam fiikiran kita dengan kata-kata yang disusun-rangkainkan dengan sebegitu rupa. Namun, apakah anda masih mengalami kesukaran untuk menerap-adun-terjemahkan gagasan dalam bentuk tulisan? Mungkin, bukan satu masalah bagi penulis handalan/mampan untuk menerap-adunkan gagasan dalam bentuk karya kreatif. Bagaimanapun, andainya masalah ia dialami oleh penulis muda, maka masalah itu harus diungkaikan. Ini termasuk dengan masalah dalam pemilihan kata-kata untuk menyusun-rangkaikannya dalam bentuk ayat yang bersesuaian, supaya gagasan yang cuba diutara-terjemahkan itu, sampai kepada pembaca. Jika penulis dapat mengatasi dan menguasai semua teknik penulisannya, penulis akan dapat menghasilkan tulisan bertema apa saja.

Jadi, bagaimana hendak diterap-adun-terjemahkan Gagasan Satu Malaysia itu di dalam karya sastera? Seperti semua orang tahu, `gagasan ‘ itu bererti hasil pemikiran. Sebabnya, sebuah tulisan bukanlah hasil angan-angan semata-mata, biarpun seorang penulis juga tidak terlepas dari berangan, berdaya khayal, atau berimajinasi. Imajinasi di sini merupakan imajinasi yang ditempa dalam fikiran, dicerna dalam otak, dan diterus terjemahkan dalam bentuk tulisan. Tulisan yang dimaksud adalah tulisan yang ditulis dengan perancangan yang teliti, dengan pemikiran yang dalam, dan dengan peraturan yang dipatuhi, dengan ilmu bantu bersesuaian dengan tema karya yang diselidiki, tidak sebatas angan-angan kosong saja.


Jadi, apa itu Gagasan Satu Malaysia? Tentu ada yang akan menanyakan begitu, bukan? Setiap hari, ketika melakukan pelbagai aktiviti harian, kita akan mendengar pelbagai tafsiran berbeza mengenaik gagasan Satu Malaysia. Mulai bangun tidur sampai tidur kembali pada sebelah malamnya, kita akan tertanya-tanya pada diri sendiri; bagaimana mahu ditafsirkan gagasan Satu Malaysia dalam karya sastera? Kemudian kita mengangguk. Hmm... Bukankah matlamat sebenar gagasan Satu Malaysia itu adalah demi kepentingan semua rakyat negara ini? Yakni, dengan mengambil kira kesejahteraan setiap etnik? Kemudiannya, saat matahari mulai terbenam dan bintang-bintang bergemerlapan mengitari bulan yang memantulkan cahaya di permukaan laut, sungai, sawah bendang, dan menyinari setiap makhluk Tuhan Yang Maha Kuasa di sekitar kita, hati kita berbunga indah kerana menyedari i bahawa kita sudah lama terdidik untuk menghormati identiti etnik, peruntukan teras perlembagaan dan sikap penerimaan kaum, sebelum gagasan Satu Malaysia dilaungkan lagi pun.


Apabila fajar merendah sayap dan kabus tipis di depan rumah berombak-ombak di udara ketika menyaksikan kupu-kupu beraneka warna hinggap dan menikmati manisan dari bunga ke bunga lainnya, disertai ciapan keriangan beburung bersahutan menyambut kehadiran pagi dari pepohon di sekitar rumah; kita terkedip-kedip mata, mengingati artikel-artikel perkembangan isu semasa yang sempat dibaca; Tentang bagaimana gagasan 1 Malaysia menganjurkan nilai-nilai yg mampu membantu mengukuhkan perpaduan nasional, supaya dapat membina sebuah negara Malaysia yang hakiki. Tentang bagaimana gagasan 1 Malaysia menganjurkan budaya hidup bahawa walaupun agama, budaya hidup dan keutamaan pelbagai kaum di Malaysia berbeza-beza, mereka perlu mendekati sesuatu isu daripada perspektif `Malaysian’. Tentang bagaimana setiap kaum dan golongan harus mendapatkan bantuan agar tiada sapa pun merasa bahawa mereka tidak dipingir dalam arus perdana pembangunan Negara. Tentang bagaimana menjadi tanggungjawab setiap anggota masyarakat untuk membawa usaha meningkatkan perpaduan malah menyuburkan cara hidup harmonis antara kaum, sekali gus menganggap dirinya sebagai seorang ahli dalam satu keluarga besar, yakni `Keluarga Malaysia’ . Tentang bagaimana perpaduan seperti itulah yang diharapkan dapat menentukan kelangsungan tamadun Malaysia yang bakal diwarisi kepada genarasi akan datang. Dan sebagainya.


Wah, segala-galanya kedengaran begitu `dingin‘ dan kaku sekali! Jadi, bagaimana hendak menerap-adun-terjemah-hidupkan sesuatu yang sedingin dan kaku itu, ke dalam karya sastera kita? Sambil-sambil berfikir tentang perkara itu, cuba pandang keindahan alam, pada laut yang terbentang luas, pada air sungai yang mengalir jernih, pada bukit yang hijau kebiru-biruan, dan soal pada diri sendiri; apakah yang kiat mahu buat dengan panorama alam mempesona di sekitar kita yang Tuhan Maha Kuasa Anugerahi pada sekelian umatNya ini? Kemudian kita pandang pada jiran-jiran kita yang berbilang kaum dan berbilang agama pula, tapi dapat hidup dan berinteraksi dalam suasana yang harmonis dan saling mengambil berat. Mahu biarkan sahaja segalanya berlalu begitu saja, atau mendokumentasikan seluruh kehidupan di negera kita dengan karya sastera? Bagaimana caranya?


Mudah saja jawapannya;


1. Tumpukan perhatian kepada manusia berbilang kaum di sekeliling kita itu semula. Tumpukan seluruh jiwa dan raga kita pada kisah manusia di dalam sesebuah peristiwa, atau cerita seseorang di sebalik peristiwa merupakan sebuah kes /isu/masalah menarik untuk diangkat, dan diperjuangkan. Rasa simpati dan empati kita sebagai penulis terhadap nasib salah seorang mangsa kebakaran, misalnya, akan menggugah para penyiasan atau mereka yang berkenaan untuk mencari punca kebakaran dan membela nasib mereka yang teraniaya. Cerita mengenai manusia berbilang kaum di sebalik berita akan memberikan penekanan pada laporan utama, akan mewarnai dan lebih memperkayakan hidup ini; kaya perasaan, kaya fikiran, kaya pengalaman, kaya wawasan, kaya jiwa; kekayaan yang lebih bermakna, biarpun kehidupan fizikal sederhana cuma.

2. Adun dan terjemahkan semua pengalaman batin dan peristiwa-peristiwa yang berlaku kepada makhluk Tuhan Yang Maha Esa dengan sejujur-jujurnya, dalam bentuk tulisan yang logik lagi menyentuh perasaan, penuh dengan gambaran pergolakan jiwa dalam inti kehidupan manusia, tentang cinta dan pengkhianatan, tentang kasih sayang dan pengorbanan, tentang perjuangan dan cabaran, dan sebagainya. Dengan menggunakan teknik penulisan yang terkini, mampu membantu anda mengolah karya dengan lancar dan menarik. Diperhalusi dengan menggunakan bahasa sastera yang indah dan tidak menjurus kepada karya picisan.

3. Apabila mengangkat watak antagonis dalam karya, elakkan sepenuhnya daripada menggambarkan seolah-olah watak antagonis itu mewakili kaumnya, sebaliknya, gambarkanlah perbuatannya itu bersifat individu semata-mata. Terutama sekali, perlu disedari bahawa dalam setiap kaum, pasti ada antagonisnya.

4. Penamat yang kuat dan menarik. Wujudkan unsur-unsur suspen di sepanjang karya dan hanya diungkaikan setelah sampai ke paragraph akhirya, ini untuk mendorong naluri ingin tahu pembaca untuk membaca terus hingga ke paragraph akhir. Penamat cerita tidak semestinya memenangkan watak utama (yang mungkin saja antagonis), tapi kemenangan haruslah kepada yg benar, buat ditatap dan difikirkan bersama oleh pembaca yang diharapkan menjadi orang yang lebih arif dan bijaksana daripada sebelumnya.

5.

Untuk menjadi seorang penulis karya sastera juga tidak sesukar mana, sebenarnya. Kita hanya perlu 1 peratus bakat dan 99 peratus kegigihan dan dedikasi. Dan setiap kali mahu memulakan berkarya, berkaryalah dengan nawaitu yang betul, sebagai mensyukuri segala nikmat dan bakat yang dianugerahi dan dirahmati Tuhan kepada kita semua.


Salam Gagasan Satu Malaysia :)

http://feeds.feedburner.com/sastera


This post first appeared on Blogger, please read the originial post: here

Share the post

Gagasan Satu Malaysia dlm Karya Sastera

×

Subscribe to Blogger

Get updates delivered right to your inbox!

Thank you for your subscription

×