Get Even More Visitors To Your Blog, Upgrade To A Business Listing >>

11 Hadiah Istimewa Daripada Anak Buat Ibu Bapa Yang Telah Tiada

 
“Ayah dan Ibu, ayah dan ibu, itulah permulaan kami, dapat melihat bulan dan matahari”
Bait-bait lirik dendangan Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad jelas melihatkan permulaan hidup setiap dari kita.
Semuanya berasal dari dua orang manusia mulia pilihan Allah S.W.T. Berapa lama kita mampu merasai kasih sayang ibu dan ayah?
Tiada siapa tahu kerana ajal maut ditangan-Nya. Malahan ada anak yang telah diuji ketiadaan Ibu Bapa sedari kecil.
Anak Derhaka Setelah Ibubapa Meninggal Dunia
Mungkin sebelum ini kita anggap istilah anak derhaka hanya berlaku semasa ibubapa masih hidup. Namun tahukah kita bahawa, kita tetap boleh dianggap anak derhaka setelah ibu bapa meninggal dunia. Nauzubillahimin zalik.
Persoalannya, bagaimana ini boleh berlaku?
Sabda Nabi S.A.W;
“Apabila matinya anak Adam maka terputuslah segala-galanya kecuali tiga perkara iaitu anak soleh yang mendoakan kedua ibu bapanya, sedekah jariah dan ilmu bermanfaat”
Ibu bapa yang telah meninggal dunia ini menunggu-nunggu “kiriman hadiah/habuan”daripada anak-anak Mereka setiap hari.
Namun malang seribu kali malang, “kiriman hadiah” yang ditunggu tidak kunjung tiba malahan “seksaan demi seksaan” diterima ekoran perbuatan anak-anak derhaka.
Anak-anak yang meninggalkan segala suruhan Allah sebagaimana telah diajar oleh ibu bapa sewaktu hayat mereka. Harta pusaka yang tidak diurus mengikut syariat juga menyebabkan anak dianggap derhaka.
Allah telah berfirman bahawa amat sedikit hamba-Nya yang bersyukur. Terutama sekali pada ibubapa sendiri belum cukup dihargai dan disyukuri.
Kejayaan kita hari ini adalah kerana kasih sayang Allah yang menjaga kita melalui penjagaan dan cinta dua insan berjiwa besar yang dipanggil;
“ibu, ayah, mummy, daddy, ummi, walid, mama, papa”
Sekerap mana ucapan terima kasih yang pernah kita lafazkan, tidak sedikit pun mampu membayar harga pengorbanan mereka berdua.
Namun ini tidak bermakna kita hanya berpeluk tubuh jika memang tidak mampu membalas jasa mereka yang telah tiada.
Berikut adalah 11 amalan yang dapat dikirim sebagai hadiah kepada ibubapa selepas ajal menjemput mereka terlebih dahulu dari kita;

#1 – Pengurusan Jenazah

Ramai yang memandang remeh urusan jenazah ibubapa kita kerana beranggapan ada pihak lain yang lebih pakar.
Maka cukuplah membayar khairat kematian dan biarkan jenazah dua insan tiada galang ganti ini diuruskan orang lain.
Orang yang paling afdal menguruskan jenazah adalah waris terdekat iaitu anak-anaknya. Inilah khidmat terakhir kita ke atas jasad ibu bapa kita yang telah kaku sebelum dikebumikan.
#1- Mandikan Jenazah
Sedari kecil kita dimandikan oleh ibu bapa kita hingga tidak terkira bilangannya. Dimandikan dengan penuh kasih sayang dan gurau senda.
Maka ambillah peluang ini untuk memandikan jenazah ibu bapa kita dengan penuh kelembutan dan kasih sayang.
Perhatikan setiap inci tubuh yang telah dikorbankan untuk kita. Kasarnya tangan ibu menguruskan rumahtangga tanpa upah.
Merekahnya tumit kaki ayah ekoran kerja kuat tanpa rungutan. Titipkan doa pada setiap inci tubuh yang sedang dimandikan.
#2- Mengkafankan Jenazah
Pakaikan pakaian terakhir untuk ibu bapa kita. Tutuplah aib dan aurat mereka sebaik mungkin. Tataplah wajah mereka dengan iringan doa.
Tiada lagi hadiah baju raya untuk mereka lagi selepas ini. Hanya kain putih pembalut badan.
#3- Solatkan Jenazah
Untuk anak lelaki, pastikan kita mengimamkan solat jenazah ibu bapa kita. Panjatkan doa sebaik mungkin untuk mengiringi perjalanan terakhir mereka.
Jika dulu, mereka tidak pernah lupa menitip doa untuk kita dalam setiap solat. Maka gunalah peluang terakhir ini dalam solat jenazah mereka.
#4- Kebumikan Jenazah
Anak lelaki/ menantu lelaki turunlah menyambut jenazah. Hadapkan wajah mereka ke arah kiblat. Kepalkan tanah dengan titipan doa sebagaimana dilakukan Nabi S.A.W terhadap jenazah 2 puterinya.
Inilah momen terakhir sebelum jasad mereka ditimbus tanah. Basahi bibir dengan doa pengampunan untuk mereka.

#2 -Memohon Keampunan

Tiada ibu bapa yang sempurna namun yakinlah bahawa mereka telah lakukan sehabis kemampuan. Redakan segala kekurangan.


Mereka hanya manusia biasa dengan amanah yang luar biasa. Mohonlah keampunan bagi pihak mereka kerana kini mereka tidak mampu lagi berbuat demikian.
“Ya Allah, sampaikanlah seumpama bacaan pahala bacaan kepada ibu bapaku (sebut nama). Ya Allah, ampunilah dosanya, kasihani dan sejahterakan dia, maafkanlah kesalahannya, muliakan kedatangannya, lapangkanlah kuburnya dengan rahmatMu wahai Tuhan yang Maha Pengasih”

#3 – Laksanakan Wasiat

Pastikan segala wasiat dilaksanakan sesempurna mungkin ikut syariat. Jika ada yang diwaqafkan maka laksanakan.
Urusan harta pusaka dilaksanakan secepat mungkin bukan atas dasar tamak. Tapi sebab tanggungjawab waris yang masih hidup.
Setakat 2016, lebih kurang RM60 billion harta umat Islam dibekukan akibat pengurusan harta pusaka yang diabaikan.

#4 – Eratkan Silaturahim Dengan Sahabat Mereka

Ziarahi dan sambungkan silaturahim dengan sahabat-sahabat ibu bapa kita. Ia satu cara mengirim “hadiah” untuk ibubapa di alam barzakh.
Sering mengenang kebaikan mereka semasa hayat ketika dengan sahabat. Teruskan sebarang legasi baik yang ditinggalkan.

#5 – Doa Untuk Ibu bapa

Panjatkan doa dalam setiap solat. Ibu bapa kita semasa hayat dulu tidak lekang berdoa untuk kita tanpa disuruh.
Tiada hijab doa anak untuk ibu bapa. Ia hadiah paling berharga di alam barzakh. Doa yang berterusan ini wajar diteruskan ke akhir hayat kita.

#6 – Waqaf

Waqafkan duit untuk pembinaan masjid dan waqafkan tanah kubur dan waqaf bangunan rumah anak-anak yatim diniatkan atas nama ibu bapa.
Lakukan sekerap mungkin mengikut kemampuan. Sedekah ini bersifat kekal selagi perkara tersebut masih digunakan sebagaimana diniatkan.

#7 – Sedekah Al Quran Dan Buku Islamik

Belikan al Quran dan buku Islamik untuk disedekahkan kepada pusat-pusat tahfiz dan masjid-masjid untuk digunakan semaksima mungkin.
Niatkan sedekah ini atas nama arwah ibu bapa kita. Panjatkan doa agar pahala sedekah ini disampaikan kepada mereka.

#8 – Sedekah Pahala Bacaan Al Quran

Niatkan agar setiap pahala bacaan al Quran kita disampaikan kepada arwah ibu bapa kita.
Pastikan kita belajar membaca al Quran dengan betul agar hanya pahala yang mengalir dan bukan dosa yang dikirim ekoran bacaan yang salah.

#9 – Selesaikan Hutang Mereka

Ia tanggungjawab anak-anak untuk menyelesaikan segala hutang-piutang arwah ibu bapa kita termasuk hutang dengan Allah.
Hutang dengan Allah termasuk nazar (jika ada) dan fidyah puasa. Manakala hutang dengan manusia juga cuba sebaik mungkin untuk dilangsaikan.

#10 – Upah Badal Haji

Bagi ibu bapa yang masih belum sempat menunaikan haji semasa hayat mereka, usahakanlah untuk Badal Haji.
Ia merupakan salah satu rukun Islam yang mungkin terpaksa mereka korbankan sebelum ini kerana ingin membesarkan kita.
Upah badal haji ini tidak semahal kos menunaikan haji maka ia sewajarnya tidak membebankan.

#11 – Amalkan Cara Hidup Islam Yang Sebenar



Teruskan amalan cara hidup Islam sebagaimana yang telah diajar oleh ibu bapa kita semasa hayat mereka. Niatkan setiap kebaikan yang kita lakukan atas tunjuk ajar mereka.
Panjangkan ilmu mereka yang bermanfaat kepada zuriat keturunan kita.
Hubungan Yang Tidak Pernah Putus
Begitu syumul Islam sehingga hubungan anak dengan ibu bapa yang telah meninggal dunia tidak pernah terputus secara hakiki.
Masih ada peluang menabur jasa. Pilihan di tangan kita. Jika tidak mampu melaksanakan semua, maka lakukanlah walau hanya satu sahaja asalkan istiqamah.


Elakkan menjadi salah satu statistik “Tanggang Moden”. Insya Allah anak-anak kita akan melayankan kita sebagaimana kita melayan ibu bapa kita semasa hayat mereka. Mahupun selepas ajal menjemput mereka.
__________________________________________________________
Jangan lupe tekan iklan2 yg ada dalam blog ini..
Cukup lah hanya sekali..Terima kasih..
Please Click the advertisment.Once is enough.Thank You
AIK?..BACA JE, KOMEN LA SIKIT :)
__________________________________________________________
sumber


This post first appeared on Buddy-On9, please read the originial post: here

Share the post

11 Hadiah Istimewa Daripada Anak Buat Ibu Bapa Yang Telah Tiada

×

Subscribe to Buddy-on9

Get updates delivered right to your inbox!

Thank you for your subscription

×